Home Novel Keluarga TOLONG CARI SUAMIKU!
TOLONG CARI SUAMIKU!
Asmah Hashim
21/12/2013 22:40:47
95,366
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 16

 

Anak patung di ribaan dipeluk manja. Dibelai bagaikan insan hidup yang memerlukan kasih dan sayang. Maria tersenyum sendiri. Bercakap sendiri.

Halijah yang turut berada di ruang tamu memandang dengan mata yang penuh dendam dan kebencian. Biarlah anak kecil itu darah daging sendiri, memanglah dia inginkan seorang cucu tetapi bukan daripada perempuan bernama Mastura. Nampaknya sampai matilah dia tiada cucu. Maria? Tidak termasuk dalam senarai sebagai cucunya. Kejamkah dia? Halijah mencebik. Maria yang sedang bermain seorang diri dipandang sepi.

“Ibu!” Katrina memanggil, menuruni tangga. Wajah Maria dipandang sinis.

“Kenapa?” Halijah membelek wajah Katrina yang sudah bersolek dan berpakaian kemas. Hendak ke mana pula menantu mudanya itu?

“Minta duit poketlah.” Katrina duduk di sebelah Halijah.

“Mana ibu ada duit?” Halijah mendengus kasar. Sukar juga apabila duit tiada di tangan.

“Takkan nak kena minta dengan perempuan itu, ibu?” Katrina seperti orang bingung.

“Kenalah minta! Kalau tak jangan harap kau dapat duit!” Lengking suara Halijah. Sakit juga hatinya jika asyik merengek macam anak lapar susu. Sudah besar panjang pandai-pandailah bawa diri.

“Kenapa ibu diamkan aje? Takkan nak meminta seperti pengemis? Baik tadah tangan di luar sana, sekurang-kurangnya tidak perlu merendakan maruah di hadapan perempuan yang entah dari mana asal usulnya?” hina Katrina tidak ingat-ingat.

“Kau nak ibu buat apa? Desak dia? Tak ingin ibu tengok muka dia, berserabut jadinya!” Halijah menjeling.

“Ibu… Rina nak pakai duit sikitlah. Bosan duduk rumah. Ingat hendak buka perniagaan sendiri. Ibu boleh bantu, kan?” Katrina membelai lembut lengan ibu mertuanya.

“Ibu mana ada duit?” Halijah mengalihkan pandangannya ke arah lain. Hari-hari minta duit. Macamlah dia bank. Tidak boleh Katrina minta dengan orang tuanya sendiri? Bukankah orang tuanya juga ada syarikat sendiri. Kenapa minta dengan dia?

“Alah, kedekutlah ibu. Dahlah harta Abang Ashraf satu pun saya tak dapat, minta dengan ibu... ada pula alasannya,” Katrina mencebirkan bibirnya. Terasa juga hati.

“Rina pandai ke berniaga? Nak jual apa? Perniagaan apa yang Rina tahu buat?”

“Alah, bukan susah pun berniaga. Ada kedai, produk, buat iklan lepas itu juallah,” Katrian menyengih.

“Berapa?” sepatah sahaja perkataan yang keluar dari mulutnya. Ingat senang nak berniaga? Ada duit sahaja, boleh buka kedai. Tidak tahu betapa susahnya hendak memajukan satu perniagaan sehingga berjaya. Berapa ramai tersungkur dan tidak boleh bangun-bangun? Bukan semua orang tahu berniaga dan rezekinya dengan berniaga. Antara sembilan daripada sepuluh pintu rezeki adalah dengan berniaga. Tetapi bukan semua orang. Mampukah menantunya itu menguruskan sebuah perniagaan? Hendak uruskan diri sendiri pun belum tentu.

“Dalam 200 ribu.” Semakin lebar senyuman Katrina.

“Jual apa tu? Sampai 200 ribu?” Terbeliak mata Halijah mendengar jumlah yang diminta.

“Alah, ibu... jual baju dari luar negara, tentulah mahal.” Katrina memandang wajah ibu mertua yang banyak duit itu. Dia tahu ibu mertuanya ada simpanan sendiri. Kalau tidak, tentulah dia sudah mengamuk tahap gaban apabila semua harta diberi kepada cucu tunggalnya.

“Baju jenama apa yang Rina nak jual? Jangan pilih fesyen yang bukan-bukan pula. Ini Malaysia, bukan negara Barat!” tegur Halijah. Jangan menantunya pilih pakaian ala artis-artis luar negara, jenuh hendak menjual. Orang Malaysia memanglah moden tetapi masih menjaga adab dalam berpakaian. Tidaklah terlalu menjolok mata. Nanti ada yang tersembol keluar mata mereka melihat fesyen ala Lady Gaga.

“Tahulah, ibu... Rina nak jual fesyen terkini, yang belum orang lain jual. Fesyen terhad dan hanya seorang sahaja yang pakai di Malaysia. Biar gempak. Nanti mesti ramai artis Malaysia datang ke kedai Rina, nak minta tajaan pakaian di stesen televisyen dan syarikat penerbitan filem dan drama. Apa kata ibu? Bagus tak perancangan Rina?” Katrina membayangkan kejayaan butiknya nanti. Modal? Dia memandang wajah ibu mertuanya semula. Orang tua itu adalah lubuk emasnya.

“Nanti ibu bagi.” Terpaksalah Halijah bersetuju. Dia juga yang memaksa wanita itu berkahwin dengan anaknya. Baharu sahaja berumah tangga sudah ditinggal selama-lamanya. Nasib baik sanggup bermadu. Menantu pujaanlah katakan. “Jangan membazir pula modal yang ibu beri. Ibu pun takkan nak biar Rina mengemis dengan perempuan tu.” Dia sendiri tidak akan meminta dengan menantunya itu. Tahulah dia bagaimana hendak mendapatkan semula hartanya. Kau tunggu sahajalah Mastura, detik hati kecil Halijah.

“Ibu jaga cucu ibu ke?” Katrina menjeling ke arah Maria. Kenapalah dia tidak perasan budak itu ada di situ? Buat sakit hati sahaja.

“Tak ada maknanya.” Halijah memuncungkan bibirnya.

“Suti! Suti!” jerit Katrina. Ingatkan ibu mertuanya sudi menjaga Maria. Mastura entah keluar ke mana.

“Ya, puan?” Suti tergesa-gesa keluar dari dapur.

“Bawa budak ni masuk. Sakit mata aku tengok!” arah Katrina.

“Baik, puan.” Suti mendukung Maria dan membawanya masuk ke dalam bilik. Apalah punya manusia? Ini anak yatim dan darah daging sendiri pun benci. Suti mengeluh sendiri.

“Maria duduk sini ya, tengok cerita kartun. Kak Suti ada kerja di luar. Jangan keluar ke mana-mana ya, sebentar juga lagi emaknya pulang,” pujuk Suti. Dia tahu Maria kesunyian tinggal di situ. Tiada kawan bermain. Kalau hantar ke sekolah ada juga teman. Nantilah dia syorkan kepada puannya.

“Kak Suti, nak air.” Maria menyengih.

“Okey, Kak Suti buatkan. Tunggu sini tau. Di luar itu ramai orang jahat. Jangan keluar tanpa ada sesiapa yang teman,” nasihat Suti.

Maria mengangguk laju. Emaknya juga berpesan perkara yang sama. Harus hati-hati.

“Suti, Mastura ke mana?” tanya Halijah sewaktu melihat kelibat Suti keluar dari bilik Mastura.

“Katanya mahu ke kantor arwah suaminya,” kata Suti jujur. Itulah yang diberitahu oleh majikannya.

“Buat apa ke sana?” tanya Katrina pula.

“Hisy, puan ini... manalah saya tahu. Itu kan urusan Puan Mastura.” Suti ketawa. Rasa kelakar pula pertanyaan penghuni rumah itu. Dia bukan PA majikannya. Kalau dia tahupun perlukah dia memberitahu mereka yang dilihatnya tidak senang dengan kehadiran majikannya itu.

“Menjawab ya!” marah Katrina.

“Dah puan bertanya, saya jawablah. Kenapa marah?” Suti menggeleng. Pelik sungguh dengan sikap manusia. Tadi bertanya, bila dijawab, marah pula. Langkah diayun ke dapur semula. Air oren untuk Maria dituang ke dalam gelas. Dia kembali ke dalam bilik. Kedua manusia itu masih berada di sofa. Seharian duduk di rumah, tanpa buat apa-apa kerja, tidak penat dan letih agaknya. Tahunya makan tidur sahaja. Suti ketawa sendiri memikirkan kata-katanya. Pandai mengomentar orang lain.

“Hoi! Buat air untuk kami!” pinta Katrina agak kasar.

Dahi Suti berkerut. Amboi! Kasarnya bahasa. Tidak bolehkah minta baik-baik? Manusia kan ada budi bahasanya? Tidak boleh dilawan, nanti sukar jadinya.

“Baik puan. Mahu hantar minuman ni kepada Maria.” Suti menghilangkan diri di dalam bilik.

“Sibuk aje melayan budak tu.” Katrina menjeling. Ibu mertuanya yang sedang membaca dipandang sekali imbas. Apa yang seronok sangat membaca agaknya? Dia tidak minat langsung. an satu hobi, maaf cakaplah. Tidak sesuai dengan dirinya. “Ibu! Bosanlah duduk rumah. Jomlah keluar, membeli-belah ke, pergi makan ke? Asyik berkurung sahaja di rumah.”

“Nak ke mana, Rina? Ibu letihlah. Letih fikir bagaimana hendak dapatkan semula harta ini.” Halijah mempamerkan muka kelatnya.

“Ke mana aje! Jauh dari rumah ni!” kata Katrina. Memang dia bosan pun. Sudahlah tidak bekerja, berkurung sahaja di rumah. Ibu mertuanya bagaikan tidak seronok hendak ke mana-mana. Tidak mengapalah, orang tua, tapi dia masih muda. Masih perlu cari hiburan.

Sebut pasal hiburan, sudah lama dia tidak ke kelab. Adrian sudah beberapa hari tidak menelefonnya. Ke mana sahajalah lelaki itu pergi? Rindu mengapai hati. Rindu arwah suami? Hish, tidak kena langsung hendak rindukan orang yang langsung tidak bertahta di hatinya. Yang bertahta di hatinya adalah harta arwah suaminya. Namun kini harta itu pun semakin menjauh, semuanya gara-gara arwah suaminya yang mengubah wasiat yang telah dibuat sebelum ini. Kenapa? Tiba-tiba pula itu? Adakah? Tidak mungkin? Katrina mengaru kepalanya.

“Rina! Rina! Berkhayal lagi ya?” Halijah bingkas bangun. Pinggangnya sudah lenguh kerana terlalu lama duduk di situ. Dia mengatur langkah ke biliknya. Ingin berehat seketika sebelum mengatur strategi baharu mengalahkan menantu sulungnya itu. Dia mendiamkan diri bukan bermakna dia kalah tetapi sedang mencari akal bagi mendapatkan semual haknya.

“Ibu nak ke mana pula tu?” Katrina mendengus kasar.

“Berehat!” kata Halijah sambil melambaikan tangan.

“Rina keluar sekejap!” jerit Katrina sebelum melangkah pergi.


Previous: BAB 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.