“Kenapa kau jaga mereka Lan? Si Ain ni, kan anak luar nikah? Kau nak mencemarkan nama kampung ini ke?Kaukan ketua kampung?” marah Pak Salim orang paling tua di kampung itu.
Roslan memandang wajah Pak Salim,orang tua yang sangat dihormati oleh penduduk kampung. Malah, pernah menjadi ketua kampung. Dia tahu, pasti ada yang menyampaikan cerita kepada Pak Salim sehingga orang tua itu sanggup datang ke rumahnya semata-mata bertanyakan tentang Adira adik-beradik yang sudah pun dibawa tinggal di rumahnya.
“Cemar apanya Pak Salim? Mereka budak-budak lagi. Budak tu tak berdosa. Yang berdosa, lelaki yang memperkosa Maria!” kata Roslan mempertahankan tindakannya.
“Kau percaya cerita Maria? Entah-entah dia buat menipu!”
“Kalau dia menipu pun, apa masalahnya dengan Ain?” Roslan mendengus kasar. Kipas yang terpasang berputar ligat sama ligat dengan kepalanya yang berfikir macam-macam perkara hendak menyelesaikan masalah adik-beradik itu. Dia berharap orang kampung menyokongnya, bukan menghalang niat baiknya menjaga mereka. Tidak mungkin membiarkan mereka hidup sendirian tanpa dijaga oleh sesiapa.
“Kau ni tak faham ke? Sejak Ain lahir, kampung kita ni macam kena sumpah. Ramai orang kampung berpindah keluar dari sini. Tak ada pembangunan langsung! Senyap saja. Sunyi! Macam tak bermaya, sama seperti Maria tu! Kau pula, takkan nak biarkan saja keadaan kampung kita macam ni? Tak teringin kenak bangunkan? Takkan nak biar macam kampung hantu saja!” bebel Pak Salim dengan wajah garangnya.
“Seingat saya, mereka yang berpindah dari sini, bukan sebab tak suka duduk sini, tapi terpaksa berpindah, ikut suami bekerja jauh dari sini. Takkan nak halang? Nak bangunkan apa Pak Salim? Nak naikkan bangunan tinggi ke?Di bandar pun dah ada. Lagipun, semua tanah di kampung ini bertuan,” kata Roslan bersahaja.
“Kau saja nak melawan aku, ya Roslan?”marah Pak Salim apabila ketua kampung itu membantah kehendaknya.
“Pak Salim, kita ni orang tua. Saya bukan nak bantah Pak Salim. Tapi, fikirkanlah apa yang berlaku kepada anak-anak yatim ini kalau kita biarkan mereka? Ain juga seperti budak-budak lain, perlu terus hidup, membesar seperti orang lain. Biar siapapun dia, dia tetap manusia yang tidak berdosa,” kata Roslan tegas. Ini tanggungjawabnya. Dia tidak akan membiarkan mana-mana orang pun mengganggu Adira dan adik-adiknya.
“Kau memang degil! Kau tunggulah bala yang akan turun ke kampung ni!” ugut Pak Salim sebelum melangkah keluar bersama dua tiga orang lelaki yang mengiringinya.
Roslan hanya mampu mengeluh dan membiarkan lelaki itu keluar dari rumah itu.
“Bang!” Zafirah mendekati dengan wajah sugul.
“Tak perlu susah hati, biarkan sajaPak Salim dengan perangai membantahnya itu. Itu sebab orang kampung singkirkan dia daripada jadi ketua kampung,” ujar Roslan. Dia menyandarkan tubuhnya ke sofa. Matanya merenung jauh ke siling seperti hendak menembusinya.
“Kasihan budak-budak tu,” ulas Zarifah dengan mata berkaca.
“Semalam di masjid pun ada orang kampung yang pertikaikan tindakan abang bela budak-budak tu. Mereka bagi alasan yang sama, Ain!” luah Roslan. Hampir sahaja dia bertumbuk dengan salah seorang penduduk kampung kerana menuduh dia yang menyebabkan Maria mengandung. Itu sebab, hanya dia sahaja yang menjaga dan menyokong Maria dan anak-anaknya. Panas benar hatinya. Adakah dia seburuk itu? Di mana maruah seorang ketua kampung yang berani dipersoalkan oleh orang kampung sendiri?
“Allahuakbar! Semoga kita tetap kuat semangat jaga anak-anak yatim ni, ya bang.” Zafirah mengeluh. Kenapa buruk sangat pandangan orang kampung terhadap Ain? Sudah puas diberitahu bahawa budak itu tidak bersalah, mereka sukar menerimanya.
“Abang kena cari jalan, bagaimana nak selesaikan masalah ini dan orang kampung menerima Ain seperti mana mereka menerima Ali dan Adira.” Jauh Roslan mengelamun.
Menjadi ketua kampung bukanlah pilihannya. Dia seorang ahli perniagaan dan kontraktor di kampung itu. Setelah ketua kampung selepas Pak Salim meninggal dunia, dia dilantik menggantikan arwah. Sudah tujuh tahun dia menjadi ketua kampung. Sebelum ini memang tiada masalah sangat di kampung yang kecil itu. Penduduk pun tidaklah ramai sangat. Masing-masing saling mengenali.
Zafirah turut termenung jauh. Susah juga berhadapan masalah sebegini. Kalau di bandar, orang sekeliling sudah tidak ambil kisah. Bagi mereka, biarpun anak luar nikah, tetap manusia yang perlu disayangi, dikasihi seperti biasa, kerana yang berdosa adalah kedua orang tua.
Anak itupun tak nak diri mereka dilahirkan seperti itu? Tanpa status ayah. Seperti tidak berkeluarga. Tidak dihiraukan. Tidak boleh mewarisi harta pusaka. Tidak boleh dibin atau dibintikan dengan ayah sendiri kerana dilahirkan sebelum bernikah. Nasib dan hidup mereka begitu malang sekali. Lihat sahajalah nasib Ain. Bukan sahaja orang kampung tidak suka, ibu yang melahirkannya juga membenci.
Itu sebab, dalam Islam ditekanka njangan menghampiri zina. Kalau itu berlaku, ada insan yang akan teraniaya. Ibu ayah? Malu mereka hanya seketika, tetapi anak yang dilahirkan itu akan menanggung malu sehingga ke akhir hayat kecuali, manusia sekeliling tidak peduli apakah statusnya. Menerima diri seadanya.
Keluhannya semakin memberat. Hembusan nafasnya juga kasar. Masalah tidak akan selesai selagi penduduk kampung tidak diberi kefahaman dan penjelasan tentang hal itu. Roslan mengeluh kesal.
Zafirah memegang lembut tangan Roslan dan cuba menenangkan suaminya. Masalah itu adalah masalah mereka bersama. Biarlah perkara itu dapat diselesaikan dengan baik. Ain yang sedang bermain di sudut ruang rehat keluarga dipandang lama. Simpati menggunung terhadap anak itu. Hiba menyucuk tangkai hatinya.