Rumah itu sunyi semula. Jiran tetangga, kenalan dan rakan
perniagaan sudah pun pulang. Madunya juga sudah pulang. Tidak mahu
berlama-lama. Katrina duduk bersandar di sofa. Malam nanti majlis tahlil akan
dibuat di surau sahaja. Dia sudah pun menyerahkan sejumlah wang kepada ahli
jawatankuasa surau. Tidak perlu bersusah payah di rumah. Siapa hendak uruskan?
Dia sendiri bukan ada pengalaman pun. Kedua-dua orang tuanya tidak datang
kerana masih di luar negara. Ibu mertuanya pula, usai upacara pengebumian terus
mengurung diri.
Katrina memandang cincin di jari. Inai masih merah
menyala. Baru sahaja dia menjadi isteri Wan Ashraf, suaminya sudah
meninggalkannya. Cincin itu ditanggalkan. Dia membeleknya seketika. Adakah
memang bukan jodohnya dengan arwah suaminya? Mereka pernah ditunangkan, namun
putus di tengah jalan, lantaran arwah suaminya berkahwin dengan gadis
pilihannya sendiri.
Semakin ditenung cincin itu semakin sakit hatinya. Semakin
difikirkan semakin menanah jadinya. Usah dicerita lilihan darahnya. Usianya
dihabiskan menunggu peluang untuk berumah tangga dengan lelaki yang pertama
bertahta di hati. Sanggup dia menolak cinta lelaki lain demi setia dengan
tunangannya ketika itu. Namun kesetiaannya dibalas dengan racun yang berbisa.
Dia diberitahu yang tunangnya itu telah berkahwin. Hatinya terhempas ke batu.
Rasa dunia sekeliling bagaikan mentertawakan kesetiaannya. Dia rasa dirinya
dihina dan diinjak-injak.
Separuh gila dia memikirkan apa yang telah terjadi. Kini
dia kehilangan lagi. Buat selama-lamanya. Sakit hatinya kembali lagi, kali ini
lebih parah. Lebih menyakitnya. Wajah tenang Mastura tadi benar-benar meracun
diri. Kerana Mastura, suaminya menemui ajal. Kerana Mastura, dia kini sepi
sendiri. Mastura ada Maria, dia tiada sesiapa.
Dia mendepakan tangan, ketawa sendirian. Bukan gila tetapi
keriangan. Harta peninggalan dan warisan arwah suami bukan sedikit. Ibu
mertuanya bukan ada sesiapa. Arwah suaminya anak tunggal. Setahunya, semua
harta itu adalah atas nama ibu mertuanya. Tidak tahulah kalau sudah bertukar nama.
Dia tersenyum lagi.
Langkah Halijah perlahan menuruni anak tangga. Matanya memerhati
persekitaran rumah.
“Dah balik mereka?” Halijah mendekati menantunya yang
sedang senyum sendirian. Hairan pun ada, tetapi tidak mahu menegur. Nanti malu
pula menantunya itu.
“Err... ibu? Dah, ibu,” jawab Katrina agak terkejut.
“Esok kita ke pejabat peguam. Untung wasiat baru dibuat.
Kalau tidak, habis harta ibu dan Ashraf jatuh ke tangan perempuan tu.” Halijah
mencebik, tidak senang.
Katrina hanya menjadi pendengar. Benci benar ibu mertuanya
dengan Mastura, sedangkan yang sebenarnya Mastura juga layak mendapatkan harta
peninggalan suaminya. Lebih-lebih lagi cucunya itu, Maria.
“Ibu, macam mana kalau kita bawa Mastura dan Maria duduk
di sini?” cadangnya tiba-tiba.
“Kau dah gila ke, Rina?” Halijah kurang setuju dengan
pendapat Katrina.
“Dengar dulu, ibu.” Katrina menarik tangan Halijah dekat
dengannya.
“Rina ada rancangan. Selama ini ibu tak dapat nak mendera
Mastura. Abang Ashraf kan dah tak ada. Jadi, inilah masanya untuk ibu membalas
dendam,” cadang Katrina.
Halijah mula berfikir. Cadangan Katrina ada baiknya. Tapi
kebencian di hati membuatkan rasa ingin memandang wajah menantunya itu tidak
sanggup rasanya. Biar dia melihat beruk daripada melihat wajah Mastura. Wajah
yang telah meracun hatinya. Wajah yang telah mencarik luka yang paling dalam.
“Macam mana, ibu?” Katrina sendiri ingin melihat Mastura
dihina dan dicaci. Biar merana dan kecewa seperti dirinya. Berbuat baik
berpada-pada, buat jahat boleh juga agaknya. Semakin lebar senyumannya. Hendak
jahat biar jahat betul.
“Nanti ibu fikirkan.” Halijah tidak memberi jawapan. Dia
perlu berfikir terlebih dahulu. Berbaloikah dia mengajak menantu dan cucunya
duduk di rumah itu? Dia menggeleng berkali-kali. Puas berfikir.
“Fikir berapa lama lagi, ibu? Kita suruh aje dia tinggal
di bilik belakang. Lagipun bilik itu dah lama kosong.” Katrina terus memujuk.
“Sabarlah... kalau kita minta dia
datang sini pun, bukan dia mahu, Rina. Ibu harap cadangan kau tak sia-sia.
Nanti lain yang kita harapkan, lain pula yang terjadi.” Halijah masihragu.
“Hisy, ibu. Kita kan tuan punya rumah? Tahulah kita control
dia. Ibu jangan bimbanglah.” Baru sekejap tadi Katrina terfikirkan rancangan
itu. Mastura bukan sekuat mana pun. Mampu dikotak-katikkan.
“Ikut suka kaulah, Rina. Kalau ada masalah,
pandai-pandailah kau uruskan.” Halijah akhirnya mengalah.
Katrina senyum gembira. Wajah Halijah yang mula dimamah
usia ditenung lama. Di dalam hati, pecah gelaknya. Depan mertua sopan santun
harus dijaga. Perangai dalamannya tiada siapa yang tahu. Dia harus berjumpa
dengan Mastura. Rancangan seterusnya akan terlaksana. Dia sekarang bukan
seperti Katrina sepuluh tahun dahulu. Usia sudah mematangkan dirinya agak tidak
lagi ditipu.
KATRINAmelangkah naik ke biliknya. Daun pintu ditolak dengan
kasar. Bilik pengantinnya masih terhias indah. Masih tercium segarnya bunga
mawar dan bunga melur yang dihias indah. Dia memandang sekeliling. Gambar dia
dan arwah suaminya tergantung kemas di dinding. Pakaian pengantin yang disewa
masih belum dipulangkan. Dia mendekati birai katil. Belum merasai hangatnya
malam pertama. Kalaulah dia tidak kuat orangnya, pasti gila menyapa.
Telefon bimbitnya berbunyi mengalihkan pandangan dan
fikirannya ke dunia nyata. Dunia impian sudah menjauh pergi dan tidak akan
kembali.
“Helo, mama,” jawabnya perlahan sambil menyandar di kepala
katil. “Rina tahulah, mama. Perlahan-lahanlah. Mana boleh tergopoh-gopoh? Nanti
ibu mertua Rina perasan pula. Sabarlah! Nanti Rina bantu perniagaan papa.
Berapa mama nak guna? Seratus ribu? Banyaknya? Baiklah, mama. Tak payah
marah-marah. Okey, sampaikan salam Rina pada papa.” Dia menamatkan perbualan
dengan mamanya.
Dia mengurut dahi. Mana dia hendak cari RM100 ribu? Apa
yang dia hendak beritahu ibu mertuanya? Selama ini, ibu mertuanya yang
menandatangi segala cek, duit keluar masuk dalam syarikat perniagaan keluarga
suaminya. Orang kedua adalah suaminya sendiri. Apa yang hendak ditipunya orang
tua itu?
Telefon bimbit dicampakkan ke atas katil. Mencari-cari
solusi untuk mendapatkan duit sebanyak itu. Kalau bukan orang tuanya, tidak
ingin dia membantu. Duit tidak ada tetapi sering ke luar negara. Syarikat yang
ada pun nyawa-nyawa ikan. Itulah sebab orang tuanya mendesak dia berkahwin juga
dengan arwah suaminya. Semuanya kerana harta.
Dia akan pastikan harta itu jatuh ke tangannya. Dia akan
pastikan Mastura tidak akan dapat sesen pun. Pandailah dia nanti memujuk ibu
mertuanya untukmenjadikan dirinya pewaris harta yang banyak itu. Tiga bulan
sepuluh hari terpaksalah dia tinggal di rumah itu kerana masih dalam idah.
Selepas itu dia bebas hendak buat apa sahaja? Hendak ke mana-mana, tiada siapa
yang akan menghalang.
Dengan duit yang ada, dia boleh joli sepuas-puasnya. Sudah
lama dia tidak menikmati kehidupan yang serba mewah semuanya gara-gara sikap
orang tuanya. Baru untung sikit terus bercuti. Asyik bercuti sehingga
perniagaan terpinggir dan hanya mengharapkan para pekerja. Lama-lama pekerja
pun bosan. Majikan sering tiada dipejabat.
Gaji juga kecil kerana keluarganya lebih memikirkan
keuntungan poket sendiri. Kalau orang tuanya tidak berniaga pun lebih baik.
Tidak menyusahkan dirinya untuk membayar hutang yang berkepuk. Duduk sahaja di
rumah, dia sedia memberi duit kepada mereka. Apa pun alasannya, rancangan yang
ada perlu diteruskan sehingga berjaya.