Home Novel Cinta Cinta Bun's Girl
BAB 7 - Kemarahan Dato Sri Jasir Membuak!

7

KEMARAHAN DATO SRI JASIR MEMBUAK!

Mendesup kereta Porshe 918 Spyder berwarna silver memasuki pekarangan banglo mewah milik Dato Sri Jasir. Pak Samad yang merupakan pemandu peribadi Datin Sri Mastura segera menyambut kunci kereta yang dihulurkan oleh anak majikannya itu.

“Tolong letakkan kereta tu dalam garaj,” arah Danish. Intonasi suaranya tidak selembut kebiasaannya.

“Baik Tuan Muda. Tuan Muda… Dato Sri Jasir ada di dalam. Dia menantikan kepulangan Tuan Muda.”

“Papa dah balik ke? Bila dia sampai?” Entah mengapa terasa debaran halus di dada Danish. Gementarkah dirinya?

“Lebih kurang setengah jam dah Dato Sri sampai. Tadi dia minta Datin Sri menghubungi Tuan Muda, tapi talian tak dapat disambungkan,” jelas Pak Samad.

Danish terdiam. Mengakui akan kekhilafannya. Andailah dia tidak mematikan handphonennya sewaktu bertemu dengan perempuan hina itu tadi, pasti perkara sebegini tidak akan berlaku.

Melihatkan kebisuan Danish, Pak Samad meneruskan tugasnya. Kereta mewah itu dipandu untuk diletakkan di dalam garaj kereta. Danish pula terus memasuki banglo mewah itu.

Saat Dato Sri Jasir terlihatkan wajah anak tunggalnya itu, wajah menyinganya muncul semula. Datin Sri Mastura yang sudah mengetahui akan situasi yang bakal berlaku terus sahaja mendapatkan anaknya.

“Mana Danish pergi?” Lembut Datin Sri Mastura bertanya. Terlihat genangan air mata di wajah keibuan itu.

“Danish jumpa kawan tadi.” Perlahan Danish menjawab.

“Kau jumpa siapa?!” tengking Dato Sri Jasir yang sudah menghampiri anak dan isterinya.

Danish tertunduk. Dadanya kian bergetar dan perasaan resahnya kian bermaharajalela. Dia yakin papanya sudah mengetahui perihal pertemuannya dengan mama tirinya itu.

“Aku tanya! Kau jumpa siapa?! Jawablah!!!” Gema suara Dato Sri Jasir menakutkan para penghuni banglo 3 tingkat itu.

“Abang… tak payahlah nak tengking-tengking. Tanya jelah elok-elok, mungkin ini semua hanyalah salah faham.” Biarpun perasaan takut menyelubungi Datin Sri Mastura, namun digagahkan jua dirinya untuk menasihati suaminya itu. Dia tidak mahu jiwa anak kesayangannya terus-terusan dilukai oleh lelaki yang kian menyinga wajahnya tika ini.

“Salah faham kau cakap?! Kau nak beritahu aku yang Elly menipu aku?! Kau nak beritahu yang dia sengaja reka cerita tentang pertemuan anak kesayangan kau ni dengan dia! Macam tu?!!!” Berombak dada Dato Sri Jasir.

Sememangnya kemarahan Dato Sri Jasir sudah menyala di saat isteri mudanya itu menangis beria-ia sambil mengadu domba kepadanya tentang pertemuannya dengan Danish. Menurut isteri mudanya itu, Danish bukan sahaja hendak membeli ‘maruahnya’ malahan cuba ‘merasuahnya’ dengan sejumlah wang agar dia meminta penceraian berlaku di antara mereka. Kemarahan Dato Sri Jasir kian membara sewaktu dimaklumkan yang isteri tuanya itu adalah perancang utama.

“Awak dengan anak awak ni sama je! Awak ingat saya tak tahu yang awaklah perancang utama dalam rancangan ni!”

“Apa maksud abang ni… saya tak faham?” Linangan air mata sudah laju membasahi wajah Datin Sri Mastura.

“Tak faham ke atau awak pura-pura tak faham?! Awak yang suruh Danish jumpa Elly dan suruh Elly minta cerai dengan sayakan? Dan awak juga yang ajar anak awak ni untuk gunakan wang agar Elly bersetuju untuk berpisah dengan saya!!!”

“Tak papa! Bukan… itu semua bukannya rancangan mama. Mama tak tahu apa-apa tentang hal ni. Semua rancangan tu Danish yang aturkan sendiri. Tak ada kena mengena dengan mama!” tegas Danish. Dia harus berani berhadapan dengan papanya saat ini agar mamanya itu tidak terus-terusan dipersalahkan.

“Ooo… jadi ni semua rancangan gila kaulah!” Tanpa sempat Datin Sri Mastura menghalang, Dato Sri Jasir sudah menampar kuat pipi Danish.

“Abang!!! Sampai hati abang tampar anak kita semata-mata perempuan hina tu!”

“Perempuan hina kau cakap?! Sama ada kau suka ataupun tidak, dia tetap isteri aku! Madu kau dan mama tiri Danish! Jadi sama ada kau orang suka ataupun tidak! Dia tetap sebahagian dari keluarga ni!!!” Puas Dato Sri Jasir dapat melempiaskan amarahnya. Tidak dipedulikan tangisan isteri dan anaknya. Baginya kedua mereka harus diberikan pengajaran agar tahu erti menghormati isteri mudanya itu.

“Kau dengar sini Danish! Makan pakai kau, malahan kereta yang kau guna tu pun aku yang belikan! Jadi kau tak payah nak tunjuk hebat sangat untuk mengulangi kesilapan kau tu! Kalau papa tahu kau berjumpa lagi dengan mama tiri kau, nahas kau papa kerjakan!!!” Habis menuturkan ugutan itu, Dato Sri Jasir terus berlalu dari banglo mewah miliknya. Dia mempunyai urusan yang lebih penting selepas ini. Dia sudah berjanji untuk menikmati makan malam dengan isteri mudanya dan dalam masa yang sama dia perlu terus memujuk insan yang amat dicintainya itu agar meneruskan perkahwinan yang baru sahaja mereka bina.

Melihatkan kelibat suaminya itu sudah menghilang, Datin Sri Mastura memapah anaknya itu untuk duduk di kerusi klasik di ruang tamu itu. Dia meraba penuh kasih sayang pipi anak tunggalnya itu. Kian lebat linangan air matanya saat terlihatkan titisan darah menitis dari celah bibir Danish.

“Sakit ke sayang?” soal Datin Sri Mastura penuh dengan kelembutan.

“Tak. Tapi hati Danish ni lagi sakit dengan sikap ayah pada mama.” Danish segera mengesat linangan air mata mamanya itu. Tidak rela untuknya melihat wajah keibuan itu terus-terusan dihujani dengan air mata kesedihan.

Datin Sri Mastura pantas memeluk tubuh Danish. Terasa kasih sayang menjalari tubuh kedua mereka.

“Lain kali Danish tak payah jumpa perempuan hina tu lagi. Mama tak nak papa terus melukai Danish,” pinta Datin Sri Mastura.

“Tak, mama! Danish takkan berhenti berusaha untuk memusnahkan perkahwinan papa dengan perempuan tak guna tu. Danish takkan biarkan perempuan hina tu terus menghancurkan kebahagiaan mama dan papa.”

“Tapi Danish… mama tak sanggup untuk membiarkan sahaja papa memukul Danish disebabkan perempuan tu. Mama tak sanggup sayang…” Pelukan kedua mereka, Datin Sri Mastura lepaskan. Kali ini riak wajah penuh pengharapan dipamerkan agar anaknya itu menuruti kemahuannya.

“Dan Danish pun dah tak sanggup membiarkan mama kehilangan kasih sayang serta kebahagiaan yang selama ini menjadi milik mama. Sebab tu, Danish harus ‘merebutnya’ kembali daripada perempuan hina tu!” Wajah penuh pengharapan Datin Sri Mastura ‘ditentang’ dengan riak muka ketegasan oleh Danish. Petanda yang dirinya tidak akan mengalah di dalam pertempurannya menentang seorang insan yang bernama Elly!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.