Home Novel Keluarga Papa Nak Menantu!
Papa Nak Menantu!
Hasrudi Jawawi
24/1/2014 17:27:32
121,405
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Beli Sekarang
BAB 07
| 07 |

JAM tangan dipandang berkali-kali. Kelibat manusia yang dinanti masih tidak muncul sejak tadi. Tak pernah Shakir datang lambat ke butiknya. Biasanya, jika pekerjanya itu mahu datang lewat, dia akan dimaklumkan terlebih dahulu. Kali ini tidak. Senyap sahaja. SMS tidak berbalas.

Telefon tidak berjawab. Risau pula dia dibuatnya.

Duduk tidak senang. Berdiri tidak senang. Bimbang berlaku apa-apa terhadap Shakir. Dia melangkah ke muka pintu butiknya. Mencari kelibat Shakir. Namun tidak kelihatan. Dia ada menghubungi Mak Eton, emak kepada Shakir tadi. Menurut Mak Eton, Shakir sudah keluar rumah sejak awal pagi tadi.

“Manalah budak Shak ni. Risau betul aku. Takkanlah takut bawak motor sampai lambat macam ni sekali. Dah nak tengah hari dah ni. Dia bawak 5 kilometer sejam ke apa. Kalau dia bawak motor 5 kilometer sejam, petang nanti pun belum tentu sampai. Ke dia tolak motor tu? Hai... dia ni buat aku risau ajelah,” keluh Pak Saad.

Dia lalu kembali ke dalam butiknya. Shakir sudah dianggap seperti anaknya sendiri. Sebab itu risaunya bukan kepalang. Fokusnya mahu menjahit manik sudah terganggu. Sejak Shakir bekerja di butiknya, bab menjahit dan memotong kain memang sudah diserahkan kepada Shakir. Dia hanya menjahit manik sahaja. Cuma jika tiada tempahan yang melibatkan jahitan dan sulaman manik, barulah dia menjahit.

<div class="separator" style="clear: both; text-align: center;">
<a href="http://3.bp.blogspot.com/-IQlbntm9-6Q/Uz6nchp-idI/AAAAAAAAEr8/fNIlrIjvE50/s1600/Allstars.png" imageanchor="1" style="margin-left: 1em; margin-right: 1em;"><img border="0" src="http://3.bp.blogspot.com/-IQlbntm9-6Q/Uz6nchp-idI/AAAAAAAAEr8/fNIlrIjvE50/s1600/Allstars.png" /></a></div>

Penat ke hulu ke hilir, dia duduk di sofa. Jubah yang masih belum siap jahitan maniknya dicapai. Tetapi, apabila jarum sudah di tangan, dia hanya terkebil-kebil. Fokusnya ketika ini langsung tiada pada manik yang pelbagai warna di hadapannya. Dia risaukan Shakir dan juga anaknya yang masih tidak menunjukkan muka.

“Hai, ke manalah dia orang ni pergi. Shak tak dapat dikesan, anak aku pun tak dapat dikesan.”

Jubah kembali dilonggok di atas meja. Telefon bimbitnya di atas meja dicapai lalu nombor telefon anaknya didail. Dia berharap panggilannya berjawab dan Shakir ada bersama Syahirah.

“Ha, helo...” sapa Pak Saad terus apabila talian mula disambungkan.

“Maaf, nombor yang anda dail tidak dapat dihubungi. Sila cuba sebentar lagi, terima kasih.”

Terdiam terus Pak Saad apabila panggilannya disambut oleh suara operator perempuan yang cukup sopan nadanya. Pemberitahuan itu diulang dalam bahasa Inggeris dan Cina.

“Keji tau kau orang berdua ni. Seekor-seekor aku call, tak berjawab. Telefon masing-masing tak nak kalah, canggih. Tapi call tak berjawab. Baik tak payah pakai telefon. Campak buat baling anjing aje lagi bagus,” bebel Pak Saad sambil menekan butang merah.

Dia tertekan apabila orang yang dihubungi tidak menjawab panggilan.

“Assalamualaikum Abang Saad.”

Tiba-tiba muncul Gayah di muka pintu dengan gaya manjanya. Siap bercermin mata hitam lagi. Kelas kau Gayah!

Aduhai, janda meroyan ni pulak muncul, gumam Pak Saad sambil memandang lantai dan meletak semula telefon bimbitnya di atas meja. Seketika kemudian, dia mengangkat wajahnya dan mempamerkan riak wajah yang paling manis.

“Waalaikumussalam. Eh, kau Gayah, ingatkan siapalah tadi. Masuklah,” pelawa Pak Saad dengan senyuman dibuat-buat.

“Hai... mana Shak? Biasanya dialah yang duk menjahit kat tepi tu,” ujar Gayah sambil melangkah masuk ke dalam butik kecil itu.

Mata dia liar mencari kelibat Shakir yang tidak kelihatan. Cermin mata hitamnya dibuka lalu disumbat ke dalam tas tangannya. Dia muncul dengan pakaian rasminya iaitu, kebaya sendat dan kain batik lepasnya.

“Shak? Dia keluar sekejap beli barang menjahit,” dalih Pak Saad.

Dia rasa tidak perlulah wanita tua di hadapannya itu tahu tentang kehilangan Shakir.

“Irah pun tak ada? Sah, dia mesti duk melepak kat bengkel Ah Seng tu. Selalu aku nampak dia kat sana dengan Si Fariq. Entah apalah yang dia nak buat dengan motor dia tu. Ada aje benda yang nak diubah suainya,” ujar Gayah sambil melabuhkan punggung di atas sofa yang berhadapan dengan Pak Saad.

“Oh ya ke? Dah minat dia macam tu,” balas Pak Saad.

Dia malas mahu pertikaikan. Benda yang sudah terang-terang berlaku di depan mata. Hendak berbalah pun tidak guna. Dia juga yang akan kalah nanti.

“Hisy, mana boleh macam tu Abang Saad. Irah tu, perempuan. Kan tak manis dia duk melepak dengan budak-budak lelaki kat bengkel Ah Seng tu. Boleh mengundang fitnah. Kalau budak lelaki tu buat perkara tak senonoh pada dia, macam mana? Budak-budak muda zaman sekarang ni, tak macam budak-budak muda zaman dulu. Gatal dia orang, lain macam,” nasihat Gayah, beria-ia macam dia sahaja yang betul.

“Ala Gayah oii... bukan budak-budak muda aje. Zaman sekarang, yang tua bangka, lagi tak sedar diri. Muka dah berkedut seribu, tetap nak menggatal. Apa orang kata? Kubur dah kata mari, rumah dah kata pergi, tetap tak kenal apa tu mati. Macam mana tu? Siapa nak jawab?” sindir Pak Saad.

Sekali dia menyindir, pedasnya sampai ke usus besar. Boleh kena buasir! Memang makan dalam. Puas hatinya dapat menyindir bekas tunangnya suatu ketika dulu itu.

Dia bangkit berdiri lalu melangkah ke ruang kerja. Kain untuk dibuat kebaya yang ditempah Gayah dicapai.

Gayah tersentak. Dia terasa dengan sindiran pedas Pak Saad itu.

“Amboi Abang Saad, perli Gayahlah tu. Sentap Gayah tau,” ujar Gayah sambil tarik muncung.

Dia tunjuk rajuk. Konon-konon merajuk betul-betul.

“Eh, mana ada aku perli kau, Gayah. Aku cakap benda yang betul. Zaman sekarang tak kira tua atau muda. Perangai sama aje,” ujar Pak Saad, malas melayan rajuk Gayah.

Dia kembali ke sofa lalu meletakkan kain jenis brokat di tangannya di hadapan Gayah.

“Ni, kain untuk kebaya kau. Warna merah buah naga seperti yang kau nak. Macam mana, kau suka tak?”

Gayah mencapai kain untuk kebayanya itu. Hakikatnya jenis kain itu sama sahaja dengan kebaya-kebayanya sebelum ini. Cuma warna sahaja yang berbeza.

“Cantiknya warna ni, Abang Saad. Pandai Abang Saad pilih warna. Gayah nak bahagian depan tu nanti, Abang Saad sulam manik dengan labuci, biar lip lap, lip lap, kebaya Gayah nanti, Kalau ada batu-batan yang berkelip-kelip tu, bubuh sekali,” cadang Gayah, teruja sekali.

Sebenarnya dia kerap menempah baju di butik Pak Saad ini bukan disebabkan mahu menempah kebaya semata-mata. Ada udang di sebalik mi. Hanya dirinya sahaja yang tahu.

“Tak cukup batu-batan berkelip-kelip tu, aku bubuh batu bata dengan batu jalan kat kebaya kau ni, Gayah. Baru meriah sikit. Nak lip lap, lip lap lagi? Aku bubuh jugak lampu kelip-kelip hari raya tu. Kelas tak?” sindir Pak Saad sambil tersenyum simpul.

“Amboi Abang Saad, dah macam nak hias pokok Krismas pulak siap berlampu kelip-kelip segala.”

“Dah kau nak baju kau tu lip lap, lip lap, kan?”

Gayah mencebik. Terasa apabila disindir lagi. Namun, dia tepis perasaan itu jauh-jauh. Dia sudah masak dengan sikap Pak Saad itu. Mulut sahaja laser, tetapi hatinya baik.

“Bila boleh siap baju kebaya saya ni, bang?” soal Gayah, menukar topik.

“Kan aku dah cakap, minggu depan kau datang ambil. Baru kelmarin kau tempah, mana nak siapnya dalam masa tiga hari. Banyak lagi tempahan yang perlu aku siapkan, Gayah,” jawab Pak Saad sambil memakai cermin matanya.

Dia mahu meneruskan kerjanya menjahit manik.

“Ala Abang Saad ni, janganlah marah. Gayah tanya aje. Abang Saad ni, macam tak suka aje Gayah datang. Bila cakap dengan Gayah, mesti nak sindir-sindir Gayah,” adu Gayah dengan manja sambil membetulkan sanggul di kepalanya.

Dia membetulkan bunga ros plastik besar di sisi kanan sanggulnya.

“Mana ada aku marah, Gayah oii... Aku cakap macam biasa ni, kan. Aku cakap benda yang betul. Siapa makan pekasam, dialah yang terasa masinnya.”

“Yalah tu. Dalam hati abang, siapa tahu, kan? Hakikatnya abang tahu kenapa Gayah selalu datang butik abang ni. Abang aje buat-buat tak tahu.”

Pak Saad berkerut dahi kehairanan.

“Bila masa pulak aku kata aku tak tahu tujuan kau datang ke butik aku ni? Kau datang butik aku ni sebab nak tempah baju, kan? Takkan nak tempah tiket kapal terbang pulak? Betul tak?”

“Ha, tengok.”

“Tengok apa?”

“Abang Saad sengaja loyar buruk, benci!” rungut Gayah sambil tarik muncung panjang-panjang.

“Loyar buruk apanya? Apa yang aku cakap betul, kan?”

“Malaslah cakap dengan Abang Saad ni. Sakit hati Gayah,”

Gayah terus bangkit berdiri lalu melangkah meninggalkan butik itu dengan rasa sedih yang mencengkam. Sedih apabila Pak Saad sengaja buat-buat tidak tahu tentang perasaannya.

“Kalau dah malas, tak payahlah cakap. Guna bahasa isyarat kan boleh. Tak pun, WeChat aje dengan aku. Kan senang,” bebel Pak Saad sambil mencebik ke arah Gayah yang sudah melangkah keluar dari butiknya.

Dia kembali menyambung kerjanya. Buat seketika dia terlupa tentang Shakir dan Syahirah.



Previous: BAB 06
Next: BAB 08

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.