Sabda Rasulullah s.a.w : Sebaik-baik rumah
dikalangan rumah orang-orang Islam ialah rumah yang di dalamnya terdapat anak
yatim yang diperlakukan dengan baik. (riwayat
Ibnu Majah)
-7-
Akhirnya Mardina bersedia untuk
menerima tugas dan tanggungjawab di HE Holdings sebuah syarikat hartanah yang
kukuh dan kini semakin melebar sayapnya. Dia muncul di pejabat HE Holdings
dengan langkah tenang dan penuh wibawa.
Datuk Iskandar pula agak kurang
senang dengan pakaian Mardina, namun dia cuba berlagak tenang. Dia tidak mahu
rasa hatinya mampu dihidu oleh semua pekerjanya. Dan dia yakin, Mardina akan
membuang pakaian menutup auratnya itu bila sudah mula bekerja.
Satu taklimat ringkas diberikan
oleh Datuk Iskandar kepada semua ketua jabatan mengenai perlantikan Mardina dan
penyerahan kuasa Datuk Iskandar.
“Terima kasih di atas kehadiran
semua. Tujuan saya panggil kamu semua ialah kerana saya nak kenalkan anak
sulung saya Mardina. Mulai hari ini saya akan serahkan tugas mentadbir syarikat
ini kepada beliau. Diharap anda semua dapat berikan kerjasama kepada beliau
sebagaimana yang anda telah berikan kepada saya,” kata Datuk Iskandar semasa
taklimat ringkas itu. Mardina termenung lama.
“Apa yang Dina fikirkan?”
“Dina ni baru dalam dunia ni.
Bolehkah Dina pikul tanggungjawab ni?”
“Dina perlu belajar.
Pegawai-pegawai yang ada tu orang-orang yang dah lama bekerja dengan syarikat
ini dan cukup berpengalaman. Takkan ada masalah apa-apa,”
“Habis papa?”
“Papa ada tugas baru yang nak
dibuat. Syarikat yang Syita uruskan sekarang perlukan perhatian papa. Syarikat
itu baru dan masih belum kukuh. Papa akan carikan pelabur dan pelanggan untuk
menguatkannya,” kata Datuk Iskandar dengan senyum. Mardina tunduk diam.
“Tak payah bimbang. Papa akan
pantau Dina nanti. Kalau ada masalah, Dina boleh rujuk dengan papa,” kata Datuk
Iskandar dengan senyum. Senyum itu sebenarnya menyimpan sejuta harapan. Dia
tahu dengan menyerahkan semua urusan syarikat kepada Mardina, menjadikan
Mardina sibuk. Mungkin itu cara yang terbaik untuk menarik Mardina keluar dari
dunia fantasinya. Cita-cita Mardina ingin membuka sebuah rumah kebajikan itu
dirasakan satu keinginan yang tidak masuk akal.
Mardina pula menerima tugas dan
tanggungjawab itu dengan segala senang hati. Dia tahu dia belum berpengalaman.
Dia hanya ada ijazah perniagaan. Dia ada teori, bukan praktikalnya. Namun dia
tidak mahu menjadikan hal itu sebagai masalah yang memberatkan kepalanya.
Kalau Datuk Iskandar cuba
mematikan niat dan hajat Mardina, Mardina pula tidak mahu melengahkan hajat dan
hasratnya itu. Dia tidak mahu mencari alasan untuk menghentikan apa yang sudah
dimulakannya.
“Dia akan terlupa akan
cita-cita gilanya tu,” bisik Datuk Iskandar kepada Datin Marisa.
“Insya-Allah, tidak lama lagi
semuanya akan siap. Rumah impian Dina tu akan berdiri megah. Semuanya rancangan
berjalan dengan baik, Mak Leha,” bisik Mardina kepada Mak Leha.
Mardina rasa lega dan lapang
kerana semuanya akan terpenuh dalam masa yang terdekat. Cita-cita Siti Fatimah
akan tegap nyata bersama usahanya. Dia tidak akan menoleh lagi. Perjalanan akan
diteruskan. Rumah yang dibeli sudah siap untuk diduduki.Semua urusan dengan pihak
berwajib juga sudah selesai dengan baik. Bermakna sebahagian dari tugas sudah
terlaksana. Hanya menunggu kehadiran petugas dan penghuni.
Datuk Iskandar dan Datin Marisa
tidak tahu.
Sejak seminggu, Mardina
sudah mengiklankan jawatan kosong untuk beberapa orang petugas wanita. Namun,
baru hari itu dia menerima panggilan telefon dari dua orang gadis yang
berminat.
“Baik. Awak boleh datang ke
alamat tersebut petang ini,” katanya sebelum mematikan telefon.
“Siapa Dina?” Tanya Mak Leha.
“Ada orang minta kerja. Dina
dah buat iklan jawatan kosong untuk jawatan pembantu,” jawab Mardina dengan
ceria.
“Pembantu? Untuk apa?”
“Mak Leha lupa ke mengenai
rumah kebajikan Dina tu? Semuanya dah siap, tu yang Dina perlukan pembantu untuk menguruskan
rumah tu nanti. Dina dah kerja dengan papa, mana ada masa nak uruskan sepenuh
masa. Dina juga akan menggaji seorang ustazah untuk mengajar penghuni di rumah
itu nanti,” jawab Mardina. Mak Leha menarik nafas lega.
“Cepatnya Dina buat semua ni?”
“Perkara yang baik tak boleh
bertangguh. Allah pun tidak suka kita menangguh dan melengahkan masa. Mak Leha
ingat surah Al-Asr, Allah dah ingatkan kita mengenai masa,” kata Mardina. Mak
Leha masih tidak percaya dengan apa yang didengarnya.
“Boleh Dina bawa Mak Leha ke
sana?”
“Boleh..tak ada masalah.Petang ni kita ke sana.
Kebetulan mereka berdua tu akan datang petang ni. Boleh kita bantu mereka
kemaskan rumah itu,” jawab Mardina dengan senyum senang.
“Apa nama rumah tu Dina?”
tiba-tiba Mak Leha bertanya.
“Rumah Nur Mukmin,”
“Kenapa Nur Mukmin?”
“Kerana bermula di situ, kita
akan membentuk nur yang mukmin dalam diri setiap penghuni. Untuk melahirkan
umat yang beriman mesti bermula dengan nur. Semuanya harus bermula dari awal,”
“Maksud Dina?”
“Yalah, kita perlu mencari nur
Allah untuk membentuk insan mukmin,” jawab Mardina.Mak Leha diam. Harapan Mardina begitu murni dan
yakin.
“Mak Leha, kenapa?”
“Tak ada apa. Mak Leha hanya
kagum dengan usaha Dina ni.Mak
Leha tak mampu nak tolong. Yang mampu hanya berdoa agar semuanya berjalan
dengan lancar,”
“Itu dah cukup untuk Dina.Dina perlukan doa itu.
Papa dan mama mungkin tak akan mendoakan Dina. Terima kasih Mak Leha,” Mardina
menarik tangan Mak Leha dan menciumnya.
“Untuk apa?” Mak Leha terpinga-pinga.
“Untuk doa Mak Leha dan untuk
kasih sayang Mak Leha selama ini,”
Mak Leha menarik Mardina ke
dalam pelukannya dan mengelus-ngelus anak rambut yang berjuntaian di dahi
Mardina.
**
Petang itu seperti yang
dijanjikan, Mardina membawa Mak Leha melihat rumah yang sudah dibelinya itu.Mak Leha seperti tidak
percaya pada mata yang melihat.
“Dina..” Mak Leha memegang
tangan Mardina dengan erat. Matanya bukan hanya terpaku pada rumah banglo itu,
tapi pada sebuah papan tanda RUMAH NUR MUKMIN.
“Inilah rumah baru Dina. Inilah
impian dan harapan Sylvia yang Dina cuba tunaikan,”
“Sylvia?”
“Siti Fatimah. Kawan yang Dina
cerita hari tu..” jawab Mardina. Mak Leha angguk. Dia semakin kagum dan bangga
dengan kesungguhan Mardina. Benar-benar
Mardina telah mendapat hidayah Allah. Siapa sangka Kota London yang sering
dianggap kota maksiat telah membuka jalan iman kepada Mardina. Tidak rugi
Mardina ke sana.
Tidak lama, muncul dua orang
gadis yang hampir sebaya. Mereka memperkenalkan diri. Seorang bernama Aisyah
dan yang seorang lagi bernama Mastura.
“Kamu berdua kawan baik?” Tanya
Mardina sambil meneliti wajah kedua-duanya.
“Ya. Kami kawan baik sejak di
bangku sekolah rendah lagi puan,” jawab Aishah. Mardina merenung lagi.
Tiba-tiba dia rasa tertarik dan senang dengan penampilan kedua-duanya.
“Panggil saja Kak Dina. Jadi
kamu berdua berminat untuk bekerja di sini?”
“Kalau Kak Dina percayakan
kami,” jawab yang bernama Mastura pula.
“Kakak sedang cari orang yang
amanah dan jujur. Rumah ini akan dihuni oleh anak-anak yatim dan orang-orang
tua. Mereka perlukan belaian dan kasih sayang juga perhatian. Jadi kakak nak
cari orang yang boleh layan kerenah mereka dengan hati yang ikhlas. Orang yang
tidak hanya harapkan gaji. Kita nak mencari keredaan Allah, nak cari pahala,”
kata Mardina.
“Insya-Allah, kami akan lakukan
dengan ikhlas kerana kami juga dah tak ada sesiapa di dunia ini. Selain mencari
duit, kami juga nak cari kasih sayang sebuah keluarga,” jawab Mastura dengan
tenang. Hati Mardina tiba-tiba tersentuh.
“Apa maksud Mastura?”
“Kami berdua ni sebenarnya anak
yatim piatu yang sebatang kara di dunia ini. Keluarga kami terlibat dalam
kemalangan jalan raya. Sebab itu kami mencari kerja yang tak pisahkan kami.
Kami dah janji untuk bersusah senang bersama,” jawab Aishah sebelum sempat
Mastura menjawab.
“Sebelum ni kerja kat mana?”
“Di sebuah kilang. Kami tinggal
di asrama tapi suasana di situ tidak sesuai dengan kami,” jawab Aishah lagi.
Mardina angguk perlahan. Mak Leha ikut angguk. Segunung belas dan simpati
tiba-tiba meninggi di hati masing-masing.
“Kalau macam tu, Aishah dan
Mastura anggaplah rumah ini rumah kamu. Di samping kamu mendapat gaji, buatlah
kebajikan dengan tulus,”
Mastura dan Aishah mengangguk
bersungguh-sungguh.Maknanya mereka bersetuju menerima tugas mengurus dan menjaga rumah itu. Hati Mardina
senang. Kerjanya menjadi semakin mudah.
“Mas, Syah, kakak harap kamu
buatlah rumah ini macam rumah kamu sendiri.Jaga rumah ini dan jaga penghuni rumah ini macam
keluarga sendiri,”
“Insya-Allah kak. Kami berterima
kasih kerana kakak sanggup mengambil kami bekerja di sini,” jawab Mastura
dengan senyum.
“Kakak tak nak anggap kamu
berdua sebagai pekerja. Kakak nak kita berganding bahu dan bekerjasama untuk
memberikan perhatian dan kasih sayang kepada penghuni tempat ini nanti,” kata
Mardina meneliti wajah mereka sekali lagi.
“Insya-Allah kak, kami pun tak
ada keluarga. Jadi merekalah keluarga kami
nanti,” kata Aisyah pula.
“Kalau macam tu, kamu tinggallah
di sini. Bagaimana dengan barang-barang kamu?”
“Barang-barang kami ada di
asrama. Kami akan ke sana untuk mengambilnya,”
“Nak kakak hantarkan?” tanya
Mardina.
“Tak apalah kak. Kami boleh naik
teksi,” jawab Mastura.
“Kak Dina..” tiba-tiba Aishah
mencelah. Mardina menoleh ke arah gadis itu. Wajah itu nampak muram.
“Kenapa Aishah?”
“Bolehkah kami terus pindah ke
sini hari ni juga?”
“Hmm..tapi kenapa?” Mardina rasa
kurang senang dan keliru. Diam. Mastura dan Aishah saling berpandangan.
“Kalau ada masalah, kamu boleh
cerita dengan Kak Dina. Kalau kamu tak ada keluarga, anggaplah kakak sebagai
keluarga kamu,” ujar Mardina dengan lemah lembut. Dia faham ada satu
kebimbangan dalam mata kedua-duanya.
“Kami dah tak selesa
sangat-sangat untuk tinggal di sana. Maklum kami ni budak kampung, yang tak
berpelajaran tinggi. Kami bimbang pada keselamatan diri kami,”
“Kakak tak faham,”
“Sejak sebulan di situ, banyak
perkara mungkar yang kami lihat tapi kami tak ada kuasa nak halang. Kami tak
sanggup nak dengar kisah mengandung tanpa nikah dan kes buang bayi..” Mastura
berkata perlahan. Mardina tunduk. Dia langsung tidak terkejut dengan cerita
itu. Saban hari di kaca tv dan di surat khabar memang banyak kisah-kisah
seperti itu. Hanya ada sesuatu yang dia kurang faham dan kurang jelas.
“Jadi, kenapa kamu takut dan
bimbang pada keselamatan kamu?” Tanya Mardina cuba mencari kepastian.
“Di situ juga ada satu sindiket
pelacuran. Beberapa orang rakan kami dah terjebak. Kami tak mahu ikut terjebak
dengan hal itu kak. Tolonglah kami..” tiba-tiba Mastura memegang tangan
Mardina. Barulah semuanya jelas. Mardina mula mengangguk faham. Lama dia diam
berfikir.
“Mak Leha, apa yang kita nak
buat ni?” Mardina menoleh kepada Mak Leha yang sejak tadi hanya diam mendengar
semua perbualan itu.
“Mak Leha rasa, lebih baik Dina
hantar mereka ke asrama dan ambil barang-barang mereka hari ni juga. Bukan apa,
mungkin mereka tak selamat pergi sendiri. Manalah tahu..” kata Mak Leha.
Mardina angguk berkali-kali. Ada benarnya kata-kata Mak Leha itu. Kalau benar
di asrama itu ada sindiket seperti itu, sudah tentu ada orang dalam yang
terlibat dan akan menghalang Mastura dan Aishah keluar dari situ.
“Kalau macam tu, marilah kita ke
sana,” ajak Mardina.
“Tapi kak..tidakkah ini
menyusahkan kakak?” Aishah menjadi serba salah.
“Kalau terjadi apa-apa pada kamu
berdua, kakak lagi susah nanti. Dah, jangan fikir banyak. Mari kita pergi
sebelum hari malam,” kata Mardina sambil berjalan keluar dari rumah itu, diekori oleh Mak Leha, Mastura dan Aishah.
Dengan panduan arah yang
diberikan oleh Aishah dan Mastura, Mardina memandu dengan penuh hati-hati.
“Mungkin ada masalah untuk masuk
ke kawasan asrama itu,” kata Mastura.
“Masalah macam mana?” Tanya
Mardina sambil memandu.
“Ada pengawal keselamatan di
pintu pagar. Selalunya mereka akan mengawal ketat orang yang keluar masuk. Kami
rasa mereka sebahagian dari ahli sindiket itu,”
“Mana Mastura tahu?”
“Entahlah..kami hanya syak,”
“Tak boleh syak tanpa bukti.
Kenapa hal ini tidak dilaporkan kepada polis?”
“Semua tak berani kak,” jawab
Mastura lagi. Kali ini Mardina tidak menyoal lagi.
Tidak lama, mereka sampai ke
tempat yang di tuju. Memang benar apa yang dikatakan oleh Aishah dan Mastura.
Di pintu pagar, mereka dihalang masuk. Mardina terpaksa campur tangan ketika
dia melihat Mastura dan Aishah lama bertegang urat dengan seorang pengawal keselamatan.
Akhirnya semua berjalan dengan baik. Mereka berjaya masuk dan keluar dari situ
dengan selamat.
Mastura dan Aishah telah selamat
di Rumah Nur Mukmin.
Selepas menunaikan solat
Maghrib, Mardina meninggalkan Rumah Nur Mukmin. Dia berhajat membawa Mak Leha
makan saja di sebuah restoren. Dia kasihan melihat Mak Leha yang keletihan
kerana sepetang itu mereka sibuk mengguruskan hal Mastura dan Aishah.
“Kita makan di rumah saja
Dina. Mak Leha dah masak,” kata Mak Leha
menolak ketika kereta sudah berhenti betul-betul di hadapan restoren.
“Sekali-kali kita makanlah di
luar,”
“Dina jemu dengan masakan Mak
Leha?”
“Ish, bukan macam tu. Dah
terlanjur kita keluar. Lagi pun, Dina kesian tengok Mak Leha. Kita dah letih.
Sampai di rumah nanti, hanya solat dan tidur saja,”
“Tapi..” Mardina terus menarik
tangan Mak Leha sebelum sempat wanita itu menghabiskan kata-katanya. Mereka
masuk dan duduk dengan selesa. Kemudian mereka memesan makanan dan minuman.
Sementara menunggu pesanan sampai, Mardina termenung. Terlalu banyak perkara
yang berputar di fikirannya ketika itu. Pertengkaran kecil dengan pengawal
keselamatan di asrama itu masih mengganggunya.
“Cik tak boleh bawa mereka
keluar dari sini,”
“Kenapa tak boleh. Mereka dah
tak kerja di sini lagi dan mereka berhak keluar dari sini. Pihak syarikat
tak berhak nak tahan mereka,”
“Tapi mereka masih terikat
dengan syarat asrama ini,”
“Syarat apa?”
“Setiap penghuni yang ingin
keluar dari asrama perlu menunjukkan surat izin dari pihak majikan. Kalau
tidak, kami tak boleh lepaskan,”
“Mana ada macam tu. Pihak kilang
yang suruh kami keluar kerana kami dah tak kerja lagi. Bilik kami itu akan
diberikan kepada pekerja baru,” tiba-tiba Mastura mencelah. Dia tahu semua itu
adalah putar belit pengawal itu. Diam. Pengawal itu kemudian mencapai gagang
telefon dan cuba mendail. Mardina mendekat, seolah-olah ingin mendengar apa
yang akan dikatakan. Lelaki itu meletakkan semula gagang.
“Telefonlah, biar saya cakap
sendiri. Ini anak buah saya, kenapa saya tak boleh ambil dia keluar,” Mardina
meninggikan suaranya. Lelaki itu semakin teragak-agak.
“Baiklah. Kalau encik masih
keberatan membenarkan kami masuk, kami akan ke pejabat majikan untuk dapatkan
surat,” kata Mardina bertegas. Wajah pengawal itu tiba-tiba berubah.
Mardina akhirnya tersenyum.
“Yang Dina senyum-senyum ni
kenapa?” Mak Leha menepuk bahu Mardina.
“Dina terbayangkan wajah pucat
pengawal keselamatan tu tadi,”
“Padan muka dia, nak tipu orang
yang lebih pandai,” ujar Mak Leha dengan senyum juga.
“Tapi, Dina rasa betul juga
sangkaan Mastura dan Aishah tu. Pengawal keselamatan tu ada hubung-kait dengan
sindiket pelacuran yang dikatakan itu,”
“Dina, dahlah. Jangan fikir lagi
hal tu. Mak Leha tak mahu Dina terlibat, bahaya!” kata Mak Leha memberi amaran.
“Tapi, kalau tekaan itu benar kita
berdosa kerana membiarkan anak-anak gadis bangsa kita menjadi mangsa mereka.
Sekurang-kurangnya kita kena buat laporan polis. Biar mereka yang buat kerja,”
ujar Mardina. Mak Leha terdiam. Dia dihantui rasa bimbang dan risau yang amat
sangat. Dia membayangkan bahaya yang sedang menanti Mardina.
“Mak Leha, tengok tepi jalan
sana tu!” Kata Mardina tiba-tiba. Mak Leha menoleh ke arah yang ditunjukkan.
Semua kerisauannya hilang.
“Mana?”
“Sana tu? Nampak tak?”
“Apa dia Dina?”
“Tengok mak cik tu! Ya
Allah..kesiannya. Mak Leha tunggu sekejap, Dina pergi tengok,” Mardina bangun,
terus berjalan ke arah itu. Mak Leha hanya menghantarnya dengan mata. Dia tahu
ada sebuah taman kasih di hati Mardina yang begitu subur. Untuk itu dia
berjanji dengan dirinya, untuk sama-sama membajai taman itu agar sentiasa sejuk
menghijau. Mardina sudah mendapat petunjuk Allah. Dia akan membantu gadis itu
berjalan lurus dengan petunjuk itu.
Langkah Mardina bernoktah di
sisi wanita tua yangterbaring lesu di tepi jalan itu. Matanya terpenuh rasa
simpati. Tasik hatinya pula melimpah dengan rasa belas.