Solat isyak selesai ditunaikan. Dia masih berteleku di atas
sejadah. Berzikir dan mengingati Penciptanya. Hanya kepada Yang Esa dia bebas
berbicara, meluahkan apa yang dirasa. Dalam masa yang sama tidak lupa mendoakan
kesejahteraan arwah suami tercinta. Hanya itu yang mampu dilakukan untuk insan
tersayang.
Perut sudah terasa pedihnya. Tidak ada sesiapakah di
rumah? Sunyi dan sepi. Mastura mengerut dahi. Kain telekung ditanggal lalu
menuju ke dapur. Dapur gelap-gelita. Lampu dipasang. Dia ke ruang tamu. Tiada
bayang sesiapa bagaikan rumah itu tiada penghuni. Ke mana mereka pergi? Perut
yang lapar minta diisi. Tentu Maria juga lapar. Apa susah? Restoran bersepah di
kawasan Bangi. Sedap dengan tidak sahaja. Susah sangat, telefon sahaja Pizza
Hut, McD atau KFC. Dia kembali ke dalam biliknya.
“Maria lapar tak? Kalau lapar, kita keluar makan, nak
tak?” Mastura membelai lembut rambut Maria.
“Lapar sikit aje.” Maria menyengih. Baru berumur lima
tahun tetapi petah berkata-kata.
“Kalau macam tu, kita keluar makan. Nanti dah kenyang baru
boleh tidur lena.” Mastura menukar pakaian. Maria sudah bersedia. Hendak ke
mana lagi. KFClah jawabnya.
Malam yang panjang dan panas membuatkan kedua-dua beranak itu
tidur dalam keadaan tidak selesa. Beberapa kali Maria terjaga. Puas dia
mengipas anaknya dengan surat khabar. Dirinya sendiri berpeluh. Hendak tidur di
luar, apa pula kata ibu mertuanya? Mahu tidak mahu, terpaksalah dia bertahan
untuk malam itu.
Mata yang mengantuk membuatkan dia tidak melayan sangat
keadaan panas yang memenuhi ruang biliknya. Sesekali dia terjaga kerana
rengekan Maria yang tidak selesa. Berpeluh tubuh anaknya. Bilik itu hanya ada
tingkap nako yang kecil. Kalau buka luas pun tiada angin yang menerjah masuk.
Azansubuh dari masjid berhampiran menggamit Mastura segera
bangun. Peluh didahi dilap dengan tuala. Lampu dibiar terpasang. Maria juga
berpeluh. Cuaca panas sangat sangat malam tadi. Namun, syukurlah
sekurang-kurangnya dia masih dapat melelapkan mata. Mastura bingkas bangun
menuju ke bilik air.
Usai mandi dan mengambil wuduk, dia menunaikan solat
subuh. Membaca mathurat dan Yasin untuk mendapatkan ketenangan diri. Dia juga
berdoa semoga arwah suaminya di tempatkan bersama orang-orang beriman.
Dia membiarkan Maria tidur. Malam tadi lenanya terganggu
kerana panas. Dia melangkah ke dapur yang gelap-gelita. Lampu dipasang. Cahaya
mentari masih belum merembes keluar. Bunyi kokokan ayam bersahut-sahutan
memeriahkan suasana nyaman pada waktu dinihari.
Apa yang harus dia lakukan? Buat sarapan? Apa salahnya dia
memasak? Mungkin mertuanya tidak akan marah, malah dia ingin mertuanya merasai
masakan air tangannya sendiri. Manalah tahu dengan memasak, dapat memikat hati
ibu mertuanya itu.
Melihat barang-barang mentah di dapur membuatkan dia
bercadang hendak menggoreng bihun sahaja. Sayur sawi, kubis, udang dan ayam
dibawa keluar dan dipotong. Udang dibuang kulitnya. Bihun telah siap direndam.
Dia menghidupkan cerek elektrik untuk memasak air. Apa agaknya minuman
kegemaran ibu mertuanya? Ada kopi, teh dan Milo. Mungkin mereka minum
ketiga-tiga minuman tersebut. Mastura membancuh seteko kecil air Milo. Maria
suka minum Milo.
Usai masak, dia menghidangkan makanan tersebut di atas
meja makan. Dia tersenyum gembira. Rasa sempurna masakannya itu. Dia masuk
semula ke dalam biliknya. Maria sudah terjaga rupanya.
“Maria, jom mandi. Lepas tu, kita bersarapan ya?” Mastura
mendukung Maria dan membawanya ke bilik air. Dia tersenyum sambil memeluk
Maria. Wajah Maria yang tak tumpah wajah suaminya membuatkan hatinya terusik.
Rindu menerpa tiba-tiba. Bagaikan masuk terbayang wajah itu tersenyum dan
memanggil namanya. Kenapa cepat sangat suaminya meninggalkan dia. Dia
beristighfar. Dia tidak boleh mempersoalkan takdir ILAHI. Sudah sampai ajal
suaminya.
Menunggu seketika di meja makan. Terjengah-jengah menanti
kehadiran ibu mertua dan madunya. Takkan mereka masih tidur lagi. Sudah jam
8.00 pagi.
“Maria tunggu sini, mak pergi cari nenek dan mak uda.”
Mastura melangkah menuju ke tingkat atas rumah tersebut. Dia memerhati keadaan
di tingkat tersebut. Hiasannya lebih cantik, lebih mewah dan indah. Terdapat
beberapa buah pintu. Entah mana satu bilik ibu mertua dan madunya.
Teringat rumahnya
sendiri. Rumah teres dua tingkat lot tepi yang dibeli oleh suaminya telah
diubah suai sepenuhnya. Cukup mewah untuk insan seperti dia yang berasal tiada
apa-apa. Dia bersyukur dengan pemberian ALLAH S.W.T kepadanya. Namun dia tidak
pernah menggunakan kekayaan suaminya untuk kepentingan diri dan keluarganya. Di
rumah itulah terbina Syurganya dan suami. Kini Syurga itu telah tiada. Kenangan
bersama suaminya juga sudah lebur bersama percikan api yang telah membahang
rumah tersebut sehingga menjadi abu. Musnah segala-galanya. Pada hari itu
jugalah suaminya menghilangkan diri. Dia fikirkan ke mana. Rupa-rupanya
bernikah lagi.
“Cari apa?” tegur satu suara.
Mastura menoleh. Wajah ibu mertua yang masih berbaju tidur
dipandang sekali imbas. Dia melemparkan senyuman.
“Nak jemput ibu sarapan bersama. Mas dah siapkan sarapan.”
Hatinya berbunga riang jika ibu mertuanya sudi menjamah masakannya.
“Rajinnya kau. Kejap lagi aku turun.” Halijah melangkah
masuk ke dalam biliknya semula.
Mastura turun semula ke tingkat bawah. Rumah agam itu
benar-benar terasa sunyi. Bagaimanalah ibu mertuanya boleh tinggal sendirian?
Katrina baru sahaja datang dan tinggal di situ setelah berkahwin dengan arwah
suaminya.
Dia meletakkan dua biji cawan dan pinggan di atas meja.
Sambil itu dia menyuap Maria yang berselera sekali menjamah bihun goreng yang
dimasaknya tadi. Cili kicap juga disediakan.
“Rajinnya...” Katrina mengenyitkan mata ke arah
ibu mertuanya yang sudah pun mengambil tempat di meja makan.
“Kalau malas, tak payah jadi menantu aku.” Halijah
menjeling.
Mastura hanya tersenyum.
“Malam ini kami ada buat jamuan. Aku nak kau yang masak.
Jemputan dalam seratus orang. Kawan, saudara-mara dan kenalan aku,” kata
Halijah tanpa memandang langsung wajah Mastura.
“Mas nak masak apa, ibu? Manalah Mas biasa masak sebanyak
tu?” tanya Mastura. Manalah dia pernah memasak untuk 100 orang? 10 orang pun
sudah kira ramai. Biar betul? Adakah ibu mertuanya hanya bergurau dengannya?
“Hei, pandai-pandailah kau! Aku cuma sediakan
barang-barang yang kau perlu masak. Takkan nak bantah pula?” Halijah menjeling
tajam.
Mastura terdiam.
“Alah... buat ajelah, Mas. Itu penghormatan untuk awak.”
Katrina tersenyum manis.
Mastura serba salah. Memang benar dia tidak pernah memasak
untuk 100 orang. Menu apa yang hendak dia masak? Bukannya pandai sangat. Masak
untuk arwah suaminya bolehlah. Belum pernah dia memasak untuk tetamu yang
sebegitu ramai. Kalau suaminya hendak buat rumah terbuka atau kenduri doa
selamat, mereka akan menempahnya pada katering.
“Jangan bagi alasan. aku tahu siap aje.” Halijah
menghabiskan air Milonya dan berlalu meninggalkan ruang makan itu.
Katrina hanya tersenyum sinis.
Mastura tidak terkata apa-apa. Dia terpaksa akur kehendak
ibu mertuanya. Nanti dikatakan suka melawan pula. Baiklah ikut sahaja rentak
mereka.
Usai mengemas meja makan, Mastura masuk semula ke
biliknya. Maria perlu ditidurkan seketika. Wajah kantuk anaknya ditatap
seketika.
“Ibu!Siapa ada pesan perabot dan barangan elektrik ni?!” laung
Katrina dari luar pintu utama. Jenuh dia bertengkar dengan pemandu lori
berbangsa India yang menghantar barang-barang tersebut.
Halijah bergegas mendapatkan menantunya. “Mana saya ada
pesan perabot dan barang elektrik!” Dahinya berkerut seribu. Dia kehairanan.
Set bilik tidur, penghawa dingin dan kipas. Televisyen pun ada. Bertambah
kehairanan menghenyak fikirannya.
“Mak cik saya datang nak pasang Astro,” beritahu seorang
lelaki yang muncul tiba-tiba.
“Astro? Bukan ke rumah ni dah ada Astro?” Katrina sendiri
bingung seketika.
“Mahu pasang satu lagi,” kata lelaki berbangsa Cina itu.
Mastura muncul sebaik terdengar kekecohan yang berlaku.
“Maaf... Mas yang pesan. Err... awak boleh bawa masuk ikut pintu dapur. Bilik
di belakang, ya? Astro pun di bilik belakang juga,” arahnya. Wajah mereka yang
memandangnya dengan penuh tanda tanya langsung tidak dihiraukan. Dia terus
beredar ke belakang.
Membuntang mata Katrina dan Halijah.
“Dia... Dia beli perabot baru? Pasang Astro pula tu.”
Mendidih darah Halijah mendengar dan melihat situasi tadi. Dia sengaja
menyediakan bilik yang tidak selesa untuk menantunya itu. Alih-alih menantunya
menjadikan bilik itu lagi selesa dengan barangan yang dibeli.
“Macam mana ni, ibu? Dia lebih bijak daripada kita.”
Katrina merengus kasar. Sakit juga hatinya. Dia ingatkan Mastura akan berasa
terdera dan terseksa, rupa-rupanya tidak. Perempuan itu lebih pandai. Menempah
perabot untuk keselesaan sendiri. Pandai-pandai sahaja dia membuat keputusan
tanpa bertanya. Lain yang diharapkan, lain pula yang terjadi.
“Biarkan dia. Kita masih banyak peluang lagi.” Halijah
tidak mahu cepat mengaku kalah. Dia menghenyakkan tubuh di sofa. Malam ini dia
ada rancangannya tersendiri. Perempuan itu ingat dia bijak. Halijah mengetap
bibir menahan rasa marah di hati.
Katrina berfikir panjang. Apa yang tidak kena dengan
rancangan mereka? Bilik yang sempit dan perabot yang buruk tidak sedikit pun
mengganggu perasaan Mastura. Malah dia lebih bijak mengatur. Perabot baharu
ditempah sendiri tanpa pengetahuan mereka. Banyak pula duitnya?
DI
DALAM bilik, Mastura senyum panjang apabila semua perabot dan barang elektrik
sudah sampai. Penghawa dingin juga sudah siap terpasang. Kipas juga dibeli. tak
mungkinlah dia akan memasang penghawa dingin sepanjang hari. Nanti melambung
pula bil elektrik rumah itu. Kain langsir juga sudah ditukar baharu. Peti
televisyen sudah pun dipasang bersama siaran Astro untuk anaknya. Tidaklah
sunyi sangat. Biarlah ibu mertua dan madunya hendak berkata apa-apa pun. Dia
hanya inginkan keselesaan untuk anaknya. Bukan dirinya.
Maria kelihatan amat gembira dengan suasana baharu bilik
tersebut. Lebih nyaman.