30
PELIK sungguh hari ini. Entah apa yang menyampuk ketuanya itu pun dia tak tahu. Sampai sahaja di banglo Tan Sri Irfan tadi, Darwish sudah siap untuk ke pejabat.
Biasanya, dialah yang kena berusaha keras macam ‘mak tiri’ mahu mengejut ketuanya itu bangun dari tidur. Liat! Tapi hari ini sungguh berbeza. Darwish sejak tadi tersenyum-senyum sendirian.
Apa hal dengan bos aku ni? Tersengih-sengih dari tadi. Dah sewel agaknya, desis hati Zulaikha sambil menjeling takut pada ketuanya.
Lain macam sahaja ketuanya hari ini. Sebelum ini, kalau mengadap mukanya, jangan kata pandang, senyum pun tak ingin. Tapi hari ini... pelik! Pelik!
Semakin meleret senyuman Darwish. Sudah lebih sepuluh kali dia mencuri pandangan ke arah Zulaikha di sebelah. Entah apalah yang telah merasuk jiwanya sejak dia memandang lama anak mata Zulaikha semasa nak menyapu ubat di dahi wanita itu beberapa hari yang lalu.
Hatinya resah gelisah. Denyutan jantungnya semakin laju. Perasaan gentar yang pernah berdetak sebelum ini, seolah-olah kembali berdetak. Wajah Zulaikha mula membayangi pandangannya. Malam tadi sebelum tidur,wajah Zulaikha juga yang terimbas di tabir pandangan.
Pagi ini, dia terjaga awal. Dan wajah yang nak dilihat semasa celiknya mata adalah Zulaikha. Dia bangun tidur sebelum Zulaikha sampai. Ini adalah rekod terbaik dia buat masa ini. Dia harus kekalkan. Tan Sri Irfan pun terkejut melihat dia bersiap awal pagi ini.
“Bos okey ke tak pagi ni?” tanya Zulaikha, hairan.
Dia memandang ketuanya itu takut-takut. Manalah tahu ketuanya itu kena sawan. Tak pasal-pasal meracau dalam kereta dia nanti. Niaya dia!
Berkerut dahi Darwish memandang Zulaikha.
“Awak ada nampak saya macam orang tengah nazak ke?”
Nah! Sekali Darwish menjawab,kena sebiji pada batang hidung Zulaikha.
Zulaikha menjeling menyampah pada ketuanya itu. Dah pandai loyer buruk pulak lelaki ni, gumam Zulaikha sambil memandang ke luar kereta.
Kamal yang sedang memandu di hadapan hanya memandang aksi Zulaikha dan anak majikannya itu melalui cermin pandang belakang.
“Saja tanya, manalah tahu bos kena demam panas atau demam Malaria ke. Tak pasal-pasal boleh bangun awal pagi ni kenapa?” jelas Zulaikha apa yang dia maksudkan dari pertanyaannya tadi.
Darwish tertawa. Seolah-olah lucu.
Zulaikha menjeling benci pada Darwish. Sakit hati mendengar ketawa ketuanya itu. Ini kali pertama dia melihat ketuanya itu ketawa senang hati. Sebelum ini, jangan kata ketawa. Senyum pun belum tentu.
“Zulaikha, kita ni manusia. Sedangkan beluncas boleh bertukar menjadi rama-rama, inikan pulak manusia. Jadi buaya pun boleh.”
Wah! Dah pandai loyar buruk bos aku sekarang ni. Satu perkembangan yang baik, desis hati Zulaikha, agak bangga dengan keyakinan Darwish berkata-kata walaupun dia belum mulakan apa-apa racangan pun untuk menghakis perasaan kebudak-budakkan dan malu ketuanya itu.
“Okey,” balas Zulaikha sepatah.
Malas mahu bertanya lagi. Nanti semakin bongkak pula ketuanya itu. Apa yang pasti, dia tak tahu apa punca ketuanya itu berubah secara mendadak hari ini.
Darwish memandang ke luar kereta sambil tersenyum. Dia mula berasa sesuatu di dalam jiwanya ketika duduk di sebelah Zulaikha. Tenang sahaja perasaan itu menusuk ke hatinya.
Lima minit sepi tanpa sebarang suara. Akhirnya mereka sampai ke destinasi yang dituju, iaitu bangunan Merbok Construction Berhad. Seawal jam 8.00 pagi Darwish sudah berada di bangunan Merbok Construction Berhad.
Dia sampai lebih awal dari Tan Sri Irfan. Dia benar-benar telah mencipta rekod baru di dalam hidupnya hari ini. Ceh! Dah macam rekod Malaysia pulak, hatinya berdetik.
Seperti biasa, Kamal akan membukakan pintu untuk Darwish keluar.
Darwish melangkah keluar dengan wajah berseri-seri. Hari ini dia mengenakan seluar jeans, t-shirt dan kot putih. Walaupun nampak ranggi, tetap kelihatan seperti gaya korporat. Dia lebih selesa dengan gaya sedemikian.
Bila melihat Zulaikha melangkah di sebelahnya,semakin kembang kelopak hidungnya. Bukan kembang sahaja. Siap kembang kuncup lagi. Bangga sebab ada seorang pembantu peribadi yang boleh tahan cantik walaupun tak sehebat Miss Universe, jalan di sisinya.
“Zulaikha, awak dah baca laporan projek shopping complex yang saya bagi semalam? Saya nak awak tolong saya buat analisis tentang projek tu, okey?” arah Darwish lalu melangkah ke arah lobi.
“Memandangkan kita sampai awal, apa kata kita pergi breakfast dulu,” ajak Darwish.
Jam baru pukul 8.10 pagi, sempat lagi kalau nak sarapan. Itulah motif Darwish bangun awal pagi ini. Nak sarapan bersama pembantu peribadinya. Tiba-tiba terdetik di hati mahu berdamai dengan pembantu peribadinya.
Hal ini disebabkan dorongan rasa serba salahnya pada Zulaikha kerana telah membuat dahi wanita itu bengkak beberapa hari lalu. Dari insiden itulah, dia mula terbayang-bayangkan pembantu peribadinya sendiri.
Benar kata orang. Jangan terlalu benci sangat pada seseorang itu. Tidak fasal-fasal mula syok kat orang yang kita benci itu. Macam mana? Siapa mahu jawab?
“Macam mana Zulaikha? Jom kita sarapan dulu,” pelawa Darwish lagi setelah lama Zulaikha mendiamkan diri.
“Hmm... tapi...”
“Tak ada tapi-tapi lagi,” ujar Darwish sambil melangkah beberapa langkah ke hadapan.
Zulaikha terpaksa mengekori langkah ketuanya itu. Tiba-tiba langkah Zulaikha terhenti bila dihalang Qadir yang kebetulan berada di situ.
“Hei! Nak ke mana ni?”
“Oh, Tuan Qadir.”
Langkah Darwish terhenti bila terdengar suara Qadir. Serta-merta dia menoleh. Timbul rasa cemburu di hati. Zulaikha sedang tersengih-sengih gatal dengan sepupunya itu. Jarak dia dan Zulaikha ketika ini lebih kurang 15 meter di belakang.
Darwish mengetap gigi menahan geram bila dia tidak diedahkan. Dengan wajah sinis dia melangkah menghampiri Zulaikha dan Qadir yang sedang berborak.
“Eh!” sergah Darwish sambil menarik Zulaikha menghampirinya.
Qadir terkejut melihat tindakkan sepupunya itu.
“Zulaikha ni pembantu peribadi aku. Apa hal kau berbual dengan dia?” tanya Darwish sinis. Jelas sekali cemburunya.
Qadir tersengih sinis.
“Darwish, sekarang ni baru pukul 8.15 pagi tau? Waktu pejabat yang rasmi pukul 9.00 pagi. Ini bermakna Zulaikha belum sah jadi pembantu peribadi kau,” balas Qadir sambil menarik lengan Zulaikha yang sebelah lagi menghampirnya.
Zulaikha terkedu melihat pergaduhan dua bersaudara itu. Tangan kiri dan kanannya sudah dipegang oleh kedua-dua lelaki itu. Mujurlah dia memakai kemeja lengan pajang hari ini. Berlapiklah juga tangannya. Tapi, sakit dan sengalnya tetap terasa.
“Tapi, dia dibayar untuk jadi pembantu peribadi aku. So, kalau aku ada di hadapan mata dia, serta merta aku akan jadi ketua dia,” ujar Darwish tak mahu kalah.
Dia hanya mempertahankan haknya sebagai ketua kepada Zulaikha. Dia merenung mata Zulaikha dengan renungan yang cukup tajam sekali.
Zulaikha jadi serba salah. Dia pun tak sangka akan terserempak dengan Qadir di lobi tadi. Lelaki itu dengan penuh sopan mengajaknya sarapan juga. Tapi dia kini bersama ketuanya.
Namun kata-kata Qadir tadi ada benar juga. Sekarang belum masuk waktu pejabat. Jadi, dia ada hak untuk keluar dengan sesiapa pun.
“Kontrak kerja mana kau pakai? Sejak Merbok Construction Berhad dibina. Salah satu tatatertib syarikat, setiap pekerja MCB perlu fokus pada kerja dan mengabaikan hal peribadi ketika waktu pejabat dari pukul 9.00 pagi sehingga 5.00 petang. Tak termasuk waktu lunch. Sekarang ni masa kerja Zulaikha belum bermula. Aku nak ajak dia breakfast dengan aku.”
“Tak boleh!” Pantas Darwish meningkah sambil menarik lengan Zulaikha menghampirinya.
Kasihan Zulaikha. Jadi tali dalam permainan tarik tali di antara ketuanya dan Qadir.
“Kenapa pulak tak boleh?” tanya Qadir mempertikai.
“Aku kata tak boleh, tak bolehlah!” ujar Darwish, tetap dengan keputusannya.
“Hei, selama ni kau tak pernah suka pada pembantu peribadi kau. Masa Syafiq jadi pembantu peribadi kau, budak tu nak keluar lunch dengan kawan dia, kau biarkan aje. Tapi, sejak Zulaikha jadi pembantu peribadi kau, kenapa kau tak bagi pulak dia nak breakfast dengan orang lain? Kau suka Zulaikha, erk?” terjah Qadir.
Darwish terkejut dengan pertanyaan Qadir itu. Dia melarikan padangannya dari terus menatap wajah Zulaikha yang sedang memandangnya. Dia masih tidak yakin dengan perasaannya. Dia masih keliru dengan perasaannya.
“Mana ada? Kau suka buat andaian sesuka hati kau aje.”
Teragak-agak Darwish menafikan. Dia malu dengan dirinya sendiri. Egoisnya lebih tinggi menguasai dirinya ketika ini. Dalam masa yang sama hatinya terus memaki dirinya kerana menjawab sedemikian rupa.
“So, kenapa kau beria-ia tak bagi Zulaikha breakfast dengan aku seolah-olah dia ni kekasih kau? Siap nak marah-marah aku lagi,” sindir Qadir sengaja hendak buat sepupunya itu sakit hati.
Jika Darwish benar-benar suka Zulaikha sekalipun, apa dia kisah? Yang penting hatinya bagaikan ada getaran di sebahagian tempat, setiap kali berada di sisi Zulaikha.
Darwish terdiam. Tak tahu nak kata apa. Meter pengukur egoisnya sudah berada di tahap yang tertinggi. Amarah dan rasa geramnya mula meledak. Tapi ditahan-tahan.
Jika dia terus mempertahankan kehendaknya, dia khuatir rahsia hatinya boleh dibaca Qadir dan Zulaikha. Dia tidak boleh biarkan hal itu berlaku.
“Okey, tepat pukul 9.00, saya nak awak ada dalam pejabat bersama kopi untuk saya.” Serius Darwish memberi peringatan sambil merenung tajam ke arah Zulaikha.
Sakit hatinya pada gadis itu kerana tidak membelanya. Dia ketua wanita itu, sepatutnya wanita itu berada di sisinya. Bukan berada di sisi Qadir untuk bersarapan bersama. Sepatutnya dia yang bersarapan bersama Zulaikha. Bukan Qadir.
“Jom Zulaikha kita ke kafe di hotel sebelah. Jangan layan sangat berok sekor ni,” ajak Qadir.
Namun di dalam hati Qadir, membuak-buak kegembiraan kerana berjaya buat Darwish makan hati.
Zulaikha menuruti langkah Qadir. Sekilas dia memandang ke arah Darwish yang masih merenug tajam ke arahnya. Serba salah pula dia pada ketuanya itu. Tapi dia peduli apa. Janji dia dapat breakfast dengan lelaki semacho Qadir.
Darwish berpaling ke arah lif dengan hati membara. Sakit hatinya melihat kemesraan Zulaikha dengan Qadir. Kenapa Zulaikha tidak semesra itu ketika bersamanya? Tanpa sedar dia iri hati!
Di kejauhan sepasang mata sinis sedang memerhati aksi mereka sebentar tadi.
Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.
Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.