“Mak cik..mak cik..kenapa tidur
di sini?” Tubuh wanita itu digoncang lembut, penuh kasih. Wanita itu cuba
membuka matanya, tapi tidak berdaya dan lemah. Tangan diletakkan ke dahi wanita
itu. Bahang panas menyentuh kulitnya.
“Mak cik demam ni. Mari saya
bawakan mak cik ke klinik,”
Dia tidak menunggu jawapan.
Dalam saat macam tu, dia tidak perlu menunggu. Dengan kederatnya yang ada,
wanita itu dipapah ke kereta.
“Kenapa Dina?”Mak Leha tergopoh datang selepas melihat
Mardina bersusah payah memapah.
“Mak cik ni demam. Kita kena bawa ke
klinik. Mak Leha, mari tolong angkat,” kata Mardina. Mereka memapah wanita tua
itu masuk ke dalam kereta.
“Dina, begnya tertinggal tu!” Tunjuk Mak
Leha. Mardina menoleh dan terus berjalan ke arah sebuah beg lusuh lalu
mengambilnya. Kemudian tanpa berlengah, Mardina memandu ke arah sebuah klinik
yang berdekatan. Betul-betul Mardina berhenti di hadapan sebuah klinik.
“Mak Leha tolong tengok dalam beg dia tu,
kalau-kalau ada dokumen penting mengenai diri mak cik ni,” suruh Mardina
sebelum turun dari kereta. Mak Leha patuh. Zip beg usang itu ditarik perlahan.
“Ada beberapa helai baju, sekeping gambar
keluarga dan beg duit. Tapi duitnya tak ada. Hanya kad pengenalan saja,”
“Kalau macam tu, keluarkan kad pengenalannya,”
suruh Mardina. Mak Leha sekali lagi patuh. Sekeping kad pengenalan yang juga
agak lusuh dikeluarkan dan dihulurkan kepada Mardina.
“Esah bt Dolah..” Mardina membaca kad
pengenalan di tangannya.
“Mari kita bawa dia turun,”
Mereka memapah wanita itu masuk ke
klinik.Tidak
ramai pesakit yang ada. Dengan bantuan seorang jururawat, mereka terus membawa
tubuh lemah wanita itu ke bilik kecemasan. Seorang doktor datang untukmemeriksa.
Mardina dan Mak Leha menunggu
dengan tenang.
“Nampaknya demam mak cik ni
agak teruk. Tekanan darahnya terlalu rendah. Itu yang buat dia lemah. Bahaya
kalau dibiarkan. Saya rasa baik dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut. Cik
ni anaknya?” Doktor itu berpaling ke arah Mardina.
“Oh bukan. Saya jumpa dia
terlantar lemah di tepi jalan tadi. Sebab itu saya bawa dia ke sini,”
Mata doktor muda itu menyapu
wajah Mardina, dengan rasa kagum yang menggunung. Di daerah yang serba maju dan
sibuk itu jarang ada orang memperhatikan keuzuran dan kedaifan orang lain.
Masing-masing sibuk menguruskan diri sendiri.
“Kalau macam tu kata doktor,
biarlah saya bawa dia ke hospital sekarang,” kata Mardina, tulus dan penuh
simpati.
“Nanti saya akan berikan surat.
Cik bawalah dia dengan segera sebelum terlambat,”
Mardina angguk. Sekali lagi tubuh
lemah wanita bernama Esah itu dibawa ke kereta.
“Kesian dia Dina. Kenapa
agaknya dia terlantar di tepi jalan tu,” keluh Mak Leha dalam perjalanan ke
hospital.
“Entahlah Mak Leha. Kita tak
tahu apa sebenarnya yang berlaku pada dia. Kalau dia benar-benar orang miskin
yang tak ada sanak saudara dan tak berharta, tak apa. Tapi kalau sebaliknya..”
“Maksud Dina?”
“Yalah, mana tahu dia ada
anak-anak tapi mereka tak pedulikan dia,”
“Ish! Ada ke anak yang macam tu
di zaman ni. Zaman dulu tu adalah cerita si Tenggang atau cerita Malim Kundang.
Zaman ni, anak-anak dah bijak berfikir. Takkan mereka sampai hati,” ujar Mak
Leha. Dia rasa terlalu mustahil hal itu akan berlaku.
“Itu kata kita Mak Leha. Tapi,
kenyataannya? Zaman dulu tak ada rumah kebajikan untuk orang tua. Sekarang, di
mana-mana ada rumah orang tua-tua. Dah jadi satu perkara biasa, anak-anak yang
kaya raya menghantar ibu bapa ke sana. Alasan mereka, sibuk dan tak cukup masa
nak jaga,” kata Mardina bersungguh. Mak Leha menelan air liur. Dia seperti tidak
percaya pada apa yang didengarnya. Benarkah?
“Mak Leha tengoklah dalam zaman
ini ramai anak yang buang mak bapak. Hari tu dalam surat khabar, Dina baca ada
anak yang sanggup tinggalkan ayahnya yang dah tua di perhentian bas.
Kesiannya..”
“Benarkah..?” Tanya Mak Leha
perlahan. Dia seperti bertanya pada dirinya sendiri.
“Apa pula tak benarnya. Memang
banyak kes macam tu sekarang. Itu yang kita tahu. Yang kita tak tahu?”
Mak Leha terdiam. Suara Mardina
didengarnya aneh. Kata-kata Mardina amat menakutkannya. Dia pernah dengar
ceramah agama, syurga seorang anak di bawah telapak kaki seorang ibu.
“Redha Allah adalah redha ibu
bapa..” tiba-tiba terlontar kata-kata itu dari celah bibirnya. Mardina menoleh.
Pandangannya menyapu wajah Mak Leha.
“Kalaulah semua anak tahu
beratnya hukuman Allah terhadap perbuatannya itu, hal ini tak akan berlaku,”
ujar Mardina perlahan. Mak Leha menyokong dengan anggukan perlahan.
Akhirnya kereta yang dipandu
sampai ke Hospital Kuala Lumpur. Mardina segera mendapatkan pertolongan kaki tangan
hospital. Tubuh lesu Mak Esah diangkat dan dibawa ke bilik rawatan.
Kemudian apa yang diduga
menjadi nyata.
“Kami terpaksa tahan dia di
wad,” kata doktor yang merawat. Mardina menarik nafas lega. Wanita itu akan
mendapat rawatan yang rapi di situ. Keluarganya mesti dimaklumkan.
“Mak cik, macam mana nak
beritahu keluarga mak cik?” Tanya Mardina selepas Mak Esah sudah ada di katil
pesakit. Diam. Tidak ada jawapan. Matanya terus pejam.
“Dia lemah sangat Dina. Biarkan
dia di sini dulu. Esok-esok kita tanyalah dia,”
“Bagaimana kalau terjadi
sesuatu pada dia?”
“Kita berserah pada Allah. Ini
yang mampu kita buat. Marilah kita balik dulu,” kata Mak Leha menarik tangan
gadis itu. Mardina akur. Ada benarnya kata-kata Mak Leha itu. Mereka tidak
boleh mendesak wanita yang lemah itu.
Akhirnya mereka meninggalkan
wad itu.
“Mak Leha lapar tak?” Tanya
Mardina selepas mereka masuk ke kereta.
“Lapar juga. Tapi tak payahlah
kita singgah di mana-mana lagi. Kita makan kat rumah je,”
“Tak ada rezeki kita nak makan
kat luar,” kata Mardina dengan senyum.
“Habis makanan yang Dina pesan
di restoren tadi macam mana?”
“Dina dah bayar, kira
sedekahlah,” kata Mardina sambil terus memandu. Mak Leha angguk.
“Allah telah mengaturnya dengan
baik,” Mak Leha membetulkan duduknya.
“Maksud Mak Leha?”
“Yalah, kalau kita tak berhajat
nak makan di luar kita tak akan terjumpa Esah di tepi jalan tu. Dari hajat nak
makan, kita bertukar kepada hal yang lain,”
“Mak Leha kesal?”
“Ish! Apa pulak? Makan tu tak
penting sangat. Kita tak akan mati kerana tak makan sehari,”
“Habis apa yang penting?”
Mardina menduga.
“Yang penting, Allah telah
berikan kita peluang untuk membantu hamba-Nya yang lemah dan daif. Allah telah
memberikan kita peluang buat pahala,” Mak Leha senyum, senang.
“Alhamdulillah..kita sependapat
rupanya,” Mardina ikut senyum. Dadanya rasa lapang, jiwanya rasa tenang.
“Dina pun fikir macam tu?”
“Ya. Bukan senang kita nak
jumpa pahala tersepak macam ni!”
Mak Leha mengekek ketawa.
Kata-kata Mardina itu mencuit hatinya.
“Ingat rezeki je boleh
tersepak. Rupanya pahala pun ada yang tersepak,” ujar Mak Leha di celah
tawanya. Mardina ketawa kecil.
“Dina teringat pada satu hadis
nabi, barang siapa yang memenuhi keperluan saudara muslimnya, maka aku akan
berdiri di samping timbangan amalnya. Jika amal kebaikan menang, maka sudahlah.
Jika tidak, aku akan memberi syafaat kepadanya,”
“Insya-Allah..” ucap Mak Leha
penuh rasa kagum. Sejuta kali rasanya Mardina berbeza dari dulu. Dia rasa
seperti Mardina baru balik dari Mekah bukan dari Amerika. Alangkah sejuknya
perut Datin Marisa mengandungkan anak yang baik seperti Mardina. Tapi kenapa
Datin Marisa tidak rasa dia beruntung? Selama ini dia tidak melihat ada jalinan
rasa kasih di hati majikannya itu terhadap Mardina. Kenapa?
“Mak Leha, kenapa?” Mardina menegur
selepas dilihat Mak Leha berwajah keliru.
“T..tak ada apa-apalah Dina,”
Mak Leha cuba menepis rasa curiga di hatinya.
Hampir jam 10.00 malam, mereka
sampai di rumah.
“Dina pergi mandi dan solat
dulu. Mak Leha nak panaskan lauk,” suruh Mak Leha sambil berjalan ke dapur.
Mardina pula terus menuju ke biliknya. Dia perlu segera mandi dan menunaikan
solat Isyak. Dia perlu menyerahkan dirinya kepada Yang Maha Esa. Dia perlu
mencari keredaanNya selepas berusaha melakukan yang terbaik untuk kebajikan
duniawi.
Keesokannya, seawal pagi
Mardina sudah ada di pejabatnya. Masih banyak perkara yang perlu dipelajari
dari pegawai kanan HE Holdings. Dia tidak malu untuk belajar dari orang
bawahannya.
Telefon bimbitnya berdering.
Mardina menekan butang dan menjawabnya dengan segala senang hati.
“Ya Aisyah? Ada apa?”
“Kak Dina, ada orang nak jumpa.
Katanya mustahak sangat,” suara Aishah menerjah telinga.
“Siapa? Lelaki atau wanita?”
“Wanita,”
“Suruh dia datang petanglah.
Kak Dina di pejabat ni,”
“Dia kata tak boleh tunggu lagi
kak. Dia nak jumpa sekarang juga. Mustahak sangat,” Aishah begitu bersungguh.
Mardina diam berfikir. Perkataan ’mustahak’ itu amat menarik perhatiannya.
“Kalau macam tu, suruh dia ke
pejabat Kak Dina sekarang. Berikan dia alamat pejabat Kak Dina. Siapa namanya?”
“Puan Rusila,”
“Kak Dina tunggu dia, suruh
datang sekarang. Kebetulan pagi ni Kak Dinafree,”
Mardina meletakkan gagang
telefon. Fikirannya masih tertumpu pada kata-kata Aishah. Siapakah wanita yang
bakal membawa misi mustahak itu?
Intercom berbunyi. Tanpa
berlengah, dia menekan butang.
“Cik Dina, adacall dari
sebuah majalah,” suara Nori kedengaran.
“Ada apa?”
“Mereka minta nak buatappointment
dengan Cik Dina,”
“Untuk apa?”
“Mereka nak pilih Cik Dina
untukcover story majalah mereka,”
“Hah? Ish mengarut je. Kenapa
saya pula?” Mardina rasa hatinya tercuit, lucu.
“Cik Dina terpilih diantara
wanita berjaya yang mereka cari..”
“Nori, saya tak nak terlibat
dengan hal macam ni. Beritahu mereka saya belum layak nak dipilih. Saya baru
nak mula, belum berjaya. Lagipun pagi ni saya ada temu janji,” Mardina segera
memotong cakap setiausahanya.
“Tapi, dalamschedule
Cik Dinafree pagi ni,”
“Saya adapersonal
appointment. Nanti ada seorang wanita bernama Puan Rusila akan datang. Awak
bawa dia jumpa saya,”
Intercom dimatikan. Mardina
mencapai sebuah fail dan cuba memulakan kerja. Namun tiba-tiba fail yang ada di
tangan diletakkan. Dia tersenyum, menggelengkan kepala. Sanjungan yang baru
didengarnya, sungguh tidak manasabah. HE Holdings berdiri megah atas usaha
Datuk Iskandar dan Datin Marisa, bukan usahanya. Mereka yang patut disanjung.
Lagipun, dia tidak berminat
untuk semua itu. Zaman gemilang dan mencari pujian manusia sudah tidak ada lagi
dalam hatinya.
“Astaghfirullahhalazim..aku
mencari keredaanMu ya Allah..” bisiknya perlahan. Fail dicapainya semula. Dia
mula menyambung kerja.
Hampir setengah jam, baru orang
yang dikatakan Aishah itu muncul. Seorang wanita yang berjubah dan jilbab labuh
kelihatan tenang menyapanya.
“Assalamualaikum Cik Mardina,”
“Walailkummussalam, silakan
duduk kak,” Mardina memesrakan diri. Dia tidak tahu wanita itu datang atas
urusan apa. Namun dia cuba berprasangka baik. Melihat gerak langkah wanita itu,
dia rasa apa yang akan dikatakannya memang mustahak.
“Apa halnya kak? Boleh saya
tolong?” Mardina tidak mahu berkelok kata. Berlengah masa akan tambahkan rasa
curiga dan wasangka.
“Akak minta maaf kalau akak
ganggu Cik Mardina. Tapi akak dah buntu. Akak dah tak tahu ke mana lagi nak
minta tolong. Hanya ini jalan terakhir akak,”
“Minta tolong?” Mardina
membetulkan duduknya. Rasa ingin tahu tiba-tiba menjadi satu rasa yang tidak
mampu dibendung. Raut wajah wanita itu, menggambarkan situasi dirinya yang
sedang dalam kesusahan.
“Akak dapat tahu Cik Dina akan
membuka sebuah rumah kebajikan. Kerana itulah akak datang. Akak mempunyai
sepuluh orang anak yatim dan lima orang warga tua yang perlukan perlindungan,”
Puan Rusila berhenti seketika. Dia mencari riak di wajah Mardina.
“Selama bertahun-tahun, akak
menjaga mereka. Akak menyewa sebuah rumah dan menguruskan sendiri. Bantuan
memang ada dari para dermawan. Tapi sekarang..” Puan Rusila tunduk murung.
“Apa yang berlaku?”
“Akak dah tak ada upaya lagi.
Akak ni semakin uzur. Mereka memang tak pernah menyusahkan akak, tapi akak bimbang
kalau akak gagal memberikan mereka hidup yang selesa. Selama ini akak tumpukan
sepenuh perhatian akak pada mereka. Sekarang akak dah mula sakit-sakit,”
“Akak tak ada pembantu?”
“Dulu ada. Tapi sekarang, akak
dah tak mampu nak terus bayar pembantu. Duit gaji pembantu itu akak gunakan
untuk kebajikan mereka. Anak-anak itu juga sudah membesar. Mereka dah boleh
uruskan diri sendiri. Hanya warga tua itu. Ada yang terlalu uzur dan tak mampu
berjalan,”
“Mereka tak ada saudara mara?”
“Ada. Tapi, semuanya tak peduli.
Awalnya akak hanya menjaga mereka untuk sementara sebagai transit,”
“Transit?
“Akak ambil mereka dari
hospital. Mereka dihantar ke hospital oleh keluarga, tetapi selepas sembuh
keluarga mereka langsung tak muncul. Pihak hospital tak boleh nak terus jaga
mereka. Lalu akak ambil mereka dengan harapan satu hari keluarga mereka akan
muncul. Tapi..dah bertahun-tahun, tidak pernah ada yang datang,”
Mardina angguk. Manusia menjadi
semakin kejam dan zalim. Anak-anak menjadi semakin lalai untuk menjaga kebajikan
ibu bapa. Ya Allah, berikanlah mereka petunjuk..doa Mardina dalam hati.
“Jadi, akak nak saya buat apa? Bentuk
pertolongan macam mana yang akak nak?”
“Bolehkah Cik Dina ambil mereka
nak tempatkan di Rumah Nur Mukmin itu? Akak sayangkan mereka, tapi akak
terpaksa buat keputusan ini dengan segala berat hati. Akak bimbang kalau akak
tak ada, hidup mereka lagi tak terurus,”
“Akak sakit apa?” Mardina
ringankan mulut untuk bertanya. Diam. Wanita itu tidak terus menjawab.
Sebaliknya dia mengeluh dan tunduk merenung lantai.
“Akak dah disahkan mengidap
kanser otak,”
“Masya-Allah..!” Tiba-tiba
Mardina tersentak. Air matanya tiba-tiba bergenang.
“Sebab itulah akak buat
keputusan ni. Tapi kalau Cik Mardina tak mahu terima mereka, terpaksalah akak
serahkan mereka kepada pihak Kebajikan Masyarakat. Hanya itu yang mampu akak
atur untuk mereka sebelum akak pergi..” Puan Rusila teresak. Hati Mardina
disentuh pilu.
“Kak, sabarlah. Serahkan hidup
dan mati akak kepada Allah. Hanya Dia yang Maha Mengetahui. Semua rahsia hidup
manusia terletak di tanganNya,”
“Benar Cik Mardina. Sejak akak
tahu mengenai penyakit ini, akak tak putus berdoa. Setiap malam akak buat solat
hajat, minta petunjuk. Akak minta Allah panjangkan umur akak sehingga akak
dapat selesaikan masalah ini. Mungkin berkat doa akak itu, tiba-tiba Allah
hantar akak ke sini,”
“Macam mana akak tahu fasal
Rumah Nur Mukmin itu?”
“Rumah akak tak jauh dari situ.
Petang kelmarin selepas solat Asar, akak tergerak hati untuk berjalan-jalan di
sekitar taman itu. Akak terpandangkan rumah itu. Malam tadi akak buat solat
sunat istikharah dan minta jawapan yang baik dari Allah. Dan Allah berikan
jawapan-Nya. Semuanya dengan kehendak-Nya,”
Mardina angguk. Benar kata Puan
Rusila, Allahlah yang menggerakkan semuanya. Setiap pergerakan itu ada rahsia
dan hikmah yang tersembunyi.
“Baiklah, akak baliklah dulu.
Rumah itu belum siap dikemas. Masih banyak barang yang belum saya beli. Saya
pun nakkan penghuninya hidup dengan selesa. Nanti kalau semuanya dah siap, saya
akan hubungi akak. Akak berikan nombor telefon akak,” kata Mardina. Puan Rusila
pula menarik nafas lega. Berulang kali dia mengucap syukur.
Dia menuliskan nombor
telefonnya pada sehelai kertas yang dihulurkan oleh Mardina.
“Semoga Allah memberkati hidup
Cik Dina dan rumah itu,” kata Puan Rusila sambil menghulurkan kertas di
tangannya. Kemudian dia bangun untuk keluar dari situ. Namun sebelum dia
melangkah, Mardina menarik tangannya dengan cepat dan menyelitkan dua keping
not seratus ringgit.
“Cik Dina..” Puan Rusila cuba
menolak.
“Kak..ini untuk perbelanjaan
kakak. Hal mereka itu, saya akan uruskan segera. Akak bertenanglah. Ingat dan
berserah kepada Allah. Ajal dan maut itu di tangan Dia,” Mardina mengerdipkan
mata, mesra dan penuh simpati. Puan Rusila terharu. Selepas mengucapkan terima
kasih, dia berlalu pergi dengan cepat. Dia seperti tidak mahu Mardina melihat
air matanya.