Ketika
ALLAH berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku akan menjadikan seorang
khalifah di muka bumi yakni Adam.” Jawab
mereka : “Adakah patut Engkau menjadikan seorang khalifah di atas bumi yang
akan berbuat binasa dan menumpahkan darah ( berbunuh-bunuhan ) sedangkan kami
yang bertasbih memuji Engkau dan mensucikan Engkau,” Allah berfirman:
“Sesungguhnya Aku mengetahui apa-apa yang tidak kamu ketahui,”( Surah
Al-Baqarah ayat 30 )
( 1 )
Penerbangan dari London
ke Malaysia,
selamat mendarat di lapangan terbang KLIA. Mardina mengucap syukur
berulang-kali. Udara di bumi sendiri disedut sepuas-puasnya.
“Alhamdulillah…Malaysiaku yang permai dan
aman damai,” ucap Mardina dengan senyum puas. Sungguh tenang memandang
persekitaran dan pemandangan di tempat sendiri. Di mana saja, bumi dan langit
adalah kejadian yang sama. Di mana bumi dipijak di situ langit di junjung, ia
tetap ciptaan Al-Khalik untuk makhluk-Nya.
Lima tahun dia tidak pernah pulang. Lima tahun dia berpijak di
bumi dan berteduh di bawah langit asing. Lima
tahun dia hidup di celah-celah budaya orang lain dengan segala kemelut sosial
bangsa asing.
Kini, dia kembali. Benar kata pepatah,
hujan emas di negeri orang hujan batu di
negeri sendiri lebih baik di negeri sendiri. Dia seperti seluang yang pulang ke
lubuk, gembira dan amat teruja.
Dalam gembira ada gusar dan bimbang. Dia
tidak pulang seperti Mardina yang dulu. Dia juga tidak pulang dengan hanya
membawa ijazah dalam bidang perniagaan. Sebaliknya dia pulang sebagai Mardina
yang baru dengan membawa segenggam azam dan nawaitu yang jitu – beriman kepada
Allah dan rasul-Nya dengan penuh taqwa.
Hal kepulangannya itu telah pun
dimaklumkan kepada keluarganya dua minggu yang lepas. Kepada Mak Leha pembantu
rumah yang setia itu juga sudah dikhabarkan.
Masih tidak terluangkah masa kedua ibu
bapanya untuk menunggu kepulangannya hari itu? Dulu semasa dia akan berangkat
meninggalkan Malaysia,
kedua-duanya hanya mewakilkan salam perpisahan melalui Mak Leha, pembantu
rumah. Juga mengarahkan Pak Kasim, pemandu peribadinya menghantarnya ke
lapangan terbang.
Kemudian selama lima tahun, dia seperti tersisih dari ingatan
mereka. Tidak pernah sekali mereka menelefon, bertanya khabar atau menyuruh dia
pulang ketika cuti semester. Apalagi untuk mengatakan rindu padanya.
Tidak berputikkah rindu di hati kedua-dua
ibu bapanya? Tapi kenapa? Mardina mengeluh perlahan. Dia berjanji kepada
hatinya untuk bertenang ketika berdepan dengan kenyataan yang bakal dihadapinya
nanti.
Di balai ketibaan pula, Mak
Leha dan Masyita tersenyum selepas hampir satu jam resah menunggu. Pengumuman
ketibaan yang baru dibuat mematikan semua rasa bosan dan resah yang ada.
“Bagaimana agaknya rupa Kak
Dina tu ya Mak Leha. Tak sabar Syita nak tengok wajah dia. Dah lima tahun dia
tak balik,”
“Lima tahun saja. Mungkin tak
ada yang berubah pun,” balas Mak Leha selamba. Matanya masih merenung ke arah
pintu keluar, menanti penuh harapan rindu.
“Apa pulak tak lama Mak Leha.
Kalau nak berubah, sehari pun orang boleh berubah,”
“Sekejap lagi kita akan jumpa
dia. Mungkin dia dah kurus kerana lama tak makan sambal belacan dan asam pedas
Mak Leha. Nanti esok Mak Leha nak buat sambal belacan tu untuk dia. Ikan pari
pun Mak Leha dah beli, boleh masak asam pedas untuk dia,” kata Mak Leha dengan
senyum. Dia terbayang wajah Mardina yang merah padam dan mata yang berair
setiap kali makan berlaukkan asam pedas.
Dia tidak lupa, Mardina makan dengan penuh selera kalau ada sambal
belacan dan ikan bakar.
“Mak Leha ni, Kak Dina dah
lupakan tu semua. Mana ada kelas, orang balik dari luar negeri nak makan
belacan yang busuk tu. Nanti Mak Leha kena pergi kursus masak memasak tau!” kata Masyita
mencebik.
“Untuk apa?” Mak Leha segera
menoleh. Wajah Masyita direnung dengan penuh tanda tanya. Dia tahu selera
Masyita tidak sama dengan selera Mardina. Sejak kecil pun memang tidak pernah
sama. Ada banyak perkara yang tidak sama.
“Kerana Kak Dina dah tak pandai
makan masakan Melayu. Dia hanya makan masakan
mat saleh sahaja. Dia dah lupa nak makan sambal belacan dan asam pedas
ikan pari yang Mak Leha selalu masak tu,” Masyita menjuihkan mulut.
“Kalau macam tu, senang je.
Dekat rumah kita ada Restoren Mat Saleh. Kita beli sajalah..”
“Bukan Mat Salehlah Mak Leha,
tapi mat saleh. Orang putih. Kak Dina hanya makan steak, vegetables
salad, spaghetti dan macam-macam lagi,”
“Ish! Kamu ni Syita.Takkanlah Dina macam tu. Mak Leha tahu
perangai dia tu. Dari kecil kamu berdua ni Mak Leha yang jaga. Mak Lehadah tahu yang mana kamu
berdua suka dan yang mana kamu tak suka!” bantah Mak Leha cuba pertahankan cakapnya.
“Itu dulu. Sekarang dah lain.
Sedangkan sungai lagi berubah…”
“Orang lain mungkin berubah,
tapi tidak Dina.” Mak Leha masih bertegas. Dia tidak percaya kalau selera
Mardina akan berubah. Kalau Masyita mungkin begitu sebab selama ini pun dia
tidak suka sangat makan masakan Melayu. Yang dimakannya ialah makanan yang
pelik-pelik. Kalau bukan masakan Jepun, dia makan masakan China atau mat
saleh.
“Syita rasa kakak tentu lebih rugged dan seksi.Maklum sajalah
dia berada di pusat dan syurga membeli belah tersohor di dunia. Mesti puas dia
berfesyen kan Mek Leha?” Tanya Masyita. Mak Leha tidak menjawab. Hal-hal
pakaian, dia tidak berani memberi komen. Sejak dulu pun dia tidak berani
menegur kalau Mardina atau Masyita memakai baju yang dirasakannya memang
menyakitkan mata.
“Biarlah mereka
Mak Leha. Itu pakaian orang sekarang,” kata Datin Marisa ketika dia menegur
baju Mardina yang singkat senteng. Sejak itu dia tidak berani menegur lagi.
Pakailah apa saja dia tidak kisah. Dia tahu dia hanya pembantu di rumah itu.
Dia tidak ada suara untuk menegur dan tidak ada kuasa untuk menahan. Dia
bisukan mulut. Dia butakan mata. Juga dia pujuk hati supaya tidak campur urusan
majikannya.
Dari jauh mereka melihat
seorang wanita keluar dari pintu sambil menyorong troli yang sarat dengan
barang-barang. Langkahnya mereka sudah kenal, Mardina!
“Mak Leha, tengok
tu!” Masyita menunjukkan ke arah seorang wanita yang baru keluar dari pintu
ketibaan. Wanita yang berseluar jeans dengan baju labuh danbertudung melambaikan
tangan kepada mereka.
Mereka saling berpandangan.
“Betul ke itu Kak Dina?”
Masyita terpinga-pinga.
“Betullah tu..kita tak mimpi
pun,” jawab Mak Leha dengan senyum senang.
Mardina berjalan menuju ke arah mereka dengan tergesa-gesa, penuh rindu.
Tanpa menunggu dia terus memeluk kedua-duanya dengan erat.
“Mak Leha apa
khabar?” Tanya Mardina ketika melepaskan pelukannya.
“Alhamdulillah syukur kerana
masih diberi peluang untuk melihat dunia dan
bertemu dengan Dina lagi,” Mak Leha masih memegang tangan Mardina dengan
dada lapang.
“Syita macam mana?” Tanya
Mardina menoleh ke arah adiknya.
“Syita pun ok. Masih macam
dulu, sihat dan ceria,”
“Mama dan papa mana?”
“Mama ke Singapura dan papa ada
di pejabatnya. Hari ni dia ada temu
janji penting dengan pelabur dari luar negeri. Itu yang dia minta Syita dan Mak
Leha yang jemput kakak ni,” kata Masyita. Hampa. Wajah Mardina tiba-tiba
berubah mendung. Dugaannya benar.
“Mama dan papa tetap sibuk,”
keluhnya perlahan, namun sempat didengar oleh Masyita dan Mak Leha.
“Don’t worry kak. Kita
kan boleh jumpa di rumah nanti. Kak Dina pun dah balik dan takkan pergi lagi.
Masih ada banyak masa,” pujuk Masyita. Mardina diam dan dengan perlahan dia
mengangguk. Lalu dia memaksa dirinya untuk tersenyum. Jauh di sudut nubarinya
dia memang berkecil hati. Bukan hanya kali ini, malah sudah berkali-kali.
Sejak kecil hingga kini, mereka
tidak pernah ada masa. Sentiasa sibuk. Kalau tidak dengan urusan bisnes, tentu
dengan urusan persatuan. Kalau papanya ke padang golf, mamanya akan ke spa atau
ke butik. Namun untuk ke sekolah bagi meraikan acara untuk anak-anak, tidak
pernah ada masa.
Sejak kecil juga seperti ada
jurang kasih yang dalam antara mereka. Cara Datin Marisa dan Datuk Iskandar
bercakap dengannya tidak sama dengan cara dia bercakap dengan Masyita. Di celah
hati mereka seolah-olah tidak ada sekuntum kasih untuk dirinya. Entah kenapa,
kadang-kadang dia rasa dia seperti anak tiri atau anak angkat saja.
“Dina..?” Mak Leha menyergah.
Dia tahu Mardina sedang mengelamun.
“Jomlah, kita balik. Tak sabar
nak tengok ’syurga’ kita tu,” kata Mardina dengan senyum perli. Mak Leha
angguk. Dia membalas senyuman Mardina itu dengan senyum sinis.
Mereka berjalan keluar dari
balai ketibaan. Sebuah Mercedes C320 bernombor JEX 186 siap siaga menunggu.
Melihat mereka datang, dengan segera
pemandu itu membukakan pintu dan memasukkan semua barang ke dalam boot
kereta. Mereka masuk dan duduk dengan selesa.
“Kak Dina, Syita tanya sikit boleh?”
Tanya Masyita ketika kereta sudah meluncur meninggalkan lapangan terbang itu.
“Syita ni..tak menyempat-nyempat. Kak
Dina ni penat lagi. Esok-esok kan
boleh tanya..” rungut Mak Leha.
“Tak apalah Mak Leha. Tanyalah, apa dia?”
Mardina menoleh kepada Masyita.
“Fesyen apa yang Kak Dina pakai ni?”
Tanya Masyita dengan senyum, mengejek.
“Kenapa Syita? Ada yang tak kena dengan pakaian kakak ni?”
Tanya Mardina dengan senyum juga. Tudung yang menutupi kepalanya dibetulkan.
“Bukan tak kena, tapi kakak dah
berubah..”
“Manusia perlu berubah dalam hidupnya
Syita. Kalau dia tak berubah, maknanya hidupnya memang tak sempurna,”
“Tapi perubahan Kak Dina ini terlalu
drastik dan menonjol,” Masyita masih tidak berpuas hati dengan jawapan Mardina.
Matanya masih tidak lepas merenung Mardina.
“Menonjol?”
“Yalah, dulu Kak Dina tinggalkan negara
dalam keadaan rugged dan seksi. Bila balik, Kak Dina bawa fesyen ni..”
Masyita menarik hujung tudung kepala Mardina dengan hujung jarinya. Mardina
ketawa perlahan. Dia tahu perubahan pakaiannya akan menjadi isu. Dia tahu
pakaiannya yang menutupi aurat itu akan mengelirukan fikiran keluarganya yang
separuh mat saleh itu.
Dia tidak ketawa kosong. Dia ketawa
dengan azam: ada banyak lagi perubahan yang akan dibuat dalam keluarga
itu.
“Kak Dina belum jawab soalan Syita,”
Masyita mengejutkan Mardina yang sedang merenung ke luar. Sekali lagi Mardina
senyum. Sejak dulu Masyita tidak pernah berubah, suka mendesak.
“Mengenai apa?”
“Mengenai pakaian Kak Dina ni..”
“Apa yang aneh sangat dengan pakaian akak
ni?”
“Dulu akak..”
“Dulu tu akak jahil. Akak tak tahu hukum
dan akak tak tahu dosa mendedahkan aurat. Sekarang, akak dah tahu. Dosanya amat
berat. Jadi, akak nak tutup aurat akak dan tak mahu terus hidup dalam dosa. Itu
saja,” jawab Mardina dengan tenang dan selamba.
“Tapi ini terlalu taksub kak. Ini tak
masuk akal,” tingkah Masyita.
“Ini adalah hukum Allah Syita. Ini adalah
hukum yang wajib untuk semua wanita Islam. Apa yang tak masuk akal..?” Mardina
menoleh dan merenung wajah Masyita. Ternyata masa beberapa tahun yang
ditinggalkannya tidak langsung mengubah diri Masyita.
“Kak Dina, untuk apa akak buat semua ni?
Kita ni golongan elit. Akak tak takut orang ketawakan akak nanti?”
“Hukum Allah itu tidak mengira pangkat
dan kedudukan sesaorang. Allah sentiasa adil kepada hambaNya. Kaya atau miskin,
sama saja. Akak lebih takut pada azab Allah. Ketawa manusia tidak akan membawa
kita kecundang kerana bukan manusia yang menentukan hidup dan masa depan
manusia lain. Allah Yang Maha Berkuasa,” jawab Mardina dengan tegas.
“Syita tak setuju dengan fikiran akak
ni,”
“Setuju atau tidak, inilah realitinya.
Manusia adalah khalifah Allah di muka bumi ini. Sebagai khalifah, kita ada
tanggungjawab masing-masing,”
Diam. Masyita melepaskan pandangannya ke
luar tingkap. Kesibukan jalan raya menyeliratkan lagi fikirannya. Wajahnya
nampak kurang senang. Mardina menjeling ke arah adiknya dengan senyum. Mak Leha
juga tersenyum. Perubahan Mardina begitu menyenangkan hatinya. Apa lagi selepas
telinganya mendengar kata-kata Mardina mengenai dosa pahala.
“Sudahlah tu. Lain kali saja bincang hal
ni. Dina nak makan apa malam ni?” Mak Leha cuba meredakan suasana, mengalihkan
perhatian kedua beradik itu. Kalau tidak dialih perhatian mereka, tidak
mustahil satu pertikaman lidah akan berlaku. Sejak kecil mereka berdua memang
suka berdebat. Biasanya dari perdebatan biasa akan jadi pergaduhan dan saling
bermasam muka. Tapi tidak lama. Belum beberapa jam, mereka sudah berbaik.
“Apa saja Mak Leha. Tak usah nak
susah-susah. Dina ni letih sangat. Rasa macam nak tidur saja,”
“Lepas makan tidurlah,”
“Kak Dina masih ingat pada masakan
Melayu?” Masyita menyorot ke dalam mata Mardina, menduga.
“Kita orang Melayu, sampai mati pun tetap
orang Melayu. Walau berapa lama menetap di tempat orang, kita tetap orang
Melayu. Kita kena bangga dengan cara hidup, budaya dan makanan kita,” jawab
Mardina sinis.
“Mana tahu, dah lama makan keju dah lupa
pada belacan. Dah lama makan spaghetti, dah lupa pada laksa. Dah lama makan
salad, dah lupa pada rojak!”
Mardina ketawa kecil. Dia tahu Masyita
bergurau. Namun dalam masa yang sama, dia juga faham maksud yang tersirat di
sebalik gurauan itu.
Mereka sampai di rumah.
“Masuklah Dina. Rumah ni tetap macam
dulu. Tak ada yang berubah pun,” ujar Mak Leha.
Mardina melangkah masuk. Matanya
memandang ke sekeliling. Memang benar kata Mak Leha, rumah itu tidak berubah.
Banyak perhiasan lama masih utuh di situ. Yang berubah mungkin kedudukan
perabut dan gubahan perhiasan.
“Kak, Syita keluar dulu. Ada janji dengan kawan.
Nanti kalau ada masa lapang, kita berbual. Akak rehatlah dulu,” Masyita
melangkah ke arah kereta spotnya sebelum sempat Mardina memberi reaksi.
Mak Leha berjalan ke dapur, menyiapkan
minuman. Mardina masih tertinjau-tinjau keadaan di dalam rumah itu.
“Dina, minum dulu. Air kesukaan Dina,
sirap limau,”
“Mak Leha masih tak lupa?”
“Mana boleh lupa. Lebih dua puluh tahun
Mak Leha sediakan minuman itu untuk Dina,”
“Terima kasih Mak Leha. Hanya Mak Leha
yang tak pernah lupakan Dina,” kata Mardina perlahan. Mak Leha faham apa yang
dimaksudkan oleh Mardina. Namun dia tidak mahu bersambung kata dengan gadis
itu.
“Minumlah, lepas tu berehat. Mak Leha dah
kemaskan bilik Dina,”
Mardina akur. Dengan bismillah yang
perlahan, dia meneguk sirap limau yang dihidangkan. Mak Leha hanya memerhati.
Perubahan yang dibawa balik dari London
itu amat melapangkan dada Mak Leha.
Mardina berjalan ke arah biliknya. Sebaik
pintu dibuka, dadanya tiba-tiba sebak. Lima
tahun dia meninggalkan bilik itu. Namun, ternyata Mak Leha menjaganya dengan
baik. Dia membuka almari pakaiannya. Semua pakaiannya masih tersangkut dan
tersusun dengan rapi. Almari enam pintu dengan ukiran kayu jati itu masih penuh
dengan pakaian yang beraneka fesyen.
Dia membelek semua pakaian itu. Dia rasa
malu pada dirinya sendiri ketika membayangkan dia memakai baju-baju yang
singkat dan terdedah itu. Dia teringat kisah Israk wal Mikraj yang pernah
dibacanya. Baginda Rasulullah s.a.w berkata: “Aku melihat wanita yang
digantungkan rambut-rambutnya hingga menggelegak otak mereka seperti gelegaknya
kuali. Maka aku bertanya: “Siapakah mereka ini wahai saudaraku Jibril?” Jibril
menjawab: “Mereka ialah wanita yang tidak menutup rambut mereka dari pandangan
lelaki ajnabi,”
Tiba-tiba Mardina ketakutan. “Mak Leha!”
Mardina memanggil.
“Ada
apa Dina?” Mak Leha muncul di muka pintu.
“Boleh tak Mak Leha tolong kemaskan
almari baju Dina ni,”
“Tapi kenapa? Bukankah semuanya masih
kemas macam dulu ni?” Mak Leha terpinga-pinga. Susunan pakaian di almari itu
tidak pernah berselerak. Tidak pernah ada orang yang menyentuh semua milik Mardina.
Hanya dia yang masuk dan mengemas bilik dan semua barang yang ada di bilik itu.
“Dina nak Mak Leha kosongkan almari ini,”
“Habis pakaian-pakaian ni nak diletakkan
di mana?”
“Buang saja. Dina tak nak ingat semua
kenangan lama dan Dina malu dengan kejahilan Dina dulu,”
“Tapi Dina..” Mak Leha rasa ralat dan
sayang melihat pakaian yang mahal-mahal itu dibuang begitu saja. Alangkah
baiknya kalau pakaian itu disedekahkan kepada mereka yang sudah dan tidak
berbaju. Tapi..
“Mak Leha, tolonglah. Dina nak mulakan
hidup baru..” Mardina seperti merayu.
“Baiklah Dina, nanti Mak Leha akan
kemaskan,” Mak Leha tidak mahu bertanya lagi. Dia keluar dari bilik itu dan
membiarkan Mardina sendirian. Dalam fikirannya masih terfikir bermacam perkara.
Mardina berbaring dengan selesa,
membetulkan lenguh kaki dan badan akibat perjalanan jauh itu. Baju-baju yang
bergantungan di almari itu direnungnya. Bukan sedikit masa dan wang telah
dihabiskan untuk membeli kesemuanya itu. Setiap hujung minggu, dia dan
teman-temannya akan menjelajah dari gedung ke gedung untuk berbelanja. Dia
terikut-ikut perangai Datin Marisa yang suka berfesyen.
Sejak kecil dia sudah terdedah dengan
keadaan itu. Dia lahir di atas lantai hidup yang mewah. Datuk Iskandar mahupun
Datin Marisa tidak pernah berkira dari segi wang ringgit. Duit koceknya
sentiasa penuh. Kad kredit dan duit simpanan banknya juga tidak pernah luak.
Begitu juga dari segi kebebasan hidup, tidak pernah sekali pun dia dihalang dan
ditanya ke mana dia pergi. Dia balik atau tidak ke banglo itu tidak pernah
dipedulikan.