Home Novel Cinta Cinta Bun's Girl
BAB 10 - Ke Mana Danish Ingin Membawa Natasha?

10

KE MANA DANISH INGIN MEMBAWA NATASHA?

Melihatkan kelibat pasangan kekasih itu kian menghampirinya, Danish melajukan langkahnya sehingga dengan sengaja dia melanggar bahu si gadis berambut kerinting itu.

“Buta ke?!” marah Malik tanpa menyedari siapakah yang melanggar bahu Marlina.

“Maaf saya tak sengaja,” tutur Danish.

“Eh… Danish. Tak apa, saya tahu yang awak tak sengaja.” Lembut benar suara Marlina tika ini.

Malik di sisi juga sudah terdiam seribu bahasa. Tidak berani untuknya berkata apa. Dia tahu seandainya dia menyinggung perasaan lelaki tinggi di hadapannya itu pasti padah akan menimpanya. Dia sedar pengaruh sebesar manakah yang sudah ditakluki oleh lelaki yang sedang mengukirkan senyuman itu.

“Awak okey ke?” senyuman masih kekal di bibir Danish.

“Saya okey. Maaflah saya tak perasaan awak tadi.” Suara Marlina kian lembut.

“Tak, saya yang salah. Baiklah, kalau awak tak ada apa-apa saya minta diri dulu.” Seraya menuturkan kata-kata itu, Danish sudah melangkah ke hadapan.

Langsung tidak ditolehnya kebelakangan untuk melihat reaksi pasangan kekasih yang masih berdiri di belakangnya barangkali.

Agak lama Marlina melihat susuk tubuh lelaki idamannya itu dari belakang. Sedari dahulu lelaki yang bernama Danish itulah yang menjadi kegilaannya. Siapa yang tidak kenal dengan Tuan Muda Danish? Siapa yang tidak mahu menakluki daerah hati lelaki itu? Dan siapa pula yang tidak menginginkan ‘kegemilangan’ saat berpacaran dengan lelaki tinggi lampai itu?

Malik yang menyedari akan renungan ‘gatal’ Marlina terus menarik lengan kekasihnya itu untuk segera berlalu dari situ. Tanpa rela, Marlina terpaksa mengikuti langkah Malik bagi mengaburi ‘kecurangan’ di hatinya.

Kini Danish sudah berdiri di muka pintu kelas 5 Cempaka. Dari sudut itu dia menyaksikan juraian air mata kian membasahi wajah Natasha. Sedih benar gadis itu tika ini. Tersentuh hati Danish dengan apa yang disaksikan oleh sepasang matanya itu.

‘Kenapa begitu sekali tangisan Natasha?’ Persoalan terlahir saat Danish mengatur langkah sulungnya untuk memasuki kelas yang hanya tinggal seorang sahaja penghuninya.

“Nah.” Danish menghulurkan sapu tangan kepada Natasha saat diriannya betul-betul di hadapan gadis itu.

Terkejut Natasha dengan kehadiran Danish. Entah bila lelaki itu tercegat di hadapannya, dia sendiri tidak tahu.

“Nah. Ambillah.” Sekali lagi Danish bersuara.

“Tak apalah…. saya tak perlukan sapu tangan awak.” Perlahan Natasha menjawab.

“Janganlah degil. Ambil.” Saat ini Danish sudah memegang tangan Natasha dan diletakkan sapu tangan itu di telapak tangan gadis itu.

Tersentak Natasha dengan kelakuan Danish dan kerana terpaksa dia mengambil jua sapu tangan bercorak kotak-kotak di telapak tangannya itu.

“Kesat air mata tu.” Persis seorang ayah, Danish memberikan arahan.

Natasha pula bagaikan pak turut. Hanya menuruti kata-kata yang terlahir dari bibir lelaki yang sedang merenung lembut ke arahnya itu.

“Kenapa awak datang ke sini?” soal Natasha. Terasa kekok dirinya direnung seperti itu.

“Saya tunggu awak dekat tempat ‘kita’. Tapi awak tak muncul-muncul. Tu yang saya datang sini.”

“Tempat ‘kita’? Bila masa pulak kita ada tempat?” Berkerut dahi Natasha.

Tersenyum Danish mendengar kata-kata polos gadis di hadapannya itu. “Maksud saya, bangunan lama tu. Saya panggil bangunan lama tu, tempat ‘kita’. Sebab hanya kita berdua sahaja yang menjadikan tempat tu sebagai tempat pertemuan ‘kita’. Kiranya macam tempat rahsialah.”

‘Dulu tempat tu, tempat ‘aku’ dan bukannya tempat ‘kita’. Kau yang menyebuk datang dekat tempat aku,’ bebelan itu terlahir di hati Natasha. Sedangkan mulutnya masih terkunci rapat.

“Kenapa awak tak datang ke sana?” soal Danish. Tidak betah dengan kebisuan Natasha.

“Sebab saya ada dekat sini. Saya hanya ada satu tubuh sahaja. Mustahilkan saya boleh belah badan saya ni untuk pergi ke dua tempat yang berbeza.” Kata-kata Natasha pada hari ini berlainan dari kebiasaannya. Ternyata emosi gadis itu sedang terganggu tika ini.

Natasha terus mengemas buku-buku yang masih bersepah di atas mejanya. Danish yang terperasankan sesuatu, mencapai sebuah buku yang telah menarik perhatiannya.

“Kenapa awak kena bawa balik buku ni?” Danish menunjukkan buku tersebut kepada Natasha.

“Saya tak perlu jelaskan kepada awak! Sebab ianya tak ada kena mengena dengan awak.” Natasha pantas merebut buku yang masih dipegang kuat oleh Danish. Namun lelaki itu enggan melepaskannya.

“Sampai bila awak nak jadi kuli batak Marlina?! Sampai bila?!” Tiada niat untuk Danish berkasar dengan Natasha. Namun tujuannya baik, hendak menyedarkan Natasha bahawa dia tidak perlu menjadi ‘balaci’ kepada sesiapa lagi!

Natasha menangis lagi. Bukan kerana tengkingan Danish itu tetapi kerana segala kata-kata lelaki itu benar belaka. Memang! Memang dia kuli batak kepada pasangan kekasih itu! Memang dia balaci kepada Malik dan Marlina!

“Natasha… saya tak nak awak terus ikut telunjuk Marlina mahupun Malik. Awak tak rasa sakit hati ke bila awak terpaksa menjadi orang suruhan Marlina sedangkan Malik hanya membiarkan sahaja. Saya tahu perasaan apa yang awak simpan buat Malik.”

“Apa… maksud awak?” Lambat Natasha menyoal.

Danish membalas pandangan berkaca Natasha. Hatinya kian runtun melihat kesedihan gadis itu. Entah kenapa bila bersama si polos ini, hatinya mudah tersentuh.

“Sebenarnya… saya tahu yang awak ada menyimpan perasaan pada Malik dan saya juga tahu yang Malik menolak awak kerana Marlina.”

Natasha terdiam. Tangisannya kian beria. Nampaknya rahsia yang selama ini cuba untuk disorokkan dari lelaki di hadapannya itu terbongkar jua.

“Jadi sekarang… awak nak ketawakan sayalah? Awak nak cakap yang saya ni betul-betul bodoh kerana menyintai lelaki yang telah menolak saya. Macam tu?”

“Tak. Tapi saya datang ke sini kerana ingin menawarkan sesuatu kepada awak.”

“Saya tak faham.” Berkerut dahi Natasha dan air mata yang masih ‘segar’, dihapuskannya.

“Saya ada cara untuk awak mendapatkan Malik dan menyingkirkan Marlina!” Tegas Danish.

Natasha tersentak sekali lagi. Otaknya cuba mencernakan makna yang tersirat di sebalik bicara lelaki yang masih merenungnya ini.

“Saya nak awak ikut saya pergi satu tempat. Dekat sana nanti saya akan terangkan pada awak apa yang sedang saya rancangkan.”

“Pergi mana?” Lambat Natasha bertanya.

“Ambil beg tu. Kita pergi sekarang.” Masih tegas bicara Danish.

Hati Natasha kian resah. Haruskah dia mengikuti lelaki yang sudah memegang lengannya itu?

“Cepatlah,” gesa Danish.

“Tak boleh! Saya kena tunggu mama saya. Saya tak boleh ikut awak!” Natasha menyentak lengannya. Namun Danish masih enggan melepaskan dirinya.

“Nanti dalam perjalanan awak hubungi mama awak dan katakan pada dia yang saya akan hantar awak balik!” Seraya menuturkan kata-kata itu Danish menarik terus lengan Natasha.

“Tapi… saya…” Kata-kata Natasha tersangkut. Rasa takut dan cemas bersatu.

“Tak ada tapi-tapi! Kali ni awak harus ikut saya!”

Tanpa rela Natasha terpaksa menuruti langkah panjang Danish. Mustahil untuknya melepaskan diri apatah lagi lelaki itu kian mencengkam kuat lengannya.

‘Ya Allah. Selamatkanlah aku.’ Hanya rintihan itu terlahir di hati Natasha.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.