<center>Terkurung aku sepi...</center>
KAPALA
terasa berat. Perlahan-lahan dia cuba membuka kelopak mata. Cahaya yang
menyuluh entah dari mana menyilaukan pandangan. Penglihatannya beransur jelas.
Sesuatu yang berlatarkan warna putih kekuningan menjadi latar pemandangannya
ketika ini. Saat matanya mula menjelas, latar putih kekuning itu rupa-rupanya warna
siling hostel.
Bila perkataan hostel
melintasi mindanya, mata yang sepet terus terbuka luas dan terbuntang dek disapa
terkejut. Pantas dia mendudukan diri lalu memandang sekelilingnya. Dia berada
di atas katilnya ketika ini. Yang membuatkan dia terkejut dan cemas, bila tiada
sesiapa yang menjaganya di hostel itu. Dia sendirian!
Mengeletar tubuhnya.
Dia cuba mengingat kembali apa yang telah berlaku padanya. Beberapa saat
kemudian, baru dia teringat yang pandangannya mula kabur semasa dia di kompleks
sajian tengah hari tadi. Tubuhnya melayang dan pandangannya terus menjadi
gelap. Selepas itu dia sudah tidak ingat apa-apa lagi. Sedar sahaja dia sudah
berada di bilik hostel ini!
“Adhan! Ravi! Rahimi! Kau
orang kat mana?” panggil dan tanya Fizi dalam rasa cemas.
Tanpa menunggu lama,
dia terus melangkah turun dari katil. Namun, belum ada lima saat dia berdiri,
kepalanya terasa pening dan membuatkan dia kembali terduduk. Kepalanya
berdenyut-denyut. Terasa mencengkam sampai ke otak!
“Emmm.... Emmm....”
Tersentak Fizi bila
bunyi tangisan yang ditahan-tahan itu tiba-tiba kedengaran di luar hostel itu.
Tubuhnya terus mengigil disapa ketakutan. Dia diganggu lagi!
Suara tangisan itu
kedengaran jelas berada di luar hostelnya melalui tingkap cermin yang sentiasa
tertutup. Di sebalik cermin lut sinar yang kabur itu, dia dapat melihat kelibat
seseorang sedang melangkah perlahan menuju ke pintu hostel itu yang terbuka.
Seketika kemudianm,
dengan jelas dia melihat sebatang tangan berkuku runcing menjalar masuk ke
dalam hostel itu. Kulit tangan makhluk itu kelihatan seperti terbakar.
Fizi terkaku melihat
makhluk itu yang mula merangkak masuk. Lidahnya kelu untuk menjerit. Matanya
terbuntang luas dan tubuhnya mengeletar pantas melihat makhluk ngeri berambut
panjang itu sedang merangkak menghampiri katilnya. Dia hanya mampu melihat
tanpa berbuat apa-apa.
Sesaat kemudian,
makhluk itu mengangkat wajahnya memandang Fizi. Dengan jelas Fizi melihat wajah
makhluk itu yang hodoh dan kedua matanya merah menyala dengan taring yang
panjang.
“Grrrr...” makhluk itu
menyeringai lalu melompat ke arah Fizi.
“Aragh!!!” Fizi
menjerit sekuat hati sambil menutup mata.
*********
“TAK
sangka, teruk juga Fizi kena ganggu sampai dia termenung macam tu. Aku takut,
dia dah kena rasuk aje,” luah Ravi, selepas Fizi dibawa oleh Cikgu Zamri dan
Cikgu Amir untuk dihantar pulang.
Keadaan Fizi yang
tiba-tiba meracau beberapa jam lalu membuatkan Cikgu Zamri membuat keputusan
untuk menghantar Fizi pulang sebelum sempat kawan mereka itu menamatkan program
bina semangat ini. Bimbang keadaan Fizi akan lebih teruk.
“Syhhh... cakap tu
boleh perlahan sikit tak?” tegur Adlan sambil mencapai tualanya yang disangkut
di tepi tingkap.
Ravi terus menutup
mulut.
“Kau percaya ke, dengan
apa yang Fizi cerita pada kau tu? Entah-entah apa yang dia alami tu, hanya
mainan perasaan dia aje.”
Tiba-tiba Rahimi yang
sudah siap untuk ke bilik air, mencelah. Manakala Zulhilmi dan Saffie sudah
sejak tadi ke bilik air untuk membersihkan diri sebelum ke kompleks sajian
untuk makan malam. Hanya mereka bertiga sahaja ketika ini yang masih di dalam hostel itu.
“Kau jangan riak sangat
Mi.”
Ravi kurang senang
dengan kata-kata Rahimi tadi yang kedengaran seperti memperlekehkan apa yang
Fizi telah lalui.
“Kau orang berdua ni
macamlah baru kenal Fizi tu, kan? Dia tu kan penakut. Tak pernah berjauhan
dengan keluarga. Sebab tu, dia jadi macam tu. Sebab terlalu memikirkan apa yang
Si Ravi cerita fasal kem ni. Sampaikan dia berhalusinasi pada sesuatu yang tak
ada disebabkan terlalu taksub dengan cerita Ravi.”
Rahimi masih teguh
dengan tanggapannya.
Adlan malas hendak
membalas kata-kata Rahimi itu. Dia tahu Rahimi memang susah hendak mempercayai
sesuatu yang melibatkan dunia mistik.
“Maksudnya kau tak
percaya yang Dorm 403 tu berhantu?” tanya Ravi sekadar ingin memastikan.
Rahimi tidak terus
menjawab. Dia membiarkan pertanyaan Ravi itu tergantung begitu sahaja buat
seketika.
**********
TIT!
Jam digital milik
Rahimi berbunyi sekali menandakan waktu yang dinantikan sudah tiba. Di sebalik
gelap malam, dia melihat jam digital di tangannya. Sudah menunjukan pukul 2.30
pagi. Lima belas minit yang lalu, dia perasan Cikgu Zamri atau mungkin Cikgu
Amir baru sahaja selesai membuat rondaan kali kedua di kawasan hostel ini.
Di sebalik gelap malam,
Rahimi mencapai lampu suluhnya yang sengaja disembunyikan di bawah bantal. Ingin
menggunakan telefon pintarnya, sejak hari pertama program ini lagi semua
telefon pintar mereka sudah dirampas oleh guru yang bertugas dan akan
diserahkan semula pada majlis penutupan program ini tengah hari nanti. Nasib
baik dia membawa lampu suluh.
Perlahan-lahan dia
melangkah penuh berhati-hati menuju ke arah katil Ravi.
“Ravi, dah 2.30 pagi
ni. Bangunlah,” kejut Rahimi dengan nada berbisik. Bimbang menganggu dua lagi
rakan sebilik mereka yang tidak terlibat dengan rancangan mereka pada malam
ini.
Ravi memusingkan
tubuhnya menghadap Rahimi yang sudah melutut di sisi katilnya. Dia terlelap.
Mata yang kering digosok perlahan dengan siku jari telunjuk.
“Kalau aku tak nak ikut
boleh tak?” balas Ravi dengan soalan.
“Isy kau ni, kita dah
pelan nak curi masuk bilik sebelah tu, kan? Bangunlah, dah lambat ni. Bangun,”
suruh Rahimi sedikit tegas lalu melangkah pula menuju ke katil Adlan.
“Adlan, kau tidur ke?”
kejut Rahimi sambil mengoncang perlahan bahu Adlan.
Adlan tersedar dari
tidur. Dek terlalu lama menunggu tadi, dia juga turut terlelap seperti Ravi.
“Dah pukul 2.30 ke?”
“Dah lebih. Cikgu dah
selesai buat rondaan kedua tadi. Bangunlah, kita dah lambat ni. Bising pulak Si
Kushairi dengan Zaihan tu nanti.”
“Emmm... yalah,” balas
Adlan lalu dia mendudukan diri. Rasa ngantuknya masih terasa.
Tuk! Tuk!
Pintu bilik hostel
mereka diketuk dari luar. Rahimi menoleh ke arah pintu bilik itu untuk seketika
sebelum kembali memandang Adlan di katilnya.
“Dia orang dah datang
bilik kita sebab kita lambat sangat. Bangun tau?” ujar Rahimi lalu melangkah
perlahan menuju ke pintu hostel.
Perlahan-lahan pintu
dibuka. Seperti yang diduga, Kushairi dan Zaihan sudah berdiri di luar pintu hostel
mereka.
“Apa hal lambat?” tanya
Kushairi, geram dalam nada berbisik.
“Dua orang lagi tu
terlelap.”
Kushairi dan Zaihan
hanya mampu tahan geram.
Kreekkk...
Kedengaran dengan
jelas, bunyi ensel pintu Dorm 403 sepertinya dibuka. Kelam kabut Kushairi dan
Zaihan melangkah masuk lalu cepat-cepat menutup pintu bilik itu. Kemudian
mereka duduk mencangkung di belakang dinding betul-betul di bawah tingkap yang
bersebelahan dengan katil Adlan.
Adlan yang masih di katil
kembali berbaring lalu membatukan diri. Begitu juga dengan Ravi. Masing-masing
terus menutup mulut mendengar apa sahaja bunyian yang bakal kedengaran sebentar
lagi.
“Emmm.... Emmm...”
Mereka berlima serentak
menutup mulut menahan terkejut bila bunyi suara tangisan itu mula mengalun dan
bergema memenuhi ruang koridor blok hostel mereka.
Ravi sudah mengigil.
Dia yang baring betul-betul menghadap tingkap ketika ini terus membekukan diri.
Namun, matanya tetap terbeliak melihat cahaya lampu koridor yang samar-samar
dari cermin tingkap yang berada di belakang katil Adlan.
Terbuntang mata Ravi
bila dengan jelas dia melihat bayangan hitam persis sosok tubuh manusia sedang
melangkah perlahan menuju ke pintu hostelnya! Ini kali pertama dia mendengar
tangisan syahdu itu. Sungguh menyeramkan!
“Emmm... Emmm...”
Suara tangisan penuh
syahdu itu kedengaran lagi mendayu-dayu.
Suara itu berhenti
betul-betul di hadapan pintu bilik hostel itu. Masing-masing sudah saling
berpandangan sambil menelan liur.
Kreeekkk...
Pintu hostel itu
tiba-tiba terbuka sendiri.
Dengan pantas Ravi
terus menutup seluruh tubuhnya dengan selimut. Mengelatar ketakutan dia di
bawah selimut. Tidak berani dia mahu melihat ‘benda’ atau mungkin makhluk yang
bakal melangkah masuk ke dalam hostel itu!
Adlan, Rahimi, Kushairi
dan Zaihan menoleh perlahan-lahan ke arah pintu hostel yang tidak jauh dari
mereka. Memandangkan daun pintu tidak terbuka luas dan membelakangi mereka,
jadi mereka tidak dapat melihat makhluk apa yang telah membuka pintu itu.
Mereka berempat mula
dilanda debar menanti makhluk yang bakal melangkah masuk. Keberanian
masing-masing mula memipih Adakah mereka bakal diperlihatkan dengan pemilik
suara itu malam ini?
Kreeek...
Pintu kembali tertutup.
Suara tangisan itu
kedengaran lagi dan mula bergerak ke Dorm 403 semula.
Kreeekkk...
Kedengaran rengekan
ensel pintu bilik sebelah kembali tertutup dan melenyapkan suara tangisan itu.
Buat seketika mereka
berempat saling berpandangan dan keresahan. Ravi pula kelihatan sudah mengigil di
bawah selimutnya.
“Kau rasa makhluk apa
tadi tu?” tanya Kushairi selepas hampir seminit mereka berdiam.
“Aku tak tahu. Aku tak
nampak apa-apa masa makhluk tu buka pintu tadi,” jawab Rahimi, keliru.
“Jadi, macam mana, nak
teruskan rancangan kita ni?” tanya Kushairi ingin memastikan.
“Errr... aku tak kisah.
Lagipun ni malam terakhir kita kat sini. Kita tak pasti lagi yang tadi tu hantu
atau manusia,” teragak-agak Rahimi menjawab. Hakikatnya dia tersekat di antara
egois, rasa takut dan beraninya.
“Aku tak kisah,” ujar
Zaihan bila Kushairi memandangnya.
“Adlan, kau macam
mana?” Rahimi bertanya pada Adlan yang masih berbaring di atas katil.
“Aku rasa kita batalkan
ajelah rancangan ni. Makhluk tu tak kacau kita, kan? Kenapa kita nak kacau
dia?” jawab Adlan.
“Jadi, kau tak nak
ikut?”
“Aku rasa aku tak nak
cari masalah. Kalau berlaku apa-apa macam mana?”
“Abaikanlah dia.
Sekarang aku dengan Zaihan dah setuju nak teruskan rancangan kita. Kalau kau
tak nak ikut, aku dengan Zaihan boleh curi masuk bilik sebelah ni berdua aje.
Aku nak tahu juga apa sebenarnya ‘benda’ tu,” Kushairi mencelah, dia malas mahu
berlengah lagi. Mereka sudah tidak banyak masa.
Belum sempat Rahimi
membalas kata-kata Kushairi itu, tiba-tiba dinding pemisah Dorm 404 dan Dorm
403 kedengaran bagai ditumbuk-tumbuk.
Buk! Buk!
“Nampaknya ‘dia’ dah
main dinding pulak,” ujar Kushairi sambil memandang dinding.
“Ravi, kau nak ikut
tak?” tanya Rahimi pada Ravi yang sudah mengeletar di bawah selimut. Melihat
keadaan Ravi itu, tahulah dia yang Ravi tidak akan turut serta dalam rancangan
mereka bertiga malam ini.
“Aku rasa dia tak nak
ikut.”
“Kalau macam tu, jom
kita ke bilik sebelah sekarang,” ajak Kushairi lalu bangkit berdiri dan
melangkah ke pintu hostel itu.
Adlan hanya mengeleng
melihat keegoan tiga rakannya itu. Dia malas mahu ambil tahu dan masuk campur.
Lebih baik dia sambung tidur.
Sampai di hadapan
pintu, perlahan-lahan Kushairi membuka pintu. Daun pintu dikuak sedikit lalu
dia mengintai ke luar. Tiada apa-apa. Selepas dipastikan selamat, Kushairi mula
melangkah keluar dengan diekori Zaihan dan Rahimi dari belakang. Berbekalkan
lampu suluh kecil yang dibawa Rahimi, mereka mula melangkah ke Dorm 403.
Sempat Rahimi memandang
sepanjang lorong koridor blok empat itu demi memastikan tiada sesiapa atau
tiada bahaya menanti mereka.
Sampai di hadapan pintu
Dorm 403, Kushairi mengeluarkan pembaras plastik yang terselit pada poket
seluarnya sejak tadi. Dia sudah mencuba menggunakan kaedah mencucuk dawai untuk
membuka pintu bilik itu yang terkunci semalam. Namun tidak berjaya. Dia
berharap dengan menggunakan pembaris plastik itu dia bisa membuka pintu itu
yang terkunci.
“Kau yakin kau boleh
buka pintu bilik ni guna pembaris?” tanya Rahimi, sangsi dengan taktik yang
digunakan Kushairi.
“Sabarlah, aku tengah
cuba nak bukalah ni,” jawab Kushairi sambil memasukan pembaris plastik di
tangannya di celahan pintu.
“Tolong! Tolong aku!
Lan! Mi! Ravi!”
Mereka tersentak bila
terdengar suara jeritan itu. Rahimi orang yang paling terkejut bila nama dia,
Adlan dan Ravi telah disebut. Dan dia kenal suara itu!
“Eh, tu suara kawan
aku, Fizi.”
“Kawan kau yang kena
hantar balik tu ke?” Zaihan ingin memastikan.
Rahimi angguk.
“Apa dia buat kat dalam
ni?” Kushairi hairan.
“Tapi, tu memang suara
dia. Entah-entah cikgu tak hantar dia balik, tapi kurung dia dalam ni. Siapa
tahu?” Rahimi mula beranggapan yang bukan-bukan.
“Motif ada cikgu nak
kurung kawan kau tu dalam ni?”
“Dah tu, suara tu suara siapa?”
“Macam ni, kalau kita
nak tahu, kita kena buka pintu ni.”
Kushairi terus mencuba
untuk membuka pintu itu.
“Mi tolong aku!
Tolong!” suara itu kedengaran lagi.
“Yalah wei, tu memang
suara kawan aku. Cepatlah buka pintu ni.”
Rahimi sudah mula
gelisah. Dari nada suara Fizi tadi jelas kawannya itu sudah mula menangis.
“Sabarlah! Aku tengah
usahalah ni.”
“Lan! Tolong aku!”
“Hoi! Kau orang buat
apa tu?”
Suara teriakan itu
membuatkan mereka bertiga terkejut. Serentak mereka menoleh ke arah itu.
Nampaknya mereka sudah ketahuan. Terjeda mereka di situ. Hendak lari pun sudah
tidak berguna.
*********
“ITULAH,
malam tadi aku dah cakap, abaikan fasal suara dan bunyi-bunyi tu. Tapi kau
orang tetap berdegil nak siasat jugak. Sudahnya, kantoi dengan Cikgu Zamri. Dan
apa yang kau orang nak buktikan, tak ada pun dalam dorm sebelah ni,” perli Adlan sambil mengemas pakaiannya. Hari ini
mereka akan bertolak balik ke Batu Pahat selepas hampir lima hari mereka berada
di kem ini.
“Tahu tak apa. Ada
benda dalam dunia ni, memang kita tak boleh rungkai rahsianya tau? Sebab alam
kita berbeza. Kau ingat senang nak tengok hantu tu?” Ravi mencelah.
Rahimi hanya mampu
menahan geram.
“Kau orang nak membebel
sampai tahun depan pun, hal dah berlaku. Nak putar waktu pun dah tak boleh. Apa
yang pasti, aku dengar suara Fizi dengan jelas minta tolong kat bilik sebelah.
Dia siap sebut nama aku, nama kau dan nama kau, Ravi. Sebab tu aku beria-ia nak
masuk bilik sebelah tu.”
Rahimi membela diri.
Apa yang dia dengar malam tadi, terlalu nyata. Sukar untuk dia menyangkal dan
menganggap semua itu hanya mainan perasaannya seperti yang disuruh Cikgu Zamri.
Adlan dan Ravi memandang
Rahimi. Terkejut dengan kenyataan kawan baik mereka itu.
“Suara tu panggil nama
aku dengan Lan?” tanya Ravi, mula seram.
“Ya, sebab tu aku
beria-ia nak masuk bilik tu. Manalah tahu Fizi memang dikurung dalam tu tanpa
pengetahuan kita. Masa Fizi kena hantar balik, kita tak nampak pun dia
bertolak, kan?”
“Dah tu, masa Cikgu
Zamri bagi kau orang masuk bilik sebelah ni, kau ada nampak Fizi dalam tu?”
Rahimi terpunduk lemah.
Itulah yang memusykilkannya sejak malam tadi.
“Itulah yang
memusykilkan aku sampai sekarang ni.”
“Tak ada yang
musykilnya, Mi. Dalam dunia ni, bukan hanya ada manusia aje. Jin, syaitan dan
iblis turut ada di sekeliling kita. Cuma kita aje tak nampak mereka. Sebab tu
aku suruh kau orang abaikan. ‘Benda’ tu tak mengancam kita, kan? Kenapa kita
nak kena ancam dia?” Adlan mempertikai. Itulah yang bermain di fikirannya
mengenai suara aneh itu malam tadi. Dia mula percaya yang kem ini sudah ada
‘penunggu’ selepas sekian lama terbiar.
Rahimi berkalih
memandang Adlan di hadapannya.
“Kalau itu tanggapan
kau, macam mana hantu tu boleh tahu nama kau, nama aku dan nama Ravi? Sedangkan
kita tak pernah ke kem ni sebelum ni dan kita tak ada kawan hantu pun, kan?”
Rahimi mempertikai.
“Tu semua tak mustahil
Mi. Syaitan dan iblis ada di sekeliling kita. Dan mereka boleh nampak kita.
Cuma kita aje tak nampak mereka.”
“Jadi, apa tujuan ‘dia’
nak takut-takutkan kita?”
“Sebab dia nak sesatkan
kita. Supaya kita percaya hantu atau syaitan ni hebat, boleh keluarkan suara
tanpa menunjukan dirinya. Atau mungkin, suara, bunyi dan apa yang berlaku malam
tadi tu, helah budak-budak dari dorm
depan. Mana kita tahu, kan? Sengaja dia orang nak permainkan kita. Sebarang
kemungkinan boleh berlaku.”
“Entahlah, aku tak
boleh nak fikir mana yang realiti dan mana yang hanya mainan perasaan aku aje.
Sebab semuanya berlaku ada sebab dan alasan yang menyahihkan kewujudannya.”
“Kalau macam tu, kau
tak perlu percaya, yang penting, kita dah nak balik hari ni dan kita semua
selamat. Tak ada yang dirasuk atau terkorban disebabkan ‘benda’ tu.”
Tiada balasan dari
Rahimi. Dia tiada idea untuk membalas kata-kata Adlan itu. Dia tahu, selagi
dibahas isu ini tak akan habis. Mungkin benar kata Adlan, abaikan sahaja
tentang bunyi dan suara itu selagi tiada yang terancam atau terkorban.
“Dahlah, cepat kemas.
Lambat pula kita nak ke kompleks sajian untuk makan tengah hari sebelum
bertolak balik lepas Zuhur nanti,” ujar Adlan.
Rahimi terus
mengemaskan pakaiannya. Dalam masa yang sama, hatinya masih sangsi dengan
misteri di sebalik Drom 403 itu.
*********
SELESAI
majlis penutupan program, semua ahli kadet polis sekolah dibenarkan pulang ke
hostel untuk mengambil bag pakaian masing-masing dan kembali ke padang kawad.
Bas yang bakal membawa mereka pulang ke Batu Pahat sudah sampai sejak tengah
hari tadi lagi.
“Cepatlah Ravi, apa
yang lambat sangat tu?” tanya Rahimi, tertekan dengan kawan baiknya itu. Sejak
tadi tidak habis-habis mengemas.
“Sabarlah, aku tengah
pening nak masukan pakaian aku ni. Masa aku datang hari tu, muat. Bila nak
balik ni, tak muat pulak.”
Adlan yang sudah
berdiri di muka pintu Dorm 404 itu mengeleng kepala melihat Ravi.
“Macam mana nak buat,
kalau kau duk main sumbat aje pakaian kau tu? Mesti mak kau tolong kemaskan
baju kau masa kau nak ke sini, kan?” Perli Adlan.
Ravi hanya tersengih
sambil mengaru belakang kepalanya.
“Tahu aje kau, kan?”
“Dahlah tu, apa hal
lambat sangat ni? Lambat nanti, tertinggal bas pulak. Budak lain semua dah
gerak ke padang kawad tau? Tinggal kita aje masih kat hostel ni,” rungut Rahimi
lagi bila Ravi masih tidak selesai mengemas pakaiannya.
“Yalah, sabar boleh
tak?” balas Ravi sambil menarik zip begnya. Selesai juga dia mengemas
pakaiannya. Bag galas disandang pada bahu lalu mereka bertiga mula meninggalkan
hostel itu.
“Tengok, semua dah
gerak ke padang kawad, kita aje masih kat sini,” rungut Rahimi lagi. Dia
memandang ke kiri dan kanan. Melihat keadaan blok hostel itu yang sudah sunyi
sepi.
“Dahlah, janganlah nak
bertekak. Dah siap, kan? Jom gerak,” ujar Adlan sambil menutup pintu hostel.
“Entahnya...
bukannya...”
Buk! Buk!
Ravi tidak menghabiskan
kata-katanya bila bunyi tumbukan pada dinding pemisah Dorm 404 dan 403
kedengaran lagi. Mereka terdiam sambil saling berpandangan.
“Sekarang ni, semuanya
dah gerak ke padang kawad kecuali kita bertiga. Siapa pulak yang buat bunyi
tu?” tanya Rahimi pada Adlan dengan nada perlahan.
“Abaikan ajelah.
Buat-buat tak dengar. Jom gerak, lambat pulak nanti.”
Ravi sudah cuak.
Tanpa menunggu lama,
mereka terus melangkah menuju ke padang kawad.
“Lan! Mi! Ravi! Tolong
aku!”
Mendadak langkah mereka
bertiga terhenti selepas mendengar jeritan itu yang jelas ketara dari Dorm 403!
“Weh, kau dengar tak
apa yang aku dengar?” tanya Ravi, semakin cuak.
“Suara tu macam suara
Fizi,” balas Rahimi.
“Dan ‘dia’ tahu nama
kita,” sambung Ravi. Liur sudah berkali-kali ditelan dengan rasa perit.
“Jom tengok?” ajak
Rahimi, masih tidak serik.
“Isy, kan aku kata
abaikan. Mungkin ‘benda’ tu bukan manusia yang cuba tiru suara Fizi supaya kita
terpedaya,” Adlan menolek cadangan Rahimi.
“Perdaya kita? Perdaya kita
dari apa?” Rahimi mempersoal.
“Lan! Tolong keluarkan
aku dari sini. Ravi! Mi!”
Kedengaran lagi suara
itu menjerit meminta tolong.
“Kau tak dengar ke
suara sedih Fizi tu?”
“Mi, kau sedar tak,
yang Fizi cikgu dah hantar balik hari tu!”
“Dah tu, suara tu milik
siapa?”
“Dahlah, abaikan suara
tu. Kita dah lambat ni.”
“Rahimi! Ravi! Adlan!
Awak bertiga buat apa lagi tu? Tak nak balik?” jerit Cikgu Zamri dari Dorm 401.
“Cikgu, kami dengar
suara Fizi minta tolong dalam Dorm 403 ni,” jawab Rahimi, beria-ia sekali.
Adlan dan Ravi tidak
bersuara. Mereka tidak mampu untuk menyahihkan tentang apa yang diberi tahu
Rahimi itu. Mereka hanya mendengar suara dan tidak melihat sendiri pemilik
suara itu.
*********
LEGA
hati Cikgu Zamri selepas melihat ahli Kadet Polis Sekolah yang menyertai
Program Bina Semangat yang telah dia rancang dan kelolakan mula melangkah
pulang. Ada juga ibu, bapa atau mungkin penjaga mereka datang jemput.
“Alhamdulillah, program
selamat dijalankan dengan jayanya walaupun tak berapa lancar. Lepas ni busy buat report pulak untuk dihantar
pada pengetua,” ujar Cikgu Zamri, kelagaan.
“Fasal report tu nanti saya tolong buatkan mana
yang perlu,” balas Cikgu Amir tumpang lega dengan program yang telah dilaksanakan
oleh rakan sekerjanya itu.
Buat seketika mereka
tersenyum sambil menulis sesuatu pada buku laporan masing-masing. Memandangkan
minggu ini minggu cuti sekolah, jadi hanya mereka berdua sahajalah yang ada di
bilik guru itu ketika ini.
“Cikgu!”
Panggilan itu
membuatkan Cikgu Zamri dan Cikgu Amir serentak menoleh.
Berkerut dahi
masing-masing melihat Adlan, Rahimi dan Ravi di muka pintu bilik guru itu.
“Eh, kenapa dengan kamu
bertiga ni? Nampak cemas. Apa dah berlaku? Kenapa tak balik lagi?” tanya Cikgu Zamri,
bertalu-talu.
Adlan, Rahimi dan Ravi
saling berpandangan untuk seketika sebelum melangkah masuk.
“Errr... sebenarnya,
ibu Fizi nak jumpa cikgu,” jawab Adlan, teragak-agak.
“Ya cikgu.” Ravi
mengiakan.
“Ibu Fizi nak jumpa
cikgu? Kat mana?”
“Assalamualaikum,”
muncul Puan Sarina di muka pintu dengan senyum manis.
Adlan, Rahimi dan Ravi
berganjak ke tepi memberi ruang pada Puan Sarina bertemu dengan Cikgu Zamri.
Melihatkan Puan Sarina,
Cikgu Zamri dan Cikgu Amir lantas bangun tanda hormat.
“Waalaikumussalam,”
salam Puan Sarina baru dijawab Cikgu Zamri.
“Cikgu Zamri, kan? Maaf
saya menganggu. Saya ibu pada Fizi.”
“Ya, saya kenal puan. Kenapa
puan?”
Adlan, Rahimi dan Ravi
sudah nampak gelisah dan cemas.
“Fizi ada masalah ke?
Sebab... lama saya tunggu kat luar sekolah tadi. Tapi dia tak muncul. Kata
Adlan, Rahimi dengan Ravi, Fizi dah balik sejak Jumaat lepas.”
Cikgu Zamri dan Cikgu
Amir tersentak.
“Fizi belum balik?” tanya
Cikgu Zamri, terkejut besar.
Dia menoleh memandang
Cikgu Amir di sebelahnya yang turut terkejut dengan perkhabaran itu.
Adlan, Rahimi dan Ravi
turut terkejut bila teringat kembali suara meminta tolong itu.
Adakah kejadian misteri
yang berlaku 12 tahun lalu kini berulang kembali?
TAMAT