“ERR... Encik Aiman nak tunggu
dalam teksi aje ke atau nak ikut sama ke kedai tudung tu?” soal Mia Karmila
sambil berpaling ke arah Shahriman sebaik sahaja lelaki itu mematikan enjin
teksi.
“Kalau
saya ikut sama, tak apa ke?” soal Shahriman kembali.
Kalau
ikutkan hatinya, Shahriman kurang selesa untuk berdua-duaan dengan Mia Karmila
dalam keadaan begitu, khuatir boleh menimbulkan fitnah pula. Namun apabila
teringatkan janji dengan uminya untuk menjaga keselamatan Mia Karmila sehingga
selamat sampai ke rumahnya, Shahriman tiada pilihan lain melainkan terpaksa
menemankan gadis itu membeli-belah di shopping mallitu.
Lagipun
Shahriman terfikir bahawa Mia Karmila ke situ adalah dengan niat yang baik,
maka adalah wajar untuknya menemankan Mia Karmila bagi membantu gadis itu
merealisasikan tujuan baiknya itu.
Ya
ALLAH, lindungilah kami daripada sebarang fitnah dan restuilah niat baik Mia
yang sedang berusaha mencari keredaan-MU, doa Shahriman dalam hati.
“Saya
tak kisah. Cuma takut kalau-kalau Encik Aiman rasa boringpulak nanti
sebab tengok semua pakaian perempuan aje,” balas Mia Karmila sambil tersenyum.
“Oh,
apa salahnya tengok-tengok pakaian perempuan? Sekurang-kurangnya boleh jugak
saya tahu apa kegemaran orang perempuan,” balas Shahrima.
“Okey,
kalau begitu marilah,” ajak Mia Karmila sambil membuka pintu teksi.
Shahriman
membiarkan Mia Karmila berjalan di hadapan ketika mereka memasuki ruang yang
menempatkan berbagai-bagai kedai pakaian di shopping mallitu. Sekali-sekala
dia turut berhenti dan menghampiri Mia Karmila apabila gadis itu berhenti
sambil membelek-belek kain-kain tudung yang bergantungan di kedai-kedai yang
terdapat di situ, sekadar memberi pandangan apabila Mia Karmila bertanya
pendapatnya.
“Assalamualaikum,
ustaz. Apa ustaz cari kat sini?” Tiba-tiba kedengaran suara lembut seorang
wanita menegur Shahriman.
Spontan
Shahriman dan Mia Karmila berpaling memandang ke arah suara itu. Terlihat
seorang wanita muda berjubah hitam bertudung litup sedang tersenyum memerhati
ke arah Shahriman dan Mia Karmila.
“Waalaikumussalam.
Oh, Ustazah Rodhiah rupanya. Err... saya sedang temankan anak murid umi cari
tudung,” ujar Shahriman.
Kelihatan
wanita yang disebut sebagai Ustazah Rodhiah itu berkerut dahi sambil merenung
ke arah Mia Karmila. Mia Karmila yang kebetulan sedang memerhatikan wanita itu
juga turut berkerut dahi bagaikan ada sesuatu yang menyentak fikirannya. Mata
kedua-dua wanita itu bertautan buat seketika.
Rodhiah
tidak tahu mengapa hatinya tiba-tiba berdetik sendu apabila mendengar Shahriman
mengatakan yang dia sedang menemani gadis yang ada bersamanya itu membeli-belah.
Apakah hubungan mereka? Hati kecil Rodhiah terus bertanya-tanya sambil terus
merenung tepat ke anak mata Mia Karmila.
“Hmm...
ni Mia Karmila ke?” Tiba-tiba terlontar nama itu daripada bibir Rodhiah dengan
nada teruja.
“Err...
ya, saya Mia Karmila. Ni Kak Dee, kakak sepupu arwah Zila ke?” soal Mia Karmila
sambil terus merenung wanita yang berdiri di hadapannya itu dengan mata
membulat sambil menghulur tangan untuk bersalaman.
“Ya,
akaklah Kak Dee, sepupu arwah Zila. Masya-ALLAH, tak sangka dapat jumpa Mia
lagi. Mia apa khabar?” soal Rodhiah sambil mencapai tangan Mia Karmila untuk
bersalaman sebelum memeluk gadis itu dengan penuh keriangan.
Shahriman
yang memerhati gelagat kedua-dua wanita itu tergamam seketika. Tidak menyangka
mereka berdua saling mengenali antara satu sama lain. Ya ALLAH, sesungguhnya
KAU yang Maha Besar dan Maha Berkuasa melakukan apa sahaja yang tak pernah aku
menyangka. Shariman segera berzikir di dalam hati, mengagumi kebesaran dan
kekuasaan ILAHI.
“Alhamdulillah,
Mia sihat. Mia pun tak sangka dapat jumpa Kak Dee kat sini. Hmm... seronoknya
dapat jumpa Kak Dee lagi,” ujar Mia Karmila gembira sambil terus menggenggam
erat lengan Rodhiah.
“Alhamdulillah,
tak sangka kamu berdua dah kenal antara satu sama lain tanpa perlu saya
kenalkan. Macam mana Cik Mia boleh kenal dengan Ustazah Rodhiah?” soal
Shahriman sebelum Rodhiah sempat menjawab kata-kata Mia Karmila, sengaja ingin
tahu apa sebenarnya hubungan mereka apabila melihat kedua-dua wanita itu terus
asyik keriangan dengan perjumpaan itu.
“Err...
saya...” ujar Mia Karmila tersekat-sekat sambil memandang tepat ke anak mata
Rodhiah, seolah-olah cuba mendapatkan bantuan.
Rodhiah
yang bagaikan faham isyarat Mia Karmila itu hanya mampu memandang wajah gadis
itu dengan pandangan sayu, bagaikan terkenang sesuatu yang amat mengusik hati.
Shahriman terus memerhati reaksi kedua-dua wanita itu dengan penuh sabar.
“Mia
adalah kawan baik kepada adik sepupu saya yang dah meninggal dunia kira-kira
tiga tahun lepas. Kami berkenalan pada hari pengkebumian adik sepupu saya,”
ujar Rodhiah menjelaskan dengan nada mendatar bagaikan cuba melupakan apa yang
sebenarnya telah berlaku antara mereka ketika itu.
“Oh,
maknanya dah lama jugaklah kamu berdua berkenalan,” ujar Shahriman sambil
melempar senyuman ke arah kedua-dua wanita yang berdiri di hadapannya.
Mia
Karmila hanya mampu mengangguk.
“Ya,
tetapi kami tak pernah bertemu lagi selepas tu. Dan saya rasa seronok sangat
dapat jumpa Mia lagi hari ni. Mia dah banyak berubah,” ujar Rodhiah sambil cuba
menceriakan suaranya seolah-olah mahu melupakan perkara yang telah menyentak
fikirannya sebentar tadi.
Rodhiah
yang sedang memerhati Mia Karmila dari atas ke bawah bagaikan baru perasan yang
gadis itu kelihatan begitu sopan dengan berbaju kurung dan bertudung litup,
segera memegang lengan Mia Karmila bagaikan mahu membuktikan keseronokannya
dapat bertemu dengan gadis itu.
“Alhamdulillah,
terima kasih kepada Encik...err... Ustaz Aiman yang telah banyak membimbing
saya,” ucap Mia Karmila sambil menjeling ke arah Shahriman yang sedang asyik
memerhatikan mereka.
Dia amat
bersyukur kepada ALLAH yang telah menemukannya dengan Shahriman pada malam itu
sehingga membuatkan hatinya terbuka untuk mendekatkan diri kepada ALLAH. Lelaki
itu telah benar-benar berjaya menyedarkannya daripada kejahilan.
“Oh,
iya ke? Sejak bila Mia belajar dengan Ustaz Aiman? Selama ni Kak Dee tak pernah
pun nampak Mia kat Darul Hana,” tanya Rodhiah berkerut dahi.
“Err...
Mia tak belajar kat Darul Hana tetapi Mia belajar dengan Ustazah Habibah kat
rumahnya. Kak Dee pun mengajar kat Darul Hana ke?” soal Mia Karmila pula
apabila teringat Shahriman ada menyebut pasal kelas dan memanggil Rodhiah
dengan panggilan ustazah.
“Haah,
baru mengajar lebih kurang enam bulan sejak Kak Dee balik dari Mesir. Itu pun
dengan pertolongan Ustaz Aiman jugak sebab kebetulan Kak Dee kenal Ustaz Aiman
ketika sama-sama belajar kat Mesir dulu, tetapi ustaz telah tamat belajar lebih
dahulu daripada Kak Dee,” jawab Rodhiah tersenyum mesra.
Dia
sempat menjeling ke arah Shahriman bagaikan memohon agar lelaki itu turut
mengiyakan apa yang dinyatakannya itu.
“Iya,
Cik Mia. Ustazah Rodhiah ni juniorsaya semasa di Universiti Al-Azhar
dulu. Dia hebat dalam ilmu fiqh dan syariah Islamiah, sebab tu saya ajak dia
mengajar kat Darul Hana,” ujar Shahriman bagaikan memahami jelingan Rodhiah
itu.
Mia
Karmila hanya mengangguk-angguk. Namun jauh di sudut hati, terdetik juga rasa
pilu apabila terasa dirinya terlalu kerdil di samping Shahriman jika
dibandingkan dengan Rodhiah yang begitu luas pengetahuan agamanya. Dia tidak
tahu mengapa dia harus berasa pilu begitu.
“Ilmu
fiqh? Ilmu apa tu?” soal Mia Karmila berkerut dahi.
“Ilmu
fiqh adalah ilmu yang mengajar kita berkaitan cara-cara yang betul untuk
melaksanakan ibadah-ibadah yang diwajibkan ke atas umat Islam mengikut
mazhab-mazhab yang empat tu,” jelas Shahriman.
“Adakah
cara-cara berpakaian yang dibenarkan Islam bagi orang perempuan itu termasuk
dalam ilmu fiqh?” soal Mia Karmila ingin tahu.
“Islam
tak menetapkan cara-cara berpakaian yang khusus tetapi Islam menetapkan
bahagian aurat-aurat yang berbeza bagi lelaki dan perempuan yang perlu ditutup
sama ada ketika melaksanakan ibadah-ibadah seperti ketika solat atau ketika
mengerjakan ibadah haji dan umrah ataupun pada setiap masa ketika bersama orang
lain selain mahram. Jadi secara tak langsung ilmu fiqh ada jugak menyentuh
tentang cara-cara berpakaian yang dibenarkan Islam,” ujar Rodhiah menerangkan
sambil menepuk-nepuk lembut bahu Mia Karmila.
“Oh,
iya ke? Hah, kalau macam tu boleh tak Kak Dee temankan Mia cari pakaian yang
sesuai?” soal Mia Karmila teruja.
“Hmm...
bagus jugak tu. Eloklah ustazah ikut bersama temankan Cik Mia mencari apa yang
diperlukan. Sekurang-kurangnya dapat jugak kita elakkan fitnah yang mungkin akan
timbul jika saya berdua aje dengan Cik Mia macam tadi,” cadang Shahriman
spontan sebelum sempat Rodhiah menjawab pertanyaan Mia Karmila itu.
“Bolehlah,
Kak Dee,” pujuk Mia Karmila, segera memeluk bahu Rodhiah.
Hati
Rodhiah rasa amat tersentuh dengan kemanjaan Mia Karmila itu. Tiba-tiba
terbayang di matanya wajah Zila yang dalam kesakitan seolah-olah sedang
merenungnya, memohon simpati. Rodhiah jadi tambah tersentuh dan sendu.
Perlahan-lahan Rodhiah memegang lengan Mia Karmila sambil mengangguk.
“Yeay!
Terima kasih, Kak Dee. Lepas shoppingnanti Mia belanja Kak Dee dengan
Ustaz Aiman makan ya.”
Seolah-olah
pelajar sekolah belasan tahun, Mia Karmila yang bagaikan telah terikut-ikut
memanggil Shahriman dengan panggailan ustaz dan bukan lagi encik seperti
sebelum ini, bersorak keriangan sambil terus memeluk bahu Rodhiah.
Shahriman
yang seronok memerhatikan tingkah-laku Mia Karmila itu hanya tersenyum. Sempat
dia menjeling ke arah Rodhiah yang turut kelihatan begitu teruja memanjai Mia
Karmila. Namun hati kecil Shahriman tertanya-tanya apakah sebenarnya hubungan
kedua-dua wanita itu kerana keriangan yang jelas terpancar di wajah Mia Karmila
itu banyak memberi petanda bahawa masih ada rahsia yang mereka cuba sorokkan
daripada pengetahuannya.
Lebih-lebih
lagi apabila Shahriman mula memikirkan mengapakah Mia Karmila masih begitu
jahil tentang hukum-hakam Islam ketika berjumpa buat pertama kali malam itu
kalau gadis itu telah lebih dahulu berkenalan dengan Rodhiah. Tidakkah Rodhiah
pernah menasihati Mia Karmila akan syariat-syariat Islam yang perlu dia patuhi?
Hati kecil Shahriman terus bertanya-tanya.
“Betul
ke Mia nak belanja Kak Dee dengan Ustaz Aiman makan? Nanti kalau Kak Dee mintak
macam-macam, macam mana?” usik Rodhiah dengan suara nakal ketika mereka sudah
mula beriringan berjalan menyusuri kedai-kedai di shopping mallitu.
“Alah,
banyak mana sangat yang Kak Dee larat nak makan?” balas Mia Karmila sambil
tertawa kecil.
“Tapi
saya kuat makan, Cik Mia. Macam mana?” sampuk Shahriman tertawa kecil.
“Kalau
Ustaz Aiman lagi senang. Saya potong aje duit tambang teksi tu,” balas Mia
Karmila dengan nada nakal sambil berpaling memandang ke arah Shahriman yang
berjalan di belakang mereka.
“Saya
tak kisah kalau Cik Mia nak potong tambang teksi, tapi saya hanya hantar Cik
Mia takat sini ajelah,” balas Shahriman bertambah seronok menyakat Mia Karmila.
Rodhiah
yang turut berpaling hanya tersenyum lebar apabila melihat Shahriman dengan
nakalnya mencebik seolah-olah sengaja mengejek Mia Karmila. Namun entah mengapa
terdetik di hati Rodhiah rasa cemburu terhadap kemesraan teruna dara yang
dilihatnya agak rapat sehingga berani perli memerli begitu. Sepanjang
perkenalannya dengan Shahriman, lelaki itu tidak pernah mahu bergurau begitu
dengan perempuan walaupun dengan kakitangan di Darul Hana.
“Tak
apa, kalau Ustaz Aiman tak nak hantar sampai rumah, saya boleh balik naik teksi
lain tetapi Ustaz Aiman jawablah dengan Ustazah Habibah bila dia tanya nanti
sebab saya pasti akan beritahu dia yang Ustaz Aiman tinggalkan saya kat tengah
jalan,” ugut Mia Karmila tersenyum nakal.
“Lagipun
saya ada Kak Dee yang akan temankan saya balik sampai ke rumah nanti,” ujar Mia
Karmila lagi sambil mengepit manja lengan Rodhiah.
Rodhiah
yang terkejut dengan reaksi Mia Karmila, bagaikan terpukau segera melengkarkan
tangan kanannya ke bahu Mia Karmila dan menarik gadis manis itu rapat kepadanya
seolah-olah bersedia melindungi gadis itu daripada sebarang bahaya.
“Oh,
mentang-mentang dah ada Ustazah Rodhiah, Cik Mia senang-senang lupa pada teksi
saya ya. Kalau macam tu, saya balik sekaranglah,” ujar Shahriman buat-buat
merajuk.
“Hmm...
tak sangka Ustaz Aiman pun suka merajuk ya. Ingatkan orang perempuan aje yang
suka merajuk,” ujar Rodhiah sengaja mahu mengusik.
Mia
Karmila yang mendengar kata-kata Rodhiah itu segera memandang ke arah Shahriman
sambil mengangkat kening apabila kebetulan mata mereka bertembung. Mia Karmila
seolah-olah tidak sabar mahu mendengar lelaki itu membalas komen Rodhiah itu.
Tiba-tiba terdengar Mia Karmila tertawa terkekek-kekek bagaikan seronok apabila
melihat Shahriman bagaikan kelu untuk berkata-kata.
Shahriman
yang melihat Mia Karmila begitu gembira hanya mampu menggeleng-geleng sambil
menunjukkan jari telunjuk ke arah kedua-dua wanita itu seolah-olah menyatakan
bahawa pasti akan ada masa nanti dia akan membalas terhadap sindiran mereka
itu.
Seronok
benar mereka bergurau senda dan usik-mengusik sepanjang mereka menemani Mia
Karmila membeli beberapa helai tudung dan jubah sehinggakan mereka tidak sedar
waktu Solat Zohor sudah hampir tiba.
“Err...
lagi 20 minit nak masuk waktu zohor. Macam mana kalau kita ke masjid kat luar
sana tu dulu dan kemudian kita sambung lagi membeli-belah kalau Cik Mia masih
tak cukup lagi apa yang nak dicari,” cadang Shahriman sebaik sahaja Mia Karmila
selesai membayar barang yang baru dibelinya.
“Hmm...
lepas solat kita pergi makan kat restoran yang ada kat hujung sana. Okey tak?”
cadang Mia Karmila pula.
“Saya
boleh aje. Ustazah macam mana?” tanya Shahriman sengaja memancing pendapat
Rodhiah yang hanya tersenyum sejak tadi.
“Rezeki
jangan ditolak, bala jangan dicari,” jawab Rodhiah tersenyum riang.
Tanpa banyak soal, kelihatan Shahriman, Rodhiah dan
Mia Karmila jalan beriringan menuju ke masjid yang dimaksudkan.