Home Novel Cinta Cinta Bun's Girl
BAB 12 - Kasih Sayang Seorang Ayah Terserlah

12

KASIH SAYANG SEORANG AYAH TERSERLAH

Sarlina mengerling suami di sisi, seolah-olah memberikan isyarat tertentu. Bakri mengerti apa mahu isterinya itu.

Bakri berdehem. Namun langsung tidak diendahkan oleh Natasha. Anak tunggalnya itu masih leka menguis nasi di dalam pinggan dan kepalanya juga masih tertunduk. Sekali lagi kehairanan menerpa di dalam diri pasangan suami isteri itu. Tingkah laku anak kesayangan mereka itu berbeda sekali pada malam ini.

“Natasha…” panggil Bakri perlahan.

Diam. Masih tiada respons apa daripada insan yang duduk bertentangan dengannya itu.

“Natasha!” Kali ini nada meninggi digunakan oleh Bakri.

Natasha bagaikan tersentak. Kepala yang tertunduk didongakkan. Matanya tepat memandang papanya itu.

“Ada apa pa?” soal Natasha kemudiannya.

“Ada apa Natasha kata… sepatutnya papa dengan mama yang tanyakan Natasha soalan tu. Natasha kenapa malam ni?”

“Tak… tak ada apa-apa. Natasha okey je…” Sedikit gugup Natasha menjawab.

“Kalau tak ada apa-apa takkanlah perangai Natasha lain macam benar malam ni. Tu, nasi tu langsung tak dimakan. Asyik dikuis-kuis je nasi tu. Dari tadi Natasha asyik diam je. Selalunya perangai Natasha tak adalah macam ni.” Kali ini bebelan pula yang menerjah cuping telinga Natasha. Bebelan yang datangnya daripada mamanya.

“Betul mama, papa. Natasha tak ada apa-apa. Mungkin Natasha penat sangat petang tadi. Tu yang tak ada selera makan tu,” tipu Natasha agar mama dan papanya tidak lagi menaruh syak wasangka ke atas dirinya.

Bakri dan Sarlina berpandangan sesama sendiri. Cuba mencapai kata setuju untuk mempercayai atau tidak kata-kata anak tunggal mereka itu.

Buat seketika suasana di meja makan itu menyepi. Natasha segera menyuap nasi yang sudah sejuk di dalam pinggannya. Bakri dan Sarlina pula sekadar memerhatikan sahaja tingkah insan di hadapan mereka itu.

“Tadi… Natasha balik dengan siapa?” Teringatkan perihal itu, Bakri bertanya.

“Ha’ah. Mama lupa nak tanya. Tadi, Natasha balik dengan siapa?” Belum pun sempat Natasha menjawab, Sarlina mengulangi persoalan suaminya itu.

Kunyahan makanan terhenti. Degupan jantung terasa di dada Natasha. Otaknya segera berputar untuk mencari jawapan yang sesuai terhadap persoalan papa dan mamanya itu.

“Tadi… Natasha balik dengan kawan.” Perlahan Natasha menjawab. Matanya masih memandang tepat ke pinggan. Tidak berani untuk bertentang mata dengan kedua insan di hadapannya itu.

“Kawan? Kawan yang mana satu? Lelaki ke perempuan?” soal Sarlina lagi. Masih belum berpuas hati dengan jawapan anaknya itu.

“Kawan satu sekolah,” gugup Natasha.

“Lelaki ke perempuan?” Kali ini Bakri pula yang menyoal. Hatinya menjadi tidak keruan dengan kegugupan Natasha. Naluri kebapaannya mengesyaki ada sesuatu yang cuba diselindungi oleh anak kesayangannya itu.

“Perempuan. Kawan satu kelas. Papa dengan mama janganlah risau. Natasha pandai jaga diri.” Kali ini Natasha mengangkat kepalanya dan senyuman dilemparkan kepada kedua orang tuanya itu agar perasaan syak wasangka yang sedari tadi menimbusi hati mereka hilang sepenuhnya.

Biarpun sisa ketidakpercayaan masih wujud di hati Bakri dan Sarlina buat anak kesayangan mereka itu, namun di dalam ketidakrelaan terpaksa jua mereka menelan jawapan yang telah menjamahi telinga mereka sebentar tadi.

 

Usai menikmati makan malam dengan kedua orang tuanya, Natasha terus menunaikan solat isyak agar tubuh yang kepenatan dan otak yang kelelahan dapat direhatkan. Namun sudah hampir satu jam dia berbaring di atas katil empuk miliknya, tetapi kantuk masih enggan menjemput lena.

“Kenapa dengan aku ni? Aduhai… tidurlah wahai mata. Tidurlah!” Natasha pantas bangkit dari pembaringan dan menyandarkan tubuh yang kelesuan di kepala katil.

“Takkanlah aku masih fikirkan kata-kata mamat tu lagi! Cukuplah! Aku takkan terima tawaran gila si Danish tu!” Natasha bermonolog sendirian untuk menegaskan keputusannya.

Tuk… Tuk… Tuk…

Ketukan di muka pintu memeranjatkan Natasaha. Dia mengurut dadanya perlahan sebelum bangkit menghampiri daun pintu bilik tidurnya.

“Papa… ingatkan mama tadi. Masuklah,” pelawa Natasha.

“Mama kamu dah tidur. Penat sangat katanya. Natasha kenapa tak tidur lagi?” soal Bakri sambil punggungnya dilabuhkan di penjuru katil. Natasha duduk di sisinya.

“Tak boleh nak tidur.”

“Aik… tak boleh nak tidur? Pelik… tadi papa tengok Natasha bukan main letih lagi.”

“Entah… lepas solat langsung tak boleh nak tidur.” Tanpa sedar Natasha mengeluh.

“Anak papa ni okey ke?” Bakri merenung lembut wajah Natasha. Dia mengusap perlahan rambut anak kesayangannya itu.

“Natasha okey. Kenapa pa?”

Bakri tidak terus menjawab. Senyuman penuh makna terukir di bibir tuanya.

“Kenapa papa senyum macam tu? Papa tak percayakan jawapan Natasha ya?” Memuncung bibir Natasha.

“Siapa kata papa tak percaya. Papa percaya… cuma…”

“Cuma apa?” Laju Natasha menyoal.

“Natasha… Natasha satu-satunya anak papa. Sikit pun perubahan yang berlaku di dalam diri Natasha, papa dapat kesan. Entahlah… bila papa lihat reaksi Natasha di meja makan tadi… papa dapat rasakan yang Natasha ada sembunyikan sesuatu daripada papa. Papa tahu yang Natasha dah besar dan mungkin ada perkara yang Natasha tidak mahu kongsikan dengan papa. Tapi sebagai seorang ayah, papa harapkan yang anak papa ni takkan sembunyikan apa-apa daripada papa. Papa sedia mendengar walau apa pun yang Natasha hendak luahkan.” Bakri menggenggam jari jemari anaknya itu.

Tersentuh hati Natasha dengan kata-kata papanya itu. Semerta genangan air mata menjelma di kelopak matanya.

“Natasha… kenapa ni? Kenapa Natasha menangis? Sekarang, papa nak Natasha berterus terang dengan papa apa yang berlaku.” Risau benar hati Bakri dengan perubahan emosi anaknya itu.

“Papa… sebenarnya… sebenarnya Natasha tengah bingung. Natasha tak tahu nak buat apa lagi.” Natasha menyeka air matanya.

“Kenapa ni sayang? Terus terang dengan papa, apa yang telah berlaku sebenarnya?”

“Dekat sekolah… ada seorang kawan Natasha ni, dia selalu buli Natasha. Suruh Natasha buat tu, buat ni… bila Natasha dah buat apa yang dia suruh, langsung dia tak ucapkan terima kasih. Boleh dikatakan hari-hari Natasha menangis disebabkan perangai dia tu.” Kata-kata Natasha terhenti. Dia mengeluh.

“Kiranya Natasha kena bulilah ni. Kenapa Natasha tak pernah beritahu papa dengan mama sebelum ni? Tak apa, esok juga papa pergi ke sekolah. Papa sendiri akan ajar budak tu!” marah Bakri.

“Tak pa… jangan buat macam tu. Bukan itu sebabnya Natasha jadi runsing.” Halang Natasha.

“Habis tu?” soal Bakri laju.

“Baru-baru ni Natasha ada mengenali seseorang dan hubungan kami agak rapat. Dia… tahu tentang si pembuli tu dan dia ada menghulurkan bantuan agar Natasha dapat melepaskan diri daripada budak tak guna tu.”

“Jadi apa masalahnya?” soal Bakri masih tidak mengerti akan isi hati anaknya itu.

“Papa… papakan kenal Natasha. Natasha tak suka bergantung pada orang lain. Lagipun Natasha baru je kenal budak tu.”

“Natasha… dengar sini apa yang papa nak cakapkan. Tempoh perkenalan tu memang penting. Tapi apa yang lebih penting adalah ni.” Bakri menekan dadanya.

“Nawaitu dia tu. Niat budak yang nak bantu Natasha tu yang harus Natasha kaji. Kalau betul budak tu nak tolong Natasha, kenapa harus dihalang? Lagipun, sampai bila Natasha nak kena buli! Siapa nama budak tak guna tu?!” Kemarahan menjelma semula di hati Bakri.

“Marlina…”

“Lah perempuan rupanya! Kurang ajar, tak sedar diri tu perempuan ada hati nak buli orang lain! Kalau papa jadi Natasha papa akan fikirkan kemungkinan untuk menerima pertolongan budak tu. Insya-ALLAH… kalau niat ‘penyelamat’ Natasha tu betul, Allah akan permudahkan segala-galanya.” Sekali lagi Bakri menggenggam jari jemari anaknya itu, kali ini genggamannya lebih erat.

Natasha memandang wajah papanya itu. Dia tahu mengapa papanya melahirkan pendapat sebegitu. Semuanya kerana papanya itu tidak mahu dirinya terus-terusan dibuli oleh Marlina. Tetapi seandainya papanya itu mengetahui perihal rasa cintanya terhadap Malik dan kebenaran bahawa ‘si penyelamatnya’ itu adalah seorang lelaki yang terlalu berkedudukan, mungkinkah perbezaan dalam melahirkan pendapat akan meniti di bibir insan yang sedang membalas pandangannya itu?

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.