| 13 |
DISEBABKAN Syahirah terus bertemu dengan bakal
suami segeranya, terpaksalah Shakir menumpang Nabila untuk balik semula ke
butik memandangkan skuternya masih berada di sana. Apa yang pasti, sejak tadi
Shakir nampak gelisah dan bermuram durja.
Nabila yang sedang memandu memandang Shakir
sekilas di sebelahnya.
“Kau ni kenapa? Dari tadi aku tengok macam ada
yang tak kena aje. Gelisah ala resah gitu. Kau ada masalah?” tanya Nabila
sambil memperlahankan kenderaan apabila lampu isyarat di hadapan sudah bertukar
warna kuning dan seketika kemudian bertukar merah.
Berkerut dahi Nabila apabila soalannya tidak
berjawab. Dia memandang Shakir di sebelahnya. Lelaki itu asyik memandang ke
luar kereta. Macam dia bercakap dengan stereng pula.
“Eh...” panggil Nabila sambil mencuit paha
Shakir.
Shakir tersentak lalu memandang Nabila dengan
wajah terkejut.
“Kenapa? Dah sampai ke?”
Nabila tergelak. Kenderaannya kembali bergerak
apabila lampu isyarat bertukar hijau.
“Kau ni kenapa? Mamai ke apa? Aku tanya tadi,
kau buat bodoh aje.”
“Eh, kau ada tanya aku ke?” soal Shakir balik.
Serius, dia memang tidak dengar apa-apa soalan
pun tadi.
“Adalah, kau pekak ke apa?”
“Err... mungkin aku terlalu menghayati lagu
kat radio ni kut,” ujar Shakir dengan gelabah.
Kebetulan lagu Gerimis Mengundang nyanyian
Zamani Slam berkumandang di corong radio ketika ini.
Nabila semakin hairan dengan sikap Shakir
ketika ini. Dia tidak menyangkal kata-kata Shakir itu walaupun dia tahu Shakir
berbohong. Bait-bait lirik lagu yang sedang berkumandang itu memang cukup
syahdu dan mengasyikkan.
“Kau risaukan Syah ya?” tebak Nabila dengan
yakin
Ya, dia yakin yang Shakir memang risaukan
Syahirah. Semasa dia sibuk menggayakan Syahirah dan menyolek wajah kawan
baiknya itu, Shakir tidak banyak berbicara. Dia lebih banyak mengiakan sahaja
dari menidakkan.
“Eh, kenapa pulak aku nak kena risaukan dia?
Dia dah besar, pandai-pandailah dia nak hidup,” nafi Shakir.
Hakikatnya, dia memang risaukan Syahirah.
“Mengaku ajelah Shak. Takkan dengan aku pun
kau nak berahsia.”
Shakir hilang bicara. Nampaknya dia tidak bisa
menyembunyikan lagi perasaannya daripada Nabila. Tetapi, dalam masa yang sama
dia belum bersedia untuk berkongsi apa yang dia rasa dengan sesiapa.
“Okey, aku mengaku aku risaukan dia. Sebagai
kawan, mestilah aku risau. Kalau lelaki yang dia jumpa tu ada niat tak baik
pada dia, macam mana?” akui Shakir.
Tetapi, dia tetap menyembunyikan perasaan
sebenarnya.
Nabila tergelak.
“Euww.... jawapan kliselah, Shak. Jawapan
rasmi untuk menutupi perasaan kau yang sebenar. Alasan basi yang aku takkan
terima.”
“Eh...”
Shakir memandang Nabila.
“Apa hal pulak kau kata jawapan aku klise?
Kalau kau nak percaya, percayalah. Kalau kau tak nak percaya, aku tak boleh
paksa.”
“Cuba kau berterus terang aje dengan aku yang
sebenarnya kau tu cemburu, kan?”
“Cemburu? Nak cemburu sebab apa?”
“Sebab Syah jumpa lelaki lain, betul tak?”
“Apa kena-mengena?”
“Adalah kena-mengenanya. Kau suka Syah, tapi
Syah tak pilih kau. Betul tak?”
“Eh kau ni, memandai aje buat cerita. Bila
masa pulak aku cakap aku suka dia? Aku cakap, aku risaukan dia sebagai kawan.
Aku tak nak dia kena tipu, itu aje. Kalau aku suka dia, kenapa aku perlu
bersusah payah tolong dia cari suami segera, kan?”
Kali ini Nabila terdiam sejenak memikirkan
kata-kata Shakir itu. Benar juga kata Shakir itu. Andai lelaki itu suka
Syahirah, kenapa dia sanggup menolong Syahirah mencari bakal suaminya?
Sungguhpun begitu, dia masih tidak bisa menerima bulat-bulat pengakuan Shakir
itu. Dia tetap yakin yang Shakir ada perasaan terhadap Syahirah.
“Betul tak apa aku cakap?” tanya Shakir
apabila Nabila diam seribu bahasa.
“Betul jugak. Tapi, dari sikap kau yang tak
suka Syah jumpa kawan Facebook dia tu, macam kau cemburu.”
“Mana ada, tu perasaan kau aje kut.”
“Mungkin jugak,” akur Nabila.
“Tapi, apa-apa pun aku nak berpesan ni. Kalau
kau betul-betul suka kat Syah tu, baik kau cepat-cepat mengaku pada dia. Nanti
bila dia dah jumpa Mr. Right dia, kau jugak yang gigit jari,” sambung Nabila
dengan ikhlas.
“Kalau dia dah jumpa Mr. Right dia, aku
sebagai kawan akan tumpang bahagialah. Takkan aku nak jadi Mr. Wrong dia
pulak.”
Nabila tergelak.
“Kau ni, boleh pulak buat lawak. Ingat Shak,
bibir memang manis berbicara termasuk kata dusta. Tapi hati, selalunya sukar
untuk menipu. Andai bibir kau cakap lain, sedangkan hati pulak cakap lain,
sakitnya kau akan tanggung kat sini, Shak,” tutur Nabila sambil meletakkan
tangan kiri di dada.
Shakir memandang tempat yang ditunjukkan
Nabila. Dia faham maksud dari perbuatan itu. Ya, dia sedang menahan senak dan
sendat di dadanya ketika ini. Cuma bibirnya sahaja yang terus menafikan.
Nampaknya, Nabila bisa membaca perasaannya.
Keadaan diam seketika. Masing-masing sibuk
buat hal sendiri. Nabila fokus pada pemanduannya. Manakala Shakir pula sibuk
melayan perasaannya sambil memikirkan kembali kata-kata Nabila tadi.
“Betul ke kau nak aku hantar kau ke butik Pak
Saad?” tanya Nabila, inginkan kepastian selepas beberapa minit diam.
“Ya,” jawab Shakir sepatah.
“Lama pulak Pak Saad buka butik hari ni.
Biasanya, pukul 6.00 petang dah tutup.”
“Memang dah tutup pun. Aku ke sana sebab
skuter aku kat sana.”
“Oh... faham,” akur Nabila.
Dia terus membelokkan keretanya ke kiri
memasuki simpang menuju ke arah barat daya.
Tiba-tiba telefon pintar Shakir berbunyi
menandakan ada mesej baru di WeChat. Dia segera membaca mesej baru itu yang
datangnya dari Syahirah.
Tauke belacan tu aku reject!
Berkerut dahi Shakir membaca mesej pendek itu.
Dia membalas.
Shakir: Kenapa? Dia menggatal dengan kau ek?
Syah: Nanti aku cerita.
Barulah Shakir kembali mengukir senyuman.
<iframe width="560" height="315" src="//www.youtube.com/embed/yDQIv-_cWMc?rel=0" frameborder="0" allowfullscreen></iframe>