Home Novel Fantasi Reality Override
BAB 45

SELEPAS INSIDEN

Fizri membuka mata. Di hadapannya, Ilham masih berdiri tercegat di tempat tadi dengan wajah menunduk ke lantai. Sugul, muram dan masam mencuka tidak cukup untuk menerangkan ekspresi yang terlukis di wajahnya. Apatah lagi emosi yang sedang bergelojak di kalbunya.

"Kau tak apa-apa ke Ilham?" soal Fizri prihatin. Dia cuba bangun untuk menghampiri Ilham.

Apa yang peliknya, tubuh Ilham langsung tidak tercedera. Malah, luka kecil langsung tiada. Walaupun ketara dia langsung tidak melindungi dirinya tadi daripada posisinya kini.

Ilham tidak mempedulikan pertanyaan Fizri. Dia berjalan perlahan ke arah begnya yang tergeletak di atas lantai. Serpihan-serpihan kaca yang bertaburan di atas lantai dipijak begitu sahaja. Begnya diambil lalu mula berlalu meninggalkan tempat itu.

Lampu koridor yang sedari tadi berkelip-kelip terus terpadam. Satu demi satu lampu koridor tersebut terpadam tatkala Ilham berjalan melewatinya. Tubuh Ilham seolah-olah petanda bagi lampu itu untuk terpadam sendiri. Ilham melangkah tenang meninggalkan koridor yang penuh dengan serpihan kaca itu.

Setelah Ilham meninggalkan tempat itu, suasana menjadi gawat serta-merta. Mereka semua masih terkejut dengan situasi tidak dijangka itu. Seseorang yang berada di koridor tersebut memanggil untuk bantuan tiba.

Fizri tidak mempedulikan situasi gawat di sekitarnya. Dia harus mengejar Ilham. Keadaan Ilham nampaknya masih belum stabil lagi. Dia khuatir Ilham akan terus bertindak gila seperti beberapa minit yang lalu.

Fizri bingkas bangun lalu mula berjalan ke arah tempat Ilham pergi. Baru sahaja dia ingin melangkah, ada tangan yang menariknya dan menghalangnya untuk pergi. Fizri menoleh ke belakang untuk melihat siapakah gerangan yang memegang tangannya.

Kelihatan beberapa orang memakai sejenis uniform yang tidak dikenali Fizri tiba di koridor tersebut. Masing-masing memakai perlindungan tubuh seolah-olah telah meramal situasi ini. Salah seorang daripada merekalah yang memegang tangannya. Mereka menghampiri seorang demi seorang pelajar yang cedera.

Fizri pun tidak dapat mengagak, adakah mereka ini baik atau sebaliknya.

"Fizri Naufal, sila ikut kami untuk pemeriksaan." Kata-kata yang meluncur daripada wajah di sebalik helmet perlindungan itu bukan datang dalam bentuk saranan lembut. Sebaliknya lebih kepada arahan tegas yang harus dipatuhi.

"Takpa, saya okey je. Nanti saya pergi sendiri. Saya nak kejar kawan saya tu dulu." Fizri cuba melepaskan cengkaman pekerja itu daripada memegang tangannya tetapi tidak mampu. Cengkaman itu terlalu kuat. Fizri seolah-olah dipaksa untuk pergi mengikuti mereka.

Beberapa orang pelajar yang berada di koridor itu beransur pergi. Masing-masing dibawa pergi oleh pekerja-pekerja yang memakai uniform aneh tersebut.

"Takpa, kawan kamu tu, biar kami yang uruskan," beritahu pekerja tersebut.

Melalui pemberitahuan itu, Fizri sedar Ilham mungkin berada di dalam bahaya sekarang. Dia ingin menarik tangannya daripada terus dipegang, tetapi tidak mampu. Sebaliknya tubuhnya pula ditarik secara paksa untuk mengikuti mereka.

'Ilham. Aku harap kau tak apa-apa.' Fizri hanya mampu berharap di dalam hati.

***

Ilham yang sudah berjalan jauh, mengeluarkan telefon pintar dari dalam begnya. Sejurus dikeluarkan, dia terus mencari nama Alisya dalam senarai kenalan. Dia tidak perlukan sesiapa pun sekarang. Dia hanya ingin mencari gadis itu untuk meleraikan kekusutan yang melanda benaknya kini.

Setelah nama dan nombor Alisya ditemui, dia segera menghantar mesej melalui aplikasi Whatsapp di telefon pintarnya. Dia berharap gadis itu ingin menjawab segera.

Alisya, tolonglah jawab segera. Saya perlukan awak sekarang. Kita jumpa kat tempat biasa.

Setelah menekan butang ikon anak panah untuk menghantar mesej itu, Ilham terus berjalan ke arah perpustakaan. Pelajar-pelajar di sekelilingnya semua sedang memerhati kawasan koridor tempat berlaku insiden aneh tadi. Mereka berjalan menghampiri kawasan tersebut.

Walau bagaimanapun, beberapa orang yang memakai uniform aneh tadi sedang menghalang pelajar-pelajar daripada menghampiri kawasan itu. Sejenis tali dipasang di sekitar kawasan itu sebagai had kawasan pelajar boleh berada. Malah, mereka disuruh bersurai segera untuk menenteramkan keadaan.

Ilham tidak peduli dengan kekecohan yang berlaku. Apa yang dia peduli sekarang hanyalah kecamuk yang terjana di benaknya. Langkah diatur dengan pantas dan terburu-buru untuk ke perpustakaan. Sepanjang perjalanan dia mendengar gumaman dan desas-desus orang di sekeliling. Mungkin mereka menceritakan tentang insiden yang baru berlaku tadi.

Sesampai sahaja di perpustakaan, keadaan senyap-sunyi. Tiada siapa pun berada di dalamnya. Mungkin mereka terlalu terkejut dengan kekecohan tadi lalu pulang segera ke bilik. Terus sahaja kaki Ilham melangkah ke tempat di mana dia selalu berjumpa Alisya. Dia berharap sangat Alisya ada di situ.

Walau bagaimanapun, gadis yang ingin ditemuinya tiada di tempatnya. Apa yang ada, cumalah kerusi kosong sahaja. Ternyata situasi ini benar-benar menghampakannya. Lambat-lambat Ilham melangkah ke arah sebuah kerusi di hadapan tempat Alisya selalu duduk. Dia melabuhkan punggungnya di situ. Mungkin Alisya belum membaca mesej ini lagi.

Ilham mengeluarkan telefon pintarnya. Dia ingin melihat sama ada Alisya telah membaca mesej itu atau belum. Sebaik aplikasi itu dibuka, sekali lagi Ilham berasa hampa. Bukan sahaja warna tanda betul itu tidak berubah kepada biru, malah hanya satu sahaja tanda betul dipaparkan. Keadaan ini menunjukkan Alisya langsung tidak menerima mesej itu.

'Takpa. Mungkin Alisya berada di luar kawasan. Takpun henpon dia habis bateri. Orang macam dia mana ingat nak cas henpon.' Ilham cuba menyedapkan hatinya.

Dia meletakkan kepalanya di atas meja. Berhasrat untuk mendapatkan rehat seketika setelah berhempas-pulas memerah otak sejak dari awal pagi. Tanpa dia sedari, Ilham telah pun lena dibuai mimpi walaupun berada dalam posisi tidak selesa.

"Adik, bangun dik!" Ilham tersedar setelah merasakan tubuhnya digoncang seseorang. Telinganya menangkap suara seperti seseorang mengejutkannya.

Lambat-lambat Ilham membuka kelopak matanya yang terasa berat. Kepalanya terasa amat sakit secara tiba-tiba sebaik dia tersedar. Nampaknya dia masih berada di perpustakaan. Dia langsung tidak sedar bahawa dia telah tertidur di atas meja.

Dalam keadaan bingung, Ilham menegakkan posisi tubuhnya. Pustakawan yang berada di sisinya dipandang. Malu rasanya apabila dikejutkan pustakawan itu.

"Kenapa kamu tidur kat sini? Kamu tak dengar ke arahan tadi?" soal pustakawan itu.

"A ... saya tunggu kawan saya kat sini. Arahan apa tu?" Ilham yang masih bingung teragak-agak menjawab soalan pustakawan itu.

"Tunggu kawan? Hmm ... kamu tak perasan kot arahan tadi. Tadi ... lepas berlaku sedikit kemalangan kat kawasan Fakulti Sains, para pelajar diarahkan pulang segera ke bilik masing-masing. Kamu tak dengar ke arahan tu?"

Ilham menggeleng pantas sebagai jawapan. Matanya membeliak luas mendengar apa yang disampaikan pustakawan itu. Dia dapat rasakan insiden itu mungkin ada kena-mengena dengan dirinya sebelum ini. Namun dia tidak tahu adakah dia puncanya atau ada sebab yang lain.

"Dah, apa kata kamu balik dulu. Bahaya rasanya kat luar ni," arah pustakawan itu.

Dengan hati yang berat Ilham, mula bergerak meninggalkan perpustakaan itu. Dia berasa cukup penat dengan segala masalah yang datang menimpanya pada hari ini ibarat untaian manik yang terputus daripada rantainya.

Sebaik kakinya menjejak ke luar kawasan perpustakaan, suasana agak lengang di luar. Nampaknya mereka semua patuh pada arahan pihak pentadbiran untuk pulang ke bilik masing-masing segera. Mungkin sebab itu Alisya tidak datang ke perpustakaan ini seperti selalu. Walau bagaimanapun, tidak akanlah dia langsung tidak membaca mesej daripada Ilham?

Akhirnya Ilham mengambil keputusan untuk pulang sahaja. Dia terus berjalan ke arah tempat menunggu bas berhampiran. Lagipun, kesakitan di kepalanya sejak dia bangun tidur tadi sedikitpun tidak berkurang. Malah, menjadi-jadi sakitnya. Dia terasa seperti hendak pitam sekarang. Ada baiknya dia pulang dan mendapatkan rehat di bilik.

Walau bagaimanapun, sesampai sahaja dia di tempat menunggu bas, ada suatu lagi masalah datang menimpa. Akibat terlalu ramai pelajar ingin pulang serentak, mereka bersesak-sesak di situ. Ilham yang pada mulanya ingin berehat sebentar sambil menunggu bas terpaksa mematikan sahaja hasratnya. Dengan keadaan sesak begini, mana boleh dia menenangkan dirinya.

Sedang kaki Ilham melangkah, dia nampak beberapa orang pelajar kelihatan marah-marah. Apa yang mereka sedang marahkan? Beberapa pelajar lain pula mengambil keputusan untuk meninggalkan tempat itu.

"Kenapa?" tanya Ilham kepada salah seorang pelajar yang turut menunggu di situ.

"Balik jalan kaki jelah nampaknya. Takda bas sekarang. Sebab katanya semua bas tengah malfunction sekarang. Diorang sekarang tengah cuba repair bas tu," beritahu pelajar itu kepada Ilham.

Terkejut Ilham mendengarnya. Bala apakah yang menimpa mereka kali ini? Dengan perasaan yang bercampur-baur antara marah, kecewa, penat dan sakit hati, Ilham terpaksa berjalan kaki sahaja untuk ke bilik. Dia sudah tidak mampu mencerna lagi situasi apa yang sedang berlaku sekarang.

Memikirkan kolej kediamannya yang terlalu jauh dengan fakulti ini, Ilham berasa begitu malas untuk pulang ke biliknya. Tambahan pula, sakit kepalanya tidak henti-henti menyerang. Dia fikir, dia ingin mencari tempat sementara untuk merehatkan dan menenangkan dirinya seketika.

Saat inilah dia terfikir untuk pergi ke Tasik Universiti. Mungkin dia boleh berjumpa Alisya di situ. Pada waktu petang setelah habis kelas, dia seringkali menghabiskan waktunya di tepi tasik.

Baru sahaja Ilham ingin melangkah, tiba-tiba ada seseorang memanggilnya dari arah jalan. Baru dia perasan ada sebuah kereta menghampirinya. Tingkap kereta itu dibuka. Pemandu kereta itu menjongolkan mukanya untuk bercakap dengan Ilham.

"Ilham, nak pergi mana tu? Jom, aku tumpangkan kau balik!" Rupa-rupanya Azim ingin menumpangkannya. Rakan-rakan sekelasnya yang lain turut ada di dalam kereta tersebut. Kebetulan ada satu tempat masih kosong di kereta itu. Dapatlah Ilham menumpang.

"Jomlah! Jauh ni kau nak balik kolej kau," ajak Azim lagi setelah mendapati Ilham tidak berganjak dari tempatnya.

Dengan teragak-agak, Ilham melangkah ke arah pintu belakang kereta itu lalu membukanya. Dia terus masuk ke dalam kereta Azim sebelum menutup pintu semula. Masuk sahaja ke kereta, Ilham terus menyandarkan tubuhnya ke kerusi dek tidak tahan dengan sakit di kepalanya yang tidak henti-henti menyerang.

"Kau okey tak ni, Ilham? Apasal kau nampak pucat je ni?" soal Aizat yang duduk di sisi Ilham.

"O ... key ...." Ilham sudah hampir kehabisan tenaga untuk menjawab soalan Aizat.

"Betul ni?" soal Aizat lagi inginkan kepastian.

"Betul ...." Ilham semakin lama semakin malas untuk menjawab soalan. Mulutnya terasa berat sahaja untuk dibuka.

***

"Kan saya dah kata, jangan approach Subjek 209 tanpa arahan dari saya. Tengok, sekarang kamu dah cedera," bebel Zahran kepada Fizri yang masih terduduk di atas katil rawatan.

Seorang doktor sedang merawat luka-luka di tubuhnya. Nasib baiklah tiada sebarang kecederaan yang serius di tubuhnya. Mereka kini sedang berada di sebuah bilik rawatan yang terletak di makmal penyelidikan rahsia universiti itu.

"Hmm ...." Fizri menjawab malas. Banyak sangat perkara yang sedang difikirkannya sekarang sehingga dia tidak mampu melayan bebelan Zahran.

Pelajar-pelajar yang berada berhampiran tempat kejadian tadi dibawa untuk menjalani pemeriksaan di sebuah khemah sementara. Khemah itu didirikan berhampiran dengan kawasan kejadian. Entah bila khemah itu didirikan dan entah bila pekerja-pekerja beruniform aneh itu dikerahkan, Fizri sendiri tidak perasan.

Mereka seperti telah meramalkan kejadian ini terlebih dahulu sehingga sempat membuat segala persiapan untuk menghadapi situasi ini.

Memandangkan Fizri salah seorang pegawai penyelidik yang terlibat dalam projek rahsia itu, dia terus dibawa ke makmal penyelidikan rahsia universiti itu untuk dirawat.

Zahran melangkah keluar dari bilik rawatan itu. Dia terus berjalan ke sebuah bilik. Seorang lagi saintis lain telah pun berada di bilik itu, menunggu kedatangan Zahran. Sejurus Zahran mengambil tempat di bilik yang kelihatan seperti bilik mesyuarat itu, saintis itu terus menekan suatu butang pada panel kawalan jauh di tangannya.

Lampu bilik itu terpadam. Bilik itu bergelap serta-merta. Meninggalkan hanya skrin paparan LCD (Liquid Crystal Display) sahaja menerangi bilik itu. Skrin itu memaparkan klip video Ilham semasa saat dia sedang tidak stabil dan menyerang Fizri. Beberapa tetingkap bacaan turut dipaparkan pada skrin tersebut.

"Takpa ke kita lepaskan dia macam tu je?" soal seorang lagi saintis yang berada di dalam bilik itu.

Zahran terdiam sejenak sambil memerhatikan skrin. "Takpa, aku memang sengaja pun. Kita perlu tunggu masa yang sesuai untuk bertindak."




Previous: BAB 44
Next: BAB 46

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.