Mastura mencari keikhlasan pada wajah Katrina yang tersenyum
manis di hadapannya. Ragu mendatang. Cepat-cepat dihalau pergi. Tidak mahu
berburuk sangka apatah lagi dengan wanita yang telah menjadi isteri arwah
suaminya. Mungkin juga madunya itu ikhlas mengajaknya duduk bersama di banglo
milik keluarga arwah suami. Berat juga hati ingin memenuhi kehendak Katrina
yang datang secara tiba-tiba. Berkerut juga dahi memikirkannya.
Wajah ibunya yang asyik menggelengkan kepala menjadi
perhatiannya. Kenapa pula ibunya bersikap begitu? Tidak setujukah dia dengan
cadangan Katrina.
Sudah berubahkah ibu mertuanya? Mahu pula menerima
kehadirannya? Benarkah wanita itu sudah buang rasa benci di hati terhadap
menantu bukan pilihan di hatinya ini? Bolehkah dia menyesuaikan diri dengan ibu
mertua yang langsung dia tidak kenali. Hanya mendengar nama dan sesekali bersua
muka, tetapi tidak mesra. Hanya cacian yang bertapa di bibir. Mana mungkin dia
sanggup menghadapinya?
“Jomlah, Mas. Sunyilah rumah tu. Tinggal Rina dan ibu aje.
Kalau ada Maria dan Mas, riuhlah sikit.” Mata Katrina bersinar-sinar memandang
wajah madunya. Berharap sangat-sangat semoga persetujuan diperoleh daripada
Mastura.
“Berilah Mas masa untuk berfikir. Kalau ada jodoh kita
untuk tinggal bersama, insya-ALLAH pasti dipermudahkan.”
“Jangan menolak pula. Rumah tu rumah Mas juga.” Katrina masih
berkata manis demi sebuah keinginan.
“Terima kasihlah, Rina. Walaupun kita berkongsi suami,
Rina masih sudi ke mari,” ujar Mastura. Senyuman dilemparkan tanda menghargai.
“Rina berasa bersalah kerana merampas arwah daripada Mas.
Harap Mas boleh maafkan Rina. Tanda kemaafan adalah Mas tinggal dengan kami.
Ibu juga dah berubah. Menyesal benci Mas. Ibu juga nak Mas ke sana. Nak tebus
rasa bersalah di hatinya,” Katrina masih berkata manis. Bukan mudah untuk
meyakinkan Mastura. Apatah lagi dengan orang yang dibenci oleh ibu mertuanya.
“Tak perlu rasa bersalah. Mas juga pernah rampas hak
Rina.” Mastura menunduk. Dia sedar kehadirannya di dalam keluarga mertua
bagaikan melukut di tepi gantang. Dia juga tahu Katrina adalah tunang arwah
suaminya sebelum dia menjadi isteri lelaki itu.
“Biarlah. Tak usah dikenang cerita lama. Kita buka
lembaran baru. Bina hidup baru.”
“Benar ke Rina nak Mas dan Maria tinggal sekali? Tak
menyusahkan ke?” sampuk Mak Yam yang sejak tadi menjadi pendengar setia.
Menunggu waktu yang sesuai untuk berbicara. Dia juga ingin tahu kerana di dalam
hati, terbit rasa kurang percaya.
“Hish, takkanlah Rina nak berbohong mak cik. Mas dan Maria
ahli keluarga kami juga.” Dalam hati terasa juga, kata-kata itu menghiris
jiwanya. Bagaikan mereka dapat meneka, apabila terbit soalan berbau syak
wasangka. Sabarlah hati.
“Bukan mudah hendak berjumpa madu dengan madu sama
baiknya, Rina! Apatah lagi suami telah tiada. Sengketa tentang harta pula punya
cerita.” Mak Yam menjeling manja. Senyuman terukir bagi melembutkan hati yang
mendengarnya. Nanti kata dia menuduh pula. Sesama manusia janganlah ada
sengketa.
“Insya-ALLAH, mak cik. Antara saya dan Mas pasti bahagia
bila hidup bersama sama bawah satu bumbung. Lebih-lebih lagi adanya Maria. ibu
mertua saya pasti gembira. Bukannya apa, hanya Maria pewaris keluarga.” Katrina
memuji penuh makna, tidak mahu rahsia terbuka. Nanti habislah rancangannya.
Bila tinggal bersama, bolehlah dia menjaga semua harta dan gerak-geri mereka.
“Tak apalah, Rina. Biarlah Mas fikirkan hal ini dulu,”
ujar Mak Yam. Kalau tak datang lagi baik. Terbit kata-kata itu dari hatinya
yang paling dalam.
“Kalau macam tu, Rina minta dirilah. Jangan tak jadi,
nanti kecewa ibu mertua kita yang benar-benar mengharap kehadiran Maria dan Mas
kat rumah tu,” tutur Katrina. Memujuk biar bersungguh-sungguh. Nanti orang
tidak percaya melepaskan peluang yang ada.
“Insya-ALLAH. Kalau dah dapat keputusannya, Mas akan ke
sana,” ucap Mastura. Jawapan tidak boleh diberi segera. Nanti terburu-buru buat
keputusan, menyesal tiada gunanya.
“Kalau macam tu, Rina balik dulu. Jangan lupa beritahu
jawapannya ya, Mas? Rina harap sangat.” Tangan Mastura diraih. Katrina senyum
lebar. Manis.
Mastura dan Mak Yam menghantar Katrina hingga ke kereta.
“Berhati-hati di jalan raya,” pesan Mastura sebelum kereta
itu berlalu pergi, meninggalkan laman rumah yang sepi itu. Anak-anak jiran
entah ke mana, mungkin masih di sekolah. Hanya lambaian menjawab kata-katanya.
Menunggu sehingga kenderaan itu menghilang dari pandangan mata.
Mak Yam menarik tangan Mastura masuk ke dalam rumah.
Bagaikan ingin menyampaikan satu rahsia.
“Mak ni kenapa?” Gelenggan Mastura semakin laju. Pelik
memikirkan sikap emaknya, bagaikan takut orang tahu sesuatu. Apa yang rahsia
sangat itu.
“Mak tak setuju kau ke sana, Mas. Mak tak sedap hati.
Mungkin mereka nak balas dendam. Kita tak tahu hati mereka. Kau kena
berhati-hati.” Nasihat diberi oleh Mak Yam agar anaknya sedar diri. Kalau
sekali orang benci, susah perasaan suka terbit di hati. Lebih-lebih lagi mertua
sendiri.
“Hisy, mak ni! Tak baik berburuk sangka. Mungkin betul ibu
mertua Mas dah berubah. Kehilangan seseorang atau sesuatu kadang-kadang boleh
mengubah manusia. Siapa yang tahu, mak,” balas Mastura. Rasa mahu ketawa terbit
di bibir, namun tidak mahu emaknya tersinggung pula. Dipendam ketawa dalam
hati.
“Itulah... rancangan kat TV tak mahu tengok langsung. Cuba
tengok dan kaji. Apa yang dipaparkan bukan sebarangan. Pesan mak tolonglah kau
dengar, Mas. Mak tak nak kau dipermainkan kerana dendam kesumat di hati mereka.
Benci tetap benci. Takkan secepat itu mereka suka? Memang pelik,” tekan Mak Yam
yang tidak berpuas hati. Baru sahaja beberapa hari arwah Ashraf meninggalkan
dua orang isteri dan seorang ibu serta seorang anak. Dia tahu anak perempuanya
tidak disenangi oleh mertua sendiri kerana darjat. Kalau dari dulu lagi dia
tahu besannya ada rancangan tersendiri, sudah pasti dia tidak akan mengizinkan
Mastura berkahwin dengan arwah menantunya.
“Mak jangan terpedaya. Tak semua yang dipaparkan di
televisyen betul.”
“Bukan terpedaya, tapi mak bimbang. Mak lebih dahulu
merasa sejuknya air... panasnya matahari... masinnya garam.” Mak Yam bercakap
perkara yang benar, boleh pula dipersendakan oleh Mastura. Dia cuma bimbang
anaknya menjadi mangsa dendam, sedangkan mereka juga berdendam. Apa bezanya?
“Mas tahulah jaga diri, mak. Terima kasih mak masih ambil
berat,” ujar Mastura. Tubuh Mak Yam yang sedikit berisi dipeluk erat. Aura
sayang tidak pernah luput.
“Mak tak mahu kau kecewa lagi Mas. Ini melibatkan Maria
juga,” kata Mak Yam. Semakin erat pelukan. Dia perempuan, anaknya juga
perempuan. Dia pernah jadi menantu dan sekarang mertua. Sedikit sebanyak, sudah
faham hati seorang ibu mertua. Walaupun bukan semua mertua berlaku kejam dengan
anak menantu namun masih ada yang bersikap begitu.
“Insya-ALLAH, mak. Tahulah Mas jaga diri. Mungkin ini
jalan terbaik untuk Mas baiki hubungan dengan mertua Mas. Mana tahu kalau duduk
serumah, kami boleh selami hati masing-masing. Sambil itu kita jalankan misi
pak long. Mak dah lupa ke?” Mastura memandang wajah Mak Yam. Dia menaruh
harapan tinggi sebagai menantu terhadap mertua yang begitu membencinya. Dia
mengharapkan kehadirannya nanti mampu memperbaiki hubungan mereka yang retak
sejak dari mula. Dalam masa yang sama, ada misi yang ingin dijalankan terhadap
ibu mertuanya.
“Itu jugalah harapan mak, Mas. Mak teringin sangat tengok
hubungan kau orang berdua baik demi Maria. Halijah tu bukan orang lain dengan
Maria. Nenek dengan cucu. Kalau hubungan mereka jauh, Maria macam tak ada
keluarga sebelah arwah ayahnya. Pasal pak long kau tu, pandai-pandailah kau
bincang nanti dengan dia.” Mak Yam menepuk lengan Mastura.
“Entahlah, mak… itu jugalah harapan Mas. Abang Ashraf dah
tak ada. Takkanlah ibu mertua Mas masih simpan dendam?” Hati Mastura tergores
luka. Orang lain ada mertua, dia langsung tidak boleh menumpang kasih lantaran
perkahwinan tidak direstui. Dahulu ada suami bolehlah bertukar cerita. Sekarang
dia ditinggal pergi sepi sendiri.
Hatinya masih menganyam harapan terhadap ibu arwah suaminya.
Biarlah dia diterima demi anaknya. Hanya Maria satu-satunya zuriat dan
penyambung warisan keluarga arwah. Biarlah Maria menikmati kasih sayang seorang
nenek. Adakah kehadiran Katrina mampu mengubah segalanya? Harapan tinggi
seorang menantu yang kehilangan kasih suami. Mata ditutup serapat-rapatnya
biarlah derita berlalu, bahagia menggamit datang. Itulah harapannya.
Dendam ibu mertuanya satu hal. Dendam di hati juga satu
bab lain yang perlu dirungkai. Dia tidak akan berpeluk tubuh melihat sahaja.
Dalam kepala masih tercari rancangan yang sesuai. Semoga berjalan lancar.