5
BUKAN SEKADAR GOSIP
Natasha menguyah
laju roti kesukaannya itu. Seketul lagi roti coklat sudah dipegangnya, hanya
menunggu signal daripada tekak untuk
disumbatkan ke mulutnya.
Bakri menghampiri anak tunggalnya itu setelah menyusun
bahan-bahan untuk membuat kek dan roti yang baru sahaja dibeli oleh isterinya
itu. Dia mengambil tempat di sebelah anaknya.
“Anak papa ni lain macam je papa tengok hari ni.” Bakri
memulakan perbualan.
“Lain macam? Tak adalah, Natasha okey je,” balas Natasha
dan kunyahan yang terhenti sebentar tadi diteruskan semula.
“Yalah tu.” Dua patah kata itu sudah menunjukkan yang
Bakri tidak mempercayai jawapan Natasha sebentar tadi.
“Terpulanglah sama ada papa nak percaya ke tak. Tapi
Natasha okey je.” Natasha meneguk sedikit air kopi.
“Memang papa tak percaya. Kamu tu anak papa. Lain sikit mood kamu tu, papa dapat tahu.” Yakin
Bakri.
Natasha terdiam. Roti di tangannya juga sudah habis
dimakannya. Dia sedar kini papanya itu menuntut jawapan terhadap perubahan
emosinya pada hari ini. Papanya itu memang hebat, sedikit sahaja lenggok
tubuhnya berubah sudah dapat ditekanya yang dirinya berada di dalam kesedihan
mahupun kekecewaan.
“Natasha ada masalah dengan kawan-kawan dekat sekolah?”
Masih belum berputus asa Bakri meneka.
Diam. Natasha tidak menjawab apa. Dia tahu, apa pun
penipuan yang disuakan kepada papanya itu tidak akan berkesan. Tetapi untuk
memberitahu akan kebenarannya, tidak mungkin dilakukannya.
“Papa… boleh Natasha tanya sesuatu?”
“Tanya apa?” soal Bakri membalas persoalan anaknya itu.
“Kenapa papa tak pernah halang mama sewaktu mama mendesak
Natasha untuk belajar di sekolah privatetu?”
Bagi Natasha seandainya papanya itu menghalang desakan
mamanya untuk mendaftarkan dirinya ke sekolah anak-anak orang kaya itu, pasti
semua musibah ini tidak akan berlaku! Dia tidak mungkin akan jatuh cinta dengan
seorang jejaka bernama Malik! Dia tidak mungkin akan dihina sebagai balaci oleh
Marlina! Dan dia juga tidak perlu untuk bersua muka dengan Tuan Muda Danish!
“Kenapa tiba-tiba Natasha bangkitkan semula persoalan
ni?” soal Bakri lembut. Rasa bersalah ‘mengintai’ dirinya.
“Natasha dah mula rasa menyesal ikut kemahuan mama?” soal
Bakri sekali lagi setelah persoalannya sebelum ini tidak dijawab oleh anak
tunggalnya itu.
“Memang Natasha rasa menyesal. Kalaulah Natasha tak
bersekolah dekat sekolah tu… pasti…” Ayat Natasha tergantung. Dia mula
menyedari akan keterlanjurannya.
“Pasti apa Natasha?” soal Bakri, resah.
“Tak ada apa-apalah papa. Roti coklat tu ada lagi tak?”
Natasha memesongkan topik perbualan mereka.
“Natasha… jangan tipu papa. Papa tahu yang Natasha ada
selindungkan sesuatu.” Bakri memegang lembut bahu anaknya itu.
“Tak ada apa-apalah papa. Cuma dunia kita dengan dunia
orang-orang kaya tu, bagaikan langit dengan bumi. Natasha rasa lebih seronok
kalau dapat bersekolah di sekolah lama. Orang-orangnya tak adalah ‘plastik’
macam orang-orang kaya tu.”
Bakri menepuk-nepuk perlahan bahu anaknya itu. “Sabar ya
sayang. Tahun ni je Natasha perlu bertahan. Lepas habis SPM, Natasha tak payah
lagi jumpa budak-budak ‘plastik’ tu.”
Natasha tersenyum. Terasa geli pula hatinya saat papanya
menyebut ‘budak-budak plastik’.
“Ha! Macam nilah anak papa. Senyum. Tak adalah muncung je
mulut tu.” Bakri mencubit lembut pipi anak kesayangannya itu.
“Natasha tunggu sekejap ya. Papa pergi ambil roti coklat
kegemaran Natasha tu.” Bakri bangkit dari duduknya.
“Natasha! Natasha tengok ni!!!” Laju Sarlina mendapatkan
anaknya.
“Mama ni! Lain kali tak payahlah nak jerit-jerit.
Terkejut orang dibuatnya,” bebel Natasha.
“Sorrylah. Mama
tak sengaja. Mama tengah excited
sangat ni. Tengok ni Natasha.” Sarlina mengunjukkan senaskah surat khabar
tempatan kepada anaknya.
“Apa lagi ni mama. Gosip apa pulak hari ni.” Biarpun
malas hendak melayan kerenah mamanya itu, namun Natasha mengambil juga surat
khabar yang diunjukkan kepadanya.
“DATO SRI JASIR SAH MENIKAHI ELLY DI NEGARA SEBERANG.”
Lancar Natasha membaca tajuk utama di dada akhbar itu.
“Kan mama dah cakap yang gosip tu betul. Memang dasar
perempuan miang! Model tak sedar diri! Gedik!” cemuh Sarlina.
Bakri yang melihat tingkah isterinya itu, hanya
menggelengkan kepalanya sahaja. Malas dia hendak menegur sikap mulut murai
isterinya itu. Roti coklat kegemaran Natasha diletakkan di hadapan anaknya itu.
Mati terus selera Natasha saat melihatkan roti
kegemarannya itu. Bukannya dia tidak menginginkan makanan yang lazat itu. Cuma
buat masa sekarang otaknya ligat memikirkan pertemuannya dengan anak Dato Sri Jasir,
Danish sewaktu di sekolah tadi.
‘Patutlah aku tengok mukanya muram semacam je tadi,’ omel
hati Natasha.
“Natasha! Dengar tak apa yang mama cakapkan ni?” sergah
Sarlina saat melihatkan anaknya itu seolah-olah mengelamun.
“Dengar.” Sepatah jawapan Natasha.
“Mama nak tanya ni.”
“Tanya apa?” Natasha sudah berasa tidak sedap hati. Pasti
mamanya itu hendak melanjutkan perihal gosip yang telah dibacanya itu.
“Siapa nama anak Dato Sri Jasir tu?” Berhati-hati Sarlina
bertanya.
“Danish. Kenapa mama tanya?”
“Emm… dia masih bersekolah dekat situ ke?” Sikap menyibuk
Sarlinan kian terserlah.
“Yalah. Papa dengan mama diakan antara penyumbang dana
terbesar sekolah tu. Mestilah dia terus bersekolah dekat situ.”
“Ooo… kiranya, dia masih boleh terimalah ya tanggapan
masyarakat terhadap papa dia.” Mulut joyah Sarlina sudah kelihatan muncungnya.
Bakri mengeluh. Tidak berkenan sungguh dirinya dengan
sikap isterinya itu. Kalau dok menjaga tepi kain orang lain, isterinya itulah
juaranya.
“Apa maksud mama ni?”
“Yalah… papa dia tukan ke dah bernikah dengan model gedik
tu. Mestilah cikgu-cikgu dengan para pelajar sekolah tu seronok mengumpat dia.
Kalau mamalah jadi dia, dah lama dah mama blah dari sekolah tu,” sinis benar
umpatan Sarlina.
“Tak semua orang macam awak tu. Suka menyibuk hal orang
lain,” sela Bakri.
“Eh! Awak tu apa tahu? Awak tu cuma tahu buat roti dengan
kek je tau. Kalau tak disebabkan saya ni… tak dapatlah Natasha ni bersekolah
dekat sekolah anak-anak orang kaya tu.”
“Awak ingat Natasha ni nak ke bersekolah dekat situ?”
Bakri melawan kenyataan isterinya itu.
Natasha kian berasa rimas dengan pertelingkahan kedua
orang tuanya itu. Lantas…
“Dahlah tu. Mama, papa… cukuplah. Takkan disebabkan hal
rumah tangga orang lain, mama dengan papa nak bergaduh pula? Lagi satu. Mama…
tolong jangan asyik nak menyibuk je tentang gosip sana, gosip sini. Lagipun apa
yang ada dalam surat khabar ni… belum tentu lagi kebenarannya. Wartawan ni
kadang-kadang sanggup buat apa sahaja untuk lariskan jualan surat khabar dia
orang ni.” Habis menuturkan kata-kata, Natasha bangkit untuk berlalu.
“Eh! Natasha nak pergi mana tu? Mama belum habis cakap
lagi ni.”
“Natasha nak jaga kaunter. Nanti kalau ada curi makanan
susah pulak.” Natasha meneruskan langkahnya. Meninggalkan papa dan mamanya di dapur.
“Ni semua salah awak!” tutur Bakri dan mengekori langkah
anak tunggalnya itu.
Sarlina mencebik. Masih menganggap yang dirinya tidak
bersalah!