Sejak bergerak dari rumah usang tempat tiga beradik itu tinggal, Air mata Zarifah tidak berhenti mengalir. Sayu hatinya. Masih terbayang bubur kosong, pucuk ubi rebus dan sambal belacan yang menjadi makanan sarapan ketiga beradik itu. Ya, Allah! Tak mampu diucapkan dengan kata-kata. Wajah Maria yang pucat, lesu dan tidak bermaya bersilih ganti dengan wajah tiga beradik itu. Sungguh malang nasib mereka. Ujian yang menimpa tidak berhenti-henti. Zarifah membayangkan kalau anak-anak itu adalah anak-anaknya. Semakin laju airmatanya mengalir. Teresak-esak dia menangis. Hati seorang ibu, tidak akan tergamak membiarkan anak yang masih tidak mampu menguruskan diri sendiri dibiar tidak berjaga.
“Sudahlah Ifah, abang faham perasaan awak,” pujuk Roslan. Dia sendiri berasa sedih melihat nasib tiga beradik itu.
“Entah apa mereka makan selama Maria tidak ada,bang,” Zarifah tersedu lagi. Tangisannya tidak mampu diberhentikan. Terasa ketat dadanya. Nafasnya turun naik, bergelora dadanya. Titisan air mata mencurah-curah menuruni pipinya. Berkali-kali dilap dengan tisu. Semakin cuba dihilangkan rasa sedih, semakin menjadi-jadi hiba di hati.
“Kita cuba bantu setakat yang kita mampu ya. Esok bawa peti sejuk kita yang lama tu,lagipun masih elok. Nanti kita belikan ikan dan ayam buat mereka,” cadang Roslan. Sebagai ketua kampung, tiga beradik itu menjadi tanggungjawabnya.
“Saya tak faham kenapa penduduk kampung marah sangat dengan Maria dan anak-anak dia? Apa yang berlaku, sudah berlaku. Ain pun dah besar panjang, tak boleh ke mereka maafkan saja keluarga tu?” Zarifah mendengus kasar.
“Entahlah Ifah, dah puas abang nasihatkan. Mereka tetap tak boleh menerima keadaan Maria dan anak-anaknya. Paling kasihan Ain, Maria tak ambil peduli langsung tentang masa depan budak tu,” Roslan mengeluh.
“Bang, saya tengok rumah yang mereka duduk tu pun dah usang sangat. Tunggu hari saja nakrebah. Lantainya, dinding juga, kalaulah rebah rumah tu, nahas budak-budak tu.” Zarifah sedikit tenang. Air matanya sudah berhenti mengalir. Dadanya sudah berasa lapang.
“Nanti saya suruh orang datang perbaiki,” janji Roslan.
“Kalau mereka tinggal dengan kita, tak boleh ke? Lagipun anak-anak kita semua dah duduk di luar. Tiada siapa di rumah, kecuali kita berdua saja,” cadang Zarifah.
Roslan terdiam. Bawa tiga beradik itu tinggal dengan mereka? Tentu orang kampung akan mengata lagi. Sewaktu dia membantu Maria pun orang kampung asyik menyindir setiap kali bertemu dengannya.
“Nantilah abang fikirkan bagaimana.” Roslan tidak memberi kata putus. Banyak perkara yang perlu difikirkan. Di rumahnya hanya ada empat bilik, itupun bilik anak-anaknya. Mana dia hendak menempatkan mereka? Takkan nak tidur di ruang tamu? Keselesaan keluarga dia juga harus difikirkan. Begitu juga kelesaan anak-anak itu juga perlu diambil kira.
“Saya tak setuju Adira berhenti sekolah! Macam mana dengan masa depan dia? Bagaimana dia nak bela adik-adiknya tanpa ada pelajaran? Memanglah bukan sebab sijil dia dapat kerja, tapi kenalah ada juga,kan?”
“Siapa nak jaga Ain kalau dia pergi sekolah?” Roslan menoleh seketika ke arah isterinya.
Zarifah mengeluh.
“Tahun depan Ain dah masuk sekolah, kan? Waktu tu bolehlah Adira kembali ke sekolah,”terang Roslan.
Kereta yang dipandu oleh Roslan berhenti di halaman rumah banglo setingkatnya. Setelah mematikan enjin kereta, dia melangkah keluar. Diikuti oleh Zarifah. Di atas buaian besi di anjung rumah, kelihatan duduk seorang perempuan.
“Liah?” Zarifah mendekati Liah yang sudah pun berdiri menyambut kepulangan pasangan suami isteri itu.
“Kenapa tiba-tiba muncul di sini?” tanya Roslan yang sudah pun duduk di kerusi batu yang terletak di anjung rumah itu.
“Bang Roslan dan Kak Ifah dah jengah anak-anak Maria?”tanya Liah.
“Kami baru baliklah ni,” jawab Zarifah.
“Bagaimana keadaan mereka kak?” Liah tidak sabar ingint ahu perkembangan anak-anak yatim itu.
“Apa yang boleh akak cakapkan, Liah!” Zarifah duduk di sebelah suaminya. Matanya berkaca semula.
“Maafkan saya kak, sepatutnya sayalah yang jaga mereka,” luah Liah.
“Kalau Harun tak bagi, tak payahlah, Liah. Nanti bermasalah pula rumah tangga kau.” Roslan mendengus kasar.
“Mereka tidak ada sesiapa di sini kak, ada kitasaja,” ujar Liah. Matanya dikecilkan, bibirnya bergetar,hidungnya kembang-kempis. Dadanya turun naik, berombak. Nafasnya dihembus kasar. Matanya bergenang titisan jernih.
“Kami akan bantu selagi ada daya. Tadi, kami dah hantar sedikit barang dapur.”Zarifah mengesat air matanya yang berbaki di pipi. Dia menarik nafas panjang.
“Kau tahu Liah, apa mereka makan?” Zarifah mula sebak.
“Abang masuk dulu ya? Lepas zohor ada urusan lain.” Roslan melangkah masuk ke dalamrumah. Meninggalkan kedua wanita ituterus berbual.
Zarifah dan Liah hanya mengangguk. Mereka menyambung perbualan semula.
“Mereka hanya makan bubur kosong saja, Liah. Hiba hati akak melihatnya,” cerita Zarifah.
“Kasihannya mereka, kak!” ucap Liah.
“Tak tergamak akak, Liah. Hancur lebur hati akak. KenapalahMaria buat anak-anak dia macam ni? Kenapalah pendek sangat akalnya?” marah Zarifah.
“Maria tertekan kak. Masalah dengan Ain. Penduduk kampung, kesusahan hidupnya lagi. Siapapun akan tertekan.”
“Itu akak tahu. Sewaktu kerja dengan akak, puas akak bertanya, kalau-kalau ada masalah. Tak pernah dia hendak bercerita. Akhirnya,sendiri kemurungan,” Zarifah mengeluh kasar. Matanya membengkak sebab banyak menangis.
“Itulah masalah dia kak. Dia suka pendam masalahnya,” cerita Liah tentang sahabatnya itu.
“Manalah dia pergi? Takkan dia tak ingat anak-anak dia? Tak kasihan ke dia kat mereka?” Zarifah sukar menerima dengan apa yang dilakukan oleh Maria. Dia juga seorang ibu. Tak mungkin dia akan meninggalkan anak-anaknya begitu saja. Biar bagaimana susah, dia tetap akan bersama mereka sehingga ke akhir hayat.
“Tak tahulah kak. Hilang begitu saja. Dia pergipun, anak-anak tak tahu.” Liah tidak tahu apa yang harus dilakukan untuk mengembalikan Maria ke sisi anak-anaknya. Sahabatnya itu tidak ada menghubunginya langsung. Sejak mereka bergaduh, Maria tidak lagi menghubunginya. Kalau tidak, ada jugalah Maria datang ke rumah.
“Ini ada sedikit sumbangan saya untuk budak-budak tu. Kak, tolonglah tengok-tengokkan mereka ya,” pinta Liah. Sekali lagi air matanya mengalir. Dia berasa kesal dalam hati. Anak-anak sahabatnya sendiri, tetapi dia tidak boleh membantu mereka.
“Insya-Allah, Liah. Tahulah kami jaga mereka,” janjiZarifah.
Liah terus melangkah mendekati keretanya dan bergerak pergi meninggalkan halaman rumah ketua kampung. Hatinya berbelah-bahagi. Dia juga tidak berhenti berdoa agar Maria dan anak-anaknya sentiasa dilindungi Allah.
Zarifah memandang sayu kereta Liah meninggalkan halaman rumahnya. Minda dan pemikiran orang kampung harus dibetulkan. Biarpun dalam Islam anak luar nikah tidak mendapat hak apa-apa, tetapi mereka tetap manusia. Ain tidak bersalah. Maria teraniaya. Siapa yang telah merosakkan Maria masih menjadi tandatanya. Kenapa berat sangat Maria hendak berterus-terang? Semoga kebenaran akan terbongkar juga. Zarifah mengesat air matanya yang bersisa sebelum melangkah masuk ke dalam rumah.