-2-
Selesai menunaikan solat sunat dhuha,
Mardina turun ke bawah. Suasana rumah itu sepi. Hanya tinggal Mak Leha yang
sedang menyiapkan sarapan pagi.
“Mana semua orang dalam rumah ni Mak
Leha?” tanya Mardina ketika menarik kerusi.
“Semua dah keluar Dina. Mama dan papa dah
pergi kerja. Syita juga. Macam nilah setiap hari. Mereka keluar pagi-pagi dan
balik jauh malam. Mak Leha tinggal seorang sepanjang hari. Ada tak ada, kalau Hambali tu tak ada kerja
dia akan temankan Mak Leha berbual-bual,” jawab Mak Leha dengan senyum senang.
Sejak Mardina balik, bibirnya tidak lekang dengan senyum. Seperti gunung rindu
yang memuncak di hati sudah roboh semuanya.
“Hambali? Siapa?”
“Pemandu kita tulah,” Mak Leha
menghulurkan sepinggan nasi lemak. Mardina angguk. Pinggan yang dihulurkan itu
disambutnya. Dengan Bismillah yang perlahan, dia menyuapkan nasi itu ke
mulutnya. Dia terbayangkan kehidupan yang sepi dan sunyi di rumah banglo mewah
itu. Sejak dia kecil hingga kini ia tetap sama.
Sejak dulu, mama dan papanya sibuk
mengumpul harta kononnya untuk masa depan mereka. Kini, harta mereka sudah
menimbun. Tapi mereka tetap sibuk. Usia mamanya sudah menjangkau lima puluhan. Papanya
sudah enam puluhan. Adiknya Masyita sudah mencecah angka tiga puluh. Namun,
mereka sedikitpun belum mahu berubah.
Sudah seminggu dia balik, baru sekali dia
berpeluang bertemu dengan mama dan papanya. Itupun hanya seketika. Tidak sempat
melepas rindu. Apa lagi untuk bermanja-manja. Dia tidak langsung diberi peluang
menagih rindu dan belaian sebagai anak.
“Mama, boleh masuk?” Mardina mengetuk
pintu bilik mereka. Ketika itu masih awal pagi.
“Masuklah Dina,” suruh mamanya. Dia
masuk. Mamanya sibuk bersolek.
“Papa mana?”
“Tengah mandi,” jawab mamanya, langsung
tidak menoleh.
“Ma..”
“Ada
apa Dina? Mama nak cepat ni?” Tanya mamanya lagi. Juga tanpa menoleh. Diam.
Tiba-tiba dia kehilangan suara untuk berkata. Tiba-tiba dia rasa begitu
sensitif. Dia bangun dan berjalan ke pintu. Ketika itu papanya keluar dari
bilik mandi.
“Ha! Dina, apa hal?” Datuk Iskandar
seperti kurang senang melihat dia di
situ. Dia berjalan ke arah papanya dan mencium tangan lelaki itu. Lelaki itu
selamba sahaja. Tidak tergambar kegembiraan atau kerinduan dari wajahnya.
“Dina nak cakap apa tadi, cakaplah,” kata
mamanya.
“Tak ada apa mama. Cuma kalau mama dan
papa tak sibuk, Dina nak mama dan papa makan malam di rumah. Dah lama kita tak
makan bersama,”
“Hmm..papa tak boleh. Malam ni papa ada meeting
dengan Datuk Asraf,”
“Mama pun sama. Malam ni mama kena jumpa client
di Pacifik Hotel. Lain kali saja ya Dina,” pujuk mamanya. Dia angguk perlahan.
Dia tahu mereka sengaja mencipta alasan. Dari dulu, memang mereka selalu kaya
dengan alasan.
Lalu dia keluar dari bilik itu dengan
cepat. Ada sesuatu yang cuba diselindungkan, ada rasa yang cuba
ditahannya. Sedih dan air mata. Dia rasa langsung tidak dihargai. Kepulangannya
seperti tidak diharapkan..
Hidupnya mewah dengan wang ringgit, tapi
sebenarnya papa dengan kasih sayang dan perhatian. Di rumah besar dan mewah itu
dia sudah lama menjadi yatim sebelum kematian. Kadang-kadang dia rasa dia bukan
anak yang dilahirkan oleh Datin Marisa dan benih Datuk Iskandar.
“Dina dah balik ni, hilanglah sikit sunyi
Mak Leha,” tiba-tiba Mak Leha mendekatinya dan meletakkan sepinggan ayam bakar
di hadapannya. Mardina tersentak. Buaian rasa kecewanya terhenti.
“Dina berkhayal pagi-pagi ni?” kata Mak
Leha dengan senyum. Mardina segera membetulkan dirinya. Semua rasa sedih yang
baru berputik di nubarinya, ditepis jatuh. Hanya Mak Leha yang sentiasa
bertanya khabar dirinya.
“Dina ingat apa?”
“Tak ada apa-apa Mak Leha,” kata Mardina
perlahan.
“Dina nak ke mana hari ni?”
“Entahlah Mak Leha. Tak tahu nak ke
mana,”
“Telefonlah kawan-kawan lama, ajak mereka
keluar. Kata orang muda, apa tu..melepak!” Mak Leha cuba melawak. Mardina tidak
memberikan reaksi. Dia diam. Mak Leha diserang rasa bersalah.
“Terukkan perangai Dina dulu Mak Leha?”
Mak Leha terkesima. Dia tahu maksud
kata-kata Mardina itu.
“Dina nak lupakan semuanya Mak Leha. Dina
nak jauhkan diri dari kawan-kawan yang merosakkan itu. Lagipun, mana Dina ada
kawan lagi Mak Leha,”
“Kenapa pulak? Dulu kawan-kawan Dina
ramai. Cubalah hubungi mereka. Tidak semuanya jahat. Dina ajak mereka makan di
sini. Mak Leha akan masak yang istimewa untuk menjamu kawan-kawan Dina tu..!”
“Entahlah..Dina rasa dah makin jauh
dengan mereka tu. Ramai yang dah kahwin dan ikut suami masing-masing. Ada juga yang dah
berpindah ke luar negara mengikut keluarga,”
“Mana Dina tahu? Dina ada berhubung
dengan mereka?”
“Habis, Dina tahu dari mana?”
“Hasim yang cerita. Setiap kali ada kawan
Dina yang kahwin, dia akan beritahu Dina,” kata Mardina sambil menyuap nasi
lemak yang masih berbaki di pinggannya.
“Hmm..dia sindir Dinalah tu!” kata Mak
Leha dengan ketawa kecil. Dia melihat Mardina semakin polos dan lurus. Tidak
seperti dulu, lincah dan kasar. Dia semakin senang dengan angin perubahan
itu.
“Sindir macam mana Mak Leha?” Mardina
menoleh. Kunyahannya terhenti.
“Mungkin dia nak ajak Dina cepat kahwin,
tapi dia malu. Jadi dia cerita pasal orang lain yang dah kahwin..” jawab Mak
Leha dengan ketawa panjang. Mardina ikut ketawa. Mungkin benar kata-kata Mak
Leha itu.
“Kalau macam tu, hari ni ajak Hasim saja
keluar. Pergi makan-makan ke atau pergi shopping. Dia mesti suka tu!”
usul Mak Leha selepas ketawanya usai. Mardina tidak menjawab. Dia hanya senyum
sambil terus makan.
“Dina rasa semua tu membuang masa saja,
Mak Leha. Lebih baik Dina di rumah saja. Ada
banyak perkara yang Dina boleh buat di rumah,”
“Dina betul-betul tak nak keluar?”
Tiba-tiba Mak Leha bertanya. Sejak tadi dia memerhatikan wajah Mardina yang
muram. Menungan Mardina itu seperti mengandungi sejuta rasa yang dia sendiri
tidak pasti.
“Tak naklah. Kenapa?” Mardina menoleh.
“Kalau Dina tak nak keluar, jom ikut Mak
Leha ke dapur. Kita main masak-masak. Dah lama Mak Leha tak masak,” jawab Mak
Leha dengan senyum.
“Habis selama ni mereka tak makan?”
“Mereka cuma bersarapan saja di rumah ni.
Makan tengah hari dan makan malam, di luar. Mak Leha masak untuk makan sendiri.
Kadang-kadang goreng telor je..” kata Mak Leha sambil berjalan ke dapur.
Mardina bangun, mengemaskan cawan dan pinggan yang ada di meja kemudian
mengekori Mak Leha ke dapur.
“Kita nak masak apa?”
“Masaklah makanan kegemaran Dina, asam
pedas!” jawab Mak Leha dengan ceria. Entah kenapa, dia lebih gembira dengan
kepulangan Mardina berbanding dengan Datin Marisa.
Ikan dikeluarkan dari peti
sejuk. Begitu juga bawang, halia dan cili. Tanpa kekok, Mardina membantu. Kalau
boleh dia ingin melupakan apa yang dirasainya sebentar tadi.
“Mak Leha tahu, semasa di luar
negeri Dina selalu rindukan masakan Mak Leha.Dina rindu pada asam pedas,
laksa Penang, mee rebus Johor dan
macam-macam lagi.Yang paling Dina rindu ialah sambal belacan…” kata Mardina
dengan ketawa.
“Mak Leha ingat Dina dah
lupakan semua tu,”
“Mana boleh..” kata Mardina
dengan mata bercahaya.
“Habis tu kawan-kawan mat saleh
Dina, tak diajar makan sambal belacan?”
“Ada juga tapi mana Dina pandai
nak buat sambal belacan sesedap sambal Mak Leha. Sambal Mak Leha ni boleh buat
orang meleleh air hidung dan kadang- kadang boleh berdesing telinga,”
Mereka ketawa.
“Apa rancangan Dina selepas
ini?”
“Rancangan apa Mak Leha?”
“Yalah, Hasim tu dah lama
tunggu Dina.Kamu berdua pun dah lama bertunang.Tak baik bertunang lama-lama
Dina. Banyak bahaya dan buruknya dari
yang baik,”
“Pasal itu, Dina
tak berani janji apa-apa.Dina serahkan kepada Allah yang menentukannya. Kalau jodoh
kami ada, akan berkahwinlah kami. Kalau
jodoh tak ada, nak buat macam mana.”
“Kenapa Dina bercakap macam
orang tak suka saja. Bukan ke Hasim tu pilihan Dina? Bukan ke Dina dan dia
saling cinta? Apa Dina dah tak suka dia lagi?”
“Dina memang sayangkan dia, Mak
Leha. Tapi, untuk masa ini Dina lebih suka kalau Allah juga sukakan dia,” jawab
Mardina selamba.
“Apa maksud Dina?” Mak Leha
keliru dengan kata-kata itu.
“Dina perlukan seorang suami
yang taqwa dan taat pada perintah ALLAH.
Mak Leha fahamkan? Bukan Dina nak kata dia tu jahil, tapi kita semua ni
lalai. Kerana sibuk mencari harta, kita lupa pada ALLAH. Kita ni dah sesat dalam perjalanan hidup ni.
Dina nak dia lebih bersedia sebagai lelaki muslim sebelum kami berkongsi
hidup,”
“Tak beratkah kehendak Dina
tu?”
“Memang berat bagi orang yang
tak mendapat petunjuk ALLAH,”
“Kenapa Dina nak macam tu?” Mak
Leha sengaja menduga.
Diam. Hujung pisau yang ada di
atas meja dikuis-kuis.
“Mak Leha sendiri dah tahu
hidup Dina sebelum ini, jauh dari landasan iman. Kadang-kadang Dina malu nak
ingat kehidupan masa lalu Dina tu..”
”Semua orang ada buat silap,”
Mak Leha memujuk.
”Benar. Dina bersyukur kerana
Allah masih memberi peluang untuk Dina bertaubat. Kalau tidak, entahlah. Tengok
saja keluarga Dina ni. Memang dari segi duniawi, kami cukup semuanya. Tapi
untuk akhirat, tak ada langsung. Papa tak pernah didik kami supaya taat pada
ALLAH. Malah seingat Dina, papa tak pernah melakukan ibadat kepada ALLAH. Kalau
Hasim tak berilmu dan beriman, nasib anak-anak Dina juga akan sama dengan nasib
Dina. Tak akan ada perubahan dalam keluarga kami nanti. Tetap akan jahil turun
temurun,” jawab Mardina jujur. Dia tidak mahu berselindung dengan Mak Leha.
Wanita itu sudah hidup bersama keluarga itu sejak muda. Tidak ada rahsia lagi
antara mereka. Semua kelemahan dan kejahilan keluarganya diketahui oleh Mak
Leha.
Mak Leha pula membenarkan semua
kata-kata Mardina itu di dalam hati. Memang sejak dulu dia sudah maklum semua
itu. Rumah besar itu memang gah dengan kemewahan, tapi kosong dengan keimanan.
Malaikat rahmat pun mungkin tidak sudi untuk menjengah ke rumah itu.
“Dina dah beritahu dia?”
“Belum. Dina belum jumpa dia
lagi,”
“Hari tu bukankah dia ada
datang ke sini?”
“Dia datang sekejap macam tu,
takkan nak bincang hal ni. Nantilah, Dina akan ambil satu masa yang sesuai,”
kata Mardina. Mak Leha merenung Mardina lama.
“Kenapa Mak Leha tenung Dina
macam tu?”
“Entahlah..Mak Leha bimbang
kalau apa yang Dina nak, tak tercapai,” jawab Mak Leha, juga jujur. Cita-cita
Mardina terlalu tinggi. Mengajak orang beriman dan kembali ke jalan Allah tidak
semudah menguruskan sebuah perniagaan seperti yang Mardina pelajari di luar
negeri.
“Dina pasrah dan berserah pada
Allah. Semuanya atas kehendakNya,” kata Mardina perlahan. Dia juga sebenarnya
bimbang tidak mampu memenuhi impiannya itu. Namun, dia perlu kuatkan semangat.
Tidak ada jalan mudah untuk berjaya.
“Mak Leha boleh tolong Dina?”
“Tolong apa Dina?”
“Tolong doakan agar semuanya
berjalan dengan baik,”
“Insya-Allah, kalau itu Mak
Leha memang akan selalu doakan Dina. Dia nak buat benda yang baik. Allah pasti
akan memberikan Dina jalanNya,” kata Mek Leha sambil memeluk Mardina dengan
penuh kasih sayang. Ubun-ubun Mardina dikucupnya berkali-kali. Mardina terharu
dan sebak. Airmatanya tiba-tiba luruh tanpa dipinta. Seumur hidupnya, hanya Mak
Leha yang selalu berbuat begitu kepadanya.
“Dina? Kenapa? Mak Leha
tersalah cakap ke?” Mak Leha menolak tubuh Mardina dan melihat air mata yang
berjuraian itu. Tubuh itu bergegar. Esakannya pecah dan tidak mampu ditahan
lagi.
Mak Leha buntu. Dia menarik
semula tubuh Mardina ke dalam pelukannya. Dibiarkan Mardina menangis sepuasnya.
Mungkin itu yang terbaik untuk melegakan seluruh rasa yang berbuku di
nubarinya. Lama.
“Alangkah baiknya kalau mama
yang peluk dan belai Dina macam ni..” ujar Mardina di celah esakannya. Mak Leha
tersentak. Akhirnya dia mula faham erti tangisan itu. Mardina merindui belaian
kasih sayang ibunya. Memang semuanya tidak pernah berlaku. Dia sendiri tidak
pernah melihat Datin Marisa memanjakan atau berbual dengan penuh kasih sayang
dengan Mardina. Sejak dulu, tidak ada kemesraan yang ditunjukkan oleh Datin
Marisa terhadap Mardina. Seperti ada yang tidak kena, namun dia tidak tahu
puncanya.
“Kalau Dina nak, Mak Leha boleh
peluk Dina hari-hari. Dah, jangan sedih lagi,” Mak Leha mengesat air mata yang
berjuraian di pipi Mardina dengan senyum, memujuk.
“Dina bukan sedih apa Mak Leha.
Dina rindukan pelukan dan belaian mama. Dari dulu, Dina tak dapat belaian kasih
sayang mama. Kadang-kadang Dina cemburu pada rakan-rakan Dina yang hidup miskin
dan susah tapi mereka kaya dengan perhatian serta kasih sayang ibu bapa. Dina?”
Mardina menatap mata Mak Leha, mencari-cari simpati.
Luruh hati Mak Leha melihat
mata basah Mardina itu. Walaupun dia tidak pernah mengandung dan melahirkan
anak, namun rasa kasih seorang ibu tetap mengalir lembut di sudut hatinya. Dia
tetap diberikan Allah rasa itu, tanpa diminta.
“Mak Leha tak perasan ke
layanan mama dan papa pada Dina selama ini?”
“Layanan macam mana?” Mak Leha
berpura-pura tidak mengerti.
“Yalah, seperti ada jurang
antara kami. Kalau bercakap dengan Dina, mama dan papa jarang tersenyum. Tapi
kalau dengan Syita..mereka boleh bergelak ketawa dan bergurau senda. Kenapa
macam ni Mak Leha?”
Diam. Mak Leha kehilangan suara
untuk berkata-kata. Sudah lama soalan itu berlegar dalam fikirannya. Sudah lama
dia keliru dengan semua itu. Hari ini, Mardina sendiri sudah mempersoalkannya.
“Dina rasa macam Dina ni bukan
anak mereka. Mungkin Dina ni hanya anak pungut..”
“Ish! Tak baik cakap macam tu.
Mungkin mereka sibuk dan tak perasan hal ni,”
“Ya. Mungkin mereka tak
perasan. Mereka tak sedar ada hati seorang anak yang sering terluka kerana
sikap mereka,” keluh Mardina perlahan.
“Sudahlah Dina. Ini mungkin
takdir yang telah ditentukanNya. Dina kena terus berdoa. Allah akan mendengar
doa hambaNya,” pujuk Mak Leha. Mardina angguk perlahan. Memang doa itu senjata
orang mukmin. Doa juga yang mendekatkan diri manusia dengan Allah Yang Maha
Agung dan Berkuasa.
”Benar Mak Leha. Hanya itu yang
boleh Dina buat. Hanya Allah Yang Maha Tahu apa yang ada di hati Dina saat ini.
Hanya Dia yang akan mengubah semua ketentuan buruk kepada ketentuan yang lebih
baik. Dina tidak akan berhenti berdoa. Dina tak akan berhenti berusaha untuk
menyedarkan mama dan papa tentang adanya Tuhan di muka bumi ini,” kata Mardina
penuh semangat. Mak Leha menepuk-nepuk belakangnya dengan senyum. Sedikit
sebanyak dia mula faham keinginan yang ada di hati Mardina itu. Dia berjanji
kepada dirinya untuk membantu apa yang termampu olehnya. Mardina sedang
menyusur jalan hidup yang lurus. Dia perlu disokong. Itu yang ada di fikiran
Mak Leha.