Home Novel Keluarga TOLONG CARI SUAMIKU!
TOLONG CARI SUAMIKU!
Asmah Hashim
21/12/2013 22:40:47
95,413
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 5

 

Rumah itu sunyi semula. Jiran tetangga, kenalan dan rakan perniagaan sudah pun pulang. Madunya juga sudah pulang. Tidak mahu berlama-lama. Katrina duduk bersandar di sofa. Malam nanti majlis tahlil akan dibuat di surau sahaja. Dia sudah pun menyerahkan sejumlah wang kepada ahli jawatankuasa surau. Tidak perlu bersusah payah di rumah. Siapa hendak uruskan? Dia sendiri bukan ada pengalaman pun. Kedua-dua orang tuanya tidak datang kerana masih di luar negara. Ibu mertuanya pula, usai upacara pengebumian terus mengurung diri.

Katrina memandang cincin di jari. Inai masih merah menyala. Baru sahaja dia menjadi isteri Wan Ashraf, suaminya sudah meninggalkannya. Cincin itu ditanggalkan. Dia membeleknya seketika. Adakah memang bukan jodohnya dengan arwah suaminya? Mereka pernah ditunangkan, namun putus di tengah jalan, lantaran arwah suaminya berkahwin dengan gadis pilihannya sendiri.

Semakin ditenung cincin itu semakin sakit hatinya. Semakin difikirkan semakin menanah jadinya. Usah dicerita lilihan darahnya. Usianya dihabiskan menunggu peluang untuk berumah tangga dengan lelaki yang pertama bertahta di hati. Sanggup dia menolak cinta lelaki lain demi setia dengan tunangannya ketika itu. Namun kesetiaannya dibalas dengan racun yang berbisa. Dia diberitahu yang tunangnya itu telah berkahwin. Hatinya terhempas ke batu. Rasa dunia sekeliling bagaikan mentertawakan kesetiaannya. Dia rasa dirinya dihina dan diinjak-injak.

Separuh gila dia memikirkan apa yang telah terjadi. Kini dia kehilangan lagi. Buat selama-lamanya. Sakit hatinya kembali lagi, kali ini lebih parah. Lebih menyakitnya. Wajah tenang Mastura tadi benar-benar meracun diri. Kerana Mastura, suaminya menemui ajal. Kerana Mastura, dia kini sepi sendiri. Mastura ada Maria, dia tiada sesiapa.

Dia mendepakan tangan, ketawa sendirian. Bukan gila tetapi keriangan. Harta peninggalan dan warisan arwah suami bukan sedikit. Ibu mertuanya bukan ada sesiapa. Arwah suaminya anak tunggal. Setahunya, semua harta itu adalah atas nama ibu mertuanya. Tidak tahulah kalau sudah bertukar nama. Dia tersenyum lagi.

Langkah Halijah perlahan menuruni anak tangga. Matanya memerhati persekitaran rumah.

“Dah balik mereka?” Halijah mendekati menantunya yang sedang senyum sendirian. Hairan pun ada, tetapi tidak mahu menegur. Nanti malu pula menantunya itu.

“Err... ibu? Dah, ibu,” jawab Katrina agak terkejut.

“Esok kita ke pejabat peguam. Untung wasiat baru dibuat. Kalau tidak, habis harta ibu dan Ashraf jatuh ke tangan perempuan tu.” Halijah mencebik, tidak senang.

Katrina hanya menjadi pendengar. Benci benar ibu mertuanya dengan Mastura, sedangkan yang sebenarnya Mastura juga layak mendapatkan harta peninggalan suaminya. Lebih-lebih lagi cucunya itu, Maria.

“Ibu, macam mana kalau kita bawa Mastura dan Maria duduk di sini?” cadangnya tiba-tiba.

“Kau dah gila ke, Rina?” Halijah kurang setuju dengan pendapat Katrina.

“Dengar dulu, ibu.” Katrina menarik tangan Halijah dekat dengannya.

“Rina ada rancangan. Selama ini ibu tak dapat nak mendera Mastura. Abang Ashraf kan dah tak ada. Jadi, inilah masanya untuk ibu membalas dendam,” cadang Katrina.

Halijah mula berfikir. Cadangan Katrina ada baiknya. Tapi kebencian di hati membuatkan rasa ingin memandang wajah menantunya itu tidak sanggup rasanya. Biar dia melihat beruk daripada melihat wajah Mastura. Wajah yang telah meracun hatinya. Wajah yang telah mencarik luka yang paling dalam.

“Macam mana, ibu?” Katrina sendiri ingin melihat Mastura dihina dan dicaci. Biar merana dan kecewa seperti dirinya. Berbuat baik berpada-pada, buat jahat boleh juga agaknya. Semakin lebar senyumannya. Hendak jahat biar jahat betul.

“Nanti ibu fikirkan.” Halijah tidak memberi jawapan. Dia perlu berfikir terlebih dahulu. Berbaloikah dia mengajak menantu dan cucunya duduk di rumah itu? Dia menggeleng berkali-kali. Puas berfikir.

“Fikir berapa lama lagi, ibu? Kita suruh aje dia tinggal di bilik belakang. Lagipun bilik itu dah lama kosong.” Katrina terus memujuk.

“Sabarlah... kalau kita minta dia datang sini pun, bukan dia mahu, Rina. Ibu harap cadangan kau tak sia-sia. Nanti lain yang kita harapkan, lain pula yang terjadi.” Halijah masihragu.

“Hisy, ibu. Kita kan tuan punya rumah? Tahulah kita control dia. Ibu jangan bimbanglah.” Baru sekejap tadi Katrina terfikirkan rancangan itu. Mastura bukan sekuat mana pun. Mampu dikotak-katikkan.

“Ikut suka kaulah, Rina. Kalau ada masalah, pandai-pandailah kau uruskan.” Halijah akhirnya mengalah.

Katrina senyum gembira. Wajah Halijah yang mula dimamah usia ditenung lama. Di dalam hati, pecah gelaknya. Depan mertua sopan santun harus dijaga. Perangai dalamannya tiada siapa yang tahu. Dia harus berjumpa dengan Mastura. Rancangan seterusnya akan terlaksana. Dia sekarang bukan seperti Katrina sepuluh tahun dahulu. Usia sudah mematangkan dirinya agak tidak lagi ditipu.

KATRINAmelangkah naik ke biliknya. Daun pintu ditolak dengan kasar. Bilik pengantinnya masih terhias indah. Masih tercium segarnya bunga mawar dan bunga melur yang dihias indah. Dia memandang sekeliling. Gambar dia dan arwah suaminya tergantung kemas di dinding. Pakaian pengantin yang disewa masih belum dipulangkan. Dia mendekati birai katil. Belum merasai hangatnya malam pertama. Kalaulah dia tidak kuat orangnya, pasti gila menyapa.

Telefon bimbitnya berbunyi mengalihkan pandangan dan fikirannya ke dunia nyata. Dunia impian sudah menjauh pergi dan tidak akan kembali.

“Helo, mama,” jawabnya perlahan sambil menyandar di kepala katil. “Rina tahulah, mama. Perlahan-lahanlah. Mana boleh tergopoh-gopoh? Nanti ibu mertua Rina perasan pula. Sabarlah! Nanti Rina bantu perniagaan papa. Berapa mama nak guna? Seratus ribu? Banyaknya? Baiklah, mama. Tak payah marah-marah. Okey, sampaikan salam Rina pada papa.” Dia menamatkan perbualan dengan mamanya.

Dia mengurut dahi. Mana dia hendak cari RM100 ribu? Apa yang dia hendak beritahu ibu mertuanya? Selama ini, ibu mertuanya yang menandatangi segala cek, duit keluar masuk dalam syarikat perniagaan keluarga suaminya. Orang kedua adalah suaminya sendiri. Apa yang hendak ditipunya orang tua itu?

Telefon bimbit dicampakkan ke atas katil. Mencari-cari solusi untuk mendapatkan duit sebanyak itu. Kalau bukan orang tuanya, tidak ingin dia membantu. Duit tidak ada tetapi sering ke luar negara. Syarikat yang ada pun nyawa-nyawa ikan. Itulah sebab orang tuanya mendesak dia berkahwin juga dengan arwah suaminya. Semuanya kerana harta.

Dia akan pastikan harta itu jatuh ke tangannya. Dia akan pastikan Mastura tidak akan dapat sesen pun. Pandailah dia nanti memujuk ibu mertuanya untukmenjadikan dirinya pewaris harta yang banyak itu. Tiga bulan sepuluh hari terpaksalah dia tinggal di rumah itu kerana masih dalam idah. Selepas itu dia bebas hendak buat apa sahaja? Hendak ke mana-mana, tiada siapa yang akan menghalang.

Dengan duit yang ada, dia boleh joli sepuas-puasnya. Sudah lama dia tidak menikmati kehidupan yang serba mewah semuanya gara-gara sikap orang tuanya. Baru untung sikit terus bercuti. Asyik bercuti sehingga perniagaan terpinggir dan hanya mengharapkan para pekerja. Lama-lama pekerja pun bosan. Majikan sering tiada dipejabat.

Gaji juga kecil kerana keluarganya lebih memikirkan keuntungan poket sendiri. Kalau orang tuanya tidak berniaga pun lebih baik. Tidak menyusahkan dirinya untuk membayar hutang yang berkepuk. Duduk sahaja di rumah, dia sedia memberi duit kepada mereka. Apa pun alasannya, rancangan yang ada perlu diteruskan sehingga berjaya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.