Hajah Afida masih
bersimpuh di sejadah. Selepas menunaikan solat sunat hajat empat rakaat, dia merafak
doa kepada Illahi. Dia minta bersungguh-sungguh, dengan air matanya. Seluruh
hajat dan hasrat dipohon dari ALLAH S.W.T.
Dia tahu ALLAH Maha
Pemberi.
“Ma, esok Sya akan
exam. Sya perlukan doa mama. Sya tahu Sya berdosa pada mama dan abah, tapi
tolonglah doakan Sya. Tidak ada harta yang paling berharga untuk seorang anak
selain doa ibu bapanya. Mama... Sya perlukan doa mama dan abah.”
Itu permintaan Qisya
semalam. Sebagai ibu, dia memang tidak pernah lupa mendoakan anak-anaknya.
Namun kali ini, doanya berlipat ganda. Dia memang berharap Qisya akan lulus
cemerlang. Untuk masa depannya. Juga untuk membuktikan kepada Haji Hasnan
bahawa semua tohmahannya salah.
“Hanya kepada-MU tempat
aku memohon ya ALLAH. KAU tabahkan hati anakku. KAU tenangkan jiwanya. KAU
terangi hatinya untuk menghadapi kertas ujiannya esok. Ya ALLAH... berikan
kejayaan kepada anakku Qisya.”
Air matanya membasahi
pipi. Kemudian dalam kelam malam, dia teresak-esak. Baru disedari, sudah enam
bulan dia terpisah dengan Qisya. Wajah mulus anak bongsunya itu sudah tidak
dilihat lagi. Dia tidak diberi izin untuk bertemu Qisya.
“Saya tak nak awak
jumpa dia. Saya tak izinkan!”
“Tapi, dia anak saya.”
“Awak nak derhaka pada
saya?”
Hajah Afida terus
terdiam. Dia menerima hukuman itu dengan rindu. Sungguh rindu. Setiap kali
makan, dia akan teringatkan Qisya. Anak itu sangat manja dengannya.
“Awak dah selesai solat
ke? Saya ni nak minta segelas air. Rasa haus sangat,” kata Haji Hasnan.
Tanpa berlengah, dia
bangun dan menanggalkan telekung. Dengan pantas pula dia berjalan ke dapur.
Segelas air dihulurkan dengan penuh hormat dan kasih sayang.
“Panjangnya wirid awak
malam ni?” tanya Haji Hasnan, cuba bergurau selepas air yang dihulurkan habis
diminum.
“Saya buat solat hajat.
Esok Sya nak periksa. Periksa akhir,” jawab Hajah Afida.
Haji Hasnan terus diam.
Dia menghulurkan gelas yang ada di tangannya. Kemudian dia kembali berbaring
dan menarik selimut ke paras dada. Matanya segera dipejamkan.
“Abang, tak sudikah
abang berdoa untuk anak kita itu?”
“Aku tak ada anak. Dia
bukan anak aku!”
“Sampai bila abang nak
menolak kenyataan. Walau abang berkeras macam mana pun, tetap tertulis nama
abang di belakang namanya. Di akhirat esok, dia tetap hadir sebagai anak kita,”
kata Hajah Afida, lembut dan sopan.
“Hei! Kau ni memang tak
faham bahasa kan? Berapa kali aku nak cakap dengan kau. Aku tak ada anak macam
dia. Dia dah mati. Tolong jangan sebut nama dia di hadapanku dan dalam rumah
ini! Kenapa susah sangat nak faham ni?’ tengking Haji Hasnan.
Malam yang sepi itu
tiba-tiba menjadi malam yang sangat menggetarkan hati seorang ibu.
Hajah Afida bangun dan
berjalan ke dapur dengan alasan untuk menghantar gelas. Tetapi yang sebenarnya
ialah dia ingin melarikan air matanya. Dia tahu suaminya tidak suka pada
tangisannya.
“Ya ALLAH, tabahkan
hatiku ya ALLAH...” rintih Hajah Afida perlahan. Dia tidak tahu sampai bila
kemarau kasih di hati Haji Hasnan akan berakhir. Begitu juga api marah yang
terus menjulang. Sudah enam bulan, langsung kemarahan itu tidak reda.
Biarlah. Biarlah
seorang ayah membenci anaknya.
Namun hati seorang ibu
tidak akan pernah berubah. Kasih sayang ibu hingga ke syurga. Itulah yang ada
dalam fikiran Hajah Afida. Dia tidak akan mengalah...
Selama Qisya menghadapi
kertas peperiksaan, selama itulah Hajah Afida berpuasa. Sepanjang masa itu pula
dia bersujud kepada ALLAH agar Qisya mampu menjawab semua soalan dengan mudah.
“Saya tak faham kenapa
awak masih nak bersusah payah dan berlapar dahaga kerana dia,” kata Haji Hasnan
dengan senyum sinis.
“Sebab dia anak saya.”
“Dia dah derhaka pada
awak. Dia balas susu yang awak beri dengan tuba. Dia dah malukan awak. Itupun
awak tak nak faham juga!” tengking Haji Hasnan.
Hajah Afida diam
sahaja. Dia tidak mahu berlawan cakap dengan suaminya. Dia sedang berpuasa
sunat untuk Qisya. Dia tidak mahu kesabaran puasanya tergugat. Dia juga tidak
mahu pahalanya berkurangan.
Hari-hari seterusnya
kerinduan Hajah Afida semakin memuncak. Dia menjadi semakin pendiam, memendam
rasa.
“Kalau mama rindukan
Sya, mama call dia. Atau mama pergi je jumpa dia,” kata Qaisara melihat wajah
Hajah Afida dengan belas.
“Sara, mama tak nak
derhaka pada abah. Abah dah beri amaran. Abah tak izinkan mama call Sya. Dia
tak izinkan mama pergi cari Sya. Mama kena ikut cakap abah.”
“Tapi, sampai bila ma?”
“Sampai dia sendiri
yang suruh mama call Sya. Sekarang, mama tunggu saja Sya yang call.”
Qaisara hanya
menggelengkan kepala. Dia faham kesetiaan mamanya sebagai isteri. Dan dia rasa
amat kagum dengan kesetiaan itu. Dalam masa yang sama, dia rasa kesetiaan itu
terlalu zalim kepada rindu seorang ibu. Ia seperti sedang memakan diri mamanya
hari demi hari.
“Biar Sara cakap dengan
abah,” kata Qaisara sambil bangun.
“Nak cakap apa?” Hajah
Afida menarik tangan anaknya. Qaisara melorot duduk. Tatapan matanya tepat ke
wajah Hajah Afida.
“Sara minta abah
lepaskan izin kepada seorang ibu. Sara akan merayu agar abah bersimpati dengan
rindu ibu. Kita cari Sya. Sara akan bawa mama ke tempat Sya!”
“Jangan buat macam tu!”
“Tapi kenapa? Kalau
abah tak dengar suara mama, mungkin dia dengar permintaan Sara. Sara cuma nak
bantu mama,” kata Qaisara bersungguh-sungguh.
“Sara, itu bukan
menolong tapi menambahkan lagi masalah kepada mama. Sara tahu perangai abah.
Dia tak suka orang memberi arahan kepadanya. Dia marah kalau oran gmasuk campur
dalam keputusannya.”
Qaisara mengeluh
perlahan.
“Biarlah Sara. Mama
hanya mohon dengan ALLAH. Satu hari nanti, hati abah pasti akan lembut. Dan mama akan tunggu masa itu sampai. Mama
akan sabar,” kata Hajah Afida menepuk bahu Qaisara.
Akhirnya, Qaisara tidak
berani bersungut lagi mengenai hal itu.
Dia melihat kegelisahan jiwa mamanya. Dia mendengar desas rindu dalam setiap tutut katanya. Namun
dia tidak mampu berbuat apa-apa, selain ikut pasrah dengan keadaan.
Hajah Afida memang
nampak tabah. Namun ketabahan itu semakin lama semakin lemah. Ia ibarat lilin
yang akhirnya cair di penghujung malam. Beberapa hari dia terbaring. Dia demam.
Demam rindu.
“Mari saya bawa awak ke
klinik,” kata Haji Hasnan ketika melihat keadaan Hajah Afida yang pucat dan
lemah.
“Tak apalah. Saya tak
apa-apa. Cuma demam sikit. Dah makan panadol.”
“Tapi saya tengok dah
tiga hari awak demam. Panadol tu dah tak jalan untuk demam awak ni. Lebih baik
kita ke klinik.” Haji Hasnan tiba-tiba rasa resah melihat keadaan isterinya.
Hajah Afida tidak
menjawab. Matanya dipejamkan dengan segala keletihan. Akhirnya dia tertidur.
Lama. Dia seperti hilang dalam dunianya sendiri.
“Mama, bangunlah ma.
Kita ke klinik. Demam mama semakin panas ni.” Tiba-tiba dia terdengar
sayu-sayup suara Qais.
“Betul ma. Mama tak
boleh nak bertahan dengan panadol tu saja. Mama kena berjumpa doktor. Sara tak
nak ia melarat.” Suara Qaisara pula berbisik di hujung telinga. Dia membuka
mata. Mencari-cari.
Matanya bertembung
dengan mata Haji Hasnan. Dia pejamkan semula matanya. Kecut hatinya melihat
sorotan mata lelaki itu. Masih bernyala api marah dalam bola matanya!
“Mama, tolonglah jangan
buat kami susah hati. Mari, Sara tukarkan baju mama. Kita ke klinik sekarang,”
pujuk Qaisara lagi.
Hajah Afida buka mata
sekali lagi. Dia melilau, mencari. “Sya dah balik sekolah?” katanya dengan
suara separuh berbisik.
Qaisara tersentak. Dia
menoleh kepada Qais, kemudian kepada Haji Hasnan.
“Cakap dengan Sya, lauk
kesukaannya mama dah masak. Ada atas meja. Suruh dia makan kenyang-kenyang
sebelum ke kelas tuisyen,” sambung Hajah Afida.
Qaisara menangis. Qais
tunduk muram. Mereka dapat membaca apa yang membuatkan Hajah Afida demam.
“Abah...” Qaisara
angkat muka dan cuba berkata sesuatu. Namun, dengan cepat Haji Hasnan bangun
dan meninggalkan bilik itu. Dia langsung tidak bersimpati.
“Sungguh keras hati
abah,” bisik Qaisara di celah tangisnya.
“Mari kita beritahu Sya,”
kata Qais pula.
“Jangan, nanti mama tak
suka.”
“Tapi, mama rindukan
Sya. Takkan kita nak tengok saja keadaan mama ni?” Qais beliakkan mata.
“Is tak faham. Mama
memang rindukan Sya. Dalam masa yang sama, mama juga taat kepada abah. Abah tak
izinkan mama call Sya. Abah tak izinkan mama jumpa Sya,” balas Qaisara.