Qisya terus ke
biliknya. Debar pertamanya mula reda. Namun, dia rasa itu baru permulaan sebuah
perjuangan. Dia tahu bukan senang untuk merealisasikan hajat dan impiannya
berkahwin dengan Affian.
Dia sudah mengadap Puan
Afida. Dia sudah menyuarakan hasrat hatinya. Namun, kata putus belum diketahui
lagi. Mungkin dia akan mendapat persetujuan terpaksa mamanya, Hajah Afida.
Bagaimana dengan abahnya, Haji Hasnan?
Seperti kata mamanya
kemungkinan untuk abahnya bersetuju amat tipis. Banyak perkara dan sebab yang
akan dipersoalkan. Dia anak sulung. Dia masih belajar. Pasti itu yang akan
dibahaskan.
‘Ya ALLAH... semoga
abah dapat terima dengan baik.’
Dia menekan nombor
telefon Affian. Dia ingin berkongsi rasa
dan kegelisahan.
“Sya dah beritahu
mama,” kata Qisya selepas talian bersambung.
“Apa kata mama Sya?”
“Mama tak beri apa-apa
keputusan. Dia kena bincang dengan abah dulu. Sya makin takut, Fian.”
“Jangan takut. Kita tak
buat benda salah. Malah, kita nak buat perkara yang boleh menghalalkan hubungan
kita. Kita nak jadi hamba yang dirahmati ALLAH.”
Qisya terdiam.
Semangatnya kembali kuat. Dia tahu dan sedar keputusannya itu mendadak. Dia
sudah lama mengenali Affian. Sejak
semester pertama lagi. Namun, sekadar kenalan biasa. Tidak pernah rapat dan
langsung tidak ada apa-apa perasaan selain rasa hormat persahabatan. Semester kedua
dan ketiga pun sama. Hanya sekali sekala terserempak di perpustakaan, mereka
berbual lama. Kalau dalam bilik kuliah, hanya berbual biasa seperti kawan-kawan
yang lain.
Namun masuk semester kelima,
mereka sering digandingkan dalam sesebuah projek atau tugasan. Itu yang
menyebabkan masa mereka banyak dihabiskan bersama. Lama kelamaan, hati mereka mula
tergugat. Cinta mula bersemi.
“Sya, Fian pun dah
beritahu keluarga.”
“Apa kata mereka?”
Diam.
“Fian, kenapa? Mereka tak
setuju?”
“Kita akan hadapi
semuanya bersama. Sabarlah. Tetapkan hati dan berdoa selalu agar kita ada
jodoh,” kata Affian penuh yakin.
Ketika mematikan
talian, Qisya berjanji untuk sabar menunggu keputusan mama dan abahnya. Demi Affian
dan demi cintanya, dia akan hadapi semua kemungkinan.
Kegelisahan yang sama
dirasai oleh Affian. Sejak dua hari ini, dia dihantui rasa resah. Sungguh tidak
keruan fikirannya memikirkan rancangan
perkahwinan itu yang tidak mendapat restu keluarganya.
Qisya gelisah menanti
keputusan. Dia pula resah kerana sudah mendapat keputusan.
“Ayah tak setuju! Belum
masa untuk kamu berkahwin. Belajar pun belum habis dah nak kahwin ni kenapa? Habis
kau nak tanggung anak orang dengan apa? Nak bayar duit hantaran dengan apa?” jerkah
Haji Zahari.
“Ibu pun tak setuju! Kamu
masih terlalu muda untuk berkahwin. Habiskan belajar dan kerja dulu!” sampuk
Hajah Norlida pula.
“Tapi, kami dah setuju
ibu.”
“Siapa yang dah setuju?”
Haji Zahari menatap garang.
“Saya dan Qisya dah
setuju nak kahwin kemudian kami dah janji nak habiskan semester ini bersama-sama
hingga tamat. Kami janji akan bawa balik ijazah... ”
“Aku kata tidak. Akan tidak
selama-lamanya.”
“Ayah... tolonglah
faham,” pujuk Affian.
“Kau tu yang kena
faham. Jangan nak ikutkan hati kau saja!” jawab Haji Zahari semakin meninggi.
“Apa yang mendesak kamu
ni, Fian? Apa yang kau dah buat pada anak orang?” Hajah Norlida semakin cuak.
“Apa maksud ibu?”
“Adakah kamu sudah
terlanjur dengan dia?”
“Sumpah tidak, ibu. Malah
kami ambil keputusan ini kerana takut pada godaan syaitan. Kami sering terlibat
dalam tugasan yang sama. Kadang-kadang berdua-duan sampai malam. Kami jadi
takut pada nafsu sendiri. Abah, ibu... tolong faham situasi kami,” jawab Affian
dengan harapan yang sangat tinggi.
Haji Zahari terdiam
seketika. Begitu juga dengan Hajah Norlida. Affian memberi peluang mereka berfikir
dengan fakta yang diberikannya.
“Alasan itu logik, tapi
aku tetap tidak setuju. Bukan itu jalan penyelesaiannya. Kalau semua orang
ambil pendekatan ini, semua siswa akan berkahwin sebelum terima ijazah sebab
memang membuat tugasa bersama itu biasa.” Haji Zahari tetap bertegas.
“Betul kata abah kamu
tu. Ibu tetap kata tidak. Tapi kalau kamu nak teruskan juga, kami terpaksa
bertindak tegas,” sampuk Hajah Norlida pula.
“Maksud ibu?”
“Kami tak akan
pedulikan kamu lagi. Semua kemudahan yang kamu ada sekarang akan ditarik balik.”
Hajah Norlida berkata dengan senyum perli. Dia merenung wajah Affian dengan
mata mengejek.
“Bukan itu sahaja, kamu
terpaksa keluar dari rumah ini. Jangan balik lagi dan jangan jadi anak kami
lagi!” sambung Haji Zahari.
Affian tersentak. Dia tidak
sangka itu yang akan didengarnya. Kedua ibu bapanya bukan calang-calang orang. Mereka
orang yang berilmu dan berjawatan yang baik. Abahnya seorang pegawai di Kementerian Luar Negeri sementara ibunya
pula seorang doktor di sebuah hospital kerajaan. Namun, kenapa begitu cetek
fikiran mereka. Itu yang difikirkannya.
“Kami beri masa kamu
berfikir. Seminggu dari sekarang kamu boleh berikan kami keputusannya. Terserah
kepada kamu untuk memilih kami atau gadis itu. Titik.” Itu keputusan tegas yang
diberikan kepadanya.
Dia buntu dan keliru.
Dia tidak sanggup
melukakan hati kedua ibu bapanya. Jasa mereka terlalu besar kepadanya. Ibunya
mengandung dan melahirkannya dengan penuh sengsara. Ayahnya mencari rezeki
untuk membesar dan menyekolahkannya hingga berjaya sampai ke universiti. Apakah
mungkin dia mampu melupakan semua jasa itu begitu sahaja? Sedangkan sepatutnya
dia perlu membalas semua jasa itu dengan
kebaikan.
Dia tidak sanggup. Sungguh
tidak sanggup untuk menderhaka kepada mereka.
Qisya? Bagaimana dia
boleh melupakan gadis itu begitu sahaja. Itulah cinta pertamanya. Sebelum ini,
dia tidak pernah jatuh cinta. Tidak sekali pun dia tertarik hati kepada seorang
gadis selain kepada Qisya.
“Fian janji tak akan
tinggalkan Qisya. Kita akan hidup bersama hingga hujung nyawa. Percayalah pada Fian.”
Itu yang pernah dilafazkan kepada Qisya.
Dia sudah berjanji. Tidak
mungkin dia akan memungkirinya. Tidakkah nanti akan munafik orang yang tidak
menunaikan janji?
‘Ya ALLAH! Buntunya...’
Dia menepuk dahi dan mengeluh berpuluh kali.