Home Novel Keluarga Papa Nak Menantu!
Papa Nak Menantu!
Hasrudi Jawawi
24/1/2014 17:27:32
121,040
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Beli Sekarang
BAB 16
| 16 |

“KAT mana kau nak jumpa Dato’ Z tu?” tanya Nabila sambil menyapu pemerah pipi pada wajah Syahirah sebagai kemasan terakhir solekan.

“Kat Kafeteria Hotel Garden,” jawab Syahirah yang masih tertutup rapat kelopak matanya. Menyerah sepenuh kepercayaan kepada Nabila untuk merias wajahnya.

“Hotel?” soal Nabila, terkejut.

Dia memandang Shakir tidak jauh darinya. Lelaki itu turut terkejut.

Syahirah mengangguk.

“Kau tak takut ke?” tanya Nabila risau.

“Nak takut kenapa pulak?” jawab Syahirah.

Langsung tiada rasa risau pada wajah dia ketika ini.

Serentak Nabila dan Shakir menjuling mata ke siling. Boleh pula Syahirah bertanyakan soalan itu.

“Syah, dia ajak kau dinner kat kafeteria hotel. Kau tak rasa apa-apa ke bila dengar perkataan hotel tu?” ujar Nabila.

Syahirah membuka kelopak matanya lalu berkerut memandang Nabila.

“Kenapa dengan hotel?” soal Syahirah lagi.

Nabila dan Shakir menepuk dahi. Tidak faham rupanya si Syahirah ini.

<div class="separator" style="clear: both; text-align: center;">
<a href="http://3.bp.blogspot.com/-IQlbntm9-6Q/Uz6nchp-idI/AAAAAAAAEr8/fNIlrIjvE50/s1600/Allstars.png" imageanchor="1" style="margin-left: 1em; margin-right: 1em;"><img border="0" src="http://3.bp.blogspot.com/-IQlbntm9-6Q/Uz6nchp-idI/AAAAAAAAEr8/fNIlrIjvE50/s1600/Allstars.png" /></a></div>

“Kau tak risau ke kalau Dato’ Z tu buat tak senonoh kat kau? Letak benda bukan-bukan dalam minuman kau? Pil khayal ke? Pil tidur ke? Bila kau dah tak sedarkan diri, dia angkut kau masuk hotel dan buat...” Tak sanggup Nabila hendak menghabiskan kata-katanya itu.

“Dia perkosa kau, lepas tu bunuh kau dengan kejam lalu dibuang mayat kau dalam keadaan mengaibkan dari tingkat 20. Kau tak takut?” sambung Shakir dengan tiba-tiba.

Dia siap menggayakan aksi dan membuat memek muka yang penuh emosi. Sengaja mahu menakut-nakutkan Syahirah supaya kawan baiknya itu melupakan terus hasratnya mahu bertemu dengan Dato’ Z.

Dengan pantas Syahirah mencapai sebatang pen yang kebetulan ada di atas meja solek di sebelahnya lalu dibaling ke arah Shakir yang berada tidak jauh daripadanya.

Sepantas kilat juga Shakir menyambut pen itu. Mujur dia sempat sambut pen itu.

“Mulut kau tu macam longkang tersumbat,. Tak ada insurans ke?” marah Syahirah, tidak suka dengan kata-kata Shakir itu.

“Syah, apa yang Shak cakap tu ada betulnya,” sokong Nabila.

Dia memusingkan kerusi Syahirah menghadap cermin besar di hadapannya. Seperti kelmarin, mereka kini berada di studio fotografi milik Nazrin.

Syahirah memandang tidak puas hati pada Nabila melalui cermin.

“Hai, kau pun mendoakan jugak?” soal Syahirah.

“Eh, bukan macam tu. Kami berdua ni cuma risaukan kau aje. Lagi-lagi si Shak tu,” ujar Nabila.

Nama Shakir disebut.

“Huk! Huk!” Terbatuk-batuk Shakir dibuatnya. Tidak fasal-fasal namanya disebut. Macam tidak ada kena-mengena.

Syahirah dan Nabila serentak memandang Shakir di belakang mereka melalui cermin.

“Kau orang berdua jangan risaulah. Aku dah fikirkan semua tu,” ujar Syahirah dengan selamba.

Nabila yang sedang mengemaskan rambut Syahirah memandang Shakir melalui cermin. Buat seketika mereka saling berpandangan. Masing-masing blur, tidak faham maksud di sebalik kata-kata Syahirah itu.

“Maksud kau?” tanya Nabila, hairan.

“Awal-awal lagi aku dah fikirkan kemungkinan yang kau orang berdua fikirkan tu. Jangan risau, aku takkan makan atau minum apa-apa makanan atau minuman kat sana nanti.”

Shakir dan Nabila mengeluh halus. Tidak pasti mereka lega atau semakin risau dengan Syahirah.

“Kami ni bukan apa, Syah. Kami ni sebagai kawan baik kau, tetap risaukan kau. Kau tu perempuan. Walaupun aku tahu kau boleh hadapi segala kemungkinan, kami akan tetap risau. Hal ni cuma kita bertiga aje yang tahu. Kalau berlaku apa-apa pada kau, kami yang akan dipersalahkan dan diselubungi rasa bersalah nanti. Apa aku nak jawab pada papa kau nanti kalau berlaku apa-apa kat kau?” celah Shakir meluahkan apa yang dirasai.

“Kau orang berdua ni, cubalah doakan yang baik-baik untuk aku. Takkan aku nak cancel date ni pulak. Mana tahu Dato’ Z ni memang jodoh terbaik aku, macam mana? Kan rugi kalau aku cancel nak jumpa dia malam ni,” ujar Syahirah, tidak mahu kalah.

“Syah,” panggil Shakir sambil memandang Syahirah melalui cermin.

“Kita ada masa lima bulan. Bukannya lima hari atau lima minggu. Masa tu masih panjang. Kenapa kau nak tergesa-gesa?” sambung Shakir.

“Lima bulan tu kalau kita tak terikat dengan apa-apa masalah, memanglah terasa lama. Tapi, untuk aku yang kena cari bakal suami ni, lima bulan tu tak lama. Aku kenalah kenal-kenal dulu latar belakang bakal suami aku tu sebelum bawa dia jumpa papa aku. Kalau aku berlengah-lengah, aku takut aku tak sempat nak carikan bakal menantu untuk papa aku yang dah meroyan nak menantu tu. Kalau aku kenal lelaki tu hari ni, esok dah nikah, baik aku kahwin dengan Pak Mat tu aje. Tak ada beza, kan?” tegas Syahirah.

Shakir hilang kata-kata.

“Apa kata kau cari bakal suami kau tu, lelaki yang kau dah kenal lama dan kenal dia luar dan dalam,” celah Nabila sambil menjeling ke arah Shakir.

Shakir turut menjelingnya. Dia tahu siapa lelaki yang dimaksudkan Nabila itu.

“Siapa? Fariq ke? Tak naklah aku mamat tu jadi suami aku. Dia tu macam tak ada wawasan dalam hidup aje. Belajar pun setakat PMR aje.”

“Bukanlah, cuba kau fikir nama lain yang kau rasa kau dah kenal dia luar dan dalam, yang mungkin layak untuk jadi suami kau,” ujar Syahirah sambil mengikat satu rambut Syahirah.

Berkerut dahi Syahirah sambil berfikir.

“Siapa Ila? Takkan Shak kut,” ujar Syahirah sambil menjuih bibir ke arah Shakir melalui cermin.

Nabila mengangkat kening sambil memandang wajah Syahirah. Mengiakan tebakan kawan baiknya itu.

Dalam masa sesaat, terburai ketawa Syahirah persis puntianak meroyan tidak dapat darah.

*********

SELEPAS menyumbat tuala dan pakaiannya ke dalam beg, dia terus bersiap-siap untuk pulang. Hari ini dia pulang awal sedikit dari kebiasaannya memandangkan dia sudah tiada pelanggan lagi selepas ini. Dia mula meninggalkan ruang persalinan itu menuju ke pintu utama gimnasium. Sempat dia menyapa beberapa orang pelanggan dan rakan sekerjanya yang masih menjalani sesi latihan mereka.

“Joe, aku balik dulu,” pamit Dwan pada salah seorang rakannya yang duduk di kaunter depan.

“Okey bro, mana Aidil?” tanya rakannya itu apabila melihat Dwan hanya sendirian ketika ini.

Kebiasaannya lelaki itu sentiasa bersama Azrin Aidil.

“Dia kena jaga gim kat Taman Maju,” jawab Dwan.

“Okey.”

“Aku balik dulu.”

Dwan terus melangkah keluar dari gimnasium itu. Namun, langkahnya terhenti apabila pandangannya terpandang seseorang yang dia kenali berdiri tidak jauh dari gimnasium itu.

“Delyna?” sapa Dwan.

Delyna yang sedang fokus pada skrin telefon pintarnya mula mengangkat wajah.

“Eh, awak,” ujar Delyna.

Dia kenal lelaki di hadapannya itu. Cuma dia tidak tahu nama lelaki yang sering bersama Azrin Aidil itu. Azrin Aidil tidak pernah bercerita mengenai lelaki itu padanya sebelum ini.

Dwan melangkah menghampiri Delyna yang cantik berbaju kurung.

“Buat apa kat sini?” soal Dwan.

Delyna tidak terus menjawab. Telefon bimbitnya disumbat ke dalam tas tangannya. Rambut separas dada yang berjuraian menutupi wajahnya diselit di tepi telinga.

“Saya tunggu Aidil, dia belum habis kerja ke?” ujar Delyna.

Dwan memandang kiri dan kanan. Kebanyakan kedai yang ada di dalam pusat membeli-belah ini ada yang sudah mula ditutup.

“Awak ada beritahu dia, awak nak jumpa dia kat sini?”

Delyna mengukir senyuman pahit lalu menggeleng.

Dwan mengeluh halus.

“Kenapa awak tak call dia dulu sebelum ke sini?”

“Saya takut dia tak datang kerja kalau dia tahu saya nak jumpa dia.”

“Erm...” Serba salah pula Dwan mahu beritahu yang Azrin Aidil tiada di gimnasium ketika ini.

“Macam nilah, awak free tak sekarang?”

Berkerut dahi Delyna.

“Kenapa?”

“Kalau awak free, apa kata kita pergi minum sekejap? Kat kafe bawah tu? Okey tak?” ajak Dwan dengan teragak-agak.

Kasihan pula dia melihat wanita itu yang sanggup menunggu kawan baiknya hampir setiap hari di situ.

“Err...”

Delyna serba salah mahu menerima atau menolak. Sejujurnya dia masih belum selesa atau mungkin belum bisa menaruh kepercayaannya pada lelaki di hadapannya itu walaupun dia tahu lelaki itu adalah kawan baik Azrin Aidil.

“Awak jangan risau, saya bukan lelaki jahat,” ujar Dwan, meyakinkan Delyna.

Delyna masih berkira-kira mahu terima atau menolak pelawaan lelaki itu.


Previous: BAB 15
Next: BAB 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.