| 06 |
SATU per satu profile Facebook rakan-rakan
lelakinya dilihat. Namun kebanyakannya tidak berkenan di hati. Lumrah dunia
laman sosial, walaupun saling berkawan di alam maya, namun tidak pernah
bertegur sapa.
Ada juga yang berbual melalui mesej peribadi
dan komen-komen di status masing-masing seperti sudah kenal lama. Hakikatnya,
jumpa sekalipun tidak pernah. Itulah dunia laman sosial. Ada yang rapat, ada
yang tidak. Semuanya hanya di alam maya.
“Aduh, tak ada yang berkenan pulak. Ada yang
berkenan, aku hantar mesej, tak berbalas. Menyesal pulak aku ikut idea Shak ni.
Memang tak boleh pakai betul idea dia. Klise!” bebel Syahirah.
Dia mencampak perlahan telefon pintarnya di
atas meja. Teh ‘O’ aisnya disedut sehingga separuh.
“Hai Syah, seorang aje ke? Mana Shak?” tanya
Pak Dolah yang kebetulan mahu mengemas meja yang berhampiran dengan Syahirah.
“Saya tengah tunggu dialah ni, Pak Dolah.
Lambat sangat,” jawab Syahirah, tertekan.
“Kejap lagi sampailah tu. Macamlah kau tak
kenal dengan Shak tu. Kalau bawak motor tu, sopan aje. Cucu Pak Dolah yang umur
12 tahun tu pun, lagi laju bawak motor dari dia. Tak faham sungguh Pak Dolah
dengan kawan kau tu,” luah Pak Dolah sambil mengelap meja.
“Tulah fasal Pak Dolah. Saya pun tak faham
dengan dia tu. Penakut sangat bawak motor.”
Pak Dolah tergelak.
“Pak Dolah rasa, kau kena suruh dia ambil
lesen bawak kereta. Manalah tahu dia lebih berani bawak kereta. Yalah, kereta
kan ada tayar empat. Dia bergelek gerudi macam mana pun dalam kereta tu, takkan
tumbang punyalah.”
Mereka sama-sama tergelak.
“Betul jugak kata Pak Dolah tu. Nanti saya
suruh dia ambil lesen kereta,” ujar Syahirah menerima cadangan Pak Dolah.
“Haa, baru cakap fasal dia, dah sampai.
Panjang umur dia,” kata Pak Dolah sambil menjuih bibir ke arah Shakir yang
sedang menuju ke warungnya.
Syahirah memandang ke arah yang dimaksudkan
Pak Dolah. Kelihatan Shakir semakin hampir ke warung itu dengan menunggang
skuternya. Dalam masa dua puluh saat, Shakir sudah melangkah menuju ke arahnya
bersama helmet di tangan.
“Apa hal lambat?” tanya Syahirah tanpa
berbasa-basi.
Shakir tidak terus menjawab. Dia meletakkan
helmet di tangan di atas kerusi kosong di sebelahnya lalu dia melabuhkan
punggungnya di atas kerusi lain yang berhadapan dengan Syahirah. Apabila dia
ternampak Pak Dolah tidak jauh dari mejanya, dia terus membuat pesanan. Dia
sekadar memesan air laici kang.
“Mana ada lambat?” jawab Shakir, menyoal
kembali.
“Biasanya, pukul 6.15 kau sampai. Apa hal hari
ni pukul 6.30 baru kau nak sampai sini?” soal Syahirah, tidak puas hati.
“Aku ada hal sikit tadi, kat butik. Kau mana
tahu. Kerja kau kat situ cuma hantar baju pelanggan ke rumah dia orang aje. Aku
ni lain. Kena potong, jahit, fitting, semualah,” ujar Shakir, membela diri.
Dia merahsiakan tentang perbualannya dengan
Pak Saad sebentar tadi. Pujukannya tidak berjaya, jadi lebih baik dia
merahsiakan sahaja hal itu.
Syahirah menjeling menyampah. Malas mahu
berbalah lagi. Dia sedar, dia sekadar budak penghantar sahaja di butik papanya itu.
Dah kerja itu sahaja yang dia mampu buat. Nak suruh dia potong baju? Jahit
baju? Memang takkan jadi. Inikan pula mahu menyulam manik. Boleh sasau dia
dibuatnya.
“Yang kau ni, apa hal muka macam berak tak
lepas?” tanya Shakir pula.
“Kaulah ni, bagi idea tak bernas. Suruh aku
cari suami kat Facebook konon. Dari malam tadi, aku duk usyar lelaki kat
Facebook, seorang pun tak balas mesej aku, tau,” luah Syahirah, putus asa.
“Laa... kenapa pulak? Tengok Facebook kau,”
pinta Shakir.
Belum sempat Syahirah menghulur telefon
pintarnya pada Shakir, tiba-tiba Fariq muncul entah dari mana di warung itu.
“Eh, Syah! Nasib aku jumpa kau kat sini,” sapa
Fariq sambil melangkah menghampiri meja mereka.
Syahirah cepat-cepat menyimpan telefon
pintarnya ke dalam poket seluar. Shakir yang terlihat perbuatan Syahirah itu
mula disapa rasa hairan.
“Eh, kau Fariq, apa hal ni?” balas Syahirah
sambil bersalaman dan melaga penumbuk.
Memang sudah gaya begitu mereka bersalaman.
Pasrah sahajalah. Konon-konon, gaya salam rockers.
Fariq memberi gaya salam yang sama pada
Shakir. Namun, terkial-kial Shakir membalas salam itu. Kelam-kabut.
“Sport rim motor yang kau tempah tu dah
sampai. Dah boleh datang bengkel. Aku nak call kau tadi, tapi prepaid telefon
aku habis. Nasib baik jumpa kau kat sini, jimat prepaid aku,” beritahu Fariq.
“Oh, okey. Esok aku datang bengkel kau.
Duduklah,” pelawa Syahirah.
“Eh, tak apalah. Aku datang warung Pak Dolah
ni pun nak tapau makanan aje. Banyak kerja kat bengkel tu aku nak kena
settlekan,” tolak Fariq dengan baik.
“Fuyoo... makin kayalah kau lepas ni, kan?”
“Kaya apa bendanya? Yang kaya tu, bos aku. Aku
tetap macam tu jugak. Gaji tak pernah nak naik.”
“Yalah tu.”
Mereka tergelak bersama. Namun Shakir nampak
boring dengan topik yang dibualkan Syahirah dan Fariq. Tidak kena dengan
jiwanya.
“Okeylah, aku nak tapau makanan dulu. Esok
jangan lupa datang bengkel. Kalau kau lambat, aku jual sport rim tu kat orang
lain.”
“Hoi, kau jangan cari fasal.”
Fariq tergelak.
“Okey, jumpa esok,” ujar Fariq meminta izin
lalu melangkah ke dalam warung Pak Dolah.
“Kau beli sport rim? Buat apa? Tak cukup
cantik ke, sport rim kau sekarang ni?” tanya Shakir sambil memandang rim
motosikal Syahirah selepas kelibat Fariq sudah menjauh.
Belum sempat Syahirah menjawab, Pak Dolah
muncul bersama air laici kang yang dipesan Shakir tadi.
“Rim tu, rim standard. Tak cantik. Tukar sport
rimlah baru gempak. Baru sporty,” jawab Syahirah selepas Pak Dolah beredar.
“Banyaklah kau punya sporty. Motor kau tu,
Honda EX5 aje kut. Mana ada orang berlumba kat litar naik motor EX5 tu.”
“Eh, kau jangan nak hina motor aku tu.
Walaupun cuma Honda EX5, aku beli cash, tau.”
“Eh, bukan papa kau ke yang belikan motor tu?”
“Duit papa aku, duit aku jugaklah, kan?”
Shakir mencebik.
“Perasan. Yang kau tu tadi, tiba-tiba sorok
telefon kau bila Fariq datang, apa hal?”
Syahirah memandang kiri dan kanan. Memastikan
Fariq tidak berada dekat dengan meja mereka.
“Aku nak hal papa aku nak menantu tu, cuma
kau, aku dan papa aku aje tahu. Aku tak nak sesiapa pun tahu, faham?” bisik
Syahirah, memberi amaran.
“Eh, apa hal pulak?”
“Kalau Fariq tahu, satu kampung kecoh nanti.
Aku tak nak sesiapa pun tahu, okey? Ni melibatkan air muka aku. Kalau hal ni
tersebar, kau orang pertama yang aku cari.”
“Okey. Bagi aku tengok profile Facebook kau.”
“Nak buat apa?” soal Syahirah.
Dia mengeluarkan semula telefon pintarnya.
“Bagi ajelah. Aku nak tengok, sebab apa tak
ada lelaki balas mesej kau.”
Syahirah menghulurkan telefon pintarnya kepada
Shakir. Telefon pintar itu dicapai Shakir lalu dia membuka aplikasi Facebook.
Dia melihat gambar di profile Facebook Syahirah.
“Patutlah tak ada orang nak balas mesej kau,”
kata Shakir.
“Eh, kenapa? Ada yang tak kena ke?” soal
Syahirah sambil menarik tangan Shakir lalu memandang skrin telefon pintarnya.
“Kau letak gambar sport rim motor kat profile
picture kau, apa hal? Memanglah tak ada sesiapa nak layan. Kau ingat, ada orang
nak balas mesej kalau gambar entah apa-apa? Kau letaklah gambar sebenar kau.”
“Hisy, tak naklah aku. Aku ni tak suka ambil
gambar sendiri. Lepas tu letak caption ‘macam cantik aje’, ‘macam comel aje’.
Muka pulak tarik muncung ke depan. Motif buat muka macam tu? Kau ingat lawa
sangat ke buat muka macam tu?” ujar Syahirah, menolak cadangan Shakir
mentah-mentah.
“Ada aku suruh kau ambil gambar buat muka
macam nak kena hempuk dengan high heel? Tak ada, kan?” marah Shakir sambil
menyerahkan semula telefon pintar milik Syahirah.
“Ambillah gambar elok-elok sikit, sopan dan
penuh keayuan,” sambung Shakir sambil menyedut air laici kang. Terasa lega
apabila air sejuk itu melintasi kerongkongnya.
“Syah! Jangan lupa esok!”
Tiba-tiba Fariq menjerit tidak jauh dari
mereka sebelum sempat Syahirah membalas kata-kata Shakir tadi.
“Ha, yalah!” balas Syahirah dengan jeritan
juga.
Dah macam jauh berbatu-batu pula. Walhal,
jarak dia dan Fariq hanya sepuluh meter sahaja.
“Eee... kau orang berdua ni kalau tak
menjerit, tak boleh ke? Bukan jauh pun!” marah Shakir sambil menekan-nekan anak
telinganya dengan jari. Mengusir bunyi berdesing hasil jeritan Syahirah tadi.
Syahirah hanya tersengih sambil menyedut
minumannya. Kelihatan Fariq meninggalkan warung Pak Dolah itu dengan menunggang
motor kapcainya.
“Okey, berbalik fasal topik kita tadi, kau
ambillah gambar yang nampak keperempuanan sikit. Jangan nak ambil gambar dengan
topi hapak kau tu. Konon-konon buat gaya macho ala-ala wanita tomboi. Zaman
sekarang ni, market wanita ala-ala tomboi macam kau, dah tak laku dah. Lelaki
zaman sekarang nak yang ayu-ayu dan sopan-sopan aje.”
“Weh, kau ingat kekerasan aku ni dibuat-buat
ke? Aku tak pernah nak mintak dilahirkan macam ni tau. Kenapa, kalau perempuan
kasar ni semuanya jahat ke? Takkan aku terus dicop perempuan dua alam
disebabkan personaliti aku macam ni. Eh, kadang-kadang perempuan yang ayu dan
sopan santun tu lagi teruk dari perempuan macam aku tau,” ujar Syahirah.
Dia terasa hati dengan kata-kata Shakir tadi.
Pantang baginya andai ada yang mengeji personalitinya. Bukan dia minta
dilahirkan sedemikian.
“Eh, aku tak carut kau ya. Aku cuma cakap apa
yang aku tahu. Kalau aku ni lelaki pilihan kau untuk dijadikan suami segera
kau, aku boleh terima kau seadanya. Tak kisahlah kau kasar ke, lembut ke,
pemalas macam kambing gurun sekali pun, aku boleh terima. Masalahnya,
lelaki-lelaki yang kau nak tackle ni, kita tak tahu lagi macam mana cita rasa
dia orang, kan? Secara lumrahnya, mana ada lelaki nak perempuan yang hodoh dan
kasar. Semua nak yang cantik-cantik dan ayu-ayu aje. Yang hodoh pun nak yang
cantik, nikan pulak yang sedia elok,” balas Shakir.
Terdiam terus Syahirah dibuatnya. Baru dia
sedar dia bersalah. Shakir berniat baik menegurnya. Dia pula yang tersentap tak
tentu fasal. Dia lihat Shakir sudah bengang.
“Okey, kau nak aku buat apa?” tanya Syahirah,
menenangkan keadaan.
“Kau cuba pakai baju kurung ke? Kebaya ke?
Pakai aje baju-baju yang orang tempah tapi tak ambil lagi kat butik papa kau
tu. Pinjam sekejap. Mekap ala kadar, ambil gambar. Lepas tu kau upload kat
Facebook. Aku gerenti, mesti ramai lelaki akan mesej kau,” cadang Shakir
walaupun di hatinya terasa sangat senak.
“Tak naklah aku kalau sampai nak kena pakai
baju kurung bagai. Nak mekap segala. Rimas tahu tak?”
Shakir buat muka bosan.
“Kau nak aku tolong ke tak? Kalau tak nak, tak
apa. Kau kahwinlah dengan Pak Mat jual tempe tu. Dah! Malas aku nak layan kau,”
ujar Shakir sambil siap-siap untuk membayar air laici kangnya yang masih bersisa
banyak.
“Okey fine, aku ikut idea kau tu. Tapi, siapa
nak mekapkan aku? Kalau dress-up tu, mungkin kau boleh tolong. Kau pandai
mekapkan orang ke?”
“Tak pandai.”
Shakir terlupa pula akan hal itu. Tiada siapa
di kalangan mereka berdua yang pandai mekap. Memang mustahil kalau Syahirah
pandai mekap.
“Dah tu? Siapa nak mekapkan aku?”
“Sabarlah, aku tengah fikirlah ni. Takkanlah
aku nak kena beli buku belajar mekap semata-mata nak mekapkan muka kau. Tak
kuasa aku nak belajar mekap bagai.”
“Dah tu?”
Mereka terdiam sejenak memikirkan cara
menyelesaikan masalah mereka. Idea sudah bernas, tetapi tetap ada masalah.
“Aku dah dapat idea. Ada seorang ni boleh
tolong kau,” beritahu Shakir, teringat seseorang yang boleh membantu mereka.
“Siapa?”
“Nabila,” jawab Shakir sambil menjongketkan
kedua-dua kening berulang kali dan tersengih-sengih.
“Nabila, adik Abang Nazrin tu?”
Shakir mengangguk laju dengan sengihan yang
semakin melebar.