9
DANISH DAN NEKADNYA!
Hampir
setengah jam Bakri berbual di talian. Sarlina yang berada di sisi sudah
menjeling tajam suaminya itu. Natasha pula hanya duduk di kaunter pembayaran
sambil memasang telinga untuk mendengar perbualan papanya itu.
“Emm… kalau dah macam tu keputusan
Sri, saya dengan Kak Sarlina dah tak boleh buat apa-apalah. Pasal pembayaran
gaji tu nanti, saya akan bincangkan dengan Kak Sarlina. Assalamualaikum,”
bicara yang agak panjang itu menjadi penamat di antara perbualan Bakri dan
pembantu kedainya, Sri.
“Bila budak tu nak balik kerja?!”
soal Sarlina, sedikit kasar.
Bakri terdiam. Pandangannya jatuh ke
lantai.
“Abang ni dah kenapa? Saya tanya tak
jawab! Bila budak Sri tu nak balik bekerja abang oi?”
“Dia takkan balik bekerja lagi.”
Perlahan suara Bakri.
“Apa?!!!” terjerit Sarlina. Terkejut
dia dengan berita yang disampaikan oleh suaminya itu.
“Tapi kenapa?” Kali ini bukan
Sarlina yang bertanya, tetapi Natasha.
“Dia kena jaga nenek dia. Tak ada
sesiapa yang nak tolong tengok-tengokkan nenek dia dekat kampung tu.” Bakri
memberikan penjelasan.
“Nenek dia sakit apa papa?” soal
Natasha. Masih belum berpuas hati.
“Entahlah. Sakit tua katanya.”
Seraya menuturkan kata-kata itu, Bakri mengeluh. Pening kepalanya untuk
memikirkan cara bagi menyelesaikan masalah Sri itu.
“Tak payahlah abang nak mengeluh! Ni
semua salah abang. Kalau dari dulu lagi abang dengar cakap saya supaya buang
Sri tu dan ambil orang lain bekerja, takkan jadi macam ni. Lagipun saya
yakinlah bang yang nenek dia tu tak sakit! Itu semuanya alasan dia!” kemarahan
Sarlina kian membuak.
“Jadi sekarang ni awak nak salahkan
sayalah? Sekarang ni saya nak tanya awak satu soalan. Siapa yang dulu beria-ia
sangat nak ambil Sri tu bekerja? Siapa?”
Sarlina mendengus. Persoalan
suaminya itu tidak dijawabnya.
“Kenapa awak tak jawab? Bukan ke
dulu awak yang beria-ia suruh ambil Sri tu bekerja dengan kita, padahal saya
dah larang dah. Saya dah kata, jangan ambil orang luar bekerja dengan kita.
Ambil orang tempatan. Tapi awak tak dengar. Awak kata yang penting kita boleh
jimatkan kos dengan membayar gaji si Sri tu lebih murah. Tapi tengoklah
sekarang… dia kata dia nak balik Indonesia jaga nenek dia sebab tu dia terpaksa
berhenti kerja. Siap minta kita bayar gaji dia yang tertunggak tu lagi,”
bebelan Bakri sudah menjela.
“Apa? Bila masa pulak kita ada
berhutang gaji dengan dia?!”
“Kan awal bulan hari tu dia ada
kerja seminggu… dia nak mintalah gaji untuk tempoh dia bekerja tu.”
“Eeiii!!! Sakitnya hati saya. Dahlah
menipu! Mula-mula dia kata dengan kita dia nak minta cuti sebab dia tak sihat.
Sakit! Sekarang ni dia kata dia nak jaga nenek dia di Indonesia tu pulak sebab
tu dia terpaksa berhenti! Dahlah tu, siap minta kita bayar gaji dia lagi.
Melampau betullah si Sri tu!!!” Sarlina menjerit lagi. Mukanya sudah merah
padam menahan amarah.
Mujur jua tiada pelanggan yang
datang ke Bun’s Girl Bakery House pada waktu itu. Andai tidak haru jadinya.
“Dahlah tu mama, papa. Benda dah
jadi. Kalau kita marah-marah pun tak guna. Lebih baik kita selesaikan je dengan
cara baik. Kita bayar jelah gaji Kak Sri untuk seminggu tu. Hal nenek dia di
Indonesia tu, kita berserah jelah pada Allah. Kalau dia menipu, dia pasti akan
mendapat balasannya.” Lembut Natasha menasihati mama dan papanya itu.
Bakri menganggukkan kepalanya. Tanda
sependapat dengan anak tunggalnya itu. Namun lain pula penerimaan Sarlina.
“Ah! Mama takkan bagi sesen pun
dekat dia!” bentak Sarlina dan terus berlalu ke dapur. Serentak, Bakri dan
Natasha menggelengkan kepala.
Malam sudah membenamkan gemilang
mentari. Damainya malam menggerakkan hati Danish untuk bertemu dengan Rashid di
Restoran Pak Wan yang berlokasi di Petaling Jaya. Restoran ini sememangnya
menjadi lokasi kegemaran buat dua sahabat ini untuk menikmati makan malam.
Tiga puluh cucuk sate daging
terhidang di atas meja bersama dua cawan teh tarik. Berselera sungguh kedua
sahabat itu menjamah apa yang berada di hadapan mereka.
“Dah lama siot kita tak lepak dekat
sini,” tutur Rashid.
“Ha’ahkan… kalau tak dulu, boleh
dikatakan setiap malam kita lepak sini.” Danish terus mengunyah sate daging
yang berada di dalam mulutnya.
“Tulah kau. Aku ajak semendang kau
tolak. Macam-macam alasan kau bagi.”
Kunyahan makanan terhenti. Teh tarik
diteguk perlahan. Rashid yang menyedari perubahan riak wajah Danish, terus
diterpa rasa bersalah.
“Sorrylah
beb. Aku…” Ayat Rashid tiada penyudahnya.
“Kau tak salah. Cuma aku je yang tak
reti nak handle masalah aku ni…”
“Masalah kau dengan mama tiri kau tu
dah settle?” Berhati-hati Rashid
bertanya.
“Settle
apa… makin teruk lagi adalah.” Danish mengeluh. Selera makannya hilang
tiba-tiba saat imbauan kepahitan itu muncul semula.
Imbauan yang menjadi bukti betapa
papanya itu sudah berubah laku. Andai dahulu Danish dan mamanya menjadi
keutamaan papanya itu tetapi kini hanya perempuan jahanam itu sahaja yang
bertakhta di hatinya. Danish menyentuh pipinya dan semerta kesakitan akibat
ditampar papanya tempoh hari ‘terasa’ semula.
“Kau okey ke Danish?” Risau Rashid
dengan tingkah sahabatnya itu.
Danish menganggukkan kepala sambil
bibirnya melahirkan sepatah kata. “Okey.”
Kebisuan menyelubungi sebentar
suasana. Danish mengambil secucuk lagi sate dan dikunyahnya perlahan. Rashid
turut melakukan perkara yang sama sambil otaknya ligat memikirkan cara untuk
melanjutkan perbualan antara mereka.
“Emm… Danish. Aku nak tanya sikit
boleh?”
“Boleh. Tapi, buat sementara waktu
ni aku tak nak bincang mengenai mama tiri aku. Kau boleh tanya apa sahaja
asalkan tak berkaitan dengan perempuan jahanam tu,” amaran, Danish suakan
terlebih dahulu. Agar Rashid mengerti yang dia tidak mahu melanjutkan perbualan
yang berkisarkan seorang wanita yang bernama Elly!
“Aku faham. Tapi soalan aku ni tak
ada kena mengena dengan mama tiri kau. Aku cuma pelik je dengan sikap kau sejak
kebelakangan ni. Yalah… dulu kita balik sekolah sama-sama. Tapi sekarang… kau
suruh aku balik dulu. Kau pergi mana sebenarnya?”
“Kenapa kau nak tahu?” duga Danish.
“Yalah. Kaukan ke kawan baik aku.
Salah ke kalau aku nak ambil berat tentang kau.”
Danish menyandarkan tubuhnya di
kerusi kayu itu. Senyuman sudah terukir di bibirnya bersama ingatan yang sudah
terbang mengingati seraut wajah yang polos. Ya! Gadis itu sungguh polos dan
kerana kepolosan gadis itulah dia berasa senang untuk terus berdampingan dan
meluahkan rasa dengan si polos itu.
“Kau ni kenapa Danish? Seriau aku.
Sekejap muka kau masam, sekejap marah. Tup… tup… boleh pulak kau senyum macam
kerang busuk. Kau ‘demam’ ke apa?”
Danish tertawa kecil. Gurauan
sahabatnya itu sedikitpun tidak mencalarkan hatinya.
“Rashid… kau kenal tak dengan
seorang budak ni, nama dia Natasha?” Persoalan terlahir setelah tawa kecil
terhenti.
“Natasha… budak mana tu?” soal
Rashid kemudiannya.
“Budak sekolah kitalah. Takkan kau
tak kenal kot.”
“Kau ingat aku boleh kenal ke semua
pelajar dekat sekolah kita tu?... apalah kau ni,” rungut Rashid.
“Aku tanya je, kalau kau kenal.”
Bersahaja Danish menjawab.
“Dia budak kelas mana?” Masih belum
puas Rashid bertanya untuk mengumpul maklumat seandainya dia mengenali dengan
insan yang bernama Natasha itu.
“Entah. Aku sendiri pun tak tahu.
Tapi… dia anak pemilik kedai Bun’s Girl Bakery House.”
“Anak pemilik kedai yang ada jual
roti istimewa tu? Yang aku recommend
dekat kau hari tu? Amacam? Sedap tak roti coklat tu?”
“Sedap giler. Tapi sekarang ni aku
tanya kau, kau kenal tak dengan si Natasha tu?”
Rashid menepuk kuat permukaan meja
kayu. Terkejut Danish dengan reaksi spontan sahabatnya itu.
“Apa pulak tak kenal. Aku kenal
sangat dengan budak si Natasha tu. Budak tu agak terkenal juga di sekolah
kita.”
“Betul ke, kau kenal dia? Jadi
kiranya dia pun kenal jugalah dengan kau?”
“Tak… tak… maksud aku. Aku kenal
dengan si Natasha tu. Tapi aku tak rasa yang dia kenal aku.”
“Aku tak faham.” Laju Danish
menggelengkan kepalanya.
“Okey. Biar aku terangkan dekat kau.
Si Natasha tu agak terkenal sebab dia ni antara pelajar yang cemerlang di
sekolah kita. Cuma… budak ni lain macam sikit.”
“Maksud kau?” soal Danish kian
berminat.
“Yalah. Dari apa yang aku tahu, dia
ni tak suka bergaul dengan orang lain. Dia suka menyendiri.”
“Emm… aku faham kenapa dia lebih
suka menyendiri dari bergaul dengan budak-budak yang berlagak bagus dekat
sekolah kita tu. Mungkin status sosial dia yang berbeza menjadi punca kenapa
perkara tu berlaku. Selain daripada tu apa lagi yang kau tahu tentang budak
tu?” Danish masih belum puas untuk mengenali si polos.
“Entahlah. Aku rasa… tu jelah yang
aku tahu… Eh…. nanti dulu. Baru aku ingat…”
“Ingat apa?” soal Danish laju.
“Kalau kau nak tahu, budak Natasha
ni ada menyimpan perasaan terhadap seorang budak lelaki ni. Tak silap aku,
Malik namanya. Budak lelaki tu satu kelas dengan dia. Tapi sayangnya mamat tu
dah menjalinkan hubungan cinta dengan Marlina. Tapi kalau aku jadi Malik of courselah aku akan pilih Marlina.
Gadis yang cantik dan bergaya.” Rashid tertawa. Geli hatinya memikirkan
perbandingan rupa paras dan gaya dua orang gadis yang mempunyai status yang
berbeza. Ternyata status diri seseorang itu memang mempunyai pengaruh yang
besar.
Terpempan Danish. Tidak disangkanya
itulah kenyataan yang mengaitkan Natasha dengan si pembulinya, Marlina. Baru
kini Danish mengerti akan kaitan antara dua orang gadis itu, di mana di
tengah-tengah mereka berdirinya seorang lelaki bernama Malik.
Otak Danish ligat berputar untuk
mengetahui kesahihan cerita yang dibawa oleh Rashid sebentar tadi dan semerta
nekad di hati dibulatkannya. ‘Aku mesti siasat tentang Malik dan Marlina! Hanya
itu sahaja caranya untuk aku mengetahui kebenaran mengenai isi hati Natasha!’