Home Novel Keluarga TOLONG CARI SUAMIKU!
TOLONG CARI SUAMIKU!
Asmah Hashim
21/12/2013 22:40:47
95,373
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 11

Masturamengarahkan dua orang pembantu rumah dan seorang tukang kebun menjalankan tugas mereka. Dia tersenyum sendiri. Ingat dia bodoh. Ibu mertua dan madunya sengaja hendak mengenakannya. Siapa lebih bijak? Memang dia orang kampung, tidaklah sekaya mana tetapi tidaklah sampai terkais-kais mencari makan. Arwah ayahnya memiliki 10 ekar kebun getah, lima ekar dusun buah-buahan yang terletak di Klang. Bukannya jauh dari bandar pun. Ingat kampung sangatkah dia? Tengok kakilah. Dia mencebik.

“Yanti, kamu buat kerja di dalam rumah. Suti kamu bantu saya memasak dan tengok-tengokkan Maria. Pak Yono tugasnya membersihkan kawasan luar rumah. Boleh, kan?” Untung kawan sekolahnya buka agensi pekerja asing. Telefon sahaja sampailah bantuan. Yang penting, ongkosnya.

“Siapa mereka ni?!” tanya Halijah kasar. Terbuntang matanya melihat tiga tetamu yang tidak diundang.

“Ini pembantu rumah kita, ibu. Ini Suti. Dia akan mengemas dalam rumah. Yang ini pula Yanti yang akan bantu Mas memasak dan menjaga Maria. Yang ini Pak Yono, tukang kebun kita. Ibu tak kisah, kan?” Mastura tersenyum lebar.

“Aku tak suruh kau cari pembantu rumah? Siapa nak bayar mereka? Aku tak nak bayar?” Halijah sudah mula geram. Kurang senang dengan tindakan menantunya.

“Kenapa, ibu?” Katrina yang hanya berbaju tidur menerpa apabila terdengar riuh-rendah di ruang tamu.

“Ini, perempuan ni cari pembantu rumah dan tukang kebun. Ibu tak suruh pun?” Halijah menjeling.

“Pembantu rumah? Kenapa kau pandai-pandai cari pembantu rumah? Kau tak ikut arahan ibu, ya? Nak jadi anak derhaka?!” marah Katrina.

“Anak derhaka? Cari pembantu rumah pun dikatakan anak derhaka? Rina belajar dari mana ni? Mas bayar semuanya. Ibu jangan bimbang. Ibu tak perlu keluar satu sen pun!” kata Mastura. Mereka ingat dia sengkek sangat. Memanglah dia tidak suka menunjukkan kemewahan dirinya. Siapa diri dia, tidak perlulah keluarga mertuanya tahu, apatah lagi madunya itu. Biarlah mereka tahu Mastura hanya budak kampung. Cukup!

“Hah?” Terlopong mulut Katrina mendengarnya. “Ibu suruh kau sendiri yang uruskan rumah ni. Kenapa pandai-pandai pakai pembantu rumah?” Dia menjegilkan mata.

“Mas sedang uruslah ni? Betullah. Rina ingat Mas nak mengemas rumah seluas ni seorang diri? Hisy, manalah Mas larat.”

Katrina menumbuk kepala sofa yang berhampiran dengannya. Geram. Lain yang dirancang, lain pula berlaku.

Halijah terus angkat kaki meninggalkan Mastura dan pembantu-pembantu rumahnya.

Semakin lebar senyuman Mastura. Mereka ingat senang hendak perkotak-katikkan dirinya. Dia pun ada akal, anugerah ALLAH S.W.T. Dia juga bersekolah. Kenal huruf dan boleh membaca serta pandai mengira. Takkanlah dia sebingung itu membiarkan diri dipermainkan? Nampaknya mereka ingin main kotor. Tengoklah nanti.

DI DALAM bilik, Halijah menumbuk-numbuk bantal seperti menumbuk muka Mastura. Geram mula menerpa di hati. Marah, jangan cakaplah... menyiat-nyiat tangkai hati. Kalau dia ada sakit jantung sudah lama pengsan terduduk di ruang tamu tadi. Ambil pembantu rumah sampai tiga orang. Dia yang kaya-raya ini pun ada seorang sahaja pembantu rumah.

“Macam mana? Dah dua kali rancangan kita gagal! Ini sudah lebih?” Dia memandang Katrina.

“Kenapa marah Rina? Manalah Rina tahu dia nak bertindak macam tu?” Katrina kurang selesa dengan nada suara ibu mertuanya. Dia sendiri mati kutu. Rancangan keduanya juga gagal. Siap merancang hendak jadikan madunya itu pembantu rumah, tetapi pandai pula madunya mencari pembantu rumah sendiri. Aduhai, dia terlebih bijak atau mereka yang tidak pandai mengatur strategik?

“Geram ibu!’ kata Halijah. Mulutnya terkumat-kamit membebel sendiri.

“Sabarlah, ibu. Masih banyak waktu. Hari ini jangan lupa ada pembacaan wasiat. Peguam telefon petang kelmari. Dia akan datang ke sini,” ujar Katrina.

“Tak jadilah nak ke pejabat dia?” Halijah mengerling. Kenapa pula ada wasiat? Bukankah wasiat yang dibuat dahulu dia sudah tahu kandungannya. Takkan ada perubahan?

“Taklah, ibu. Ibu dah sarapan ke? Perut Rina dan berbunyi ni.” Katrina mengusap perutnya.

“Belum. Kalau ya pun pergilah mandi!” Halijah menggeleng melihat perangai menantu keduanya itu yang suka bangun lewat. “Kita nak buat apa dengan Mastura? Ada cadangan lain?” Halijah masih tidak berpuas hati selagi tidak mengena dan menyakitkan hati menantu sulungnya itu. Hendak sakitkan hati Mastura, hati dia sendiri yang sakit. Kalau ikutkan hati mahu sahaja dia penyek-penyekkan muka Mastura. Biar jadi lempeng.

“Nampak gayanya kita kena fikirkan cara lain ibu. Biar dia bermewah dulu. Ibu jangan bimbang.” Katrina menyengih.

“Fikir... fikir juga. Kalau macam ni, baik ibu halau aje dia!” Halijah bercadang hendak halau sahaja menantunya itu. Buat apa tinggal di sini jika segala rancangan yang dirancang tidak menjadi? Bukan menantunya yang sakit hati, tapi dia pula yang terkena. Ada menantu kedua, entah idea apa yang dicari, langsung tak boleh pakai. Nampak macam pandai sangat, tapi aduhai... Boleh sakit jiwa jadinya.

Mastura tersenyum sendiri. Mahu gelak guling-guling di atas lantai apabila dia melihat wajah kedua-dua insan yang membencinya separuh mati itu. Maria yang sedang menikmati sarapan dipandang sekali imbas.

Pembantu-pembantu rumah yang dia upah sedang sibuk bekerja. Mereka tidak bermalam di situ. Ketiga-tiganya sudah lama tinggal di Malaysia dan sudah berkeluarga jadi tidak akan tidur di rumah majikan. Kebetulan mereka tinggal di kawasan berhampiran. Mudahlah tugas mereka dan tugasnya. Dia memberi mereka gaji yang lumayan asalkan kerja dengan baik. Soal duit bukan masalah kepadanya. Harta yang ditingglkan arwah suaminya tujuh keturunan pun tidak habis makan. Semuanya untuk dia dan Maria. Mungkin arwah suaminya tahu ibu mertuanya tidak akan pernah sukakannya. Dan jika itu berlaku, semua harta akan diambil oleh ibu mertuanya melainkan sudah ada penama. Dia benar-benar bersyukur arwah suaminya bijak bertindak. Kalau tidak, pasti dia dan Maria putih mata.

“Tengah hari ni puan mahu makan apa? Nanti Yanti masakkan,” tanya Yanti.

“Masaklah apa aje, Yanti asalkan halal,” jawab Mastura seraya menguntum senyuman. Dia tidak pernah memilih sangat dalam hal makan minum ini. Selagi halal dan bersih, dia makan semuanya.

“Baik, puan.” Yanti berlalu ke ruang dapur dia mengeluarkan bahan mentah yang terdapat di dalamnya. Mastura memerhati dari jauh.

“Maria, lepas makan pergi main di dalam bilik ya,” suruh Mastura. “Suti, nanti kemas semua pakaian saya. Bawa masuk ke bilik di tepi tangga luar sana. Bilik sekarang saya akan beri pada Yanti dan Suti guna ketika waktu bekerja. Tentu kamu berdua nak berehat, mandi dan solat, kan?” arahnya.

“Baik, puan.” Suti mengangguk.

Mastura bingkas bangun dan menuju ke bilik tetamu yang terletak tidak jauh dari kaki tangga ke tingkat atas. Bilik itu agak besar. Ada bilik air di dalamnya. Katil kelamin, almari, penghawa dingin juga sudah sedia ada. Dia akan bawa masuk televisyen dan memanggil teknikal Astro untuk memasang kembali siaran di bilik itu. Kalau ibu mertuanya tidak izinkan, dia peduli apa? Bukan melawan. Tetapi memenuhi kehendak dan keperluan sendiri.

“Kau buat apa di bilik ni?” Halijah melangkah masuk. Dia kehairanan melihat bilik tetamu itu terbuka. Rupa-rupanya Mastura berada di situ.

“Mas akan tinggal di bilik ni. Ibu tak kisah, kan? Lagipun bilik belakang tu akan digunakan pembantu rumah ni. Kejap lagi Mas bawa barang-barang Mas masuk sini,” kata Mastura selamba. Biar apa pun anggapan ibu mertunya terhadap dirinya, dia akan tetap hormat wanita itu.

“Siapa yang benarkan?!” Melengking suara Halijah. Dia tidak suka ada orang membuat keputusan tanpa merujuk kepadanya terlebih dahulu. Ini sudah lebih!

“Bilik ini kan kosong, ib. Bertimbang rasalah sikit. Mas dan Maria nak tidur di mana? Atau ibu nak kami tinggal di bilik atas?” Mastura tersenyum sumbing.

Halijah mengerutkan dahi. Dari bilik atas, lebih baik di bilik bawah. Nanti hari-hari dia bertembung dengan wajah kebencian hamba itu. Kenapalah dia mengikut rancangan Katrina membawa Mastura tinggal bersama? Kalau ikutkan, bekas menantu. Maklumlah anaknya sudah tiada. Tidak pasal-pasal membela dua orang balu dan seorang anak yatim.

Dia berlalu ke dapur. Perutnya yang kosong minta diisi. Entah sarapan apa yang disediakan oleh Mastura. Kelihatan di dapur kedua-dua pembantu rumah sedang sibuk memasak. Awalnya?

“Puan mahu sarapan?” Suti mendekati.

“Yalah. Takkan aku ke dapur ni nak menari pula?” Halijah menarik kerusi dan terus melabuhkan punggungnya.

Di atas meja sudah terhidang nasi goreng, telur mata kerbau, hirisan timun dan sambal belacan. Kuih seri muka. Sedap juga. Balun sahajalah. Daripada terkial-kial cari di kedai, lebih baik jamu selera dengan apa yang ada. Halijah mengambil pinggan yang sudah tersedia.

“Hisy, ibu ni... tak tunggu pun Rina,” kata Katrina yang tiba-tiba muncul. Dia terus duduk dan mencapai pinggan. Dua senduk nasi diisi ke dalam pinggan. Hirisan timun dan telur mata kerbau tidak ketinggalan.

“Pukul berapa peguam tu nak datang?” tanya Halijah lalu menyuap nasi dan mengunyah perlahan-lahan.

“Dalam pukul sepuluh pagi. Kejap lagi sampailah.” Laju Katrina makan. Tidak sampai sepuluh minit habis nasi sepinggan. Dia sendawa kekenyangan.

“Hisy, sopanlah sikit,” tegur Halijah. Tampak tak sopan sendawa kuat begitu apatah lagi orang perempuan.

“Awal pembantu rumah kita masak? Pandai ke mereka masak masakan Melayu?” tanya Katrina. Pandangan terjunam ke arah dapur basah. Dua orang pembantu rumah itu saling membantu.

“Biarlah. Janji kita boleh makan.” Halijah menyudahkan sarapannya. Dia ke ruang tamu semula, meninggalkan Katrina yang masih menjamah sarapannya.

Surat khabar Sinar yang dilanggan setiap hari sudah pun berada di atas meja kopi yang terdapat di ruang tamu. Dia membelek dan membaca dari sehelai ke sehelai muka surat sehingga selesai.

Katrina memandang sahaja pembantu-pembantu rumah itu berbual sambil memasak. Entah apa yang mereka katakan dia sendiri tidak faham. Tidak sabar dia hendak tahu butir-butir perkara di dalam wasiat arwah suaminya yang akan dibaca sebentar lagi. Semoga dia juga berpeluang memiliki sebahagian daripada harta keluarga arwah suaminya yang ada. Tidak pasal-pasal terpaksa dibahagi tiga. Kalaulah dia boleh bolot seorang diri. Alangkah baiknya. Biar putih mata Mastura.

Previous: BAB 10
Next: BAB 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.