Air paip yang terbuka melimpah keluar dari baldi. Adira termenung jauh. Ain yang berada dalam besen besar dipenuhi air dibiarkan bermain sendiri. Ibu tidak pulang sejak kelmarin. Hari ini, Adira masih tidak boleh kesekolah. Kepalanya ligat berfikir. Bagaimana dia nak menyara kehidupan mereka tiga beradik? Benarkah ibu melarikan diri seperti yang diberitahu oleh Mak Cik Liah? Sahabat baik ibunya pulang kembali ke rumah setelah memastikan Ain dan Ali masuk tidur. Kepadanya, Mak Cik Liah meminta dia bersabar. Ibu larikah?
Tapi kenapa? Bukankah mereka bertiga anak ibu? Kenapa ibu berubah? Sewaktu arwah ayah masih ada, ibu seorang yang penyayang. Ceria sentiasa. Sejak mengandungkan Ain, perangai ibu berubah sama sekali. Selalu marah-marah. Asyik menangis. Wajah ibu tidak pernah ceria.
“Kak! Ibu bila nak balik?” tanya Ali yang juga tidak ke sekolah.
Adira memandang Ali yang berdiri di hadapan pintu bilik air. Apa jawapan yang boleh diberi? Manalah dia tahu? Mungkin hari ini. Mungkin esok, mungkin,mungkin… Adira mengeluh perlahan.
“Akak pun dah bisu juga ke macam Ain?” marah Ali.
“Ali! Adira menempek.
“Ain bukan bisu. Dia lambat bercakap saja,” ujar Adira. Dia bingkas berdiri, air paip ditutup. Ain diangkat dan dukung. Adira mendaki anak tangga ke ruang tamu rumah. Ali turut mengikut langkah Adira.
Ain diletakkan di atas bantal, kain tuala yang membalut tubuh Ain digunakan mengelap tubuh adik bongsunya yang basah. Adira menyiapkan Ain sehingga selesai. Ali pula duduk termenung di hadapan pint urumah yang terbuka luas.
“Kak,ibu lari tinggalkan kita ke?”tanya Ali perlahan.
“Takkanlah! Kita anak-anak ibu,kan?” Adira cuba menafikannya. Dia masih berharap, ibu akan pulang hari ini. Mungkin ibu ada hal yang perlu diselesaikan. Esok, lusa ibu baliklah.Adira pujuk hati sendiri.
“Kita duit pun tak ada. Di dapur tu, ada telur saja. Beras pun dah tinggal sikit. Kak! Macam mana kita nak hidup ni?” Ali mula menangis.
“Ali! Jangan menangis!” tengking Adira. Dia sudah cukup serabut ketika ini.
Ali memperlahankan tangisannya.Tubuhnya terhinjut-hinjut.
Adira sendiri berasa sedih. Dia masih cuba menahan air mata daripada mengalir keluar. Ain? Tetap seperti biasa. Melayan diri sendiri setelah lengkap berpakaian.
“Ain duduk sini ya? Kakak nak pergi masak,” kata Adira. Dia terus ke dapur. Tidak mahu melayan perasaan sedih yang menebal di hati. Mahu terkoyak hatinya kalau dia ikutkan perasaan sedihnya itu. Biarlah Ali belajar menenangkan dirinya sendiri.
‘Ibu! Di manakah ibu?’ bisik hati kecil Adira sambil mengoreng telur mata kerbau tiga biji, dimasak kicap. Cukuplah buat mengalas perut pagi itu. Setelah menanak nasi menggunakan periuk eletrik, Adira kembali ke ruang tamu. Dia mendekati Ain yang bermain dengan alat mainannya. Ali masih termenung di muka pintu.
“Pergi makan, akak dah masak! Kalau Ali menangis sampai esok pun, tak ada siapa simpati!” kata Adira.
“Kak! Ali nak ibu!” kata Ali, airmata membasahi pipinya.
“Akak tak tahu ibu ada di mana Ali!” ujar Adira.
“Ibu!” kata Ain pula.
Adira menarik Ain dalam pelukannya. Tangisannya bergema. Dia meluahkan rasa sedih yang terbuku,melepaskan rasa kecewa yang menggunung. Kalau benarlah ibunya melarikan diri, bagaimana dia dan adik-adiknya?
“Kak!” Ali mendekati Adira, mereka bertiga berpelukan. Tangisan mereka bergema dalam rumah papan yang usang itu.Ruang tamu yang kosong, hanya ada almari buruk berisi pakaian mereka sekeluarga.
“Akak akan jaga Ali dan Ain. Akak janji!” kata Adira. Apa lagi yang boleh dia lakukan? Mereka tiada saudara mara. Orang kampung bukan semuanya suka dengan mereka. Sejak Ain dilahirkan,orang kampung meminggirkan mereka sekeluarga. Hanya Mak Cik Liah sahaja yang baik dengan ibu. Sejak Pak Cik Harun menyerang ibu, hubunganmereka tidak lagi seperti dahulu.
“Kak,bagaimana dengan sekolah?” soal Ali sewaktu menjamah sarapan paginya.
Mereka bertiga menikmati sarapan pagi nasi putih dan telur masak kicap.Telur masih berbaki tiga biji lagi. Mungkin boleh dijadikan lauk malam pula. Itulah cadangan Adira.
“Ali pergi sekolah macam biasa. Tentang belanja, Ali jangan bimbang. Akak akan usahakan,” kata Adira.
“Akak nak buat kerja apa?” tanya Ali.
“Macam-macam boleh buat Ali, asalkan kita tak malas,” terang Adira. Diamengeluh perlahan. Usianya baru lima belas tahun. Ali empat belas tahun. Ain lima tahun. Berfikir sampai keluar otak pun masalah tidakakan selesai. Dia perlu bergerak terus. Tidak boleh putus asa, tidak boleh patah arah. Kenapa ibu buat mereka begini? Hanya ibu yang ada jawapannya.