Home Novel Keluarga APA DOSANYA?
APA DOSANYA?
Asmah Hashim
2/12/2018 15:04:43
57,960
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 13

Dalam kegelapan malam, bertemankan cahaya bulan yang mengambang penuh, langkah kakinya dilajukan, seperti berlari-lari anak dia bergerak meninggalkan kawasan rumah usang itu.  Sesekali dia menoleh memandang kembali rumah itu. Di dalamnya ada insan yang disayangi dan dibenci.  Ah! Kejamkah dia?  Biarpun anak itu tidak bersalah, entah kenapa sukar untuk dia menerima kehadirannya. 

Dia sudah mencuba, semakin dicuba, semakin benci bertahta di hati.  Kehadiran anak itu ibarat duri di hatinya.Setiap kali terpandangkan wajah anak itu peristiwa hitam itu menjelma,bertayangan di mata.  Wajah syaitan bertopengkan manusia itu jelas di pandangan mata.  Bagaimana dia akan melupakannya? 

            Dengan hanya berselipar. Membaw abeberapa helai pakaian, dia keluar dari rumah itu.  Ke mana? Dia sendiri tidak tahu.  Terasa hendak mati sahaja!  Jiwa dan hatinya seperti sudah tidak bernyawa.  Kasih dan sayangnya kepada anak-anak melayang entah ke mana? Semuanya kerana lelaki jahanam itu! Kalaulah dia tidak diperkosa, mengandung dan melahirkan Ain, sudah pasti kehidupannya bersama Adira dan Ali tidak akan jadi seperti ini.  Sudah pasti dia tidak akan meninggalkan mereka. 

            Sebelum melangkah keluar, dia sempat melihat wajah polos anak-anaknya yang lena tidur mereka.  Bergetar bibirnya menahan tangisan.  Kalau ikutkan hati, dia takkan tergamak meninggalkan mereka.  Dia tahu, apa yangakan mereka hadapi.  Keadaan memaksa dia meninggalkan mereka.  Sudah tidak tertahan mendengar cemuhan dan sindiran jiran sekampung setiap kali bertembungdengan sesiapa sahaja di jalanan atau di kedai.

            “Perempuan sundal ini tak berambus lagi dari kampung ini?  Roslan danZarifah bukan main lagi jaga dia! Meluat aku! Kalau ikutkan hati, mahu saja aku halau mereka anak beranak keluar dari kampung ini!”  bentak seorang lelaki separuh umur yang berada di dalam kedai runcit sewaktu terlihat kelibat Maria membeli barang keperluan dapur.

            “Tak baik cakap macam tu Pak Lah.  Dia nak pergi ke mana?  Biarkanlah dia!” kata pemilik kedai runcit itu sambil mengira barang-barang yang dibeli oleh lelaki bernama Pak Lah.

            “Kau tak tahu ke? Musibah yang datang, bukan terkena kat orang yang buat dosa, kita yang tak bersalah pun akan terbabit sama!”  kata Pak Lah lagi.  Matanya tajam memandang Maria yang memilih sayur di hadapannya.

            Maria bukan tidak dengar, dia pekakkan telinga. Biarpun hatinya bernanah, dihiris luka.

            “Sudah, sudahlah Pak Lah! Nah,barang-barang ni dah kira, semuanya RM56.00,” kata pemilik kedai.

            “Kau nak tanggung dosa dia ke?  Kalau dah jalang tu tetap jalang!  Hey, perempuan! Berambuslah dari sini, bawa bawa sekali anak luar nikah kau tu berambus!"Maria kaku merenungnya.

            “Pak Lah!”  jerit pemilik kedai.

            “Kau nak marah aku?”  tempelak Pak Lah kepada pemilik kedai runcit itu.

            “Pergilah balik, Pak Lah!” halau lelaki itu.

            “Aku tak jadi beli barang tu! Tak sudi aku berkongsi udara dengan perempuan pelacur!” kata Pak Lah keras.

            “Innalilahi…” kata pemilik kedai.  Barang-barang yang diambil oleh lelaki tua itu disimpan semula ke tempatnya. 

            “Kak Maria dah habis beli ke?” tanya pemilik kedai.

            Maria kaku memandangnya.

            “Jomlah pergi kedai lain! Tak lalu aku tengok perempuan tu!”  kata seorang perempuan pertengahan 30-an yang baharu masuk ke dalam kedai bersama dengan beberapa orang perempuan lagi, tetapi keluar semula sebaik terlihat Maria.

            Maria mengekori mereka dengan pandangan matanya.  Hiba hatinya,  Begitu hina sekali dia di mata mereka.  Hanya segelintir penduduk yang masih bersika pterbuka dan memaafkan. 

            “Kak, jangan ambil hati dengan sikap penduduk kampung, ya? Bersabarlah!” pujuk pemilik kedai.

            Maria tidak menunjukkan sebarang reaksi.  Dia meletak kembali sayur yang ingin dibeli dan berlalu keluar dari kedai runcit tersebut. Bukan hanya kedai itu sahaja yang terdapat di dalam kampungnya. Ada beberapa buah lagi. Penduduk boleh memilih ikut kehendak dan keselesaan mereka.

            Adira ke sekolah, tetapi tidak ada siapa yang sudi berkawan dengannya. Bersendirian dia ke mana sahaja. Kawan-kawan yang duduk di kampung lain jadi terikut tidak berkawan dengannya apabila kawan-kawan sekampung mula meminggirkannya dan mereka pelbagai cerita memburukkan Adira.  Begitu juga dengan Ali.  Semangat kedua-dua orang anaknya itu cukup tinggi.  Mereka tidak pernah ambil pusing dengan masalah sindiran dan tohmahan penduduk kampung. 

Mereka berlagak biasa dan seperti tiada apa yang mengguris hati mereka.  Mereka pendamkan kesengsaraan jiwa sendirian.Ain juga tidak ada orang yang sudi menjaga ketika Maria keluar bekerja dan anak-anak yang lain ke sekolah.  Itusebab dia tinggalkan Ain seorang diri di rumah. Dia berharap, apa sahaja bakal terjadi kepada Ain, tetapi anak itu masih panjang nyawanya.  Tetap hidup biarpun seorang diri di dalam rumah. 

Kenapalah Ain tidak mati sahaja di dalam kandungannya? Kenapa anak itu tetap bernyawa? Adira pula, seperti manusia yang tidak ada perasaan, biarpun orang memanggil Ain anak luar nikah, anak sulongnya itu tetap menjaga Ain dengan baik.  Malah menyayangi anak itu. Semakin parah perasaan Maria.    Dia berharap Adira akan membenci Ain yang menjadi punca mereka dihalau keluar dari rumah sewa lama mereka dan merempat tinggal dalam hutan dan jauh daripada orang lain.

Kenapa dia juga tidak mati sahaja sewaktu melahirkan Ain?  Kalau tidak pasti hidupnya tidak sesengsara begini?  Ingat tak sakitkah hati diejekd an dihina setiap hari?  Hatinya bukan batu?  Jiwanya bukan besi yang tetap kuat biarpun dijemur di tengah panas?  Dia manusia, punya perasaan lembut yang mudah terluka apabila terhiris sedikit dengan pisau yang tumpul sekalipun. 

Semakin laju air matanya mengalir. dia meredah kegelapan malam.  Apa sahaja yang melintas diharap dapat membunuhnya.  Dia tidak lagi sanggup meneruskan kehidupan ini.  Mati itu lagi baik buatnya daripada hidup menanggung malu. Maruah dirinya sudah tercalar.  Musnah, seperti diletupkan dengan bom nuklear, tidak akan mampu diselamatkan. Cacat seumur hidupnya.

Mariamenyusuri laluan keluar dari kawasan kampung. Terlihat kenderaan yang lalu lalang, berlari dia menyembunyikan diri di sebalik semak-samun di tepi jalan.  Dia tidak mahu dilihat dan dijumpai oleh orang kampungnya itu. Biarlah mereka tidak tahu ke mana dia pergi.  Berkilometer dia berjalan keluar dari jalan kampung menuju ke jalan besar.  Tiada kenderaan yang lalu lalang.  Maria terus berjalan, mengikut langkah kakinya.  Air matanya masih mengalir laju.  Hatinya masih sebak. Jiwanya masih kacau. Maafkan ibu, Dira, Ali! Detik hati kecilnya. Berblaus hitam dan berseluar panjang, bertudung separa dada, berselipar, dia melangkah meninggalkan kampung yang hanya menyeksa batin dan fizikalnya. 

 

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.