MARYATI sampai ke pejabat
lebih awal daripada biasa. Ketika itu,
belum ada sesiapa lagi di ruang itu melainkan Mak Cik Patonah, tukang cuci yang
sentiasa sampai awal.
“Awal Mar sampai, kenapa?” tanya wanita itu dengan senyum. Dia
membalas senyum itu dengan mesra. Senyuman itu ikhlas. Dia memang mesra dengan
semua kakitangan di Teratai Holdings. Dari tukang cuci, tukang kebun dan
pengawal keselamatan hingga kakitangan pentadbiran yang lain, semuanya mesra.
Tidak ada yang silu untuk menegurnya.
“Datang awal tak salah, mak cik. Yang salah, datang lambat,” jawab
Maryati dengan lembut agar tidak menggores hati Mak Cik Patonah.
“Ya... ya...” Mak Cik Patonah menyengih. Dia menyambung kerjanya.
“Kalau mak cik dah siap buat kerja, buatkan saya secawan kopi,
ya?” pinta Maryati.
Mak Cik Patonah angguk. Tangannya masih ligat mengelap meja-meja
yang ada di ruang itu. Tidak lama, wanita itu menghilang.
Maryati menekan suis komputer. Kemudian dia meninjau-ninjau berita
menarik dalam portal berita. Itulah rutinnya setiap pagi sebelum memulakan
tugas. Selepas dirasakan tidak ada yang menarik, dia menutupnya.
“Mar, ini airnya.” Mak Cik Patonah meletakkan secawan kopi O
kegemaran Maryati yang masih berasap.
“Terima kasih, mak cik,” ucapnya sambil menguap.
“Mar nampak letih, kenapa? Semalam tak cukup tidur?” tanya Mak Cik
Patonah.
“Biasalah, mak cik. Sejak akhir-akhir ni, saya susah nak tidur.
Dah dekat-dekat azan subuh baru terlena. Sekejap saja, dah terbangun,” kata
Maryati.
Mak Cik Patonah bersimpati.
“Mar banyak berfikir. Cuba bertenang dan kosongkan fikiran sebelum tidur.”
Maryati menarik cawan kopi.
Aroma bau kopi itu menyegarkan jiwanya.
“Saya dah cuba, mak cik. Tapi, makin saya cuba makin banyak
perkara yang memenuhi fikiran. Semuanya saya nak kena fikir. Hal keluarga...
hal kerja dan hal...” Maryati menghirup kopi itu. Tidak jadi dia meneruskan
kata-katanya.
“Ya. Mak cik faham, Mar,” kata Mak Cik Patonah separuh berbisik.
“Harap mak cik amanah simpan rahsia diri saya. Tak ada sesiapa di
sini yang tahu siapa saya melainkan mak cik,” ujar Maryati.
Mak Cik Patonah mengangguk. Dia sendiri tidak menyangka akan
mendapat kepercayaan Maryati.
“Mar, sampai sekarang mak cik masih keliru. Kenapa Mar begitu
percayakan mak cik. Kita tak pernah kenal sebelum ni?” tanya Mak Cik Patonah mencari jawapan.
Sejak dua tahun mengenali Maryati, itulah soalan yang sering muncul di
fikirannya.
Diam. Maryati masih menghirup kopi panas itu. Dia rasa segar.
Semangatnya dirasakan ikut segar.
“Mak cik, hati saya yang kata
mak cik ni amanah.”
“Sebabnya?”
“Entahlah. Hanya ALLAH Yang Maha Tahu. Sepertimana DIA tahu kenapa
saya dipilih untuk melalui semua dugaan
ni,” jawab Maryati.
“Sebab ALLAH sayangkan Mar. Bila kita diduga dengan kesusahan,
kita tidak lalai dan tidak melupakan-Nya.
Mar kena tabah dan redha. Mungkin ada hikmah yang DIA akan berikan pada satu
hari nanti,” ujar Mak Cik Patonah.
“Hikmah apa lagi yang ada, mak cik? Hidup saya dah lama hancur.
Impian bahagia saya dah lama berkubur. Yang ada sekarang hanya jasad dan roh
duka.”
“Mar, jangan persoalkan kerja
Tuhan.Jangan sangsi pada takdir-nya.
Mengucaplah, Mar. Jangan sedikit pun bagi ruang kepada syaitan untuk melemahkan
iman kita,” pujuk Mak Cik Patonah.
Maryati terangguk-angguk, kesal apa yang diucapkannya tadi.
Kata-kata Mak Cik Patonah ada betulnya.
“Selamat pagi, Mar!” sapa Raihanah, rakan kerjanya. Maryati hanya
tersenyum.
“Mar, mak cik sambung kerja, ya?” kata Mak Cik Patonah.
“Mak cik nak jual apa pula dengan kami hari ni?” gurau Raihanah.
Mak Cik Patonah ketawa, tapi dia tidak menjawab. Dia tidak mahu
menunggu lama. Dia amat bimbang pada tohmahan buruk orang pada keakraban dia
dan Maryati.
“Mak Cik Patonah tu pelik kan, Mar?”
“Pelik macam mana?” Maryati menoleh. Tiba-tiba dia teruja untuk
mendengar komen Raihanah terhadap wanita tukang cuci pejabat itu.
“Yalah, dia tu bukan orang susah. Tapi masih nak kerja sebagai
tukang cuci di sini.”
Diam.
“Saya dengar cerita, anak-anaknya semua berpangkat dan kaya-raya.
Kenapa dia kerja macam ni? Dia tak fikir air muka anak-anak dia ke? Kalau saya
jadi anak-anak dia, saya malu mak saya kerja tukang cuci. Duduk saja di rumah
dan buat amal ibadat, kan bagus?”
“Rai, jangan bercakap pada perkara yang kita tidak tahu. Mak Cik
Patonah mungkin ada alasannya sendiri. Kita hanya melihat dari luar, tapi kita
tidak merasainya,” tutur Maryati.
Raihanah terdiam. Namun masih ada perasaan tidak puas hati di
wajahnya.
“Aku ke bilik air sekejap,” kata Maryati lalu bangun dan berjalan
meninggalkan ruang pejabat itu. Dia sebenarnya ingin mengelak diri daripada
terus mendengar rungutan dan komen Raihanah terhadap Mak Cik Patonah. Kalau
tadi dia teruja untuk tahu, kini dia tidak mahu mendengarnya lagi.
Lama dia termenung menghadap cermin di singki. Lama dia
mencari-cari kebenaran kata-kata Raihanah tadi. Mak Cik Patonah tidak pernah
menceritakan hal keluarganya. Dia sendiri tidak pernah bertanya. Hanya daripada
rakan-rakan sekerja dia tahu bahawa wanita itu telah melahirkan lima anak yang
berjaya semuanya. Kata mereka, kelima-lima anak Mak Cik Patonah lulusan
universiti dan berjawatan tinggi. Malah salah seorang anaknya selalu keluar
ceritanya dalam surat khabar. Kalau benar, kenapa Mak Cik Patonah masih
bekerja?
“Mar? Termenung ni kenapa?” Tiba-tiba muncul Mak Cik Patonah
dengan sebatang kayu penyapu di tangannya.
“Tak ada apa, mak cik. Tengok muka Mar ni, hah...” Maryati cuba memberi alasan yang logik.
Tawa Mak Cik Patonah berderai.
Maryati melihat wajah Mak Cik Patonah yang ceria. “Mak cik
ketawakan Mar? Kenapa?” tanyanya, menjeling wajah Mak Cik Patonah dari cermin.
“Mar macam sedang bercakap dengan budak kecil. Apa yang Mar tengok
pada wajah Mar tu? Kesedihan? Kehampaan? Atau kekesalan?”
“Mak cik, bercakap dengan mak cik buatkan Mar selalu keliru.”
“Keliru kenapa?” Mak Cik Patonah
mengerdipkan mata memandang Maryati.
“Siapa mak cik ni sebenarnya?” Maryati tidak mahu menyimpan
terlalu lama kemusykilan yang berputik di hatinya. Dia tidak mahu terus
mendengar semua cerita dari orang lain. Dia perlu mendengarnya sendiri daripada
mulut Mak Cik Patonah.
“Mak cik kan tukang cuci? Dah dua tahun mak cik bekerja di sini.
Takkan Mar belum kenal mak cik?”
“Mar nak kenal mak cik yang sebenarnya, bukan sebagai tukang cuci
pejabat ni,” jawab Maryati, bersungguh-sungguh. Tangan Mak Cik Patonah ditarik
dan digenggam erat untuk mengatakan keinginannya yang jitu.
“Apa yang Mar nak tahu?”
“Kesemuanya tentang diri mak cik. Mak cik tahu kesemua tentang
diri Mar. Apa salahnya kalau Mar juga tahu hal diri mak cik?” jawab Maryati.
Mak Cik Patonah tersenyum, tenang dan penuh keibuan. “Baiklah.
Tapi bukan di sini. Petang ini Mar ikut mak cik balik ke rumah. Mak Cik tak
akan berahsia dan berselindung apa-apa dari Mar. Sekarang masa kerja. Tak baik
kita abaikan amanah yang diberikan pada kita,” kata Mak Cik Patonah.
Maryati tiba-tiba rasa amat teruja. Dia seperti mendapat satu
peluang yang tidak diberikan kepada orang lain. Selama ini, tidak ada sesiapa
pun yang tahu di mana dia tinggal dan siapa keluarganya. Semuanya rahsia.
“Baiklah. Petang ni Mar ikut mak cik. Mar tunggu mak cik di pondok
bas. Mar buat kerja dulu ya?” kata Maryati. Dia kembali ke mejanya dan
menyambung kerja.