Home Novel Keluarga APA DOSANYA?
APA DOSANYA?
Asmah Hashim
2/12/2018 15:04:43
57,945
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 9

Harun mendengus kasar.  Kipas siling ligat berpusing. Wajah tiga beradik yang duduk bersila di lantai rumahnya dipandang seorang demi seorang.  Dia memandang ke arah isterinya Liah yang duduk di sebelah.  Pagi-pagi lagi tiga beradik itu sudah bertandang ke rumahnya. 

            “Ibu kau orang tak balik lagi?” soal Harun agak kasar. 

            Adira menggeleng laju. 

            Harun mencebik.

            “Memang tak guna ibu kau orang tu!”kata Harun keras nada suaranya.

            “Abang!” Liah kurang selesa dengan kata-kata suaminya itu.  Apalah anak-anak itu tahu.  Biar bagaimana buruk pun perbuatan Maria meninggalkan anak-anak itu, wanita itu tetap ibu mereka.

            “Nak cakap macam mana lagi?  Hanya perempuan tak guna sahaja yang lari tinggalkan anak-anak yang masih kecil ni!” tempelak Harun.  Dia menumbuk sofa, menunjukkan rasa amarahnya, “Menyusahkan orang saja!” sambungnya lagi.

            Adira dan Ali menunduk.  Ain duduk di ribaan Adira sambil bermain dengan anak patung miliknya yang sudah lusuh itu.

            “Pak Cik Harun, Mak Cik Liah,tolonglah cari ibu!” rayu Adira. Wajahnya sugul. 

            “Nak cari di mana?  Kau ingat senang nak cari orang bodoh macam ibu kau tu?” tengking Harun.  Berapi-api suaranya.

            “Abang! Kalau tak nak tolong pun,jangan cakap kasar macam tu!” sekali lagi Liah mengingatkan.

            Harun menjeling.  Dia berdiri sambil mencekak pinggang di hadapan tiga beradik itu.

            “Kau orang dah beritahu tok ketua?  Dah minta tolong tok ketua?”  Harun mengangkat kening menantikan jawapan Adira.

            Adira menggeleng.  Wajah garang Harun tidak berani dipandang lama.  Ali tidak berkutik langsung.  Ain memeluk anak patungnya apabila mendengar suara garang Harun.

            “Kau orang datang sini buat apa?  Kenapa tak terus ke rumah tok ketua?” soal Harun.

            “Pak cik dan mak cikkan kawan ibu.  Kami ingatkan pak cik dan mak cik boleh bantu kami,” kata Adira perlahan-lahan, sepatah,sepatah.

            “Kawan?  Itu dulu! Sejak ibu kau sepak Mak CikLiah,  pak cik  bukan sesiapa lagi dengan kau orang!”  Harun takkan lupa kejadian itu.  Lagipun, dia sudah lama tidak selesa membiarkan isterinya berkawan dengan Maria yang sering menjadi bahan umpatan penduduk kampung sejak mengandungkan Ain.  Malah, keluarga itu dipulau oleh penduduk kampung.  Hanya ketua kampung sahaja yang melayan Maria dan anak-anaknya dengan baik.  Kalau penduduk kampung itu?  Semuanya membuang Maria seperti membuang kain buruk di dalam sungai.

            “Mak Cik Liah, tolonglah kami!” rayu Adira dengan juraian air mata yang sudah mula mengalir.  Kata-kata Harun melukakan hatinya. 

            “Kami takkan bantu! Kau pergi minta tolong di tempat lain!”  suruh Harun.  Sorotan matanya memandang wajah ketiga beradik itu dengan kebencian.   Terutama Ain, yang tidak  tahu siapa ayahnya itu.    Anak tak berstatus!Detik hati kecilnya.

            “Abang, janganlah macam tu.  Mereka anak-anak yatim kot!  Kita carilah ibu mereka,”  pinta Liah dengan mata berkaca.  Hiba hatinya melihat tangisan Adira dan wajah sugul Ali mencuit resah di jiwanya. Ain yang polos menambah kesedihan disanubarinya.

            “Awak nak suruh saya cari dimana?  Di bandar?  Di Kuala Lumpur? Singapora?  Mana? Mana?”  jerkah Harun. Wajahnya garang. Matanya tajam menikam wajah adik-beradik itu,

            Liah serba salah.  Nampak sangat suaminya tidak mahu membantu.  Wajah duka anak-anak yatim itu benar-benar menyentuh hatinya.  Sebak menggila. Ya, Allah Kau bantulah anak-anak ini, doa Liah dalam hati.

            “Dah, pergi balik! Pandai-pandailah kau orang nak hidup!” halau Harun tanpa rasa simpati. 

            “Abang, Maria tidak sengaja lempang saya dulu tu.  Dia tak pernah berperangai begitu.  Saya  yang salah cakap padanya.  Tolonglah bang, lupakanlah perkara itu,” rayuLiah.

            “Saya bukan benci dia sebab itulah!Saya benci dia sebab budak ni!”  sambil jari telunjuknya dihalakan kepada Ain yang duduk diribaan Adira.

            Liah memandang wajah Ain yang polos.

            “Ain tak bersalah bang!  Apalah yang dia tahu?  Kalau dia tahu nasib hidupnya begini, dia pun tak nak dilahirkan ke dunia ini, bang!” air mata Liah sudah mengalir. Apalah dosa anak itu sehingga satu kampung membenci.  Bukan salah Ain. 

            “Anak luar nikah, tetap anak luar nikahlah!”  kata Harun keras. 

            “Pak cik! Tolong jangan hina adik saya,” pinta Adira dengan linangan air mata. Semakin erat dia memeluk Ain. 

            “Jangan hina adik kami, pak cik!Kalau tak nak bantu, kami tak kisah!” ujar Ali.

            “Kak, jom kita balik,” sambung Ali lagi sambil menarik tangan Adira.

            “Pergi  berambus! Jangan datang lagi ke rumah aku ni!” halau Harun.

            “Abang!” jerit Liah. Hancur hatinyamelihat sikap suaminya itu.

            “Kau jangan bagi satu sen pun kat budak-budak tu, faham!” jerkah Harun.

            Liah menangis sayu.  Kaki dan tangannya terikat.  Dia ingin benar membantu anak-anak itu.  Maria!! Jeritnya dalam hati.  Pulanglah! Kasihan anak-anak kau! Lirih hatinya memikirkan nasib tiga beradik itu. 

            Adira mendukung Ain, dan Ali berjalan keluar dari kawasan rumah Harun dan Liah. 

            “Kak, kenapa mereka benci sangat dengan Ain?” soal Ali dengan mata berkaca.

            “Entahlah dik!” jawab Adira, malas otaknya hendak berfikir akan kata-kata penghinaan Pak Cik Harun itu.  Benarkah Ain anak luar nikah?  Allahu! Biarpun dia tidak faham sangat bagaimana anak luar nikah itu wujud, tapi dia tahu, Ain bukan anak arwah ayahnya. 

            “Bukan ke ibu yang lahirkan Ain?Tentulah Ain adik kita, kan?”  Ali mengerut dahi.  Sukar untuk dia memahaminya. 

            Adira mengeluh. 

            “Kak, mana kita nak cari ibu?”  soal Ali.

            Adira  berasa lemas. Kepalanya sudah tidak keruan jadinya. 

            “Pak Cik Harun tak nak bantu kita,macam mana ni?”  mulut Ali terus bertanya.

            Adira mengeluh perlahan.  Beberapa kali dia membetulkan kedudukan Ain yang didukungnya itu.  Tubuhnya kurus,tubuh badan Ain pula berisi.  Memang terasa penat dan melelahkan.  Ain pula tidak boleh berjalan sendiri. Kalaulah ada kerusi roda, mudahkan Ain bergerak  ke mana-mana. 

            “Akak penat ya?  Nak Ali dukung Ain?” 

            “Tak apa, akak boleh dukung Ain,”  Adira menolak.  Cahaya matahari yang terik, berasa hangat sehingga ke tubuh mereka di sebalik pakaian yang dipakai oleh mereka.  T-shirt yang lusuh dan seluar yang sudah hilang warnanya.  Sudah lama mereka tidak beli pakaian baharu.  Selagi muat, kalau koyak jahit semula, asalkan tidak berbogel sudahlah. 

            “Kak, laparlah!” kata Ali sambil menggosok perutnya yang kempis itu.

            “Beras ada sikit lagi. Kita buat buburlah ya, boleh jimat- cermat sikit. Nanti akak jual pucuk ubi di kedai runcit tu, akak minta tukar dengan barang dapur, boleh kan?”  Adira tersenyum.

            “Tak kisahlah kak, asalkan tak berlapar.  Sejak arwah ayah tak ada, kita dah biasa makan apa yang ada.”  Ali melangkah perlahan. 

            Adira menelan air liur sendiri, terasa lelah hatinya.  Dia perlu cari jalan untuk mencari rezeki bagi adik-adiknya. Takkan nak biar mereka hanya makan nasi dan kicap atau hanya bubur kosong?  Ibu tidak pernah ada simpanan.  Begitu juga arwah ayah.  Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.  Mana sempat menyimpan?   Nasib baik ada kebun ubi kayu di belakang rumah, bolehlah jual pucuknya itu, biarpun tidak banyak membantu, sekurang-kurangnya lepaslah juga beli beras sekilo dua.

            Janganlah mereka bertiga sampai tidak ada barang makanan di rumah, doa Adira dalam hati. Kepada siapa dia boleh meminta tolong?  Orang yang rapat dengan mereka pun sudah menjauhkan diri.  Orang kampung?  Tok ketua?  Adira mengeluh lagi.  Semoga ada jalan keluar terbaik buat mereka tiga beradik.  Ibu! Baliklah! Katanya dalam hati.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.