Namun, sebelum sempat
mereka duduk dengan selesa kedengaran bunyi langkah kaki mendekati mereka.
Mereka segera menoleh. Hajah Norlida dan Haji Zahari tercegat, bercekak
pinggang dengan mata yang merah berapi marah!
Affian dan Qisya segera
bangun.
“Siapa suruh kau datang
ke sini? Kan aku dah cakap, kalau kaki kau dah langkah keluar jangan mimpi nak
balik ke sini lagi!” tengking Haji Zahari.
“Kami dah delete
nama kau dalam senarai nama keluarga ini Fian. Jadi, silakan keluar sekarang!”
tambah Hajah Norlida pula.
Affian segera meluru ke
arah mereka. Dia memegang lutut kedua-duanya.
“Abah, ampuni Fian. Ibu
ampuni Fian...Fian tahu Fian salah. Tapi Fian tak ada niat nak menderhaka,”
rintih Affian.
“Heh, aku bagi amaran
sekali lagi pada kau! Jangan berani nak pijak kaki kau ke sini lagi. Seperti
kami dah buang kau dari hati kami, kau juga kena buang kami dari hati kau!”
jerit Haji Zahari dengan kuat. Dia menarik kakinya dari pegangan Affian dengan
kuat. Dia melangkah pergi.
Affian tergolek jatuh.
Qisya meluru ke arah Affian. Dia cuba membantu Affian untuk bangun.
“Jadi, inilah bini kau
ya? Inilah orang yang merampas kau dari kami?” Hajah Norlida merenung tepat ke
wajah Qisya.
Renungan itu membuatkan
Qisya gugup ketakutan.
“Ibu, Sya tak merampas
apa-apa. Fian tetap anak ibu. Sekarang Fian balik sebagai anak. Fian nak minta restu
ibu,” kata Affian sambil terus memeluk lutut Hajah Norlida.
“Sudah! Aku tak nak
dengar apa-apa. Ratmi! Kalau sekali lagi kau bersubahat dengan orang ini, saya
berhentikan kamu!” Hajah Norlida memberi
amaran kepada Mbak Ratmi. Wanita itu pucat ketakutan. Dengan perlahan
dan teragak-agak dia angguk.
“Kamu berdua tak ada
urusan lagi di rumah ini. Sila keluar sebelum kami panggil polis,” kata Hajah
Norlida.
“Ibu...”
“Siapa ibu awak? Saya
tak ada anak yang degil dan derhaka macam awak. Keturunan saya juga tak ada
yang gatal macam awak.” Hajah Norlida membeliakkan matanya.
Tangisan Affian semakin
memuncak. Air mata Qisya ikut melaju di pipi.
“Bila kau ambil
keputusan melanggar perintah kami, maknanya kau dah rela untuk keluar dari
keluarga ini. Jadi, untuk apa kau nak menangis lagi?”
“Suruh dia keluar
sebelum saya ambil pistol. Saya rela bunuh dia dari tengok dia berlama-lama
tunjuk muka kesian dia dalam rumah ini!” jerkah Haji Zahari dari arah tangga.
“Abang, marilah kita
keluar dari sini. Kita datang lain kali. Nampaknya mereka masih marah,” bisik
Qisya ke telinga Affian. Dia tidak mahu suasana bertambah tegang.
Affian bangun
dengan perlahan. Dia menarik tangan
Qisya dan berjalan ke pintu. Langkah mereka diiringi tangisan yang sangat hiba dan
pilu.
Haji Zahari dan Hajah
Norlida tidak menahan. Mereka malah terus memanjat tangga untuk ke bilik
semula. Langsung tidak menoleh lagi.
Mbak Ratmi ikut
menangis. Dia belas melihat kedua suami isteri muda itu. Affian dan Qisya tidak
sempat pun menjamah juadah yang terhidang di meja. Alangkah kempunannya mereka.
Dia segera mencapai sebuah bekas dan mengisi nasi lemak dan ayam goreng
berempah. Dia tahu itu makanan kesukaan Affian.
Kemudian Mbak Ratmi berlari
keluar mengejar mereka.
“Fian, ambillah ni.
Mbak tahu Fian belum sarapan. Makanlah dalam perjalanan,” hulur Mbak Ratmi
sambil menyapu air matanya.
“Terima kasih mbak.
Tolong jaga ibu dan abah saya. Kalau ada apa-apa, mbak tolong call saya. Hanya
kepada mbak harapan terakhir saya,” kata Affian pula. Dia bersalaman dengan
penuh hormat dengan Mbak Ratmi.
“Jaga diri kamu dan
isteri kamu. Selalulah hubungi saya. Harap kamu berdua sabar ya,” kata Mbak
Ratmi di celah esakannya.
Affian angguk.
Sebuah teksi melintas
di situ. Affian menahannya. Teksi itu berhenti. Namun sebelum kaki mereka
melangkah masuk ke dalam perut teksi, sebuah kereta berhenti di hadapan pagar.
“Fian?” teriak Safrina
dari dalam kereta. Dia segera keluar dan berlari memeluk Affian. Mereka
bertangisan lama.
“Kak Rina, maafkan
Fian. Kenalkan, ini Qisya isteri Fian,” kata Affian.
Safrina menarik Qisya
ke dalam pelukannya.
“Maafkan akak kerana
tak mampu nak lindungi Fian dari kemarahan ibu dan abah. Kami semua terpaksa
akur pada kehendak mereka. Kami tak nak melukakan hati mereka.”
“Kak, Fian tahu. Fian
datang kerana nak minta maaf dari ibu dan abah. Tapi, nampaknya mereka dah
tutup pintu hati mereka kepada kami. Tak apalah. Kami akan berserah kepada
ALLAH. ”
“Fian, macam mana
dengan study kamu?”
“Alhamdulillah,
semuanya berjalan lancar. Tak lama lagi kami akan menghadapi final exam. Doakan
kami ya kak,” kata Affian.
“Akak cuma nak kamu
tahu bahawa akak tak pernah bencikan kamu. Akak tak pernah lupakan kamu dan
buang kamu seperti kehendak ibu dan abah. Cuma, akak tak berdaya. Kamu jagalah
diri baik-baik. Kalau ada masalah, call akak. Apapun terjadi, kita masih adik
beradik,” balas Safrina pula.
Affian dan Qisya
angguk.
“Kami pergi dulu kak.
Ada umur kita akan berjumpa lagi. Kalau kita tak jumpa di dunia, kita akan
jumpa di akhirat,” kata Affian, sambil bersalaman dengan Safrina.
Sekali lagi air mata
mereka merembes keluar. Sekali lagi mereka berpelukan.
Safrina mengeluarkan
beberapa helai duit kertas RM50 dari beg tangannya dan menghulurkan kepada
Saffian.
“Nah, ambillah ni.
Mungkin dapat juga membantu kamu dalam saat yang terdesak.”
Affian menggenggamnya
kemas. Dia tidak menolak pemberian itu. Memang ketika itu, dia sangat-sangat
perlukan bantuan kewangan. Semua kemudahan yang dia ada, sudah ditarik balik
oleh Haji Zahari.
Mereka masuk ke dalam
teksi. Dengan perlahan, teksi itu bergerak meninggalkan kawasan itu.
“Encik nak ke mana?”
tanya pemandu teksi itu.
“Hantarkan kami ke stesen
komuter,” jawab Affian, perlahan dan lemah.
“Abang, Sya rasa kita
balik saja ke rumah kita.”
“Tak nak balik rumah
keluarga Sya?”
Geleng. Wajah Qisya
masih kelihatan muram. Kata-kata yang dilemparkan oleh Hajah Norlida tadi masih
melekat kuat di dalam fikirannya.
“Tapi kenapa? Sya kata
Sya rindukan mama Sya?”
“Sya memang rindukan
mama dan abah. Tapi Sya takut. Mungkin abah akan buat kita macam ni juga. Abah
Sya tengah tertekan. Biarlah dulu. Kita tunggu keadaan reda sikit,” kata Qisya
sambil menepuk belakang tangan Affian, mohon pengertian.
Affian angguk. Hatinya
masih bersedih dengan apa yang baru mereka lalui. Dia tidak sangka begitu keras
hati ibu bapanya. Semakin dia rasa bersalah. Sangat besar dosanya kepada
kedua-duanya...
“Abang, kita sama-sama
berdoa kepada ALLAH,” pujuk Qisya lagi selepas melihat wajah Affian muram.
Teksi sampai ke
destinasi. Affian membayar tambang dan mereka turun.
“Sya, simpanlah duit
yang Kak Rina beri ni. Kita memang perlukan duit ni untuk belanja kita
sementara selesai exam nanti. Lepas tu, abang akan cari kerja,” kata Affian
menghulurkan segumpal not kelabu yang diterima dari Safrina tadi.
“Sya juga akan cari
kerja. Kita akan buat sama-sama, bukan abang sorang je,” balas Qisya.
Affian angguk. Mereka
duduk menunggu tren. Akal Affian masih beku.
“Abang, jangan fikir
apa-apa lagi. Kita dah janji untuk hadapi dengan tabah. Kalau abang lemah macam
ni, Sya lagi lemah.”
“Ya, abang tak boleh
lemah. Abang adalah ketua dalam rumah tangga kita ni kan?” Affian memaksa
sebuah senyuman. Dia membetulkan dirinya. Dia menanam semula pasak semangat
yang hampir patah.
“Ya, abang segalanya
untuk Sya. Jadi, jangan lemah semangat,” kata Qisya sambil menarik tangan
Affian dan menggenggamnya erat. Tidak mahu dia melepaskan lagi tangan suaminya.
“Terima kasih Sya,
kerana memberi abang peluang menjadi suami Sya. Abang janji tak akan sia-siakan
cinta kita. Abang janji...”
“Dah, cukuplah. Tak
payah banyak berjanji.” Qisya menutup mulut Affian dengan jarinya.
“Kenapa?”
“Sebab, orang bijak
pandai ada sebut kalau kita banyak berjanji kemungkinan untuk kita mungkir itu
lebih besar,” jawab Qisya sambil mengenyit mata, cuba membuat Affian tersenyum.
Percubaan Qisya
berjaya. Affian bukan sahaja tersenyum, malah dia mula ketawa. Walaupun Qisya
rasa ketawa Affian itu kedengaran sumbang dan tidak ceria, namun dia suka.
Sekurang-kurangnya ada sinar segar pada matanya yang baru kering dari air mata
itu.