Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai
perhiasan baginya kerana kami hendak menguji siapakah diantara mereka yang
lebih baik amalnya.
( Surah
al-Kahfi ayat 7)
-5-
Hasim melangkah masuk ke ruang tamu
dan terus duduk di sofa dengan wajah
letih dan murung. Sebuah keluhan mendesah berat.
Puan Sri Asmat yang sedang membaca
majalah di ruang tamu itu menoleh.Sekilas, dilihatnya wajah Hasim bertempek muram.
“Sim dari mana ni?”
“Tadi main golf dengan Alex sekejap. Lepas
tu pergi jumpa Dina,”
Puan Sri Asmat meletakkan majalah yang
sedang dibacanya.
“Ai! Balik jumpa
tunang, wajah mendung macam nak hujan ni kenapa?” Puan Sri Asmat cuba bergurau.
Namun hati Hasim tidak tercuit dengan gurauan itu. Tanpa menoleh, dia
menyandarkan kepalanya ke sofa dan termenung. Kata-kata Mardina masih memenuhi
ruang fikirnya.
“Dina pun dah
balik. Bila lagi nak dilangsungkan perkahwinan kamu? Rasanya dah lama sangat
kamu bertunang. Nak tunggu apa lagi? Makin hari umur kamu bukan makin muda,”
kata Puan Sri Asmat.
“Entahlah mak…” tiba-tiba Hasim mengeluh.
“Apa yang entahnya. Kalau kamu setuju,
biar mak dan ayah bincang hal ini dengan keluarga Dina tu. Tahun ni, kita pun
tak sibuk sangat. Dapatlah tumpukan masa pada majilis kamu tu nanti,” kata Puan
Sri Asmat lagi.Diam. Hasim terus termenung. Kata-kata Mardina masih belum
mampu dinyahkan sedikitpun. Kadang-kadang dia rasa seperti senjata tajam yang
sedang menusuk-nusuk dadanya.
“Sim! Kamu ni
kenapa? Asyik termenung saja. Cubalah serius sikit dalam hal ni,” sergah Puan
Sri Asmat dengan suara meninggi. Hasim tersentak.
“Hal apa mak?”
Dia menoleh ke arah Puan Sri Asmat.
“Ish! Budak ni.Hal kamu dengan Mardina
tulah..”
“Sim dah bincang
dengan Dina. Kami rasa terpaksa tangguh dulu mak,”
“Tangguh lagi?
Tapi kenapa? Dulu dia kata nak sambung belajar.Sekarang dia dah habis belajar.
Alasan apa lagi? Atau dia sengaja buat helah nak elakkan diri dari kamu?” Puan
Sri Asmat melenting. Hasim rasa serba salah. Perlukah dia ceritakan kepada
ibunya semua butir bicara Mardina tadi?
“Dina tu dah banyak berubah,
mak. Dia bukan Dina yang dulu lagi,”
“Kalau hal pakaiannya tu, mak
dah tahu.Semua kawan-kawan
mak dah bercerita. Katanya Mardina tukar fesyen, bertudung litup! Itu senang
saja. Dah jadi bini kamu, kamu ubahlah dia balik,”
“Bukan hanya pakaiannya mak,”
“Apa lagi yang berubah? Hati dia?” Tanya
Puan Sri Asmat dengan wajah kurang senang.
“Fikirannya tentang hidup. Tadi kami baru
saja bincang hal ni. Dia beri syarat kalau nak kahwin dengan dia,” kata Hasim
berhati-hati. Dia tahu hal itu akan menyentuh hati ibunya. Tapi dia rasa ibunya
perlu tahu.
“Syarat apa pula ni?” Puan Sri
Asmat semakin keliru.
“Dia kata saya ni belum mampu
nak jadi ketua keluarga dan pikul tanggungjawab sebagai suami. Dia mahu saya
belajar agama dulu sebelum kahwin,” kata Hasim. Puan Sri Asmat tersentak.Tiba-tiba dia
rasa darahnya menyirap ke muka. Dia rasa begitu terhina. Mardinaseperti telah membaling
najis ke pintu rumahnya.
“Apa kena dengan
budak tu? Apa dia ingat kita ni jahil sangat
hal agama? Dia ingat dia dah tukar fesyen baju, dia dah alim hingga nak
tuduh orang lain jahil?” suara Puan Sri Asmat tiba-tiba seperti guruh berdentum
memenuhi ruang.
“Dina mungkin tak berniat begitu mak,”
Hasim cuba
membela Mardina.
“Kalau tak niat begitu, apa?”
“Mungkin Dina..”
“Sudah! Kamu jangan nak
sebelahi dia pula.Mak tak
akan biarkan dia. Kalau dia bersyarat, kita juga boleh bersyarat. Mungkin
syarat kita lebih berat!” sergah Puan Sri Asmat dengan lantang. Hasim
terdiam.
Dengan sebuah keluhan yang semakin berat,
dia bangun dan meninggalkan Puan Sri Asmat yang masih mengomel. Keadaan
dirasakan bertambah kusut. Harapan untuk meringankanbeban menjadi sebaliknya. Kepala yang
serabut semakin menjadi bertambah serabut.
Dia masuk ke bilik, berbaring di katil.Dia cuba pejamkan mata.
Namun, dia gagal. Bayangan wajah Mardina dengan blaus dan tudung kepalanya amat
mengganggu mindanya saat itu. Semua ucapan dan kata-kata Mardina juga
diingatnya. Sungguh menyakitkan. Mardina amat berbeza dari dulu. Seperti langit
dengan bumi. Kadang-kadang dia rasa Mardina sengaja membina tembok pemisah
antara mereka.Kenapa
Mardina berbuat begitu? Apakah dosa yang dilakukannya?
“Dina nak sambung belajar. Kalau Sim rasa
tak sabar nak tunggu, Sim kahwinlah dengan siapa yang Sim suka,”
“Kenapa Dina cakap macam tu?
Dina tak cintakan Sim? Dina pergilah berapa lama yang Dina suka. Sim akan
tunggu Dina,”
Mardina ketawa, berdekah dan
sinis.
“Bolehkah percaya pada janji
seorang jantan. Lelaki..sedang ada depan mata mereka boleh curang. Kalau jauh,
apa lagi?”
“Itu lelaki lain, bukan Sim,”
ujarnya bersungguh-sungguh. Namun, Mardina tidak pernah percaya. Dia tidak
pernah peduli dengan kesangsian Mardina. Dia tahu diri dan hatinya. Selama
berpisah dengan Mardina, tidak sekali dia berlaku curang. Walaupun peluang
memang sering datang bergolek. Seperti kata Alex, ramai gadis yang mencari
peluang mendekatinya. Namun semua peluang itu ditutup kemas.Dia langsung tidak memberi ruang pada
wanita lain untuk singgah dalam hatinya.
Dia amat menyintai Mardina. Tidak pernah
terkurang sedikitpun rasa yang ada di hatinya itu. Namun, kenapa Mardina
berubah?
Selepas
Hasim meninggalkannya di ruang tamu itu, Puan Sri Asmat terus mencapai telefon
bimbitnya dan menekan nombor Datin Marisa.
“Aku
tak mahu berlengah. Mardina ni dah melampau. Aku takkan biarkan dia buatsesuka hati kepada Hasim. Kalau Datin
Marisa mahu hubungan persahabatan mereka berkekalan, dia mesti bertindak cepat
sebelum ‘penyakit’ dalam diri anaknya merebak kepada Hasim,” bisik Puan Sri
Asmat dalam hati.
Talian bersambung. Apa yang terbuku di
hatinya tidak dinyatakan dengan jelas. Sekadar satu sindiran. Dia ingin
berteka-teki dengan Datin Marisa.
“Datin bincanglah hal ini dengan datuk.
Kalau tak ada aral, kita percepatkan majlis dua anak kita tu. Dah lama sangat
mereka tu bertunang. Lebih lama, lebih banyak pula anasir negatif yang akan
mengganggu hubungan itu. Kelak nanti fikiran kita juga yang akan serabut,”
“Maksud Puan Sri?”
“Mungkin pihak datin lebih maklum. Tak
apalah. Kalau ada apa-apa perkembangan, cepat beritahu saya. Datin buat
keputusan dengan cepat sebelum saya yang buat keputusan saya,” kata Puan Sri
Asmat dengan sinis.
“Lain macam saja Puan Sri? Ada apa-apa yang tak kena
dengan budak-budak tu ke?” Tanya Datin Marisa semakin keliru. Dia tidak faham
langsung tidak mampu membaca apa yang cuba diluahkan oleh Puan Sri Asmat
itu.
“Tak apalah, datin tanyalah anak datin
sendiri,” kata Puan Sri Asmat sebelum mengucapkan salam dan mematikan talian
telefon. Datin Marisa akhirnya mematikan talian handsetnya dengan wajah
kelat. Nada suara Puan Sri Asmat amat berbeza dari biasa.
“Entah apa lagi yang Dina tu buat pada si
Hasim tu agaknya..” keluh Datin Marisa perlahan.
“Apa yang awak merungut sorang-sorang ni
Risa?”
“Eh! Bila abang balik?Tak dengar bunyi kereta
pun?”
“Sebab awak tu mengelamun.Bunyi enjin yang begitu kuat pun awak tak
dengar. Ada
apa?” Datuk Iskandar meletakkan begnya. Ketika Datin Marisa termangu-mangu
memikirkan kata-kata Puan Sri Asmat itu, Mardina keluar dari bilik.
“Dina, duduk sini sekejap. Papa nak cakap
sikit,” panggil Datuk Iskandar.Mardina menurut. Dia duduk di hadapan mama dan papanya
dengan sopan. Hati Datin Marisa lega. Datuk Iskandar seperti telah menebas
jalan untuk dia bersemuka dengan Mardina mengenai teka-teki Puan Sri Asmat
tadi.
“Dah beberapa bulan Dina balik.
Bila Dina nak mula kerja?” Tanya Datuk Iskandar.
“Tengoklah dalam seminggu dua
ni papa,”
“Baguslah. Kami berharap sangat agar Dina dapat
menerajui HE HOLDINGS. Kami ni dah tua
dan dah tak larat. Kalau boleh kami nak berehat,” kata Datin Marisa pula,
sengaja memesrakan suasana.
“Kalau mama dan papa penat, kenapa tak
serahkan saja syarikat tu pada Syita,”
“Syita, dia dah ada kerja
sendiri. Dia sibuk uruskan anak syarikat kita yang baru ditubuhkan setahun
lepas. Papa tak nak ganggu dia. Biar dia tumpukan pada tugas dia tu,” kata
Datuk Iskandar.Mardina
diam.
“Macam mana dengan pertunangan Dina
dengan Hasim tu?” Datin Marisa tidak mahu menunggu lagi. Jalan yang ditebas
oleh suaminya sudah boleh dilalui.
“Kenapa mama?” Mardina
mengangkat muka.
“Yalah, tadi Puan Sri dah
telefon mama. Dia minta perkahwinan dilangsungkan segera. Terlanjur Dina belum
nak ke pejabat ni, elok kalau kita selesaikan dulu hal ini,” kata Datin Marisa
berbohong. Dia sengaja mencari ’angin’ Mardina.
“Dina dah bincang dengan Hasim
hal ini,” kata Mardina.
“Ya? Habis apa katanya?” Tanya
Datin Marisa, teruja. Mardina membetulkan duduknya.
“Dia kena ikut syarat Dina
kalau dia nak kahwin dengan Dina,”
“Syarat apa pula ni?” Datin
Marisa tersentak. Datuk Iskandar pula segera menoleh. Wajah Mardina direnungnya
lama.
“Biarlah kami saja yang tahu,”
balas Mardina selamba. Datin Marisa teringat pada kata-kata Puan Sri Asmat.
Mungkin syarat Dina itulah puncanya. Tapi apa syaratnya? Mardina nampaknya
tidak bersedia untuk memberitahu mereka.
“Lagi pun Dina rasamasanya belum
sampai. Dina nak capai cita-cita Dina dulu sebelum kahwin,” tambah Mardina
lagi. Sekali lagi Datin Marisa teruja.
“Cita-cita apa
Dina?Dina nak buka
perniagaan sendiri ke?”
“Tak
mama. Dina bercita-cita nak buka sebuah rumah kebajikan untuk orang miskin dan
orang tua. Dina nak beri bantuan dan kehidupan kepada mereka yang tidak ada
tempat tinggal,” kata Mardina.
Datin Marisa dan Datuk Iskandar
berpandangan sesama sendiri.Mereka keliru dengan apa yang mereka dengar.
“Dina, apa yang Dina merepek
ni?”Datin Marisa
meninggikan suaranya.
“Dina tak merepek mama. Dina memikul satu
amanah orang. Dan itu juga cita-cita Dina. Sejak di London lagi Dina dah
merancang untuk laksanakan cita-cita itu,”
“Dina, jangan nak buang masa
dengan semua itu. Biar kerajaan yang fikirkan hal kebajikan fakir miskin tu.
Itu tanggungjawab para menteri bukan tanggungjawab kita. Semua tu tak memberi untung kepada syarikat kita,” kata Datuk
Iskandar dengan kasar dan tegas.
“Berbuat kebajikan itu
tanggungjawab setiap insan papa.Allah dah berikan kita rezeki yang mewah. Apa salahnya kalau sedikit
dari pemberian itu kita kongsi dengan orang-orang yang susah dan anak-anak
yatim. Papa, dalam harta orang kaya itu terdapat hak orang miskin,” Mardina
merenung wajah Datuk Iskandar yang berkerut dan wajah Datin Marisa yang
berubah.Tiba-tiba
Datin Marisa mencebik. Kata-kata Mardina itu tiba-tiba menjengkelkan
hatinya.
“Kalau setakat nak buat
kebajikan macam tu, tak perlu Dina belajar sampai ke luar negeri Dina,” kata
Datuk Iskandar.
“Papa, menuntut ilmu itu tak
salah. Dina bersyukur kerana dapat belajar di sana. Selain mendapat ilmu dunia
Dina juga telah mendapat ilmu akhirat. Allah telah berikan Dina hidayahNya. Di
sana Dina temui jalan kehidupan sebenar dan belajar mengenai Islam dengan
mendalam. Kalau Dina tidak ke luar negeri dulu, sudah tentu Dina masih hidup
dalam dunia Dina yang sesat dan mungkar. Alhamdulillah…” ucap Mardina dengan
tulus. Sekali lagi Datuk Iskandar dan Datin Marisa berpandangan. Telinga mereka
semakin janggal mendengar kata-kata Mardina.
Datuk Iskandar mengeluh. Dia
harus menukar cara, harus berlembut dengan Mardina.
“Dina, berilah tumpuan kepada
syarikat kita dulu.Banyak
projek baru sedang dalam proses penyelenggaraan.Papa perlukan bantuan Dina.
Daripada papa ambil pegawai lain, lebih baik Dina saja yang buat. Jangan buang
masa dengan perkara yang tak berfaedah macam tu,”
“Betul kata papa tu Dina. Kalau
syarikat kita berjaya, Dina juga yang untung kerana mama dan papa buat ini
semua untuk Dina dan Syita,” sokong Datin Marisa, juga bernada rendah.
“Insya-Allah papa, mama, Dina
akan kerja dengan papa dan uruskan semua projek itu dengan baik. Dan dalam masa
yang sama Dina juga akan buat apa yang Dina rancang,”
“Dina, cuba buat satu-satu.
Dina tak boleh nak campur-adukkan macam tu,”
“Duniawi dan ukhrawi tu harus
seiring mama,” tingkah Mardina.
“Dina, jangan fanatik sangat.
Kami dah kerja keras nak kumpul kekayaan ini. Tanpa harta kita tidak akan ke
mana. Dunia hari ini lebih pentingkan harta dari segalanya,” kata Datin Marisa
dengan suara keras.Datuk
Iskandar diam.
“Dina tak fanatik dalam hal ini mama.
Buat amal ibadat adalah kewajipan setiap makhluk Tuhan. Kekayaan yang
sebenarnya bergantung kepada jumlah amalan kita bukan nilaian harta benda yang
kita ada. Bila kita mati, harta benda akan kita tinggalkan, yang akan kita bawa
hanya amal jariah, sedekah serta kebajikan yang kita ada,” kata Mardina lagi.
Kali ini dia rasa lebih yakin dengan apa yang dikatakannya.
“Jadi inilah yang Dina belajar
selama bertahun-tahun di luar negeri? Papa hantar Dina ke sana untuk belajar
selok belok perniagaan supaya Dina boleh kembangkan empayar perniagaan kita.
Bukannya belajar benda-benda yang mengarut ni!” Tiba-tiba suara Datuk Iskandar
menengking kuat. Mardina tidak sedikit pun tersentak. Dia tenang dan sudah
bersedia untuk berdepan dengan keadaan
itu.
“Kami bangga dengan ijazah
Dina. Tapi kami tak harapkan Dina bawa balik sekali ilmu yang sesat ni!”
sambung Datuk Iskandar.
“Astaghfirullahalazim..papa? Dina belajar
agama Islam. Dina belajar apa yang Dina tak dapat selama ini. Tidak ada yang
sesat papa. Ini hak kita sebagai seorang muslim,” Mardina cuba membetulkan
cakap Datuk Iskandar.
“Sudahlah. Dina jangan nak
berlagak pandai dengan kami. Dina tu budak hingusan lagi. Jangan kerana pandai
sikit saja, dah nak berdakwah dengan kami,” kata Datuk Iskandar sambil bangun
dan meninggalkan ruang tamu itu dengan muka masam. Datin Marisa dengan setia
mengekorinya. Mardina terkedu. Dia rasa pelik dan semakin keliru. Bilakah akan
tumbuh rasa insaf dan bila pula akan terbuka jalan taubat kepada kedua ibu bapanya?
“Dina, sabarlah. Bukan senang
nak luruskan jalan yang dah lama bengkok,” pujuk Mak Leha yang muncul dari
dapur setelah kedua-dua majikannya naik ke atas. Sejak awal dia sudah mendengar
apa yang dibincangkan oleh mereka anak beranak.
“Dahlah, jangan fikir banyak
sangat.Serahkan
semuanya kepada Allah. Kita hanya mampu merancang. Selebihnya, biar Dia yang
uruskan. Mak Leha ke belakang dulu. Dina nak minum tak?”
“Taklah. Nanti kalau Dina nak,
Dina ambil sendiri,” ujar Mardina perlahan. Mak Leha meninggalkan ruang tamu
itu. Mardina masih tidak berganjak. Dia masih keliru dengan sikap kedua ibu
bapanya.
Wajah Sylvia muncul. Semua kata-katanya
terngiang…
“Dina, tidakkah you fikir bahawa
setiap benda ada pembuatnya.Semuanya tidak terjadi dengan sendirinya. Tapi siapakah
yang menjadikan langit dan bumi serta seluruh alam ini?”
“Kenapa you fikir sampai ke situ?
Mana kita tahu siapa penciptanya kerana ketika kita lahir, dunia ini sudah
sedia ada. Nenek moyang dan ibu bapa kita pun tak pernah beritahu siapa pencipta
alam ini,”
“Kenapa kita tak cari?”
“Nak cari macam mana?”Tanyanya dengan
bingung. Sylvia senyum.
“Kenapa you senyum?”
“Kerana I dah dapat jawapannya.I dah tahu siapa
pencipta alam ini.I dah tahu kuasa siapa yang
menjadikan bulan dan matahari juga malam dan siang,”
“Macam mana you tahu?
Siapa yang beritahu?”
“I baca ini,” Sylvia menunjukkan sebuah kitab terjemahan Al-Quran.
“Siapa yang cipta dunia dan
semua isinya ini?” Tiba-tiba dia sengaja menduga.
“Allah. Seluruh kejadian alam,
manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan adalah diciptakan oleh Allah.Dia pemilik dunia ini,”
“You yakin?”
Angguk.
“You tak yakin?”Sylvia pula menyoalnya.
“I tak tahu. Selama ini I
tak pernah terfikir hal ini,” keluhnya perlahan, menutup rasa gugup dan malu
untuk meluahkan kenyataan itu.
“I tahu. Kita adalah antara
manusia yang berjiwa kosong dan tidak tenang,”
“Syl..” Dia ingin meluahkan
rasa.
“Tak salah kalau kita mengaku salah.
Dina, kita memang manusia yang bersalah selama ini. Kita tidak mencari Tuhan
yang Maha Agung. Kita menjadikan kehidupan duniawi kita sebagai kiblat utama,”
“Syl..” Dia semakin penasaran dan
bingung.
“Belum terlambat untuk kita berpatah ke
arah kiblat yang betul,”
“Kiblat apa?”
“Kiblat Allah,” Sylvia berkata dengan
tenang. Dia diam membatu. Tidak berani bertanya lagi. Semakin banyak dia
bertanya, semakin dia tidak faham apa akan jawapannya.
Namun, semakin hari dia melihat rakan
sebiliknya itu semakin tenang dan aman kehidupannya. Wajahnya bercahaya sejak
namanya bertukar menjadi Siti Fatimah. Semakin hari Siti Fatimah itu semakin
tekun mempelajari jalan mengadap kiblat Allah. Setiap malam dia melihat Siti
Fatimah yang kusyuk menyerah diri pada Allah. Dia rajin mengerjakan solat.
Mardina jadi hairan. Sylvia yang baru
menjadi Siti Fatimah itu begitu sempurna rukun solatnya. Saudara baru itu
begitu rajin menyerah diri kepada Allah.
Sedangkan dia?Masih rasa hebat dan sempurna
dengan iman yang kosong.