-12-
SETELAH
dia rasa lega dan tenang, dia kembali menatap skrin. Tiba-tiba dia rasa ingin
membalas jasa penulis itu dengan ucapan terima kasih. Lalu di bawah artikel itu
di ruangan komen dia menulis: “Terima kasih kepada Putera Lapan kerana menulis
artikel yang amat bermakna ini. Sudah lama saya tidak menangis mengingati mati,
malam ini air mata saya keluar dengan penuh keinsafan. Semoga ALLAH memberikan
pahala-Nya yang banyak kepada anda.”
Putera
Lapan menjawab: “Alhamdulillah, terima kasih kerana sudi membacanya.”
Zulfikar
senyum. Dia kembali melayari alam maya itu. Matanya terpandang pada sebuah
mesej di dinding FBnya. Mesej itu ditulis oleh rakan yang menggunakan nama Sweetie
Jay. Dia kurang pasti siapakah rakan itu. Mungkin dia seorang wanita, mungkin
juga seorang lelaki. Gambar profil yang digunakan ialah sekuntum mawar merah
dan batangnya penuh berduri. Ia satu simbolik, fikirnya.
Sweetie Jay: Hai Putera! Lamanya tak dengar berita.
Awak sihat ke?
Putera Aduka: Hai Sweetie Jay! Siapakah gerangan
anda, menyapa hamba tanpa nama.
Sweetie Jay: Hahaha!! Takkan tak kenal kita..melampaulah
tu!
Putera Aduka: Siapa??
Sweetie Jay: Berapa ramai yang tahu nama awak Putera
Aduka..?
Zulfikar
termenung seketika. Sejak dia buka akaun FB, tidak ada yang tahu dia
menggunakan nama Putera Aduka melainkan…
“Azila?
Ya hanya Azila yang tahu siapa Putera Aduka. Sebab Azila yang buka akaun FB
ni..hmm..mesti dia..” bisik Zulfikar sendirian. Akhirnya dia mengulum senyum.
Dia segera menaip komen.
Putera Aduka: Aduhai adinda,.maafkan kanda kerana
tidak upaya mengecam sebuah nama.
Sweetie Jay: Tak apa. Wah! Dah ramai kawan
nampaknya. Awas! Jangan jatuh cinta dengan rakan FB sudahlah. Nanti mengganas harimau
berantai.
Putera Aduka: Harimau berantai telah kanda patahkan
kuku dan taringnya.
Sweetie Jay: Berani ke?
Putera Aduka:
Anak raja bermain rakit,
Bermain rakit di
tengah laut
Jangan sengaja mencari
sakit,
Kalau dinda sayangkan
mulut.
Sweetie Jay: Wah! Putera Aduka sudah jadi pendekar,
berani dan ganas. Macam nilah lelaki..suka, suka, suka!
Putera Aduka: Hamba adalah pendekar sejak mula.
Hanya tidak mahu menunjukkan langkah.
Sweetie Jay: Sudahkah tuan hamba bertemu Dang Anum
yang dirindu?
Putera Aduka: Entah di mana dia menghilang. Hingga
kini, bayang namanya pun tidak kelihatan. Sungguh hamba kecewa.
Sweetie Jay: Usah kecewa. Usaha lagi hingga dia
ditemui.
Zulfikar
senyum lagi. Terbayang keletah manja dan nakal Azila ketika di pejabat. Selama
kenal gadis itu, dia jarang melihat gadis itu muram atau bersedih. Setiap masa,
Azila sentiasa tenang dan lincah. Seolah-olah dalam hidupnya tidak ada istilah
sedih dan masalah.
Tidak
lama, Zulfikar menjeling jam di dinding. Sudah hampir pukul 12.00 tengah malam.
Shamira belum juga balik. Hatinya cuak. Dia nampak Shamira sekarang semakin
bebas keluar masuk ke rumah tanpa pantang larang dan hukum. Dia bingung. Dia semakin keliru. Dayuskah dia
sebagai lelaki dan suami?
Sebelum
dia keluar dari alam maya itu, dia sempat menulis di dinding Fbnya: Engkau
sudah semakin tinggi terbang untuk mencapai awan. Aku masih di celah rumput
yang sering dipijak orang.
Zulfikar
mematikan suis komputer. Dia rasa matanya mula kelat dan berat. Tidak lama dia
tertidur. Dia terlena. Dia langsung terlupa semua hajat untuk bersemuka dengan
Shamira.
Keesokan
paginya, dia bangun lebih awal dari biasa dan terus menunaikan solat subuh
dengan kusyuk. Selesai berwirid dan berdoa, dia masuk ke bilik. Shamira masih
terbongkang lena. Dia membuka almari baju dan mengambil sehelai baju kemeja
yang tergantung di situ.
Sebelum
melangkah keluar, dia menjeling lagi. Serta merta dia teringat pada artikel
tulisan Putera Lapan yang dibacanya malam tadi. Hatinya tiba-tiba sedih dan
sayu.
Dia
terus ke bilik sebelah. Menekan suis sterika dan menggosok kemeja kerjanya itu.
Sejak dulu memang dia tidak pernah menyusahkan Shamira. Dia akan menggosok
sendiri baju dan seluarnya. Mereka tidak ada pembantu rumah sepenuh masa, hanya
bergantung kepada khidmat seorang wanita Indonesia yang datang seminggu sekali
untuk melakukan kerja-kerja rumah. Jadi semua kerja membasuh dan mengemas rumah
wanita itu yang buat. Sejak akhir-akhir ini, wanita itu pula kurang sihat dan
jarang datang. Jadi, Zulfikar yang banyak menggantikan tugas itu.
Sambil
tangannya ligat menggosok, bibirnya rancak bersiul-siul. Sungguh lapang
dadanya. Sungguh tenangnya jiwanya pagi itu.
“Esok,
awak ambil cuti,” kata Shamira dari belakang. Zulfikar berpaling.
“Kenapa
pula? Suka-suka awak saja nak suruh saya cuti. Awak ingat pejabat tu mak bapak
awak yang punya?”
“Heh!
Mak bapak jangan nak sebut!” tengking Shamira.
“Kenapa?
Awak rasa awak tak ada mak bapak?” Zulfikar membalas dengan pedas. Dia tahu
Shamira marah kalau hal keluarganya disentuh.
“Sudah!
Saya tak nak buang masa bertekak pasal itu. Saya tahu esok awak ambil cuti.
Atikah balik malam ni. Kami dah buat temu-janji untuk awak!” tegas Shamira.
Sekali lagi Zulfikar tersentak. Dia teringat pada panggilan telefon yang
diterima dari Atikah tempoh hari. Dia teringat semua anggapan Atikah dan
Shamira terhadap perubahan sikapnya. Tiba-tiba hatinya bergetar!
“Temu-janji
untuk berjumpa doktor sakit jiwa tu? Apa awak dua beranak ni memang ingat saya
ni gila?”
“Awak
tidak gila, tapi perlukan kaunseling. Bertemu pakar jiwa tidak semestinya gila.
Jangan awak pendek akal,” jawab Shamira selamba. Getaran hati Zulfikar yang
terpancar di wajahnya yang mula merah itu sengaja tidak diendahkan.
“Mira,
awak dengar sini! Saya tak akan ambil cuti. Saya tak akan ikut pendapat gila
awak berdua. Yang patut jumpa pakar jiwa itu awak, bukan saya! Kalau awak nak
bawa anak gadis awak itupun, boleh. Pergilah berdua kerana dua-dua sudah ada
simptom orang gila!!” Zulfikar menengking. Shamira bercekak pinggang, segera menentang
mata Zulfikar.
“Awak
cakap saya dan Atikah gila?!” tanya Shamira dengan jeritan.
“Sebab
awak yang kata saya gila!” balas Zulfikar, dengan jeritan juga. Suara Shamira tenggelam
di sebalik gema suara parau Zulfikar.
“Awak
memang dah gila! Memang sah awak gila!”
“Awak
dan Atikah yang gila! Sebab kata saya gila!”
“Sudahlah!
Saya tak nak dengar apa-apa alasan lagi. Saya tahu, esok awak ada di rumah.
Temu-janji tu pukul 10.00 pagi. Titik!” Shamira berpusing dan ingin melangkah
keluar.
“Boleh
belahlah dengan temu janji awak tu!” Zulfikar bertempik, dengan geram dan marah.
Langkah Shamira mati. Untuk pertama kali dia mendengar suara Zulfikar sekasar
itu.
“Baik.
Kalau esok awak tak ada, awak tahulah nasib awak!” ugut Shamira.
“Nak
buat apa? Nak bunuh saya? Atau..atau..awak nak ceraikan saya?” Zulfikar ketawa.
Sinis.
“Apa
yang merasuk awak ni sebenarnya? Hantu laut tu?” tanya Shamira.
“Bukan
hantu laut, tapi hantu awak. Hantu Shamira!!” Zulfikar melangkah keluar dari
bilik itu. Dia tidak mahu membuang masanya lagi. Sekarang waktu dia pergi
kerja. Shamira terlambat tidak mengapa, sebab dia bos besar. Tapi dia? Hanya
pegawai kerani yang kerja di bawah arahan orang lain.
Setengah
jam kemudian, kedengaran enjin kereta Zulfikar menderum pergi. Shamira
mendengarnya dengan hati yang berdarah. Sikap Zulfikar semakin hari semakin mencabarnya.
Dia tidak mahu menyerah kalah. Dia akan pastikan dia menang dalam pertarungan
itu. Dia berjanji.
Tangannya
dengan cepat mendail satu nombor. Dia akan bercakap dengan sesaorang.
“Hello
Naimah, saya ni,”
“Ya
Puan Shamira, ada apa pagi-pagi telefon saya ni?”
“Awak
dah sampai ofis ke belum?”
“Belum.
Saya masih dalam perjalanan. Kenapa puan?”
“Hari
ni saya nak minta bantuan awak. Awak tolong perhatikan Encik Zulfikar. Dia
sampai ofis pukul berapa, keluar minum dengan siapa dan siapa yang menelefon dia.
Boleh?”
“Oh!
Ingatkan apa. Kalau itu tak jadi masalah. Saya akan catit semuanya dan serahkan
pada puan,”
“Bagus.
Nanti saya bayar semuanya,” kata Shamira dengan senyum.
Zulfikar
pula sepanjang jalan ke tempat kerja, tidak putus-putus mengeluh. Ketenangan
yang baru dirasai selepas subuh, hilang begitu sahaja. Dia mula rasa resah. Rasa
marah dan geram semakin menimbun tinggi dalam jiwanya. Kalau dulu perasaan itu
hanya seperti busut kecil, kini ia seperti gunung Himalaya. Di celahnya penuh
dengan lahar panas yang tunggu masa untuk meletup!
“Selamat
pagi Putera!” sapa Azila, menyengih. Zulfikar menoleh.
“Sweetie
Jay??” Zulfikar cuba mencari kepastian. Azila menyengih dan angguk.
“Jangan
panggil saya begitu kalau depan orang lain. Hanya awak seorang yang tahu rahsia
ini. Biar pecah di perut jangan pecah di mulut!” Zulfikar meletakkan jari
telunjuk di bibirnya sebagai tanda memberi amaran.
“Yalah,
itu saya tahu. Putera jangan takut. Putera harus berani..!” kata Azila separuh
berbisik.
Zulfikar
membalas kata-kata itu dengan senyuman. Azila meninggalkannya. Zulfikar duduk
di kerusi dan menekan suis komputer. Pagi itu dia perlu siapkan semua kerja
yang tertangguh. Dia cuba membuang semua huru-hara yang ada di dadanya.
“Selamat
pagi Zul,” tegur Sahidi yang muncul termengah-mengah.
“Kau
termengah-mengah ni kenapa?”
“Aku
berlari naik tangga,”
“Kenapa?
Lif rosak ke?”
“Taklah.
Saja aku nak bersenam. Awal kau sampai?” tanya Sahidi selepas nafasnya mula
teratur perlahan.
“Aku
yang sampai awal ke kau yang terlambat! Tengok jam tu!” Zulfikar menunjukkan ke
arah jam di dinding.
“Pukul
8.50. Awal lagi..” kata Sahidi dengan ketawa. Dia berjalan ke mejanya.
Zulfikar
meneruskan kerja. Seluruh tumpuan dan perhatian diberikan kepada
helaian-helaian kertas dari beberapa fail yang ada di atas meja. Sedang
tumpuannya bergelut pada dokumen yang ada, tiba-tiba isyarat pesanan ringkas
bergetar di telefon bimbitnya. Dia segera menekan.
-Babah,
jangan lupa temu janji dengan doktor esok. Babah mesti ambil cuti.
Zulfikar
mengetap bibir. Gelombang yang membadai di dadanya, mengganas. Hati yang mula
sejuk, kembali panas. Sebuah fail yang
ada di tangannya dibalingkan dengan keras. Lantunan fail itu mengejutkan
rakan-rakan yang sedang tekun bekerja.
Sahidi
juga terkejut. Dengan cepat dia bangun dan mendekati Zulfikar. Dia rasa dia
perlu tenteramkan fikiran Zulfikar yang sedang serabut itu.
“Zul,
kenapa ni?”
Diam.
Zulfikar menahan tubuhnya yang mula terasa dingin dan mengigil. Ada getar yang
mula dirasakan.
“Apapun
yang kau alami, kau kena sabar. Jangan biarkan syaitan menguasai diri kau,
Zul,”
“Semakin
lama semakin aku hilang sabar, Di,”
“Apa
maksud kau?” tanya Sahidi. Zulfikar menghulurkan telefon bimbitnya.
“Kau
bacalah sendiri,”
Sahidi
mencari dalam kotak pesanan masuk.
“Yang
mana?”
“Dari
Atikah,” jawab Zulfikar. Sahidi
membelek. Kemudian dia membacanya dalam hati.
“Temu
janji apa hingga kau marah macam ni sekali?” Sahidi bertanya dengan wajah
keliru. Zulfikar tidak terus menjawab. Dia masih melayan rasa marah dan
geramnya.
“Kau
sakit apa? Kalau benar kau sakit, pergilah jumpa doktor,”
“Mereka
nak hantar aku pergi jumpa pakar sakit jiwa..” dengan perlahan Zulfikar
menjawab. Namun jawapan itu menggegarkan telinga Sahidi.
“Hah?
Tapi kenapa?”
“Mereka
tuduh aku sakit jiwa. Sejak aku tak dengar arahan Shamira. Sejak aku bantah
semua cakap dia..” Suara Zulfikar semakin berbaur kesal dan hampa. Sahidi
menepuk dahi. Dia tergamam untuk terus berkata-kata. Benar-benar mengelirukan.
Tidak disangka kalau nasib Zulfikar lebih buruk dari apa yang dilihat dari segi
luaran.
“Jadi,
apa kau nak buat sekarang?”
“Aku
tak akan ikut cakap mereka. Kau nampak aku ni macam orang sakit jiwa ke?” tanya
Zulfikar pula.
“Kau
nak aku cakap yang jujur?”
“Ya.
Sebab kau kawan baik aku. Kau tahu semuanya pasal aku. Cakaplah dengan jujur
dari hati kau..” jawap Zulfikar.
“Sebenarnya
sejak akhir-akhir ni, aku nampak kau ni semakin ceria dan tenang. Wajah kau
yang kusut dan gelisah dulu tu dah tak ada lagi. Kau dah jadi Zulfikar yang
baru,” kata Sahidi. Mata Zulfikar merenung wajah Sahidi, mencari kepastian yang
nyata.
“Aku
bercakap benar. Aku bercakap dari hati seorang sahabat,” kata Sahidi
bersungguh-sungguh. Zulfikar membetulkan dirinya. Dia seperti mendapat satu
kekuatan.
“Benarkah
Di?” Zulfikar tersenyum.
“Benar
belaka. Tidak ada yang benar melainkan benar,” kata Sahidi, berseloroh.
“Alhamdulillah..”
ucap Zulfikar.
“Kenapa?”
Sahidi terteleng keliru.
“Yalah,
aku tak payah jumpa pakar jiwa tu. Biar mereka yang pergi jumpa. Dua beranak tu
yang sakit!”
Sahidi
ketawa.
“Kenapa
kau ketawa?”
“Aku
rasa lucu bila bayangkan kau di hantar ke Lorong Che’ Husin,” jawab Sahidi.
Zulfikar kemudian ikut ketawa. Namun hanya perlahan. Lorong Che’ Husin begitu
dikenali di Kota Bharu kerana di situ terdapat sebuah hospital sakit jiwa.
“Kau
tak nak balas mesej anak kau tu?” tanya Sahidi ketika ketawanya usai.
“Aku
akan balas. Kalau tidak mereka ingat aku nak ikut cakap mereka,” jawab Zulfikar
sambil mengambil telefon bimbitnya dan menekan huruf. Sahidi meninggalkan meja
Zulfikar. Dia tidak mahu masuk campur. Tugasnya meredakan Zulfikar sudah
selesai.
Selesai
menaip dan menghantar mesej kepada Atikah, Zulfikar mengemas mejanya. Kerja
yang sudah selesai, segera diketepikan.