| 17 |
SELEPAS diyakinkan beberapa kali, akhirnya
wanita di hadapannya itu bersetuju juga untuk minum bersamanya di restoran itu.
“Kita tunggu Aidil kat sini ke?” tanya Delyna
selepas pelayan beredar.
Dwan tidak terus menjawab.
“Minumlah dulu, awak mesti dahaga,” pelawa
Dwan sambil menyedut minuman.
Delyna mengeluh halus. Minuman sejuknya
disedut sedikit. Sekadar memenuhi pelawaan Dwan. Ingatkan sedut sedikit. Tanpa
dia sedar, hampir separuh juga air di dalam gelasnya sudah disedut.
Tersengih Dwan melihat wanita di hadapannya
itu. Dahaga sungguh dia ni, detik hatinya sambil menyembunyikan sengihan.
<div class="separator" style="clear: both; text-align: center;">
<a href="http://3.bp.blogspot.com/-WomV7nEk28g/Uz6lDErFeKI/AAAAAAAAErg/xJCI2lbuNgI/s1600/Azrin-Aidil.png" imageanchor="1" style="clear: right; float: right; margin-bottom: 1em; margin-left: 1em;"><img border="0" src="http://3.bp.blogspot.com/-WomV7nEk28g/Uz6lDErFeKI/AAAAAAAAErg/xJCI2lbuNgI/s1600/Azrin-Aidil.png" /></a></div>
“Sebenarnya, Aidil tak ada kat gim, dia kena
jaga gim kat Taman Maju sejak petang tadi,” ujar Dwan.
Delyna memandang lelaki di hadapannya itu
dengan pandangan bosan. Dia terasa tertipu.
“Kenapa awak tak cakap awal-awal?” rengus
Delyna.
Dia bangkit berdiri.
“Nanti Lyna,” tahan Dwan.
Terhenti langkah Delyna.
“Saya tahu saya salah sebab tak beritahu awak
yang Aidil tak ada kat gim. Tapi, please... duduklah dulu. Mungkin kita boleh
berborak fasal dia,” ujar Dwan, cuba memancing minat Delyna.
Berkerut dahi Delyna lalu menoleh memandang
Dwan.
“Macam mana awak boleh tahu nama saya?”
“Duduklah dulu. Minuman awak pun tak habis
lagi.”
Mahu tak mahu Delyna terpaksa juga melabuhkan
punggungnya semula. Moodnya sudah berubah.
“Aidil yang beritahu nama awak pada saya.”
Sekali lagi Delyna memandang curiga pada
lelaki di hadapannya itu yang masih tidak diketahui namanya.
“Mesti awak dah tahu segala-galanya tentang
saya melalui Aidil, kan?” duga Delyna.
Dwan tersenyum lalu mengangguk sekali.
Minumannya disedut lagi.
“Tapi, saya cuma tahu cerita dari pihak dia
aje. Dari pihak awak, saya tak tahu,” ujar Dwan sambil menyandarkan tubuh pada
kerusi.
“Perlu ke saya ceritakan apa yang berlaku
antara saya dan Aidil pada awak? Nama awak pun saya tak tahu,” ujar Delyna
sambil menjeling ke atas.
Dia bengang. Pasti lelaki di hadapannya itu
memikirkan hal yang negatif tentang dirinya.
“Terserah pada awak. Oh ya, sebelum terlupa,
nama saya Dwan. Panggil aje Wan,” ujar Dwan, memperkenalkan diri.
Dia terlupa yang dia belum pernah memberitahu
namanya pada wanita itu. Dia mengenali Delyna pun melalui Azrin Aidil. Ini
pertemuan pertama mereka secara berdepan.
Delyna hanya mencebik.
“Ada aku tanya?” bisik Delyna sambil memandang
ke arah lain.
“Apa? Awak cakap apa? Saya tak dengar.”
“Tak ada apa-apa Encik Dwan,” jawab Delyna
dengan sengihan paksa.
Dwan mengeluh halus sambil mengambil nafas
untuk memulakan bicara. Mindanya ligat memikirkan ayat yang sesuai untuk
digunakan sebagai kata pembuka cerita. Niatnya mengajak Delyna minum bersamanya
ketika ini hanya satu. Dia ingin tahu apa sebenarnya yang menyebabkan wanita
itu beria-ia mahu kembali semula pada Azrin Aidil yang telah dia tinggalkan dua
tahun lalu. Dia dapat rasa, ada sesuatu yang menyebabkan wanita itu beria-ia
mahu mendapatkan hati Azrin Aidil semula.
“Kalau saya nak tanya sesuatu pada awak,
boleh?”
Delyna memandang Dwan.
“Tanya ajelah. Muka saya ni kan, memang macam
perempuan yang kerja kat kaunter pertanyaan tu,” perli Delyna sambil memandang
ke arah lain.
Tergelak kecik Dwan mendengar jawapan Delyna
itu. Loyar buruk pulak dia ni, detik hatinya.
“Aidil beritahu saya, awak nak kembali bersama
dia semula. Betul ke?” soal Dwan.
Dia tetap mahu bertanya. Tidak kisahlah
perempuan di hadapannya itu mahu fikir dia cuba menyibuk atau apa sekalipun.
Yang penting dia mahu tahu apa yang dia perlu tahu.
“Awak kata, Aidil dah cerita semuanya pada
awak. Dan saya yakin, dia akan cerita jugak pada awak apa yang kami bualkan
setiap kali saya jumpa dia. Kenapa awak tanya soalan yang awak dah tahu
jawapannya? Awak ni cuba duga saya ya?” soal Delyna selepas membebel panjang
berjela.
Dwan tidak terkejut atau kaget. Dia sudah
menduga Delyna akan memberi respons sedemikian.
“Ya, sebagai kawan baik dia. Dia menaruh
sepenuh kepercayaan dia pada saya dan telah menceritakan segala-galanya tentang
awak dan dia pada saya. Saya tanya awak, sebab saya nak tahu cerita dari pihak
awak. Manalah tahu awak ada alasan yang lebih kukuh kenapa awak perlu kembali
pada dia. Tapi, awak tak mampu nak beritahu dia alasan tu.”
“Seperti yang saya katakan tadi, perlu ke saya
cerita pada awak?”
“Mungkin perlu, dan mungkin tidak. Tapi, jika
awak ceritakan pada saya, mungkin saya boleh bantu awak untuk kembali semula
pada dia. Siapa tahu, kan?”
Dwan cuba memujuk Delyna dengan helah
kata-katanya. Minumannya disedut lagi.
Delyna memandang lama lelaki di hadapannya
itu. Hatinya berbelah bahagi sama ada perlu atau tidak dia mempercayai lelaki
di hadapannya itu.
*********
“BETULLAH, ni tempatnya,” ujar Nabila pada
Shakir sambil terhendap-hendap di sebalik kereta yang terparkir di hadapan
hotel bertaraf tiga bintang itu.
Disebabkan kerisauan Shakir pada Syahirah, dia
pula terpaksa menjadi spy tidak bertauliah ketika ini.
“Betul ke? Kalau salah, macam mana?” soal
Shakir, masih sangsi.
“Kau tak nampak huruf-huruf bercahaya kat atas
tu?” soal Nabila sambil menunjuk ke arah atas bangunan 25 tingkat di hadapan
mereka itu.
Terpampang di puncak bangunan hotel itu
perkataan Hotel Garden dengan huruf bercahaya warna hijau.
Shakir mendongak. Dia tersengih selepas
melihat perkataan bercahaya itu.
Nabila sudah buat muka sakit hati sambil
menyilang tangan di dada.
“Sorry Ila, tak perasan pulak,” ujar Shakir
sambil mengaru-garu belakang kepala yang tidak gatal.
Nabila menjeling langit yang gelap. Menyampah!
“So, nak masuk ke tak?” tanya Nabila.
Shakir memanjangkan leher memandang ke dalam
bangunan di hadapan mereka itu.
“Kat mana kafeteria hotel ni?” tanya Shakir
lagi.
Nabila sudah buat muka bosan. Ada jugak yang
aku hempuk dengan kasut saiz enam aku ni, getus hati Nabila sambil menahan
geram.
Shakir tergamam apabila melihat Nabila buat
muka tidak puas hati di sebelahnya.
“Aku salah tanya ke?”
“Aku rasa kau kena pakai cermin matalah,
Shak,” cadang Nabila.
Dia rasa Shakir wajib bercermin mata selepas
ini.
“Kau nampak tak, manusia kat dalam tu tengah
buat apa?” sambung Nabila.
Shakir melihat ke arah yang dimaksudkan.
“Dia orang tengah makan. Kenapa?”
“Aduh!” ujar Nabila sambil menepuk dahi.
Dia hanya mampu bersabar.
“Kau rasa dia orang ni semua makan kat dalam
tandas ke?” tanya Nabila lagi.
Dia cuba menyedarkan Shakir apa yang dicarinya
sejak tadi ada di hadapannya matanya.
Shakir memandang lagi ke arah yang
dimaksudkan. Tertera di pintu sebelah kanan perkataan ‘Cafeteria’. Dia
tertunduk malu.
“Sorry Ila.”
Nabila mengeluh bosan.
“Dahlah, jom kita cari Syah kat dalam,” ajak
Nabila.
Dia mula menyusun langkah mendekati kafeteria
itu.
Shakir mengekori Nabila dari belakang. Sampai
di tepi kafeteria hotel itu, mereka menyembunyikan tubuh masing-masing di
sebalik dinding. Perlahan-lahan dia menghendap ke dalam kafeteria itu mencari
kelibat Syahirah dari balik cermin lut sinar di sebelah mereka. Dari cermin lut
sinar itu mereka dapat melihat apa yang ada di dalam kafeteria itu.
“Ada tak Syah kat dalam?” tanya Shakir.
“Aku tak nampak dia lagi,” jawab Nabila.
“Hotel ni cuma ada satu kafeteria aje ke?
Entah-entah dia kat kafeteria lain,” ujar Syakir, menimbulkan persoalan.
“Hisy, mana ada. Biasanya hotel tak berapa nak
gah macam ni cuma ada satu kafe aje,” sangkal Nabila.
Shakir turut menghendap ke dalam kafeteria.
“Eh, tu Syah, kan?” soal Shakir, ingin
kepastian.
Dia sudah terlihat kelibat Syahirah.
“Mana?” tanya Nabila sambil mencari kelibat
Syahirah.
“Tu, kat tepi dinding tu,” ujar Shakir sambil
menjuihkan bibir ke arah satu sudut restoran..
Nabila memandang ke arah yang dimaksudkan
Shakir. Kelihatan Syahirah bersama seorang lelaki yang agak bergaya di
hadapannya. Disebabkan lelaki itu duduk membelakangi mereka, maka mereka tidak
dapat melihat wajah lelaki yang digelar Dato’ Z itu selain wajah Syahirah
sahaja.
“Syah tu memang cakap tak serupa bikin,” keluh
Shakir.
Dia lalu berdiri di sebalik dinding.
Nabila yang terhendap-hendap mula menjauhkan
diri dari dinding lut sinar kafeteria itu lalu menghampiri Shakir.
“Kenapa kau cakap macam tu?” soal Nabila.
“Tadi, masa kat studio, beria-ia dia cakap tak
nak makan dan minum apa-apa makanan. Kau tak nampak ke apa dia buat tadi? Bukan
main pelahap dia melantak makanan dia,” rungut Shakir.
Nabila kembali mengintai ke dalam kafeteria
dari sebalik dinding itu. Ya, betul kata Shakir. Kelihatan Syahirah begitu
gelojoh menjamah makanannya. Seketika kemudian, dia kembali berdiri di sebelah
Shakir.
“Haahlah, bukan main sedap dia melantak udang
galah tu.”
“Tulah, dia tak risau ke kalau orang tua tu
letak dadah ke? Pil khayal ke?”
“Tapi kan, kalau aku jadi dia, takkan aku nak
tolak rezeki depan mata. Besar gila udang galah tu. Ingat senang ke nak dapat
makan udang galah sebesar alam tu,” ujar Nabila dengan memek muka teruja.
Shakir buat muka bosan sambil memandang
Nabila.
“Kau ni dengan Syah, sama ajelah.”
Shakir terasa seperti buang masa bercakap
dengan Nabila. Sangkanya gadis itu mahu menyebelahinya. Ternyata tidak. Boleh
pula Nabila menyokong tindakan Syahirah.
“Eh, kau nak ke mana pulak tu?” tanya Nabila
apabila Shakir tiba-tiba melangkah meninggalkan kafeteria itu.
“Baliklah, takkan nak tunggu kafe ni tutup
kut.”
Shakir sudah berjauh hati. Dia merasakan dia
sedang diperbodohkan. Walaupun perkara yang dilakukan oleh Syahirah itu
bukanlah hal besar. Tetapi baginya, Syahirah sudah mengkhianatinya. Hakikat
yang sebenar, dia risau jika Syahirah diperdaya oleh lelaki tua itu. Sebab itu
jiwanya tiba-tiba menjadi sensitif tidak tentu fasal.
“Balik?” soal Nabila dengan terkejut.
Dia menahan langkah Shakir.
“Takkan kau nak biarkan Syah macam tu aje.
Kalau orang tua bangka tu buat apa yang kau cakapkan kat studio tadi, macam
mana? Campak mayat Syah dari tingkat 20?” sambung Nabila.
Dia memandang ke atas. Melihat aras 20
bangunan hotel itu. Agak tinggi dan menggerunkan.
“Lantak dialah. Dah dia mengada-ngada makan
makanan yang orang tua tu pesan, kenapa? Nasib dialah,” balas Shakir dengan
nada yang agak kasar.
Nabila tersengih.
“Marah nampak? Kau ni sebenarnya
“Eh, mana ada. Aku cuma rasa diperbodohkan.
Kita ni punyalah risau fasal dia. Dia pun dah kata tak nak makan atau minum
apa-apa aje makanan atau minuman yang orang tua tu pesan. Alih-alih, dia bedal
semua makanan yang ada. Cakap tak serupa bikin!” tegas Shakir.
“Ala Shak, kau mengaku ajelah yang kau
sebenarnya cemburu sebab Syah tetap nak jumpa Dato’ Z dia tu, kan? Kau risau
Syah betul-betul terima Dato’ Z tu sebagai suami dia, betul tak?” ujar Nabila
dengan yakin.
Shakir berpaling membelakangi Nabila sambil
menyilang tangan di dada.
“Apa-apa ajelah. Kalau aku cakap risau pun,
kau akan tetap fikir aku jealous. Aku nak kata apa lagi?”
“Tapi, tu hakikat yang sebenarnya, kan?”
“Shak?”
Suara itu membuatkan Nabila dan Shakir seperti
tertelan ubat gegat. Suara yang cukup mereka kenali. Perlahan-lahan Shakir dan
Nabila memandang ke arah suara itu yang betul-betul datang dari belakang
mereka.
Seperti diduga, Syahirah berada di belakang
mereka ketika ini. Belum sempat Shakir mahupun Nabila bersuara, tiba-tiba
Syahirah melangkah laju mendapatkan Shakir lalu dia memeluk tubuh Shakir
seeratnya sambil menangis tersedu-sedan. Mereka berdua tergamam.