ALLAH menjadikan bagi kamu isteri-isteri
dari jenismu sendiri dan menjadikan bagimu dari isteri-isterimu itu anak-anak
dan cucu-cucu dan memberimu rezeki yang baik-baik.Maka
mengapakah mereka beriman kepada yang batil dan mengengkari nikmat Allah. (
surah An-Nahl ayat 72)
-3-
Pagi minggu masih awal. Datin
Marisa dan Masyita sedang bersarapan pagi.
Mardina pula, selesai solat sunat Dhuha dia membaca Al-Quran. Sepertinya
tidak mahu langsung dia membuang masa tanpa mengingati Allah.
“Mama tak rimas ke tengok kakak
tu! Lain benar perangai dia tu. Mama tengok orang lain yang balik dari luar
negeri tu. Mereka bukan saja bawa balik segulung ijazah, tapi juga bawa balik
fesyen yang cantik dan cara hidup yang moden. Kakak tidak. Entah budaya mana
yang dia bawa. Pakaian menutup aurat konon! Ee..rimasnya Syita tengok,” Masyita
mencebik.
“Nasib baik dia tak berjubah
dan tutup mata!” tambah Datin Marisa dengan ketawa, memperli. Masyita ikut
ketawa.
“Sampai hari ni Syita masih
belum faham apa yang berlaku pada Kak Dina tu. Kenapa dia jadi macam tu? Mama
tak tanya dia?”
Datin Marisa menggeleng. Dia
menghirup minuman di hadapannya.
“Mama lagi tak faham. Apa yang
mama bimbang sangat ialah kalau-kalau dia tu terlibat dengan gerakan militan
Islam di sana. Atau dia terlibat dengan dakwah songsang dan ajaran sesat. Sekarang ni kan ramai puak hala
kiri dan pengganas ada di bandar-bandar besar, bukan di hutan,” Datin Marisa
meluahkan rasa. Ketawa Masyita terhenti. Kata-kata ibunya seperti satu ancaman
yang menakutkannya.
“Mungkin benar juga apa yang
mama kata tu. Nampak pelik sangat perangai dia sekarang ni. Tengoklah tu,
bukannya dia nak campur dengan kita. Dia asyik memerap dalam bilik. Kalau tak
mengaji, dia akan sembahyang. Dah tak ada masa nak bersembang macam dulu. Mama,
dia sembahyang apa pada waktu macam ni? Kalau tak silap Syita, dulu ustaz ajar
waktu pagi hanya ada sembahyang Subuh. Mama tahu?” Masyita segera menatap wajah
ibunya. Dia mencari-cari jawapan.
Datin Marisa tersentak. Dengan
perlahan dia menggeleng, antara bingung dan malu. Masyita menghirup horlicks
panas yang ada di hadapannya. Sepi seketika. Fikiran Datin Marisa dan Masyita
berpusat pada hal yang sama.
“Ajaran sesat..mungkin benar
dia menuntut ilmu yang salah,” keluh Datin Marisa perlahan seperti berbisik
kepada dirinya sendiri. Diam. Masyita hanya mengangguk setuju.
“Syita tak keluar ke hari ni?”
Datin Marisa mengubah topik.
“Sekejap lagi. Syita ada kelas
aerobik di kelab. Ingat nak ajak Kak Dina. Tapi kalau macam tu cara hidup dia,
tak payahlah. Dah tentu dia tolak ajakan Syita. Apa pula program mama hari ni?”
“Petang nanti mama ada temu
janji dengan Mr.Yoshita dari Jepun mengenai projek baru kami di Singapura.
Malam, mama mungkin akan ke kelab. Datin Halida buat majlis hari lahirnya.
Belum tahu balik pukul berapa,”
“Papa mana ni?”
“Papa dah ke Turkistan Subuh
tadi. Dia dan Tan Sri Jamal ada seminar di sana,” jawab Datin Marisa.
“Jadi, pagi ni mama tak ada
agenda?”
“Nampaknya macam tu lah,”
“Apa kata mama ikut Syita ke
kelab. Kita beraerobik,” ajak Masyita.
“Malaslah Syita. Mama rasa nak
rehat je. Petang dah nak keluar. Syita pergilah..” kata Datin Marisa perlahan.
Masyita angguk.
“Eh! Dah senyap dah. Orang
mengaji tu dah tertidur ke?” Perli Masyita sambil memuncungkan mulut ke arah bilik Mardina.
Mereka ketawa.
“Apa yang gembira sangat ni
mama?” Tiba-tiba Mardina menegur dari
belakang, cuba mesrakan suara. Datin Marisa dan Masyita tergamam. Mereka
berpandangan. Wajah masing-masing berubah rona.
“Eh! Dina. Mari duduk, kita
sarapan. Mama nak panggil Dina tadi, tapi dengar Dina masih mengaji..” Datin
Marisa berhelah untuk menutup rasa bersalah.
“Tak apalah,” Mardina memotong
sambil mencedok mee goreng ke pinggan. Datin Marisa sekali lagi terkedu.
Masyita pula terus mengunyah tanpa memberikan apa-apa reaksi. Dia hanya
memasang telinga.
“Ma tak ke mana-mana pagi ni?”
Tanya Mardina cuba mengisi suasana. Dia rasa kemesraan suara Datin Marisa luar
biasa pagi itu.
Jurang kasih yang selama ini
memisahkan hubungan mereka, tiba-tiba dirasakan semakin menyempit.
“Pagi ni mama nak rehat. Petang
baru keluar,” jawab Datin Marisa, bernada mesra. Mardina angguk. Kemudian dia
terus diam dan bersarapan. Dia kehabisan idea untuk berkata-kata. Sepi.
Masing-masing melayari fikiran. Jasad dan rohnya seperti tidak bersatu ketika
itu.
Mardina sedang mencari-cari
satu titik untuk memulakan kata. Sejak dia pulang, belum ada masa yang terluang
untuk berbicara. Mungkin hari itu adalah hari yang baik. Dia perlu bercakap
dengan mama dan adiknya sebagai seorang muslimah. Begitu banyak yang ingin
dikatakannya.
”Mama, Syita, ada perkara yang
Dina nak cakap,” Mardina mengatur ayat.
“Eh!
Syita pergi dululah. Dah lambat ni,” tiba-tiba Masyita bangun. Mardina
tersentak. Belum sempat dia berkisah hal tanggungjawab seorang wanita muslimah.
Belum sempat dia bercakap hal halal haram atau lebih jauh mengenai syurga dan
neraka. Masyita seperti sudah tahu apa yang ada di hatinya. Dia langsung tidak
mahu memberi peluang dan ruang untuk Mardina memulakan apa yang dirasakan wajib
diucapkan itu.
“Syita nak ke mana ni?” Tanya
Mardina dengan senyum yang dipaksa. Dia mampu menelah apa yang ada di sebalik
sikap tergesa-gesa Masyita itu.
“Syita ada kelas aerobik. Pergi
dulu mama, Kak Dina,”
Masyita terus berlalu tanpa
menoleh. Datin Marisa senyum. Dia juga terlebih maklum dengan kebimbangan yang
ada di hati Masyita itu. Mereka mempunyai denyut rasa yang hampir sama. Mardina
pula menarik nafas hampanya dengan perlahan.
“Dina tak keluar?” Tanya Datin Marisa
selepas melihat Mardina diam sambil terus mengunyah makanan di mulutnya.
Geleng.
“Kalau Dina nak keluar, pergilah. Suruh
Hambali hantar. Kalau Kak Leha nak ikut, pergilah. Mana tahu Dina nak
pusing-pusing Kuala Lumpur
ni. Dina kan
dah lama di luar negara. Banyak tempat-tempat hiburan dan shopping yang
baru yang belum Dina pergi. Pergilah,” kata Datin Marisa menoleh ke arah Mak
Leha, cukup mesra.
Diam. Mardina mahupun Mak Leha tidak
memberikan apa-apa komen dan reaksi. Mak Leha sedang mengemas pinggan yang
ditinggalkan Masyita, sedang Mardina tetap diam melayan fikirannya.
Datin Marisa serba salah. Dia rasa
seperti sedang memaksa Mardina keluar dari kepompong hidup baru yang dibawa
balik dari luar negara. Tiba-tiba dia rasa gugup dan bimbang untuk berdepan
lebih lama dengan Mardina.
“Mama naik dululah. Mama nak tidur
sekejap. Dina sarapanlah ya..” kata Datin Marisa sambil bangun. Dia cuba
menutup rasa gugupnya. Dia juga sebenarnya seperti Masyita yang cuba
mengelak diri dari Mardina.
Mardina hanya angguk, perlahan dan
tenang. Kemudian ketika Datin Marisa tergesa meninggalkan meja makan dan
menaiki tangga ke biliknya, Mardina sempat menjeling dengan ekor matanya. Dia
faham semuanya. Dia bukan budak kecil lagi.
Jurang pemisah yang diharapkan menyempit,
rupanya tidak menjadi.
Tiba-tiba Mardina rasa sedih. Kesedihan
yang bersimpang siur dengan rasa kesal yang amat dalam. Tiba-tiba pula, dia
teringat pada Sylvia. Mungkin kesedihan yang dirasakannya sekarang, sama dengan
apa yang pernah dirasai oleh sahabatnya itu.
“My family tak ada pegangan agama. Sejak kecil I
tak diajar mengenal Tuhan. Kalau orang lain ada masjid, ada gereja, ada kuil
dan ada tokong, kami tak ada. Bagi
mereka, kekayaan itulah Tuhan yang menjaga mereka. I sedih dengan
keadaan itu. Setiap tahun, bila orang lain ada perayaan agama, kami tidak ada. Daddy
kata, kalau kita ada duit Tuhan ada bersama kita. So, dia cari duit dan
kemewahan sebanyak-banyaknya. Dia rasa bangga dengan cara dia,”
“Kalau macam tu, untuk apa you
cari Tuhan? Bukankah you dah ada semuanya? Keluarga you pun dah
ajar, kekayaan itu Tuhan,” dia bertanya soalan dungu.
“Kerana I tak pernah rasa tenang
dan aman walaupun hidup mewah. I rasa ada seperti ada satu kekurangan
dalam hidup ini. Seperti ada satu ruang dalam hati yang begitu kosong dan sepi.
Seperti kita minum arak untuk tenangkan fikiran. Semasa kita mabuk, memang kita
lupakan semuanya. Tapi selepas kita sedar, kita akan resah gelisah semula.
Maknanya itu ketenangan yang sementara, bukan yang selamanya. I mencari
ketenangan yang sebenar,”
“Tapi kenapa Islam?”
Diam seketika. Sylvia membelek-belek buku
yang ada di hadapannya. Mardina menunggu dengan sabar. Entah kenapa, dia begitu
tertarik untuk tahu apa yang ada di hati teman sebiliknya itu. Walhal, sejak
setahun tinggal sebilik dia jarang duduk berbual. Masanya banyak dihabiskan di
luar, berfoya-foya. Dia balik ke rumah hanya untuk tidur dan berehat. Ada masa dia balik. Ada masa dia tidur saja di
rumah rakan sosialnya. Dia tak pernah ambil tahu hal Sylvia, begitu juga sebaliknya.
Namun, sejak akhir-akhir itu dia amat berminat untuk ambil tahu.
“I dah belajar semua agama. Yang
terakhir ini baru I belajar Islam. Selepas setahun I membaca dan
mengkaji, ternyata hanya Islam yang lengkap dan sempurna. Dalam Islam ada sebab
dan penyebab. Ada
pencipta dan ada makhluk. Islam juga mengajar umatnya hidup dalam harmoni.
Segala cara dan peraturan telah tersusun dengan baik dalam kitab Al-Quran. Apa
pendapat you Dina?” Tanya Sylvia merenung ke arahnya.
Dia terpinga-pinga.
Seumur hidupnya dia tidak pernah membaca
Al-Quran, apa lagi untuk mengkajinya.
Dia terjerat antara rasa malu dan kesal dengan diri sendiri. Tiba-tiba
dia rasa dirinya naif dan daif.
“Dina, you beruntung kerana
dilahirkan dalam keluarga Islam. Turun temurun you orang Islam. You
ada Al-Quran sebagai pedoman,”
“Maksud you?”
“Maksud I, you dah ada jalan yang
benar. You tak perlu nak tercari-cari macam I.”
Jantung Mardina seperti disentap. Dia
tahu Sylvia berkata jujur secara hakikatnya. Namun dia rasa tersindir secara
makrifatnya. Sindiran itu menikam tajam ke lubuk jiwanya. Benarkah dia
beruntung? Soalan itu yang muncul dalam fikirannya saat itu.
“Dina, you marah I?”
“Tak.” Dia menahan rasa.
“Habis wajah you berubah? I’m
sorry Dina. I tak ada niat apa-apa.”
“It’s ok, but..”
“I faham Dina,” Sylvia memotong
cakapnya yang tersendat di kerongkong.
“Apa yang you faham?”
“You ada jalan yang lurus dan
benar, tapi you tersasar dari jalan itu,”
Diam.
Mardina termenung, lama. Dia ingin
mengakui kebenaran kata-kata Slyvia itu. Namun dia malu dan tidak kuat untuk
menyatakannya. Dia memang jahil. Dia memang sesat. Dia hanya dilahirkan sebagai
seorang umat Islam, tapi dia tidak pernah mengamalkan cara hidup yang
sepatutnya diamalkan oleh orang Islam.
“Kembali ke pangkal jalan tidak sesusah
membuka jalan yang baru Dina,” tiba-tiba Sylvia berkias. Dia mendongak. Sylvia
seperti sedang membaca apa yang ada di hatinya. Gadis bangsa China kelahiran Singapura itu
tersenyum, manis dan tulus.
“I..I..” dia teragak-agak, hilang
punca.
“Dina, belum terlambat lagi. Kalau you
nak hidup yang aman dan tenang, kembalilah ke jalan Islam. Ibaru
belajar, tapi I dah rasakan keseronokannya. I dah rasa hidup yang
sempuna, aman dan tenang. Keluarga you mesti bangga dengan you,
Dina,” kata Sylvia menepuk-nepuk bahunya.
Dia malu untuk mengaku keadaan
keluarganya. Secara teorinya dia memang berada dalam keluarga Islam. Namun
hakikatnya? Tidak ada bezanya keluarganya dibandingkan dengan keluarga Sylvia
itu. Mereka tidak pernah mengerjakan solat, jarang berpuasa dan tidak
menunaikan fardhu haji sedangkan mereka mampu.
“Syl, can
I ask you something?”
“Tanyalah,”
“Keluarga you tak marah you
pilih Islam?”
“Tak. Mereka tak kisah. Mereka tak pernah
ambil tahu agama apa yang anak-anak mereka ikut. Syaratnya cuma satu,”
“Syarat apa?”
“Mereka tak diajak ke gereja, ke kuil, ke
tokong atau ke masjid. Mereka nak hidup cara mereka dan tak mahu terlibat
dengan cara hidup anak-anak. Mereka tak ada masa nak fikirkan hal Tuhan dan
hal-hal yang berkaitan dengan mati,” jawab Sylvia.
Kata-kata Sylvia itu seperti mengena pada
batang hidungnya juga. Kegelisahan yang sama dirasai oleh mereka. Bezanya,
keluarga Sylvia tidak menentang pilihan anaknya. Tapi dia? Datin Marisa dan
Datuk Iskandar bersama Masyita seperti sengaja mencari alasan untuk
memusuhinya.
Tiba-tiba Mardina mengeluh.
“Dina?” Mak Leha menepuk bahu Mardina.
Dia menoleh. Kenangan bersama Sylvia segera berlalu seperti angin lalu.
“Mengelamun lagi?”
Diam. Mata Mardina tertunduk ke
lantai.
“Mak Leha, Dina rasa semakin tak selesa
dengan keadaan di rumah ini.”
“Maksud Dina?”
“Sejak dulu mama kurang mesra dengan
Dina. Sekarang keadaaan itu semakin nampak jelas. Mama dan Syita seperti cuba
jauhkan diri dari Dina. Mereka seperti takut dengan Dina. Entah apa salah Dina
pada mereka.”
Diam. Mak Leha mengakui dalam hati.
Dengan mata zahirnya dia melihat keadaan itu. Begitu juga dengan mata batinnya
dia ikut merasai perasaan yang ada di dada Datin Marisa dan anak kesayangannya
Masyita.
“Pelikkah orang yang bertudung Mak Leha?
Hingga mereka seperti takut untuk bersua muka dengan Dina. Mereka juga seperti
mencebik Dina... ” Suara Mardina kedengaran perlahan dan tersekat di kerongkong.
Mak Leha masih diam, membiarkan Mardina
melepaskan apa yang ada di dadanya.
“Dina telah belajar mengenai kewajiban
menutup aurat. Sejak Dina tahu betapa berat azab Allah kepada wanita yang
mendedahkan auratnya, Dina semakin takut. Dina pernah berdosa kerana engkar
perintah Allah itu. Sekarang bila Dina dah sedar, Dina terpaksa berdepan pula
dengan keadaan ini,”
“Dina mesti kuat. Sebenarnya bukan pasal
tudung Dina ni yang buat mereka tu takut.”
“Habis apa?”
“Solat, bacaan Al-Quran, wirid dan
doa-doa Dina,” jawab Mak Leha. Dia memang kurang arif dalam bidang agama. Tapi
selama dia bekerja dengan keluarga itu, dia tidak pernah melihat majikannya
melakukan tanggungjawab sebagai seorang Islam. Namun dia tidak pernah menegur.
Kedudukannya di rumah itu menyebabkan dia tidak ada kuasa untuk bersuara. Dia
bersyukur kerana majikannya tidak melarang dia menunaikan solat lima waktu dan berpuasa di
bulan Ramadhan. Mereka juga tidak melarang dia mengikuti kelas-kelas agama di
masjid yang berdekatan. Itu sudah cukup untuknya.
“Dina faham apa maksud Mak Leha?” tanya
Mak Leha. Mardina diam. Dia masih mencongak sendiri. Namun akhirnya dia
menggeleng perlahan.
“Mak Leha ni bukan pandai sangat. Tapi
serba sedikit tu Mak Leha tahu sebab Mak Leha selalu ke masjid. Jadi Mak Leha
rasa mama Dina dan Syita tu larikan diri kerana bimbang diajak ke jalan benar.
Iblis dan syaitan yang ada di dalam diri mereka memang sengaja menghasut mereka
supaya menjauhi orang-orang yang solat, membaca ayat-ayat suci dan sering
berdoa kepada Allah. Ini pendapat Mak Leha, mungkin pendapat ini salah..” ujar
Mak Leha.
Mardina angguk.
“Apa yang boleh Dina buat untuk lembutkan
hati mereka, Mak Leha?”
“Entahlah. Mak Leha sendiri tak tahu Dina.
Cuma Dina perlu terus berdoa. Mungkin Dina boleh buat solat hajat. Minta Allah
berikan jalan dan lembutkan hati mereka. Allah itu bersifat Maha Pendengar,”
ujar Mak Leha.
Mardina diam. Dia cuba merenung ke dalam diri dan
keluarganya. Kemudian dia teringat pada sebuah hadis yang pernah dibacanya.
Nabi Muhamad s.a.w bersabda: “Barang siapa yang menjadikan dunia, cita-citanya
yang terbesar maka tiadalah dia daripada Allah pada sesuatu. Dan Allah
mengharuskan hatinya empat perkara, kesusahan yang tidak putus selama-lamanya,
kesibukan yang tidak akan selesai sepanjang masa, kemiskinan yang tidak akan
sampai menjadi kaya selama-lamanya serta angan-angan yang tidak akan sampai
selama-lamanya,”
Benarlah apa yang disabdakan nabi.
Keluarganya mengejar dunia dengan kesibukan yang tidak pernah selesai. Allah
memberikan kehidupan duniawi yang teramat baik kepada mereka sebagai dugaan.
Namun mereka lupa untuk bersyukur. Mereka lupa bahawa semua pemberian itu
hanyalah pinjaman yang nanti suatu masa akan ditarik semula.
“Ya Allah, berikanlah aku petunjukMu,”
bisik Mardina dalam hati.
Dia rasa persoalan menjadi semakin rumit.
Jalan yang diharapkan lurus rupanya berliku dan akan berceracak dengan duri.
Dia rasa semakin banyak perkara yang perlu diubah. Tapi dia tidak pasti akan
bermula dari titik mana. Dari hujung rambut sampai ke hujung kaki, perjalanan
hidup keluarganya tidak betul.
Dia perlu membulatkan tekad
Dia harus menjunjung iktikad
Dan dia wajib memulakan jihad
Sebelum mereka dipanggil ke
liang lahad!