Masuk di
pejabat, Adrian segera menyandarkan tubuh ke kerusi sambil memejam mata
bagaikan mahu melepaskan lelah kerana kepenatan melayan kerenah kawan-kawannya
ketika keluar makan tengah hari tadi.
Sebenarnya
dia masih terkejut dengan perubahan penampilan Mia Karmila yang baru pertama
kali dilihatnya tadi. Dia bagaikan tidak percaya Mia Karmila boleh berubah
begitu drastik. Malah, lelaki dan perempuan yang makan bersama gadis itu juga
tidak dia kenali atau lihat sebelum ini.
Lelaki
yang baik untuk wanita yang baik dan begitulah sebaliknya. Tiba-tiba
terngiang-ngiang kata-kata Rashid di telinga Adrian. Spontan Adrian menegakkan
badan seolah-olah terkejut sambil menarik nafas panjang. Oh, tidak baikkah aku
maka Mia tak nak berdamping denganku lagi? Bisik hati kecil Adrian.
“Helo.”
Tanpa
sempat melihat siapakah pemanggilnya, keras sahaja kedengaran suara Adrian
menjawab telefon bimbitnya yang tiba-tiba berdering dan mengganggu
ketenteramannya.
“Hai, handsome. Kenapa garang sangat
ni?” Kedengaran suara manja Zetty di hujung talian.
“Oh
ya, Zetty. Sorry, tak sangka you yang telefon. Ada apa?”
Masih
kedengaran ketegangan suara Adrian walaupun dia cuba mengendurkannya.
“Alah,
takkanlah tak boleh kalau I nak telefon you,” jawab Zetty masih dengan gaya
suara yang sengaja dimanjakan.
“Tak
adalah, tapi sekarang kan waktu pejabat. Jadi I agak sibuk sikit. Lagipun
selama ni tak pernah you saja-saja telefon I waktu pejabat macam ni,” komen
Adrian, malas mahu melayan kerenah Zetty yang jelas kedengaran mengada-ngada
itu.
“Memang
I pun tak suka nak ganggu you ketika bekerja, tapi I ada perkara penting nak
beritahu you. Itu pun kalau you nak tahulah,” getus Zetty seolah-olah merajuk.
“Hah,
apa dia yang you nak beritahu tu? Cakaplah.”
Kedengaran
suara Adrian yang bagaikan terpaksa untuk mendengar apa yang ingin dikatakan
Zetty.
“Hmm...
kalau you dah sibuk sangat, tak apalah. Lain kali ajelah I beritahu you,” ujar
Zetty bagaikan sengaja bertarik tali.
“Suka
hati youlah. Kalau you tak nak beritahu sekarang, I rasa tandanya perkara tu
tak penting sama ada pada I atau pada you,” balas Adrian pula, acuh tak acuh.
Dia mahu segera menamatkan perbualan itu.
“Okey,
kalau you dah kata begitu. Cuma I nak ingatkan you supaya jangan pulak tercari-cari
I untuk hiburkan you kalau you dah tak dapat nak jumpa Mia lagi nanti,” ujar
Zetty sinis, sengaja mahu menduga.
“Kenapa
you cakap macam tu? Apa kena-mengena Mia dengan apa yang you nak beritahu I
ni?” soal Adrian keliru.
“Sajalah
I nak ingatkan you sebab I tak naklah you hanya nak jumpa I bila you dah tak
dapat nak enjoydengan dia nanti. Tapi dengan keadaan dia sekarang, I
rasa memang susah you nak dapat enjoydengan dia,” ujar Zetty dengan
maksud penuh tersirat.
“Apa
maksud you, Zetty?”
“I
ternampak Mia tadi.”
“Ternampak
Mia? Kat mana?” soal Adrian tiba-tiba teruja.
“Masa
dia melintas jalan kat depan shopping mall.”
“Dia
nampak you?”
“Tak.
Dia tak perasan langsung pun I ada dalam kereta ketika dia melintas kat lampu
isyarat tu sebab dia tengah asyik berbual dengan kawannya,” jawab Zetty
seolah-olah mahu membakar perasaan Adrian.
“Kawan
lelaki ke perempuan?” soal Adrian tiba-tiba terbayang betapa gembiranya Mia
Karmila bersama kawan-kawannya ketika makan di restoran tengah hari tadi
sehingga tidak perasan kehadiran Adrian di situ.
Rasa
cemburu tiba-tiba membuak-buak dalam hati Adrian. Namun dia membiarkan sahaja
agar Zetty menerangkan segalanya. Dia juga tidak menyangka yang Zetty telah
terlihat Mia Karmila.
“Yang
I nampak tu, dia beriringan dengan perempuan tetapi ada seorang lelaki yang
segak bergaya mengekori mereka.”
Entah
mengapa Zetty tiba-tiba rasa amat bersalah terhadap Mia Karmila kalau dia tidak
menerangkan perkara yang sebenar apa yang dilihatnya tadi. Walaupun hati Zetty
tetap berasa cemburu apabila Mia Karmila berjaya memikat cinta Adrian namun
sebagai kawan yang pernah baik dengannya, Zetty tidak sampai hati mahu
memfitnah Mia Karmila. Tambahan selepas peristiwa yang pernah menimpa kawan
mereka Zila, beberapa tahun lalu, Zetty tahu Mia Karmila adalah seorang sahabat
yang jujur.
“Jadi,
apa yang you nak beritahu I?” pancing Adrian seolah-olah sengaja mahu melihat
kejujuran Zetty terhadap sahabatnya itu.
“Tak adalah
penting sangat. Cuma I rasa tentu you tak percaya kalau I kata Mia dah banyak
berubah sekarang.”
“Berubah
yang macam mana?”
“Dia
bukan lagi Mia yang seksi.”
“Maksud
you?” soal Adrian terus menduga.
“Dia
dah bertudung sekarang,” ujar Zetty terus terang.
Terbayang
di tubir mata Adrian, wajah polos Mia Karmila yang bertudung litup tetapi tetap
kelihatan manis dan ayu. Senyuman yang terukir di bibir Mia Karmila tetap boleh
membuatkan hati Adrian bergetaran ketika melihatnya tadi.
“Jadi,
apa salahnya dia bertudung? Memang ramai perempuan Melayu yang bertudung
sekarang. Tak ada apa yang pelik pun. Lagipun, I dah tahu pasal Mia pakai
tudung tu,” komen Adrian seolah-olah tidak ambil pusing perkara yang
disampaikan Zetty itu.
“Oh,
iya ke? Hmm... kalau macam tu, sorrylah sebab ganggu you. I ingatkan you
tak tahu lagi. Tak sangka pulak rupanya you dah jumpa Mia sejak dia dah
bertudung ni,” balas Zetty dengan nada terkilan.
“Kenapa
you kata macam tu? I tak boleh ke berjumpa dengan perempuan bertudung?” soal
Adrian seolah-olah memerli.
“Bukan
tak boleh, cumanya...” Zetty bagaikan keberatan untuk meneruskan kata-kata.
“Cumanya
apa?” cabar Adrian.
“Nak
ke lagi Mia temankan you ke tempat-tempat yang you selalu pergi enjoydengan
kawan- kawan you tu?” sindir Zetty.
Adrian
terkedu dengan sindiran Zetty itu. Terasa tercabar benar kelelakiannya jika
Zetty tahu yang Mia Karmila telah lama tidak keluar dengannya.
“I
takkan bawak Mia ke tempat yang sebegitu,” ujar Adrian. Dia sendiri tidak tahu
mengapa dia harus berkata begitu.
“Kenapa?”
“It’s
none of your business dan I rasa tak perlu untuk I beritahu you apa
sebabnya kerana hubungan I dengan Mia tak ada sangkut paut dengan you!” ujar
Adrian seolah-olah bosan dengan soalan Zetty yang agak menekan.
“Ya, it’s
none of my business. I faham. Sepatutnya I tak perlu beritahu you langsung
pasal Mia sejak awal tadi. Anyway, sorry sebab telah ganggu you yang
sedang sibuk bekerja. Bye!”
Kedengaran
Zetty membalas dengan nada terkilan seolah-olah merajuk. Namun riak dendam
jelas kedengaran dalam suaranya itu. Egonya telah mula menguasai hatinya
apabila sedar Adrian bagaikan tidak senang dengan tindakannya berbicara tentang
Mia Karmila. Rasa cemburu dalam hati Zetty terus membuak-buak, lalu dia segera memutuskan
talian sebelum sempat Adrian berkata apa-apa.
Adrian
terus memandang telefon bimbit yang masih dipegang dengan pandangan kosong.
Entah mengapa tiba-tiba Adrian terasa betapa rendahnya maruah dirinya apabila
Mia Karmila bagaikan tidak langsung berasa kesal jika tidak dapat bersamanya.
Bagaikan dirinya tidak mempunyai harga langsung di mata gadis itu.
Adrian menggaru-garu kepala yang tidak gatal sambil
menarik nafas panjang. Dia buntu memikirkan perhubungannya dengan Mia Karmila
yang semakin renggang itu. Oh, aku takkan lepaskan dia. Aku mesti dapatkan dia
walau dengan apa cara sekalipun, bisik hati kecil Adrian terus memasang tekad.