**
Selepas melihat Qisya
di hospital, hati seorang ibu menjadi semakin gundah. Tidak lama lagi
Qisya akan melahirkan
anak sulungnya. Bagaimanakah nasib Qisya dan anaknya tanpa penjagaan rapi.
Bersalin tanpa orang tua. Menguruskan diri dan anaknya sendirian. Affian memang
tidak akan dapat menjaga Qisya sepenuh masa. Dia sudah mula bertugas.
Semua itu yang mengganggu fikiran Hajah Afida.
“Ma, kalau macam tu
mama carilah rumah sewa yang berdekatan sini. Senang mama nak jaga Sya.”
“Fian macam mana? Jauh
pulak dengan hospital tempat dia bertugas.”
“Fian tu orang sihat.
Dia boleh berulang-alik dari sini ke tempat kerjanya,” balas Qaisara.
Lama Hajah Afida
terdiam. Fikirannya menerawang berfikir, mencari kebenaran kata-kata Qaisara.
Tidak lama dia angguk perlahan.
Esoknya, kepada Alfian
hal itu disuarakan.
“Fian ikut saja apa
kata mama. Fian pun serba salah nak tinggalkan Sya dalam keadaan macam ni.
Kalau dah bersalin, keadaannya menjadi bertambah sulit. Kalau mama rasa itu
yang terbaik buat kami, Fian akan akur pada kehendak mama itu,” jawab Affian
dengan jujur.
“Maafkan mama Fian.”
“Kenapa mama?”
“Kerana mama masuk
campur dalam urusan rumah tangga Fian. Mama tak ada niat lain selain melihat
anak dan cucu mama berada dalam keadaan baik. Fian juga dah jadi sebahagian
dari hidup mama. Mama perlukan kasih sayang kamu semua untuk meneruskan hari tua mama,” jawab Hajah Afida.
“Mama, tolong jangan
cakap macam tu. Fian dah tak ada keluarga yang lain selain mama, Kak Sara dan
Abang Is. Mama pun tahu keadaan Fian. Fian dah dibuang oleh seluruh keluarga.
Hanya kepada mama tempat Fian bergantung kasih sayang,” balas Affian dengan
cepat.
“Kalau macam tu,
senanglah hati mama. Esok mama akan carikan rumah sewa. Kalau dapat, Fian mesti
segera pindah ke sini sebelum Sya bersalin.”
Kata setuju sudah
diberikan oleh Affian. Tugas Hajah Afida ialah mencari rumah yang hendak
disewakan. Di hadapan taman kediamannya, ada beberapa blok flat kos sederhana.
Mungkin di situ dia boleh mencuba nasib.
Malam itu dia
terkebil-kebil.
“Apa lagi kali ni?’
tegur Haji Hasnan dengan senyuman sinis.
“Tak ada apa,” balas
Hajah Afida, selamba. Dia sudah berjanji kepada dirinya bahawa tidak akan ada
lagi cerita dan rintihan mengenai Qisya akan berlaku di rumah itu. Selepas dia
mendapat izin suaminya, dia rasa semua masalahnya selesai. Tidak mengapa kalau
Haji Hasnan tidak sudi mendengar nama Qisya disebut. Tidak mengapa juga kalau
suaminya itu tidak mahu mengambil tahu langsung mengenai anaknya itu. Asalkan
sekarang, dia sudah bebas menguruskan Qisya dengan izin Haji Hasnan. Dia tidak
melakukan perbuatan yang dianggap engkar lagi.
“Tidurlah bang. Saya
nak ke dapur sekejap. Haus pulak,” kata Hajah Afida, sengaja mencari alasan
untuk menghindar diri daripada Haji Hasnan.
Tidak ada jawapan. Yang
kedengaran hanya dengkuran kecil dari Haji Hasnan. Hajah Afida segera berjalan ke
dapur. Selepas minum segelas air, dia duduk bermenung seketika. Akalnya ligat memikirkan
apakah agenda esok yang akan dibuatnya.
Yang paling penting dalam
hatinya sekarang ialah, Qisya dan anaknya harus mendapat perhatian dan jagaan yang
sempurna seperti orang lain. Qisya anak bongsunya. Bayi yang dikandung itu adalah
cucu pertamanya.
Hajah Afida tersenyum-senyum.
Dia membayangkan saat manis memeluk dan mencium seorang bayi. Sudah lebih dua puluh
tahun tidak menikmati kemanisan menjaga bayi namun masih segar bau harum dari syurga
yang dibawa oleh seorang bayi.
Cucuku... semoga dikau selamat
lahir ke dunia ini.