| 11 |
AGAK terkejut Pak Saad pagi itu apabila
melihat Syahirah sudah berada di meja makan tatkala jam di dinding baru pukul
8.43 pagi. Biasanya, di waktu-waktu begini, anak daranya itu masih membongkang
atas katil. Tetapi hari ini, awal pula anak daranya itu bangun pagi.
Teko berisi teh panas diletak di tengah meja.
Dia melangkah ke muka pintu dapur, melihat matahari di dada langit. Seketika
kemudian, dia melangkah masuk semula ke dalam rumah. Syahirah masih berada di
meja makan sambil menyuap nasi goreng masakannya ke dalam mulut. Kehadirannya
di situ seolah-olah tidak diendah. Syahirah lebih fokus pada telefon pintarnya.
Pap! Pap!
Pak Saad menampar pipi kanan dan kirinya
berulang kali. Syahirah yang terperasan dengan bunyi itu terlopong melihat
perlakuan Pak Saad.
“Papa kenapa? Tak fasal-fasal tampar diri
sendiri. Dah nyanyuk?” tanya Syahirah hairan sambil menuang air di dalam teko
ke dalam cawannya.
Pak Saad melangkah menghampiri anaknya. Soalan
anaknya itu tidak dijawab.
Pap!
Dengan selamba Pak Saad menampar pipi Syahirah.
Sekadar menampar perlahan.
“Eh, apa papa ni? Tak fasal-fasal tampar
Syah,” ujar Syahirah, terkejut.
Tidak sangka yang dia akan dapat penampar
percuma pagi-pagi begini. Pipinya yang ditampar Pak Saad diusap lembut.
“Papa ni tengah bermimpi di siang hari ke?”
tanya Pak Saad terpinga-pinga.
Apa yang dilihatnya pagi ini memang sesuatu
yang menakjubkan.
“Papa ni kenapa? Mimpi apanya ni?”
“Tak adalah, papa ingatkan papa tengah
bermimpi sekarang ni.”
Perlahan-lahan Pak Saad cuba menerima
kenyataan yang terbentang di hadapannya ketika ini. Dia mula menghenyak
punggung di atas kerusi yang bersebelah dengan Syahirah. Teko dicapai lalu
isinya dituang ke dalam cawannya.
“Papa nak Syah tampar muka papa tak?” tawar
Syahirah.
“Eh, tak apa. Papa dah okey dah,” ujar Pak Saad,
menolak dengan baik sambil menyenduk nasi goreng yang masih panas ke atas
pinggan.
“Papa cuma hairan dengan kau tu aje. Tak
pernah-pernah buat kemunculan ala-ala Miss Universe tak jadi pagi-pagi buta kat
meja makan ni. Tiba-tiba pagi ni buat kemunculan. Tu yang papa macam tak boleh
nak terima kenyataan,” sambung Pak Saad.
“Pehhh... tadi tu yang papa duk tampar-tampar
muka, siap pakej tampar muka Syah, konon-konon papa tak percaya yang Syah dah
bangun awallah ya? Sindiran makan dalam tu, papa,” ujar Syahirah.
Dia baru sedar yang babak tampar-menampar tadi
adalah lakonan papanya untuk menyindirnya.
“Kau sentap ke?” soal Pak Saad balik sambil
menyuap nasi goreng ke mulut.
“Haruslah sentap. Bila Syah bangun lewat, papa
bising. Bila Syah bangun awal, papa sindir. Nanti, Syah tak bangun-bangun lagi,
baru papa nak menyesal.”
Syahirah betul-betul sudah berjauh hati dengan
papanya. Siap buat muka cemberut lagi.
“Amboi mulut! Tak sayang papa ke?” soal Pak
Saad sambil menunjal pipi Syahirah dengan hujung jari telunjuk.
“Dah orang tak sayang kita, nak buat macam
mana, kan?” balas Syahirah sambil mencebik.
Dia lalu menyambung makannya.
“Eleh, sikit-sikit nak merajuk. Yalah, papa
mintak maaf kalau sindiran papa tadi terlalu melampau. Papa cuma terkejut aje.
Dalam masa yang sama, papa bahagia sebab kamu mula nak berubah. Dah pandai
bangun awal pagi. Bagus anak papa seorang ni,” ujar Pak Saad sambil merangkul
bahu Syahirah.
Syahirahlah satu-satunya harta paling berharga
yang dia ada di dalam dunia ini. Andai dia kehilangan Syahirah, dia tidak tahu
apalah nasib dirinya. Dia tidak pasti, apakah dia mampu menerima sebuah
kehilangan.
“Sebab Syah ada hal pagi ni dengan Shak, pa.
Kalau tak ada hal, jangan haraplah Syah nak bangun awal,” beritahu Syahirah
dengan selamba.
Dia menyuap makanan ke dalam mulutnya dengan
riak muka tidak bersalah. Hahaha... papa pulak terkena sekarang, tawa Syahirah
di dalam hati.
“Ceh!”
Pak Saad melepaskan pelukan di bahu Syahirah.
“Menyesal aku puji kau. Buang karen aje.”
“Hehehe...” Syahirah tersengih.
“Macam mana? Dah mulakan operasi nak cari
menantu untuk papa? Dah masuk hari kelima dah ni,” ujar Pak Saad sambil
menghirup minumannya sedikit demi sedikit.
“Ala bah, baru lima hari. Birthday papa pun
lama lagi.”
“Papa tanya aje. Manalah tau, kau buat-buat
lupa. Kalau kau buat-buat lupa, papa boleh tolong ingatkan.”
“Syah takkan lupalah, papa. Papa yang cabar
Syah, kan? Dan Syah pun dah terima cabaran papa tu. Jadi, Syah akan buktikan
yang Syah boleh bagi papa bakal menantu sebelum atau selewat-lewatnya pada hari
birthday papa yang ke 50 tahun sebagai hadiah birthday yang paling berharga,”
ujar Syahirah dengan penuh yakin.
“Amboi... bukan main riak kau berkata-kata ya!
Okey, papa tunggu saat tu. Jangan kau angkut hantu jadian jadi menantu papa,
dahlah. Tapi, kalau tiba-tiba kau tak cari bakal menantu untuk papa, sila
beritahu papa. Papa akan pinangkan Pak Mat jual tempe tu untuk kau,” balas Pak
Saad.
“Apa papa ni? Kenapa papa nak kena pinang Pak
Mat tu pulak? Bukan ke lelaki yang kena pinang perempuan?”
“Laa... kau baru sedar ke yang kau tu
perempuan?”
“Benci! Papa pun sama aje macam Shak tu.
Sehati sejiwa. Suka perli Syah macam tu. Dahlah, Syah nak jumpa Shak sekejap,”
ujar Syahirah.
Dia menghirup minumannya sehingga habis. Selesai
sahaja, dia terus meminta diri. Nasi gorengnya yang masih bersisa sudah
diabaikan. Seleranya terus mati apabila diperli sedemikian.
“Ha, jangan nak lambat sangat ya. Kalau kau
orang berdua lambat sampai butik, papa rampas telefon kau orang berdua lagi,
faham?” pesan Pak Saad.
“Erm... yalah,” balas Syahirah di muka pintu
dapur dengan riak wajah acuh tak acuh sambil memakai kasut.
“Kau tu, bilalah nak belajar pakai blaus ke?
Baju kurung ke? Ni, kemeja tu jugak kau sarungkan.”
“Assalamualaikum pa. Cou cin cau,” pamit
Syahirah cepat-cepat.
Dia malas mahu melayan isu baju yang
dibangkitkan papanya itu. Jika dilayan, sampai esok tidak habis.
Pak Saad menggeleng.
“Bilalah kau nak berubah, Irah. Aku harap,
bila kau dah bersuami nanti, kau akan berubah,” keluh Pak Saad.
Itulah harapan di sebalik ugutannya sebelum
ini. Walaupun dia rasa cara ugutannya itu terlalu berlebihan, dia tetap akan
teruskan. Kerana dia tiada pilihan lain. Hanya cara itu yang dia rasa bisa
mengajar anaknya itu mengenal erti sebuah kehidupan.
*********
HAMPIR setengah jam mengangkat dumbbel,
barulah dia berhenti dari melakukan salah satu aktiviti senamannya itu demi
untuk membentuk otot tangannya supaya sentiasa terbentuk cantik dan pejal.
Sebagai salah seorang jurulatih di gimnasium yang diberi nama 7 Days Fitness
& Dance ini, dia perlulah kelihatan sihat, berotot dan berkeyakinan.
Barulah pelanggan bisa menaruh kepercayaan kepadanya untuk melatih mereka.
“Kau ada klien lagi ke lepas ni?” tanya Dwan.
Dwan adalah rakan baik merangkap kawan serumah
dan sekerjanya di gimnasium ini.
Azrin Aidil tidak terus menjawab. Dia bangkit
berdiri lalu mengelap peluhnya dengan menggunakan tuala kecil yang sentiasa
tersangkut di bahunya. Dia memandang dirinya melalui dinding cermin di
hadapannya. Melihat bentuk tubuhnya yang semakin sasa hari demi hari.
“Tak ada. Kenapa?” jawab Azrin Aidil.
“Aku pun tak ada klien lepas ni. Kalau macam
tu, kita lepak makan sekejap, nak tak?” ajak Dwan.
“Sekarang ke?”
Mereka berdua mula menyusun langkah menuju ke
bilik persalinan.
“Lepas kita siap-siaplah. Takkan nak pergi
sekarang, melekit satu badan ni.”
“Okey,” akur Azrin Aidil.
Mereka berdua terus ke bilik persalinan yang
mana terdapat juga beberapa buah bilik air khas untuk pelanggan dan staf
gimnasium ini membersihkan diri selepas penat melakukan senaman.
“Kes kau dengan Delyna macam mana? Dah
selesai?” tanya Dwan sambil membuka pintu loker.
Dia mengeluarkan tuala dari dalam loker lalu
disangkut pada bahunya.
Pertanyaan Dwan itu sedikit mengganggu mood
Azrin Aidil. Ikutkan hati, dia mahu melupakan apa sahaja yang berkaitan dengan
Delyna. Cukuplah kehancuran yang wanita itu tinggalkan padanya sebelum ini.
Namun, kemunculan Delyna sejak beberapa bulan lalu membuatkan kenangan lama
kembali menghantui hidupnya.
“Macam tulah Wan,” jawab Azrin Aidil.
Pintu lokernya dibuka. Tuala dan barangan
peribadinya dicapai.
“Apa lagi yang dia nak? Aku tengok sejak
beberapa bulan ni, dia selalu datang sini nak jumpa kau,” ujar Dwan.
Dia sudah tahu kisah yang sebenarnya. Azrin
Aidil sendiri yang dengan rela hati telah menceritakan segala-galanya padanya
sebelum ini.
Mereka berdua mula melangkah ke bilik air yang
ada. Kelihatan ada beberapa orang pelanggan dan rakan sekerjanya yang lain turut
membersihkan diri di ruangan itu. Azrin Aidil dan Dwan masuk ke dalam bilik air
yang berasingan dan sebelah menyebelah.
“Aku pun tak faham dengan dia, Wan. Dulu dia
yang beria-ia tinggalkan aku. Lepas dua tahun, dia muncul balik, nak balik pada
aku semula.”
“Eh, bukan ke kau pernah cerita pada aku
sebelum ni, dia tinggalkan kau sebab dia kahwin dengan lelaki yang dia anggap
boleh bahagiakan dia?” soal Dwan hairan.
“Entahlah Wan, kadang-kadang aku tak faham
dengan perempuan ni. Biasanya, lelaki yang buat perempuan macam sampah. Ni, aku
yang dibuat macam sampah. Tak apalah, aku pun dah lupakan apa yang dia buat kat
aku dulu,” jawab Adil.
Mulut dia sahaja berkata begitu. Hatinya,
hanya TUHAN sahaja yang tahu bagaimana pedihnya kerana ditinggalkan kekasih hati
dua tahun lalu.
Mereka mula membersihkan diri masing-masing.
Dua puluh minit kemudian, mereka selesai membersihkan diri. Mereka melangkah ke
singki sambil mengelap badan masing-masing yang masih basah.
“Dia jumpa kau, husband dia tak marah?” soal
Dwan lagi.
Azrin Aidil tidak terus menjawab. Dia mencapai
krim pelembap wajah lalu dipicit sedikit di telapak tangannya.
“Entahlah, katanya dia dah single,” jawab
Azrin Aidil sambil menyapu rata pelembap ke seluruh wajah.
Sebagai seorang lelaki moden yang hidup dengan
gaya metroseksual, hal sebegitu sudah menjadi kebiasaan baginya. Kerjanya perlu
berhadapan dengan ramai orang. Jadi, penampilannya perlu terjaga dan kemas.
“Oh, patutlah dia berani jumpa kau. Sebab apa
dia single?”
“Entahlah, aku malas nak ambil tahu.”
Dwan mengangguk akur sambil memandang sekilas
ke arah Azrin Aidil di sebelahnya melalui cermin. Dia perasan wajah kawannya
itu kelihatan kurang senang tatkala berbicara mengenai Delyna.
Sepuluh minit kemudian, mereka sudah siap
untuk keluar makan. Makan tengah hari ketika jam sudah pukul 2.00 petang.
Begitulah kehidupan mereka sebagai jurulatih di gimnasium ini. Waktu makan
tidak menentu gara-gara perlu mengikut jadual latihan klien.
“Dah siap?” tanya Dwan sambil mengemaskan
struktur rambut di hadapan cermin singki.
“Dah,” balas Azrin Aidil.
Wangian kegemarannya disembur sedikit pada
tubuhnya.
“Okey, jom...” ajak Dwan.
Mereka berdua mula meninggalkan ruang itu
menuju ke pintu utama gimnasium. Perut masing-masing sudah kelaparan. Belum
sempat mereka melangkah jauh, tiba-tiba muncul seseorang menyapa Azrin Aidil.
“Aidil.”
Serentak Azrin Aidil dan Dwan menoleh ke arah
suara itu. Azrin Aidil mengeluh bosan apabila melihat pemilik suara itu.
*********
TIDAK pernah-pernah Syahirah duduk melanguk
menunggu Shakir menyiapkan kerjanya sebelum ini. Namun hari ini, buat pertama
kalinya dia duduk tidak jauh dari meja kerja sambil memerhati Shakir memotong
kain. Pecah rekod!
Sebenarnya dia bukan suka-suka duduk di situ.
Dia sedang menanti Shakir menghabiskan kerjanya kerana selepas tamat waktu
kerja mereka untuk hari ini, ada misi yang perlu mereka berdua laksanakan.
Sekejap-sekejap dia akan menjeling-jeling ke
arah papanya yang sedang fokus menjahit manik di ruang santai. Jam di
pergelangan tangannya dipandang. Lagi lima minit pukul 6.00 petang. Setiap
minit yang berlalu terasa begitu lambat pula ketika ini.
“Weh, cepatlah sikit. Kenapa kau lambat sangat
ni? Aku takut tak sempat,” bisik Syahirah pada Shakir yang masih fokus dengan
kerja.
Sebenarnya fokus Shakir sudah terganggu sejak
tadi. Syahirah tidak henti-henti mengganggu konsentrasinya untuk memotong kain
mengikut saiz yang telah ditetapkan. Salah potong, boleh jahanam kain di
hadapannya itu.
“Sabarlah, kau ingat kerja aku ni boleh siap
hari ni jugak ke? Banyak lagi kain aku nak kena potong tau. Silap-silap aku
kena kerja over time hari ni,” bisik Shakir juga.
“Eh, agak-agaklah, kita ada misi malam ni tau.
Kau kata kita nak kena jumpa Nabila, kan? Kau jangan buat-buat lupa, aku kena
jumpa si Ezani, tauke belacan tu malam ni,” ujar Syahirah.
Risau juga dia kalau-kalau Shakir buat-buat
lupa tentang rancangan mereka sebentar lagi.
“Masalahnya, aku bukan bos kat butik ni. Kalau
papa kau nak suruh aku kerja over time, apa aku nak kata, kan,” balas Shakir.
Hakikatnya di dalam hati Shakir dia berharap
Pak Saad menyuruhnya kerja lebih masa hari ini. Dia mahu rancangan Syahirah
mahu bertemu dengan rakan Facebooknya gagal. Dia risau andai berlaku apa-apa
pada Syahirah. Sungguh berani kawan baiknya itu mahu bertemu dengan lelaki yang
baru dikenali tidak sampai 48 jam di Facebook.
“Kau jangan nak mengada-ngada. Kita tak ada
buat hal hari ni, takkanlah papa aku tiba-tiba nak suruh kau kerja over time.”
“Itu kata kau, bukan kata papa kau. Kau macam
tak tahu aje perangai papa kau tu. Sukar nak jangka. Tiba-tiba dia boleh
berubah fikiran.”
Syahirah mengeluh bosan. Jam di pergelangan
tangan dipandang lagi. Ada baki dua minit lagi untuk menamatkan waktu kerja
mereka hari ini.
Pak Saad yang menjahit manik di sofa mencuri
pandang ke arah Shakir dan Syahirah sejak dari tadi. Dia perasan, Syahirah
nampak gelisah persis cacing kepanasan sejak tadi. Seperti ada sesuatu yang dia
inginkan dari Shakir.
“Apa yang kau orang berdua bisikkan dari tadi
tu?” soal Pak Saad.
“Ha, bisik? Mana ada, pa,” jawab Syahirah
teragak-agak.
“Jangan nak auta papa. Walaupun papa ni dah
rabun, tapi papa masih boleh nampak lagi. Bak kata pepatah, kuman seberang laut
boleh nampak, gajah depan mata tak nampak. Hebat tak?”
Syakir dan Syahirah saling berpandangan.
“Macam pelik aje pepatah yang papa aku guna
tu. Tu, perumpamaan ke peribahasa?” tanya Syahirah.
Shakir angkat bahu tanda dia juga keliru.
“Pak Saad, pepatah tu kan bermaksud, salah
orang lain yang sekecil hama pun kita boleh nampak, silap sendiri yang sebesar
gajah tak pernah nak perasan. Apa kaitan dengan kami, Pak Saad?” ujar Shakir
hairan.
“Err...”
Pak Saad diam sambil berfikir sejenak. Dia
cuba mencari idea untuk menjawab soalan pekerjanya.
“Alah, konon-konon bolehlah digunakan pepatah
tu untuk ayat aku tadi. Dah, lupakan!” sambung Pak Saad.
“Boleh pulak macam tu?” soal Syahirah hairan.
“Bolehlah. Mulut papa, suka hatilah nak guna
pepatah apa pun. Yang kau ni, tiba-tiba hari ni rajin pulak jadi pemerhati si
Shak tu buat kerja, kenapa? Tak pernah-pernah sebelum ni kau gigih tengok Shak
tu buat kerja. Biasanya, belum setengah jam kau duduk kat butik ni, kau dah
panas punggung nak keluar. Kau nak belajar menjahit ke apa?” luah Pak Saad akan
kemusykilan.
“Eh, mana ada, pa. Syah saja nak perhati si
Shak ni buat kerja. Mana tahu dia nak curi tulang ke apa.”
Laju Shakir menjeling tajam ke arah Syahirah.
Tidak fasal-fasal dia pula jadi mangsa keadaan.
Tit! Bunyi dari jam tangan digital di
pergelangan tangan Syahirah itu menandakan waktu sekarang sudah menunjukkan
pukul 6.00 petang.
“Okey, dah habis masa. Jom balik!” ajak
Syahirah.
Dia lalu menarik lengan Shakir untuk
meninggalkan butik itu.
“Eh, sabarlah, tunggulah aku kemas dulu,”
balas Shakir.
Kelam-kabut dia melepaskan gunting di tangan
dan meletak pita pengukur yang tersangkut pada lehernya di atas meja.
“Eh, eh, eh, kau orang berdua nak ke mana tu?”
tanya Pak Saad apabila melihat Syahirah dan Shakir tiba-tiba kelihatan
tergesa-gesa hendak meninggalkan butik itu.
Langkah Syahirah dan Shakir terhenti.
“Dah pukul 6.00, waktu balik,” jawab Syahirah.
Pak Saad memandang meja kerja. Bersepah dengan
kain perca di lantai dan kain yang mahu dibuat baju yang tidak disusun.
“Tu, meja kerja tu siapa nak kemas? Shak, kau
dah tak reti nak mengemas ke?”
Shakir serba salah.
“Hari ni, papa tolong kemaskan untuk Shak,
boleh tak? Kita orang berdua ada hal ni. Penting sangat. Terima kasih papa.
Sayang papa. Muah!” balas Syahirah.
Dengan pantas dia menarik lengan Shakir
meninggalkan butik itu. Mereka perlu cepat.
Shakir dengan rasa serba salah memandang Pak
Saad lalu akur mengekori langkah Syahirah.
“Hal apa pulak? Jangan nak buat benda
bukan-bukan. Balik cepat. Kalau kau balik lambat, papa kunci, siap mangga pintu
rumah nanti!” jerit Pak Saad, memberi peringatan.
“Baiklah papa!” balas Syahirah dari luar
butik.
Dalam masa 15 saat, Syahirah dan Shakir sudah
meninggalkan butik itu dengan menunggang motosikalnya. Shakir pula duduk di
belakang.
“Kurang asam betul kau orang berdua ni. Aku
jugak yang kena mengemas. Stres,” keluh Pak Saad dengan bengang sambil memegang
kepala dan menggeleng-geleng.