Sesungguhnya orang-orang yang beriman
hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya kemudian mereka
tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan
Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar. ( Surah al-Hujarat ayat 15 )
-6-
Siti Fatimah bt. Abdullah,
adalah orang yang amat berjasa kepadanya. Begitu pelik rasanya bila dia yang
dilahirkan sebagai seorang Islam tidak pandai solat, tidak pandai mengaji dan
tidak pandai semua hal agama. Tambah aneh lagi bila Siti Fatimah yang baru
mengucap kalimah syahadah itu menjadi tangan yang membimbingnya untuk menjadi
mukmin sebenar. Pujukan Siti Fatimah yang tidak pernah jemu membuatkan dia
insaf dan sedar bahawa dia adalah hamba Allah yang khilaf.
“Dina, marilah kita
bersama-sama menuju jalan yang benar. Marilah kita solat kerana solat itu tiang
agama,” ajak Siti Fatimah pada satu Subuh yang hening. Ketika itu dia
menggeliat, terganggu dengan cahaya lampu yang dipasang oleh rakan sebiliknya
itu.
“You buatlah dulu,” dia
cuba mengelak.
“Kerja yang baik jangan bertangguh.Hanya solat yang boleh
beri ketenangan pada kita. Hanya solat juga yang mendekatkan diri kita kepada
Allah. Dunia ini hanya sementara. Satu masa kita akan mati. Kalau kita tak
solat, kita tak ada bekal untuk dibawa mati,”
“Dari mana you belajar
semua ni?” Dia bertanya hairan. Wajah Siti Fatimah yang begitu tenang dalam
telekung putih itu direnungnya lama.
“Allah yang mengatur segalanya
Dina. Dia Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Ada seorang ustaz dari Malaysia
yang datang ke sini sebagai pendakwah bebas dan diketemukan dengan 1
tanpa dirancang,”
“Sejak bila?”
“Sejak beberapa bulan ini.
Selepas peluk Islam, I berdoa agar
Allah berikan jalan untuk terus mendekatiNya. Dan itulah..I bertemu dengan ustaz itu. Sungguh indah perjalanan hidup yang
Allah aturkan untuk kita,”
Mardina mengeluh perlahan.
Benar, semuanya sudah diatur dengan baik.
Siti Fatimah, nama itu tidak
mungkin akan dilupakan. Nama yang hebat itu sehebat jasanya mengembalikan iman
seorang keturunan Adam yang jahil sepertinya.
Siti Fatimah sudah kembali
mengadap Illahi. Yang tinggal hanya sebuah kenangan dan sebuah amanah.
Sepertimana dia tidak pernah melupakan Siti Fatimah, dia juga tidak akan
melupakan amanah yang telah diletakkan di bahunya.
“Ingat Dina, you mesti
tunaikan amanah itu walau dalam keadaan apapun. Hanya itu sedekah jariah I
untuk agama yang suci ini,”
“Tapi kenapa I?”
“Sebab I percaya dan
yakin dengan you. Hanya you yang boleh tunaikan semua hajat I
tu. Selepas I pergi, you pergi ke bank. Di sana I dah
siapkan semuanya. Apa yang ada itu you gunakan dengan baik.Kalau tak cukup, you call my mum.
Dia tahu semua hal ini. Dia dah janji untuk bantu kalau perlu,”
“Siti, kenapa you merepek macam
ni? You sebenarnya nak ke mana?”
“I tak ke mana-mana, hanya nak
kembali ke tempat yang kekal. I nak bertemu Allah,”
“Siti..”
“Lagi satu, jangan sedih kalau I
dah tak ada.Ajal
maut semua milik Allah. You kena redha. Kata seorang pujangga, garis
penamat sebuah kehidupan ialah kematian.Kata seorang sufi pula, mati adalah permulaan sebuah
perjalanan menemui Allah,”
Siti Fatimah sungguh petah
kalau berkata-kata.Dia mempunyai cukup bukti yang berasas. Mungkin kerana dia
banyak membaca atau kerana kerajinannya mencari ilmu.
Semuanya berlaku begitu cepat.
Seminggu selepas meletakkan amanah di bahunya, Siti Fatimah pergi mengadap
Illahi hanya kerana demam biasa. Dia seperti sudah tahu mengenai penghujung
hidupnya itu.
Siapakah yang mampu menahan
tangisan dengan perpisahan yang tidak terduga itu?
“Mardina, kamu jangan terlalu
sedih. Iringi pemergian dia dengan doa. Walaupun dia bukan Rabiatul Adawiyah
yang sufi, tapi dia adalah muslimah yang sejati. Allah mengasihinya dan segera
menjemputnya supaya segara dapat bertemu. Dia adalah kekasih Allah..” kata
ustaz yang selama ini membimbing iman Siti Fatimah di kota besar itu.
Mardina mengeluh lagi. Kenangan
bersama Siti Fatimah seperti baru semalam dilaluinya. Kini, dia rasa masanya
sudah sampai untuk dia menunaikan semua amanah.Masa itu emas. Mardina tidak
mahu berlengah dan bertangguh lagi. Tekad yang ada dalam hatinya perlu
dilaksanakan dengan segera. Semakin bertangguh semakin pula banyak
onaknya.
Dia perlu mulakan dengan
langkah yang pertama, mencari lokasi yang sesuai sebagai tapak. Seharian itu,
dia menjelajah ke pejabat beberapa buah syarikat hartanah. Dalam banyak lokasi
yang ditunjukkan, hanya satu yang dia rasa sesuai. Lalu dia membuat temujanji
dengan pegawai yang bertanggungjawab.
Selepas setengah jam memandu
dan berpusing-pusing mencari alamat yang diberikan, akhirnya Mardina sampai ke
tempat yang dituju.
“Dah lama encik sampai?”
“Taklah lama sangat,”
“Maaflah. Saya dah lama tak
memandu. Dah lupa banyak jalan. Lagi pun Malaysia dah maju, kereta pun dah
makin banyak di jalan raya,” kata Mardina.
“Benar tu. Marilah. Saya akan
tunjukkan rumah yang saya katakan tu,” kata lelaki itu sambil membuka pintu.
Mardina mengekorinya. Dia melihat-lihat kawasan rumah itu dan kelihatan dia
berpuas hati dengan keadaan rumah itu.
“Macam mana Cik Mardina?”
“Baiklah. Saya setuju dengan
tawaran yang diberikan. Encik boleh uruskan perjanjian jual belinya. Kalau
boleh saya nak ia disiapkan segera. Saya nak pindah ke sini secepat mungkin,”
“Cik Mardina tak nak buat ubah suai
dulu?”
“Encik siapkan urusan jual beli dulu.
Saya akan fikirkan pasal ubah suai itu nanti,”
“Kalau macam tu, baiklah. Saya akan
uruskan segera. Macam mana dengan bayarannya?”
“Saya akan bayar secara tunai,” jawab
Mardina. Lelaki itu angguk senang. Semuanya selesai dengan mudah.Mereka meninggalkan
kawasan rumah banglo yang tersergam itu dengan rasa lega.
Hati Mardina rasa lapang kerana
telah berjaya mendapat tapak untuk dia memulakan langkahnya. Langkah pertama
akan diikuti oleh langkah-langkah seterusnya. Dia perlu melakukannya dengan
teliti. Setiap sen yang dibelanjakannya, dia tidak mahu kerugian dari mendapat
pahala Allah.
“Apa yang Dina tulis ni?” Tegur
Mak Leha yang keluar membawa horlicks panas kegemaran Mardina. Sejak
lepas menunaikan solat Isyak, dia memerhatikan Mardina menulis dan mencatit.
“Dina tengah catitkan apa yang perlu Dina beli
untuk rumah baru Dina tu Mak Leha,” jawab Mardina selamba, tidak menoleh.
“Dina beli rumah baru? Kat mana? Dina nak pindah dari rumah ni?Mak Leha macam
mana?” Mak Leha bertanya bertubi-tubi. Tiba-tiba dia terkejut dengan apa yang
didengarnya. Dia belum pernah membayangkan untuk berpisah dengan Mardina.
“Banyaknya soalan Mak Leha.
Mana satu yang Dina nak jawab ni..” kata Mardina dengan ketawa. Mak Leha ikut
menyengih.
“Dina jawablah satu persatu,
jangan tertinggal satu pun,” gurau Mak Leha.
“Ok, Dina memang dah beli
sebuah banglo tapi, Dina tak akan pindah dari sini dan Mak Leha akan tetap di
rumah ini,”
“Jadi rumah tu untuk siapa?”
“Rumah tu Dina nak buat rumah
kebajikan. Rumah itu untuk anak-anak yatim, orang susah yang tak ada tempat
tinggal dan orang-orang tua yang tak ada tempat berlindung,”
“Maksud Dina?” Mata Mak Leha
melorot mencari jawapan dari dalam mata Mardina. Namun Mardina tidak terus
menjawab. Dia membiarkan seketika Mak Leha dihantui rasa ingin tahu. Kemudian
dia menceritakan tentang amanah Siti Fatimah dan apa yang sedang dirancangnya.
“Betulkah Dina?” Mata Mak Leha
bersinar riang selepas cerita Mardina usai. Dia rasa amatlega.
“Dina, boleh Mak Leha tanya
lagi?”
“Ada lagi?” Mardina bergurau.
Mak Leha terkesima malu. Dia tunduk diam.
“Dina gurau je. Tanyalah berapa
banyak Mak Leha nak tanya, Dina akan jawab kalau Dina ada jawapannya,”
“Mak Leha dan semua orang dalam
rumah ini masih tertanya-tanya, macam mana
Dina boleh berubah. Maksud Mak
Leha, sebelum ke luar negeri dulu Dina …Dina
tak macam ni..” Mak Leha teragak-agak. Dia bimbang akan menyentuh
perasaan Mardina.
Mardina memandang ke arah Mak
Leha dengan senyum. Kemudian dia mendongak ke langit. Awan putih berarak
perlahan. Dia terasa berada di celah awan itu, tenang dan aman.
“Ceritanya panjang Mak Leha,”
“Cerita je. Panjang mana pun
Mak Leha akan setia mendengarnya,” ujar Mak Leha jujur. Mardina menarik nafas.
“Semasa di sana, Dina telah
lalui hidup yang sukar. Dina tak cukup bekal..”
“Hah? Papa tak kirimkan Dina
duit belanja?” Mak Leha terkejut.
“Bukan duit, tapi iman. Kalau
di sini, Dina dah hanyut dengan jalan hidup yang terumbang-ambing, di sana apa
lagi. Budaya hidup bebas di sana semakin menyesatkan hidup Dina. Hampir saja
Dina tenggelam di tengah gelora itu. Namun, Allah rupanya masih sayangkan
Dina,”
“Apa yang berlaku?” Mak Leha
semakin teruja untuk tahu.
“Mak Leha sendiri tahu
bagaimana kehidupan Dina di sini, tak pernah tahu hukum hakam dan batas insan.
Sejak kecil tak pernah diajar semua itu,” Mardina berhenti. Matanya masih
merenung awan. Mak Leha ikut merenung awan yang tenang itu sambil menanti
penyudah cerita yang sedang dikisahkan oleh Mardina itu.
“Allah telah menentukan
semuanya. Dina berkenalan dengan seorang pelajar Cina dari Singapura. Kami
akhirnya tinggal serumah. Dia berusaha mendalami Islam dan akhirnya memeluk
Islam dengan penuh keinsafan,” Mardina berhenti seketika. Dia masih merenung
awan. Salah satu kebesaran Allah itu disyukurinya dalam hati. Mak Leha masih
menunggu. Dia yakin masih banyak cerita yang akan didengarnya dari Mardina.
“Sejak itu saban malam Dina
tengok dia kerjakan solat dengan tekun dan kusyuk walaupun dengan ilmunya yang
cetek. Dia nampak begitu tenang dengan cara hidupnya yang sederhana,”
“Keluarganya tahu dia masuk
Islam?”
“Tahu dan mereka tak campur
tangan. Dia mengajak Dina mencari diri Dina yang hilang. Dia menyedarkan Dina
tentang kehidupan Dina yang penuh dengan kemungkaran. Dari situ timbul
kesedaran mengenai dosa pahala dan amal ibadat. Atas kehendak Allah juga, kami
diketemukan pula dengan Ustaz Ismail seorang pendakwah bebas yang sering
berulang alik ke London untuk menyebarkan Islam. Daripada dialah kami belajar
banyak ilmu agama. SubhanaAllah, barulah Dina rasakan kehidupan yang
tenang dan damai yang tidak Dina rasai sebelum ini. Setiap cuti semester kami
tidak lagi buang masa dengan perkara yang sia-sia. Sebaliknya kami pergi
belajar agama dengan Ustaz Ismail,” kata Mardina dengan mata yang bercahaya,
tenang dan bahagia. Sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh Mak Leha sebelum
ini.
“Habis dimana kawan Dina tu?”
“Dia telah mati di sana,”
“Innalillahhiwainnailaihirajiun…”
“Sebelum dia meninggal, dia
amanahkan agar Dina teruskan cita-citanya untuk membuka sebuah rumah kebajikan.
Dia impikan sebuah masyarakat yang betul-betul amar makruf nahi mungkar, yang
betul-betul mengikut sunnah dan hukum yang benar,” kata Mardina dengan sebak.
Mak Leha membiarkan.
“Dia telah tinggalkan duit
untuk tujuan itu,”
“Darimana dia dapat duit
sedangkan dia juga masih belajar macam Dina?”
“Sebenarnya dia anak seorang
jutawan kapal, Mak Leha. Dia lebih kaya dari Dina. Walaupun mewah dan kaya, dia
masih tak tenang. Itu sebabnya dia mencari dan mencari sebabnya. Hinggalah bila
dia bertemu dengan Islam,” kata Mardina. Mak Leha angguk. Benar kata orang,
kekayaan bukan kunci sebuah kebahagiaan.
“Amanah itu berat Dina,” getus
Mak Leha akhirnya. Dia tidak mahu ikut terhanyut dengan perasaan yang sedang
dirasai Mardina.
“Itu Dina tahu Mak Leha. Tapi Dina yakin kalau
niat kita ikhlas, yang susah akan menjadi senang. Rintangan awal ialah dari
papa dan mama Dina sendiri,”
“Hajat yang baik mesti ada
halangan. Itu semua dugaannya. Dina kena sabar,”
“Benar. Dina kena sabar. Tapi
Dina juga risaukan keluarga Dina ni. Ada banyak perkara pincang dalam keluarga
ini. Papa sebagai ketua keluarga gagal menjadi imam yang baik kepada kami. Mama
yang sibuk dengan dunianya, tak ada masa nak buat amal. Syita yang hanyut
dengan dunianya sendiri. Langsung mereka tak ingat pada mati. Langsung tak ada
bekal untuk akhirat. Miskinnya keluarga ini Mak Leha…” keluh Mardina dengan
perlahan dan sebak. Mak Leha jatuh belas melihat keadaan Mardina. Namun dia
tidak upaya untuk membantu. Dia meninggalkan Mardina di ruang tamu itu
sendirian.
Tidak lama kemudian, Masyita
pula keluar dari biliknya sambil menyanyi-nyanyi kecil. Dia sudah berpakaian
rapi. Mardina dan Mak Leha berpandangan.
“Syita nak ke mana?”
“Keluar kejap kak,” jawab
Masyita sambil menyarungkan kasutnya. Mardina menolehke arah jam di dinding.
“Dah malam ni. Tak bagus
keluar malam-malam macam ni,”
“Kak Dina, kalau kakak nak terperuk
di rumah ni, Syita tak kisah kak. Jangan kakak nak ajak Syita memerap macam
kakak. Syita boleh mati jadinya!” Tengking Masyita. Mardina tersentak. Dia
tidak menduga akan menerima tengkingan seperti itu.
“Syita..”
“Sudahlah kak. Syita tak ada
masa nak dengar ceramah kakak ni. Mama dan papa pun tak pernah halang ke mana
Syita nak pergi dan apa yang Syita buat. Ni yang kakak nak sibuk ni kenapa?”
“Kerana kakak sayangkan kamu
Syita. Cubalah bawa mengucap dan ingatkan Allah. Kita hidup hanya sementara
saja dik. Yang kekal ialah kehidupan akhirat. Dunia ini dipinjamkan kepada kita
adalah untuk menguji iman dan taqwa kita, bukan untuk bersukaria dan kumpul
dosa,”
“Eii! Rimas betul dengan Kak
Dina ni.Membebel macam orang tua!Dahlah, Syita pergidulu. Kakak tunggulah rumah besar ni dengan Mak Leha
tu..!” Masyita melangkah pergi tanpa menoleh. Mardina terdiam. Hatinya dilanda
bimbang dan kesal. Dia sudah melalui semua itu. Dia pernah hanyut dalam dunia
itu. Kalau boleh dia tidak mahu adiknya ikut hanyut.
Selepas Masyita pergi, Mardina
merebahkan diri ke sofa. Dia seperti hilang upaya dan lemah. Datuk Iskandar dan
Datin Marisa berbangga dengan semua kekayaannya. Masyita pula bermegah dengan
hidup modennya. Dalam masa yang sama batinnya sendiri meronta-ronta untuk menghalang
semua kemungkaran yang sedang berlaku itu.
“Kau tak akan berjaya Mardina,
aku lebih berkuasa,” satu suara menerjah kuping telinganya. Suara itu sinis dan
berselang seli dengan ketawa.
“Tidak! Kau makhluk yang
dilaknat Allah. Kau tidak ada kuasa. Yang berkuasa ialah Allah..”
“Ha! Ha! Kau lupa janji aku di
hadapan Allah ketika Adam dijadikan?”
“Aku tidak lupa. Kau memang
dengki dan cemburukan Adam,”
“Aku tidak cemburu, tapi aku
berjuang untuk keadilan dan menegakkan kebenaran,”
“Kebenaran apa?”
“Kebenaran bahawa aku dijadikan
daripada api dan Adam hanya daripada sekepal tanah yang hitam dan kering,”
“Jadi?”
“Jadi kenapa aku perlu sujud
pada Adam dan menghormatinya. Lagipun aku dijadikan terlebih dahulu sebelum
Adam. Kenapa aku kena tunduk dan sujud pada Adam? Tidakkah itu tidak adil.
Allah tidak berlaku adil pada aku!”
“Subhanallah..Allah itu Maha
Adil. Dia Maha Pencipta. Engkau adalah makhluk ciptaanNya. Seharusnya kau patuh
pada semua kehendak Allah, bukannya membantah. Kalau Allah minta kau sujud, kau
kena buat. Tapi kenapa kau mesti nak melawan Dia?”
“Kerana aku ada maruah diri.
Aku tak akan mengalah pada Adam,”
“Bermakna kau durhaka pada
perintah Allah!”
“Memang aku dah derhaka. Dan
Allah dah melaknat aku dan telah mengusir aku dari syurgaNya. Sejak itu aku
berjanji bahawa semua keturunan Adam akan aku bawa bersamaku ke neraka
jahanam!”
“Allah hu Akbar!! Jahanam kau
iblis! Pergilah kau ke neraka Allah!”
“Tidak, aku tidak akan pergi
sendirian. Aku akan bawa seberapa ramai anak cucu Adam. Ha! Ha!..aku akan bawa
semua Mardina!! Termasuk ahli keluarga kau!! Ha! Ha!”
“Setan kau!!” jerit Mardina
dengan kuat.
“Dina! Kenapa ni?” Tiba-tiba
bahunya disentuh. Mardina membuka mata. Dahinya berpeluh. Dia beristighfar
berkali-kali.
“Mengigaulah ni. Itulah tidur
selerak macam ni..” Mak Leha merungut. Dia memimpin Mardina menuju ke biliknya
dan membaringkan Mardina ke katil.
“Dah, tidurlah,” kata Mak Leha
sambil mematikan suis lampu.
“Mak Leha, tolong jangan tutup
lampu. Dina takutlah..”
“Eh! Kenapa Dina? Dina mimpi
hantu ke?”
“Bukan hantu, tapi setan Mak
Leha. Dia datang tertawakan Dina,”
“Tertawakan?”
“Ya, katanya Dina tak akan
kalah..” Mardina sebak. Dia takut untuk membayangkan mereka seisi keluarga akan
menjadi bahan bakar api neraka. Ustaz Ismail pernah membacakan sebuah kitab
yang menerangkan hal ehwal neraka. Sungguh menakutkan..
“Ya Allah Ya Tuhanku, Engkaulah
Tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang. Tunjukkanlah jalan yang benar dan lurus
kepadaku ya Allah. Ampunilah dosa kedua ibubapaku. Ya Allah, bukakanlah pintu
hati mereka untuk beriman kepadaMu. Jauhilah mereka dari kelalaian dan tipu
daya syaitan serta kemungkaran dunia.Bukakanlah pintu hati mereka ya Allah…ya
Allah…bukakanlah ya Allah…”