6
DANISH VS ELLY!
Galore
Italian Coffee House sememangnya terkenal di kalangan golongan kelas atasan.
Ramai ahli korporat berkunjung ke sini untuk membincangkan perihal perniagaan
mereka mahupun hanya sekadar meneguk secawan kopi yang enak.
Danish mengambil tempat di sebuah
meja yang mempunyai kedudukan yang agak terpencil. Dia tidak mahu kenalan
papanya menyedari akan kehadirannya di Galore Italian Coffee House itu.
Kedatangannya pada kali ini mempunyai tujuan yang berbeza berbanding dengan kedatangannya
sebelum ini. Hari ini dia perlu berjumpa dengan seseorang yang dianggapnya
punca kepada segala masalah yang sedang menimpa keluarganya saat ini.
Danish mengerling sekali lagi jam
tangan yang berada di pergelangan tangannya. Dia mendengus. Sudah hampir
setengah jam insan yang dinantikan kedatangannya, tidak jua muncul tiba.
Hatinya membara semula. Terasa mahu sahaja dia melangkah keluar dari coffee house
itu. Namun saat terlihatkan kelibat seorang wanita genit yang kian menghampiri
mejanya, dia mematikan niatnya itu.
“Sorry.
I lambat sikit.” Selamba sahaja wanita yang berpakaian seksi itu mengambil
tempat di hadapan Danish.
Danish sekadar memerhatikan sahaja
tingkah wanita itu. Biarpun amarah kian membuak di dadanya saat terlihatkan
bayangan wanita itu, namun cuba dikawalnya agar pergaduhan tidak tercetus.
“You nak minum apa?” soal Danish.
Suaranya cuba dikawal agar intonasinya tidak meninggi.
“Tak. I tak nak order apa-apa. Lagipun I memang tak boleh lama-lama dekat sini. I
dah janji nak masakkan makan malam untuk papa you malam ni,” senyuman menggoda
Elly ukirkan.
Terasa mahu sahaja Danish menyepak
muka mama tirinya itu. Terasa meluat benar hatinya dengan lenggok suara yang
sengaja dimanja-manjakan oleh wanita yang masih lagi mengukirkan senyuman pada
saat ini.
“Papa I tahu yang you datang jumpa I
hari ni?” soal Danish. Suaranya sudah kedengaran sedikit kasar.
“Tak. Kenapa? You takut?” Elly sudah
mula memintal-mintalkan hujung rambutnya persis wanita miang.
“Takut? I tak takut. Orang yang
patut ada perasaan takut itu adalah you. Bukannya I.” Selamba Danish meluahkan
isi hatinya.
“Apa maksud you?” Berubah sudah riak
wajah Elly. Kemanisan yang ‘ditempekkan’ di wajahnya sebentar tadi sudah ghaib
entah ke mana.
“You tak faham apa yang I cuba
maksudkan… atau you pura-pura tak faham?” Danish meneguk sedikit latte. Rasa
kopi itu benar-benar menyegarkan dirinya.
“Kalau you ajak I datang ke sini
semata-mata untuk bermain teka-teki… sorry,
I tak berminat.” Elly sudah menyandarkan tubuhnya di kerusi empuk itu. Matanya
tajam memandang Danish.
“Sayang ya… muka you cantik tapi
otak you… kosong. I sendiri pun tak tahulah macam mana papa I boleh
‘tersangkut’ dengan perempuan murahan macam you ni!”
“Jaga sikit mulut you tu! I ni mama
tiri you. Jadi sebagai anak, you harus menghormati I.” Elly sudah menegakkan
semula tubuhnya dan riak kemarahan sudah terukir di wajah putih gebu miliknya.
“Sampai mati pun! I takkan mengaku
yang you ni mama tiri I. You ingat I tak tahu kenapa you teringin sangat nak
berkahwin dengan papa I? You ingat I ni bodoh! Buta! Mungkin you boleh
perbodohkan papa I. Tapi bukannya I. Jadi sekarang, I nak you bagitahu I berapa
yang you mahukan?” Danish sudah meluahkan secara terang akan tujuan
kedatangannya pada tika ini.
“Wau… tak sangka yang anak tiri I ni
bukan sahaja kacak. Tapi bijak pulak tu. Jadi… kiranya you nak ‘rasuah’ I lah
ni. Berani betul you ni. Tapi… I memang suka dengan lelaki yang berani macam
you ni,” senyuman sinis terukir semula.
Elly sedar yang anak tirinya itu
hendak ‘bermain’ satu permainan dan ya! Dia amat berminat untuk ‘turut’ serta
bagi memastikan gelaran juara menjadi miliknya!
“Berapa yang you mahukan?” Danish
sedikit mendesak.
“Berapa yang I mahukan? Maksud you?”
Sekali lagi Elly memintal-mintalkan hujung rambutnya dan riak wajah seksi
sengaja dipamerkan.
“Berapa jumlah yang you mahukan
untuk bercerai dengan papa I? Sebut je berapa. I akan uruskan!” Begitu yakin
Danish.
“Hahaha…” Elly tertawa. Terdengar
‘plastik’ benar tawanya itu.
Danish sudah berasa jelik melihatkan
tingkah mama tirinya itu. Amarah yang membuak cuba dipadamkan dengan meneguk
sedikit lagi latte.
Elly sekadar memerhatikan tingkah
anak tirinya itu. “Nampaknya, you suka sangat dengan minuman latte tu. Papa you
pun sukakan minuman tu. Nampaknya cita rasa you
all memang sama.”
“Tak! Papa I sukakan perempuan murahan!
Tapi I jijik untuk mendekati perempuan hina macam you ni! So, sekarang beritahu I berapa ‘harga’ diri you?” Puas hati Danish
dapat melemparkan penghinaan ke atas wanita yang sememangnya tidak layak untuk
mendapat sanjungan.
“Kurang ajar! You ingat dengan duit
you tu boleh ‘beli’ maruah I? Boleh musnahkan perkahwinan I dengan papa you?
Macam tu?!!!” menjerit Elly. Tidak dipedulikan akan jelingan seorang pelayan
yang kebetulan lalu di sisinya.
Danish tersenyum. Kali ini
senyumannya lebih kepada menghina. “Bukan ke you sanggup berkahwin dengan papa
I yang dah tua bangka tu sebab duit? Sekarang ni I bagi you peluang untuk hidup
mewah tanpa perlu bersusah payah melayan lelaki yang selayaknya you gelar
‘ayah’! Mustahil wanita secantik dan semuda you ni tak mahukan lelaki yang
lebih sesuai dengan you. You tak rasa sayang ke habiskan usia muda you dengan
lelaki tua yang cukup membosankan tu?”
Elly terdiam. Sememangnya kata-kata
anak tirinya itu benar belaka. Andai tidak disebabkan Dato Sri Jasir itu
merupakan antara orang terkaya di Malaysia ini, tidak ingin rasanya dia
berkahwin dengan lelaki tua yang sudah berperut boroi dan berkepala botak itu.
Menyesal? Ya! Sedari awal
perkahwinan lagi Elly sudah mengerti akan makna penyesalan tetapi disebabkan
kemewahan dan harta benda yang dicurahkan kepadanya maka perkataan ‘penyesalan’ itu dikambuskan terus
dari kamus hidupnya.
“Kenapa you diam?” soal Danish
kemudiannya setelah melihatkan kebisuan yang berpanjangan mengunci bibir mama
tirinya itu.
“I… I tak boleh bercerai dengan papa
you.” Perlahan Elly bersuara.
“Kenapa pulak tak boleh? You ada
hak! You boleh buat pelbagai cara untuk menuntut cerai dengan papa I.” Danish
kian mendesak.
“You tak faham!”
“Apa yang I tak faham? Kalau you
runsing mengenai kos yang you perlu tanggung selepas you bercerai dengan papa
I… you jangan risau. Hal duit biar I yang uruskan. I yakin mama I sanggup
keluarkan sebanyak manapun duit untuk membantu you selepas proses penceraian
tu.”
Elly terdiam sekali lagi. Dia
mengeluh dan mendengus sekali gus. “Jadi mama youlah yang hantar you ke sini
untuk ‘berurusan’ dengan I?”
“Tak. Mama I langsung tak tahu
tentang pertemuan kita.”
Biarpun kejujuran yang Danish
suakan, namun senyuman sinis yang dibalas oleh Elly sudah menunjukkan yang dirinya
tidak mempercayai kata-kata Danish itu.
“Macam nilah! You tolong sampaikan
dekat mama you tu yang I tak berminat untuk berurusan mengenai hal ‘jual-beli
maruah’ I ni. I tetap akan meneruskan ikatan perkahwinan I dengan papa you dan
sampai mati pun I akan menjadi mama tiri you!” Habis menjelaskan pendiriannya
itu, Elly bangkit dan berlalu.
Tidak sempat untuk Danish menghalang
langkah panjang mama tirinya itu. Danish mengeluh dan tanpa sedar dia menumbuk
kuat dada meja kayu itu. Biarpun rasa sakit di buku limanya sudah terasa, namun
kesakitan itu tidak setanding dengan kegagalannya memusnahkan mahligai
perkahwinan papanya dengan mama tirinya itu.
“Mama… maafkan Danish. Danish gagal
selamatkan kebahagiaan mama.” Sebutir permata jatuh di pipi Danish bersama
kata-kata penyesalannya itu.