Home Cerpen Thriller/Aksi Bunga Dari Neraka
Bunga Dari Neraka
Hana Mizari
11/4/2018 15:03:10
6,648
Kategori: Cerpen
Genre: Thriller/Aksi

Sawah padi nan menghijau menghiasi pemandangan yang indah lagi menyamankan di sebuah kampung terpencil. Gunung yang gagah berdiri menjadi pasak di muka bumi turut menghiasi pemandangan kampung itu.

Kampung itu merupakan sebuah kampung yang aman dan tenteram. Penduduk kampung itu amat bergantung pada hasil pertanian sebagai sumber rezeki mereka. Kelihatan beberapa orang penduduk kampung sedang sibuk membanting tulang empat kerat mereka bercucuk tanam di sawah padi itu. Mereka akan terus berkerja sampailah matahari berlabuh di ufuk barat.

Tidak kejauhan dari situ, sekumpulan kanak-kanak sedang bermain dengan riang gembiranya seolah-olah tiada masalah langsung dalam kehidupan mereka. Sinar keceriaan jelas terpancar di wajah mereka. Sebahagian penduduk kampung turut terhibur memerhatikan gelagat sekumpulan kanak-kanak itu bermain.

Seorang kanak-kanak perempuan berusia dalam lingkungan tujuh tahun sedang leka bermain dengan rakan sebayanya di bawah pohon kemboja. Harum semerbak bau bunga kemboja jika sesiapa sahaja melintasi kawasan mereka bermain.

Sekuntum bunga kemboja turut tersemat di rambut gadis comel itu. Dia kelihatan begitu anggun dengan bunga itu, sesuai dengan namanya yang diambil sempena nama bunga itu, Kemboja. Sementara itu pula, kanak-kanak lelaki yang bermain bersama dengannya bernama Kasturi. Mereka telah lama berkawan memandangkan rumah tempat mereka tinggal bersebelahan sahaja.

"Ala, tak adillah macam ni Abang Kasturi! Asyik Kemboja sahaja yang jadi." Kemboja berkata kepada Kasturi dengan nada merajuk.

"Kemboja lambat, sebab tu cuma Kemboja sahaja yang jadi," balas Kasturi pula dengan nada mengejek. Dia terus berlari mengelilingi pohon kemboja itu meninggalkan Kemboja. Tanpa membuang masa, Kemboja terus mengejar rakannya itu sambil tercungap-cungap. Begitulah gelagat mereka setiap hari sehingga mereka tidak mempunyai tenaga lagi untuk berlari.

***

Selang beberapa bulan...

Remang pelita meliuk lentok ditiup angin malam. Suasana di rumah Tok Penghulu merangkap ketua kampung itu kelihatan suram. Beberapa orang wakil penduduk kampung sudah memenuhi ruang sorong rumah itu. Suasana hiba menyelubungi penduduk kampung yang hadir di rumah itu. Mereka sedang menantikan ketua kampung itu untuk memulakan mesyuarat.

Selang beberapa ketika, Tok Penghulu pun masuk ke ruang itu untuk menemui anak buahnya. Dia memakai pakaian lengkap untuk memulakan upacara memuja semangat gunung. Dia duduk di tengah-tengah kerumunan anak buahnya.

Salah seorang daripada penduduk kampung itu mengusulkan masalah kampung mereka kepada ketua mereka, "Bagaimana dengan masalah kampung ini, Tok Penghulu? Tanaman kita sudah lama tidak menjadi dek kemarau yang berpanjangan. Jika masalah ini dibiarkan berlarutan, alamatnya seluruh kampung ini akan mati kebuluran."

Lama Tok Penghulu terdiam sambil memejamkan mata di hadapan kemenyan yang dibakar di tengah rumahnya. Api pelita meliuk lentok ditiup angin malam yang kencang.

Kemudian dia membuka matanya dan memulakan bicaranya, "Menurut amalan hamba, semangat gunung ini murka dengan kampung ini, oleh kerana itulah dia menimpakan kemarau yang berpanjangan kepada kita semua."

"Habis itu, apa yang patut kita lakukan?" tanya salah seorang dari mereka, sementara yang lain hanya mampu terkejut.

"Bagi meredakan kemurkaan semangat gunung itu, kita harus mempersembahkan seorang korban yang terdiri daripada penduduk kampung ini juga," balas Tok Penghulu dengan nada tenang.

"Siapa yang sanggup menjadi korban?" tanya penduduk kampung yang lain pula.

"Korban itu akan dipilih oleh semangat gunung sendiri," balas Tok Penghulu semula. Kemudian dia memejamkan matanya semula sambil mulutnya terkumat-kamit membaca jampi serapah. Penduduk kampung itu menanti jawapan daripada Tok Penghulu dengan penuh kesabaran.

Setelah beberapa minit berlalu, Tok Penghulu membuka matanya semula seraya berkata, "Hamba telah berhubung dengan semangat gunung dan baginda telah pun memilih korbannya."

"Siapakah gerangannya wahai Tok Penghulu?" tanya seorang lagi penduduk kampung tidak bersabar.

Tok Penghulu terdiam sejenak sebelum memulakan bicaranya, "Kemboja anak Budiman dan Melati." Dia menghela nafas panjang seketika. Terkejut para penduduk kampung apabila mendengar butir bicara yang disampaikan oleh Tok Penghulu, namun mereka akur dengan keputusan itu.

Keesokan harinya, pagi-pagi lagi rumah Budiman dan Melati diketuk keras oleh seorang penduduk kampung. Pada ketika itu, Budiman baru sahaja bersiap-siap untuk pergi ke bendang. Melati pula sudah menyiapkan bekalan untuk Budiman yang dibantu oleh anak perempuannya, Kemboja.

Budiman menguak daun pintu rumah papannya untuk melihat siapakah gerangannya yang datang bertandang. Sejurus sahaja pintu dibuka, Budiman berasa amat terkejut melihat ramainya bilangan tetamu yang bertandang ke rumahnya. Dia tahu, dia bukanlah orang penting di kampung itu seperti Tok Penghulu, jadi tiada sebab rumahnya menjadi sasaran untuk diserbu penduduk kampung.

"Ada hajat apa tuan hamba datang beramai-ramai ke teratak hamba ini?" Budiman bertanya dengan penuh kesantunan.

Tetamu-tetamu yang hadir ke rumah kelihatan begitu serius dengan tiada secalit senyuman terukir di wajah mereka, menandakan mustahaknya hal yang mereka ingin bincangkan bersama Budiman. Budiman tidak hadir ke rumah Tok Penghulu malam semalam, sebab itulah dia tidak tahu menahu apa yang diperkatakan Tok Penghulu dalam mesyuarat itu. Dia terpaksa menjaga anak perempuannya yang sakit di rumah.

"Jemputlah naik dahulu, kita bincang di dalam." Budiman mempersilakan tetamunya masuk.

Salah seorang daripada mereka melangkah masuk ke rumah Budiman sementara yang lain pula menunggu di luar sahaja. Setelah tetamunya itu duduk bersila di ruang sorong rumah itu, dia pun menyampaikan hajatnya kepada Budiman. Budiman pula mendengar dengan teliti.

"Apa? Kemboja anak hamba telah dipilih sebagai korban?" kata Budiman hampir tidak percaya. Melati dan anaknya Kemboja hanya mendengar di balik dinding. Kemboja memeluk ibunya erat-erat kerana takut mendengar kata-kata tetamu rumah mereka itu.

"Tapi Budiman, tuan hamba mesti akur dengan keputusan Tok Penghulu. Ini bukan permintaan Tok Penghulu, ia datang dari semangat gunung sendiri." Dia menegaskan hujahnya.

"Tidak boleh, hamba tidak akan benarkan anak hamba dipilih menjadi korban. Hamba tidak peduli," balas Budiman dengan nada agak keras. Tetamu itu akur dengan keputusan Budiman lalu mereka pulang dengan tangan kosong.

Mereka terus pergi ke rumah Tok Penghulu untuk menyampaikan pendirian Budiman berkenaan keputusannya. Tok Penghulu berasa amat berang dengan tindakan Budiman lalu mengarahkan mereka untuk pergi semula ke rumah Budiman pada malam hari.

***

"Kasturi, hanya tuan hamba sahaja yang hamba berdua boleh harapkan," kata Melati kepada Kasturi penuh berharap. Ada kesayuan dalam bicaranya. Matanya mula bergenang dengan air mata.

"Kasturi, tolong bawa Kemboja pergi dari sini. Kemboja tidak selamat jika terus berada di kampung ini." Budiman pula berkata kepada Kasturi sambil mengusap kepalanya.

Kemboja hanya mendiamkan diri di belakang Kasturi. Dia akur dengan keputusan kedua-dua ibu bapanya.

"Kasturi, ini bekalan untuk menemani tuan hamba dan Kemboja sepanjang perjalanan," ujar Melati pula sambil menghulurkan sebungkus makanan kepada Kasturi.

Melati beralih pula kepada anaknya Kemboja lalu memeluk tubuhnya erat-erat. Lama mereka berdua berpelukan sambil melepaskan segala tangisan yang terpendam. Kasturi dan Budiman hanya memerhatikan mereka berdua sambil berdiam diri.

Melati dan anaknya dikejutkan dengan bunyi riuh-rendah dari luar rumah mereka. Serentak dengan itu, bunyi ketukan pintu bertalu-talu membingitkan telinga mereka semua.

"Buka pintu ini, Budiman!" Suara keras kedengaran dari balik pintu. Pintu itu mahu pecah dibuatnya akibat diketuk terlalu kuat.

"Ah, mereka sudah datang! Kemboja, Kasturi, lekas! Keluar ikut pintu belakang dan lalu ikut jalan hutan," arah Budiman tanpa membuang masa.

Melati menemani mereka berdua untuk keluar dari rumah itu melalui pintu belakang, sementara Budiman pula pergi membuka pintu rumahnya. Dia cuba berlagak tenang. Kasturi dan Kemboja menuruni rumah itu melalui pintu belakang. Melati hanya memerhatikan dari belakang.

Tiba-tiba Kemboja menoleh lalu bersuara dengan nada sayu, "Ibu tak pergi sekali?"

Melati hanya tersenyum pahit sambil memandang anaknya itu.

"Kasturi, tolong jagakan Kemboja dengan baik, ya?" rayu Melati dengan nada penuh mengharap.

"Baiklah Mak Melati, hamba akan pastikan Kemboja selamat selagi hamba mampu," balas Kasturi kepada ibu Kemboja yang dipanggil Mak Melati olehnya. Dia menggendong bekalan yang diberi Melati ke bahunya lalu menarik tangan Kemboja.

"Kemboja, lekas!" pujuk Kasturi kepada Kemboja. Kemboja tidak mahu menuruti Kasturi tetapi pegangan tangan Kasturi lebih kuat, dia tidak mampu melepaskan dirinya.

"Ibu! Jangan tinggalkan Kemboja, bu!" teriak Kemboja sekuat hati sambil menitiskan air mata. Melati hanya memerhatikan mereka berdua pergi dengan pandangan sayu.

Sementara itu pula, di pintu hadapan rumah mereka, Budiman sedang berhadapan dengan penduduk kampung yang marah kepadanya. Budiman akur dengan nasib yang bakal menimpanya tidak lama lagi.

"Tangkap Budiman! Tangkap mereka semua sekeluarga!" laung anak Tok Penghulu yang turut berada bersama mereka. Dia mengarahkan sebahagian penduduk kampung untuk masuk ke dalam rumah Budiman untuk mencari isteri dan anaknya. Sementara itu pula, Budiman telah ditangkap oleh dua orang yang berada paling hampir dengannya.

Budiman dan Melati duduk melutut di hadapan sebuah lubang yang sedang digali oleh penduduk kampung. Mereka akur melihat lubang besar yang bakal menjadi perkuburan mereka tidak lama lagi. Sebuah unggun api turut dinyalakan bersebelahan dengan lubang besar itu. Tok Penghulu sedang terkumat-kamit membaca jampi serapah di hadapan unggun api itu.

***

Kasturi dan Kemboja tercungap-cungap melarikan diri daripada kampung itu. Mereka meredah semak belukar di dalam hutan. Mereka tidak tahu ke mana destinasi yang dituju. Sebaliknya arah yang mereka lalui menunjukkan mereka semakin hampir dengan gunung. Setelah merasakan keadaan mereka benar-benar selamat, Kasturi dan Kemboja berehat melepaskan lelah.

"Ke mana kita mahu pergi, Abang Kasturi?" Pertanyaan Kemboja memecahkan keheningan suasana.

"Entahlah, abang pun tidak pasti," balas Kasturi pasrah sambil bersandar di pokok yang berhampiran.

Lama mereka berdua terdiam sambil merenung langit malam yang dihiasi rembulan bersinar cemerlang dipagari bintang-bintang. Mereka termenung memikirkan masa hadapan mereka yang tidak pasti.

Namun begitu, mereka tidak menyedari bahawa tindak-tanduk mereka berdua diperhatikan sejak dari mula lagi. Ada beberapa orang penduduk kampung yang ternampak mereka berdua senyap-senyap menyelinap ke dalam hutan. Mereka pun mengekori Kasturi dan Kemboja tanpa disedari.

Lamunan Kasturi dan Kemboja tersentak apabila menyedari beberapa orang penduduk kampung sudah pun mengerumuni mereka berdua. Tiada ruang lagi untuk mereka melarikan diri. Kemboja merasa panik dengan situasi itu. Kasturi bingkas bangun untuk berhadapan dengan penduduk kampung yang kelihatan marah.

"Kemboja, lari!" Kasturi menyuruh Kemboja supaya melarikan diri.

Kemboja pada mulanya teragak-agak untuk meninggalkan Kasturi seorang diri berhadapan dengan mereka. Namun begitu, dia akhirnya akur dan cuba melarikan diri setelah didesak oleh Kasturi. Walau bagaimanapun, dia tidak sempat berbuat begitu kerana penduduk kampung lebih cekap menangkapnya.

***

Kasturi dan Kemboja duduk melutut di hadapan lubang besar sama yang menempatkan Melati dan Budiman. Melati dan Budiman telah pun ditolak jatuh ke dalam.

"Benar ke Tok Penghulu kita mahu korbankan mereka berempat sekali?" tanya salah seorang penduduk kampung yang sedang berdiri di hadapan lubang besar itu. Matanya merenung tajam ke arah Kasturi dan Kemboja.

"Kita kena korbankan mereka sekali sebab semangat gunung bertambah murka kita melewat-lewatkan upacara penyembahan korban," balas Tok Penghulu dengan nada tegas.

Penduduk yang menanyakan soalan tadi akur dengan jawapan Tok Penghulu. Tok Penghulu pun memberi isyarat kepada penduduk kampung bahawa upacara penyembahan akan dimulakan.

Kasturi dan Kemboja ditolak dengan kasar. Mereka jatuh tergolek ke dalam lubang besar itu. Melihatkan keadaan itu, penduduk kampung yang lainnya mengambuskan mereka berempat di dalam lubang itu dengan rakus sekali.

Kemboja yang masih menyedari dirinya sedang dikambus hidup-hidup menangis mengeluarkan air mata darah. Mukanya menahan marah kerana penduduk kampung itu merampas kebahagiaannya dan membunuh orang-orang yang disayanginya.

Api yang menyala berhampiran tempat mereka ditanam membakar dengan begitu garang seolah-olah faham dengan perasaan yang dialami Kemboja pada waktu itu.

***

Selang beberapa bulan selepas peristiwa itu...

Kemarau yang melanda kampung itu masih belum reda. Malah, keadaan menjadi bertambah buruk. Tangkai-tangkai padi sudah kering tidak mengeluarkan sebarang hasil. Sebahagian daripada penduduk kampung itu sudah mati kebuluran. Sementara itu, saki-baki yang masih hidup kelihatan kurus dek putusnya bekalan makanan mereka dalam tempoh yang lama.

"Celaka! Kita dah buat upacara korban pun masih belum meredakan kemurkaan semangat gunung!" rungut salah seorang penduduk kampung sambil memerhatikan gunung yang mereka puja itu.

Mereka seperti menyesal kerana menganiaya Kemboja sekeluarga. Namun begitu, apa boleh buat, nasi sudah menjadi bubur. Mereka tidak boleh mengundurkan semula kesilapan yang telah mereka lakukan ke atas Kemboja sekeluarga.

Selang beberapa bulan, seorang demi seorang penduduk kampung menemui ajalnya kerana mati kebuluran. Keadaan itu berlarutan sehinggalah tiada seorang pun penduduk yang hidup lagi di kampung itu. Kampung itu menjadi semak-samun kerana telah lama ditinggalkan oleh penghuninya. Hakikatnya perbuatan mereka itu tidak akan meredakan kemarau yang melanda kampung itu.

-Tamat-

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.