Home Novel Keluarga Papa Nak Menantu!
Papa Nak Menantu!
Hasrudi Jawawi
24/1/2014 17:27:32
121,026
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Beli Sekarang
BAB 15
| 15 |

“OKEY abang, lusa we all datang lagi ya. Bye,” pamit salah seorang pelanggannya sambil mencuit dagunya yang berjanggut tipis.

“Okey dear, jumpa lusa waktu yang sama, ya? Jangan tak datang pulak,” balas Dwan dengan senyuman manis di bibir.

“Mestilah abang, we all dah bayar mahal kut. Takkan tak datang pulak,” balas lelaki berperwatakan wanita itu dengan senyuman lebar.

Bukan main suka dia apabila ada yang melayan.

“Okey,” akur Dwan.

Dua lelaki berperwatakan wanita itu berlalu meninggalkan gimnasium itu selepas selesai sesi latihan mereka sebentar tadi.

Dwan menggeleng sambil tersenyum. Buku rekod pelanggannya dicapai lalu dia menulis sesuatu pada buku itu.

“Dah habis ke?” tanya Azrin Aidil yang tiba-tiba muncul entah dari mana di kaunter depan gimnasium itu.

Dwan mengangkat wajah sambil meletak pen di tangan di tempat asalnya.

“Dah, tapi pukul 2.00 nanti aku ada klien lagi,” jawab Dwan sambil melabuhkan punggung di atas kerusi yang ada.

Azrin Aidil turut duduk di sebelahnya. Jika tiada pelanggan, mereka lebih senang duduk di kaunter depan.

“Kau tak jijik ke train dua orang mak nyah tu?” soal Azrin Aidil tanpa berlapik.

Sejak dulu dia memang tidak suka dengan golongan sebegitu.

“Jijik?” soal Dwan sambil berkerut memandang Azrin Aidil di sebelah.

“Yalah, jijik. Lelaki, tapi tergedik-gedik macam perempuan.”

“Dia klien aku ajelah. Lagipun, buat apa aku nak jijik dengan dia orang. Aku train dia orang pun berbayar. Bukan free.”

<div class="separator" style="clear: both; text-align: center;">
<a href="http://3.bp.blogspot.com/-IQlbntm9-6Q/Uz6nchp-idI/AAAAAAAAEr8/fNIlrIjvE50/s1600/Allstars.png" imageanchor="1" style="margin-left: 1em; margin-right: 1em;"><img border="0" src="http://3.bp.blogspot.com/-IQlbntm9-6Q/Uz6nchp-idI/AAAAAAAAEr8/fNIlrIjvE50/s1600/Allstars.png" /></a></div>

“Itu aku tahulah. Tapi, kau tak geli ke bila dia orang duk meraba-raba dan cuit-cuit kau? Sebab tu kalau bos suruh aku train golongan macam tu, aku tak nak. Mak nyah, pondan, lelaki lembut, bapuk, semua tu aku tak nak. Termasuk perempuan yang berlagak macam lelaki pun aku tak nak,” ujar Azrin Aidil mengenai golongan yang paling dibenci selama ini.

“Amboi, benci sungguh kau dengan golongan macam tu ek?” balas Dwan.

“Memang aku benci. Dah dilahirkan sebagai lelaki, kenapa nak kena jadi macam perempuan? Bagi aku, golongan macam ni semuanya loser, bacul dan dayus. Dah jadi lelaki, tetap nak jadi perempuan.”

Dwan tergelak sambil menggeleng. Matanya fokus pada skrin telefon pintarnya.

“Tanggapan orang berbeza, Dil.”

“Maksud kau?” soal Azrin Aidil, inginkan penjelasan.

Apa yang pasti, sukar untuk dia menerima golongan sebegitu.

“Macam kita ni, tak semua orang suka kita, kan? Samalah macam golongan dia orang tu. Ada yang suka, ada yang tak suka. Yang penting, masing-masing menghormati hak masing-masing.”

“Eee... golongan macam tu, Nabi tak mengaku umat, beb.”

Dwan tersengih lagi.

“Siapalah kita nak judge atau menghukum orang, Dil? Kita pun bukan sempurna sangat, kan? Yang sempurna hanya satu, yang kat atas tu,” jelas Dwan sambil menunjuk jari telunjuk ke atas.

Bermaksud, yang sempurna itu hanya ALLAH yang satu.

“Eh kau ni, macam suka golongan macam tu aje. Kau ni songsang ke? Kau jangan cari fasal. Aku tak suka ada kawan dua alam ni,” ujar Azrin Aidil, risau.

“Hisy kau ni, ke situ pulak. Apa yang aku cakap tu, betul, kan? Siapalah kita nak menghukum orang. Dosa, pahala, syurga, neraka, tu semua ALLAH yang tentukan siapa yang layak, siapa yang tak layak. Kita ni hamba-NYA aje.”

“Apa-apa pun, aku tetap tak suka dan benci dengan golongan macam tu. Aku tak boleh terima.”

Azrin Aidil tetap dengan pendiriannya. Ada sejarah silam yang mendorong dia untuk membenci golongan yang dimaksudkan. Apa yang pasti, sejak tamat zaman sekolah lagi dia memang tidak suka dengan golongan songsang atau dua alam.

Diam seketika. Dwan kelihatan fokus pada skrin telefon pintarnya. Manakala Azrin Aidil pula sedang memeriksa buku rekod kedatangan jurulatih yang ada di kaunter itu.

“Baru aku perasan, banyak-banyak trainer kat gim ni, kau aje tak pernah dapat klien macam tu, kan?” ujar Dwan, baru perasan akan hakikat itu.

“Ya, sebab aku dah beritahu bos, kalau ada klien dari golongan macam tu, aku tak nak.”

“Patutlah.”

Masing-masing kembali menumpukan perhatian kepada hal di depan mereka .

“Delyna tak datang ke hari ni?” tanya Dwan, menukar topik perbualan.

Azrin Aidil memandang Dwan dengan pandangan tidak puas hati.

“Kau ni, macam berharap dia datang jumpa aku hari-hari aje, kan? Kalau sehari kau tak tanya fasal dia, tak boleh ke?”

Dwan tersengih.

“Ala, sorrylah kalau pertanyaan aku tu buat kau marah. Bila dah selalu sangat dia muncul kat gim ni nak jumpa kau, lidah aku ni macam dah terbiasa tanya fasal dia.”

Azrin Aidil merengus benci.

“Entah, aku tak tahu dia datang ke tak. Kalau dia tak datang lagi bagus. Bila jumpa aku, asyik cakap benda yang sama aje. Bosan!”

Dwan mengangguk faham.

“Apa kata, kau cari awek baru,” cadang Dwan.

“Untuk apa?”

“Kalau kau ada awek baru, bolehlah kau tunjuk kat dia. Selagi kau tak ada awek, selagi tu dia menyimpan harapan, yang dia masih boleh meraih hati kau yang dah keras macam roti kering tu.”

“Roti kering?”

“Ya. Kau tu badan aje sasa. Hati kau sebenarnya taklah keras mana. Macam roti kering. Kena air sikit dah lembik balik.”

“Itu satu penghinaan bagi aku,” ujar Azrin Aidil, terasa hati.

“So, apa kaitannya dengan awek baru?” soal Azrin Aidil kembali.

“Eee... lambatnya kau nak tangkap maksud di sebalik kata-kata aku tadi.”

Azrin Aidil menggaru-garu kepala, tidak faham.

“Okey, macam ni. Kalau Delyna nampak kau ada awek baru, gerenti dia putus asa dari terus mengharap pada kau. Kau faham tak apa maksud aku?” jelas Dwan.

Azrin Aidil terdiam sejenak memikirkan semula kata-kata kawan baiknya itu. Baru dia faham apa yang cuba Dwan sampaikan.

“Tapi, kau ingat nak cari awek ni senang ke? Kau ingat cari awek ni macam pilih tongkeng ayam goreng kat pasar? Kau pun tahu. Aku ni cerewet sikit bab nak pilih perempuan jadi awek aku. Kalau boleh aku nak yang sopan santun, ayu, berbaju kurung biasa dan lemah lembut. Tapi zaman sekarang ni, nak jumpa perempuan yang pakai baju kurung biasa ni, kau ingat senang ke? Perempuan sekarang suka pakai baju kurung moden yang ketat sana sini. Aku tak suka yang macam tu.”

Dwan mengeluh bosan. Dia sedia maklum tentang ciri-ciri wanita yang disukai Azrin Aidil.

“Itu aku tahu, Dil. Anggaplah tu semua cabaran. Orang nak dapatkan mutiara pun, kena cari tiram kat dasar laut. Tu pun tak semua berkualiti. Inikan pulak nak cari permata di sebalik timbunan kaca. Kau kena pandai pilih dan menilai. Tapi, janganlah demand sangat,” ujar Dwan.

Sempat dia memerli kawan baiknya itu di hujung kata-katanya.

“Kau nak aku cari kat mana?”

“Facebook,” cadang Dwan sambil mengangkat kedua-dua kening berulang-ulang kali.

Azrin Aidil diam sejenak. Cuba menimbang cadangan kawan baiknya itu. Perlukah dia menerima cadangan Dwan itu?


Previous: BAB 14
Next: BAB 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.