Mastura melabuhkan punggung di kerusi yang di anjung biliknya.
Desiran angin malam menyapa lembut pipinya. Terasa nyaman dan segar setelah
seharian dia menghabiskan masa di syarikat milik arwah suaminya. Banyak perkara
terpaksa dia ambil tahu dan pelajari. Bukan dia tidak pernah datang ke syarikat
tersebut tetapi kini keadaan sudah berubah. Dahulu dia datang hanya ketika
menunggu suaminya untuk keluar makan tengahari bersama. Kali ini dia hadir
sendirian. Tujuannya memantau dan mengambil alih pengurusan syarikat.
Dia menoleh sekali imbas ke katilnya. Maria sudah nyenyak
tidurnya. Mungkin keletihan seharian bermain dengan penjaganya. Suti pandai
melayan kerenah Maria. Tidaklah dia terasa penat sangat. Urusan rumah juga ada
yang menguruskan. Kenapalah dia tercampak ke rumah itu? Kalaulah suaminya ada
bersama, alangkah bahagianya hidup.
Kini dia ditinggalkan sepi sendiri. Suamiku, di manakah
kau kini? Soal Mastura sendiri. Usah ditangisi yang telah tiada. Rindu menyapa
lagi. Bagaikan terasa kehangatan tubuh suaminya memeluk dan membelai dirinya.
Bagaikan terngiang-ngiang suara suaminya menegur dan bergurau senda dengannya.
Kini suara itu tidak akan didengari lagi. Rindu pasti hadirkan diri, tanpa
disuruh dan dipanggil. Seolah-olah mengerti apa yang terbit di hati.
Matanya memerhati persekitaran rumah. Desiran air dari
taman buatan menyentap hatinya yang rawan. Kesunyian malam ada kalanya ditemani
kerdipan bintang dan cahaya bulan. Suara unggas malam menampar telinga
membuatkan hati terleka seketika. Keluhan dilepaskan bagai menghilangkan rasa
yang sedang memberat di dada. Bukan mempersoalkan kehendak takdir tetapi ada
kala sebagai manusia sering bertanya kepada diri sendiri, kenapakah begitu
cepat suaminya diambil pergi. Belum puas bermanja dan saling menyayangi, kini
dia dibiarkan sendiri.
Dahinya berkerut apabila matanya terpandang susuk tubuh
manusia di balik celahan pokok renek yang terdapat di luar rumah. Susuk yang
amat dikenali. Tidak mungkin? Mastura masih memerhati. Lampu neon yang tidak
berapa terang menyukarkan pandangan untuk melihat lebih jelas wajah yang sering
bermain di fikiran dan di hatinya. Wajah yang amat dirindui, siang dan malam.
Tetapi tidak mungkin? Mungkin pelanduk dua serupa? Itu bukan dia? Mastura
tertunduk-tunduk memerhati. Adakah… kata-kata itu mati begitu sahaja. Tidak
mungkin orang yang sudah meninggal hidup kembali. Biar betapa canggihnya
teknologi sekarang, tidak mungkin dapat menghidupkan orang yang sudah
meninggal. Mastura beristighfar.
“Hei!” panggil Mastura. Tiada sahutan. Kelibat susuk tubuh
itu berlari pergi. Siapakah dia? Kenapa dia terhendap-hendak di balik pepohon
itu? Kenapa? Adakah pencuri yang menghendap dan menunggu waktu untuk bertindak?
Ketakutan meresap ke dalam diri. Mastura meraup wajah sendiri. Dia berlalu ke
ruang tamu. Rumah itu sunyi.
Pembantu rumah sudah pun pulang ke rumah masing-masing sejak
petang tadi. Dia berlari ke luar rumah. Memeriksa pagar agar benar-benar
berkunci, melangkah semula ke dalam rumah. Menutup pintu serapat-rapatnya agar
tidak mudah dibuka. Mangga dipasang. Bukan takut kehilangan harta tetapi lebih
kepada menjaga keselamatan diri. Pencuri dan perompak bukan kenal erti belas
simpati. Ada yang dibunuh, dikelar dan dirogol sesuka hati, sudahlah merompak
sanggup pula mencederakan mangsa. Itulah yang paling ditakuti.
Terasa ingin memeriksa tempat dia melihat kelibat seseorang
tadi, tapi tidak berani. Kalau berdua mungkin ada sedikit keberanian. Tidak
mungkinlah dia memanggil ibu mertua dan madunya. Entah-entah mereka sudah enak
dibuai mimpi.
Pintu dapur juga diperiksa. Biar kemas terkunci. Kembali
semula ke dalam biliknya. Dikunci dari dalam. Disendal pula dengan kerusi.
Penakutnya dia. Mastura senyum sendiri. Tidak lupa membaca ayat kursi sebagai
pelindung diri dan keluar. Semoga dijauhi dari sebarang anasir jahat. Dalam
hati terus berkata-kata, mencari-cari siapa gerangannya. Kalau diberitahu
kepada kedua-dua insan yang tinggal di rumah itu, pasti mereka kata dia sudah
gila. Baik diamkan sahaja. Mungkin esok lusa muncul kembali bolehlah dia terpa.
Kalau baik datangnya disambut dengan hati mulia. Kalau buruk datangnya siaplah
kau, akan diadukan kepada pihak berkuasa.
Berkali-kali mulutnya menguap menahan kantuk. Bimbang
hendak terlelap, takut ada yang datang menerja, tetamu yang tidak diundang.
Maria sudah berkali-kali beralih arah. Bagaikan terganggu lenanya. Sesekali dia
menepuk tubuh Maria agar tidur kembali. Mastura membaca doa sebelum tidur serta
ayat-ayat pendinding diri. Semoga tidurnya di bawah perlindungan ILAHI.
Di dalambilik di tingkat atas, ada yang tidak mampu tidur lena.
Harta yang diharapkan terlepas begitu sahaja. Panggilan telefon daripada
kedua-dua orang tuanya sudah tidak sanggup dilayan lagi. Sedang berkira-kira
apa yang harus dilakukan untuk memiliki harta yang ada. Dia mengetap bibir,
menahan rasa marah di jiwa. Sesen pun tidak menjadi miliknya. Kalaulah dia
tidak membiarkan malam pertama berlalu pergi, mungkin sekarang dia sudah
berbadan dua.
Kenapalah bodoh sangat dirinya? Ambil tindakan
terburu-buru. Ingatkan segalanya sudah menjadi miliknya. Memang wasiat itu
ditulis dan ditandatangani di hadapannya dan hadapan ibu mertua. Alih-alih
sudah bertukar wajah, siapa yang menukarnya? Tapi bila? Soalan itu sering
berlegar difikirannya.
Penat berfikir mencari jawapan. Kosong belaka. Hampa terus
menikam hati. Buang masa sahaja. Kalaulah dia tahu akan jadi begini jangan
harap dia akan berkahwin dengan arwah suaminya. Sehingga rela menjadi isteri
kedua? Tak hingin dia. Kerana terpaksa, dia merelakan diri. Dalam kepedihan dan
kepayahan, dia lakukan juga. Perempuan itu juga yang beruntung dan bertuah.
Semua harta diletakkan di atas nama anaknya. Mastura sebagai pemegang amanah.
Sama sahaja ertinya. Harta itu adalah milik Mastura. Sia-sia dia berkorban!
Dia bingkas bangun. Tekak terasa haus. Peti sejuk kecil
yang memang diletakkan di dalam biliknya dibuka perlahan. Dituang air sejuk ke
dalam gelas, diteguk perlahan. Hilang seketika dahaga di tekaknya. Dia
menghempaskan tubuh di katil. Mengharap dapat melelapkan mata. Semakin difikir
semakin sakit hatinya. Buang masa dia berada di sini, tetapi hendak ke mana?
Rumah kedua orang tuanya sudah pun tergadai. Gara-gara berhutang keliling
pinggang. Hanya harta arwah suaminya, satu-satu harapan yang dia ada untuk
terus hidup mewah. Rupanya hanya mimpi di siang hari. Tidur sebentar tapi
angannya panjang.
Halijah mengeluh sendiri. Geram dan marah beraja di hati.
Rasa mahu dibunuh menantu sulungnya itu. Biar ditelan tanah dari hidup di
hadapan mata membuak rasa benci yang tidak terhingga. Hartanya mudah sahaja
perempuan itu miliki. Dia pula terpaksa menumpang hidup dengan orang yang
dibenci. Permainan apa yang sedang arwah anaknya lakukan? Ingat filem atau
drama Melayu? Bila duduk sebumbung hati boleh jatuh sayang? Jangan harap! Hati
sudah berkarat dengan rasa benci yang menghuni diri, ingat senang hendak
dihalau pergi.
Harta miliknya akan direbut kembali. Kalau secara baik
tidak diberi, secara jahat akan dilakukan. Bagaimana dan bila biar dia
fikirkan. Tidak akan dibiarkan harta itu jatuh ke tangan Mastura. Cucunya
sendiri dia tidak suka, biarlah orang kata dia tiada perasaan. Ikut suka
dialah. Siapa suruh berkahwin dengan orang seperti Mastura. Sampai mati dia
ingat. Mana mungkin dia lupa. Benci bagaikan tersimpul mati dalam diri.