Home Novel Cinta Cinta Bun's Girl
BAB 9 - Danish Dan Nekadnya!

9

DANISH DAN NEKADNYA!

Hampir setengah jam Bakri berbual di talian. Sarlina yang berada di sisi sudah menjeling tajam suaminya itu. Natasha pula hanya duduk di kaunter pembayaran sambil memasang telinga untuk mendengar perbualan papanya itu.

“Emm… kalau dah macam tu keputusan Sri, saya dengan Kak Sarlina dah tak boleh buat apa-apalah. Pasal pembayaran gaji tu nanti, saya akan bincangkan dengan Kak Sarlina. Assalamualaikum,” bicara yang agak panjang itu menjadi penamat di antara perbualan Bakri dan pembantu kedainya, Sri.

“Bila budak tu nak balik kerja?!” soal Sarlina, sedikit kasar.

Bakri terdiam. Pandangannya jatuh ke lantai.

“Abang ni dah kenapa? Saya tanya tak jawab! Bila budak Sri tu nak balik bekerja abang oi?”

“Dia takkan balik bekerja lagi.” Perlahan suara Bakri.

“Apa?!!!” terjerit Sarlina. Terkejut dia dengan berita yang disampaikan oleh suaminya itu.

“Tapi kenapa?” Kali ini bukan Sarlina yang bertanya, tetapi Natasha.

“Dia kena jaga nenek dia. Tak ada sesiapa yang nak tolong tengok-tengokkan nenek dia dekat kampung tu.” Bakri memberikan penjelasan.

“Nenek dia sakit apa papa?” soal Natasha. Masih belum berpuas hati.

“Entahlah. Sakit tua katanya.” Seraya menuturkan kata-kata itu, Bakri mengeluh. Pening kepalanya untuk memikirkan cara bagi menyelesaikan masalah Sri itu.

“Tak payahlah abang nak mengeluh! Ni semua salah abang. Kalau dari dulu lagi abang dengar cakap saya supaya buang Sri tu dan ambil orang lain bekerja, takkan jadi macam ni. Lagipun saya yakinlah bang yang nenek dia tu tak sakit! Itu semuanya alasan dia!” kemarahan Sarlina kian membuak.

“Jadi sekarang ni awak nak salahkan sayalah? Sekarang ni saya nak tanya awak satu soalan. Siapa yang dulu beria-ia sangat nak ambil Sri tu bekerja? Siapa?”

Sarlina mendengus. Persoalan suaminya itu tidak dijawabnya.

“Kenapa awak tak jawab? Bukan ke dulu awak yang beria-ia suruh ambil Sri tu bekerja dengan kita, padahal saya dah larang dah. Saya dah kata, jangan ambil orang luar bekerja dengan kita. Ambil orang tempatan. Tapi awak tak dengar. Awak kata yang penting kita boleh jimatkan kos dengan membayar gaji si Sri tu lebih murah. Tapi tengoklah sekarang… dia kata dia nak balik Indonesia jaga nenek dia sebab tu dia terpaksa berhenti kerja. Siap minta kita bayar gaji dia yang tertunggak tu lagi,” bebelan Bakri sudah menjela.

“Apa? Bila masa pulak kita ada berhutang gaji dengan dia?!”

“Kan awal bulan hari tu dia ada kerja seminggu… dia nak mintalah gaji untuk tempoh dia bekerja tu.”

“Eeiii!!! Sakitnya hati saya. Dahlah menipu! Mula-mula dia kata dengan kita dia nak minta cuti sebab dia tak sihat. Sakit! Sekarang ni dia kata dia nak jaga nenek dia di Indonesia tu pulak sebab tu dia terpaksa berhenti! Dahlah tu, siap minta kita bayar gaji dia lagi. Melampau betullah si Sri tu!!!” Sarlina menjerit lagi. Mukanya sudah merah padam menahan amarah.

Mujur jua tiada pelanggan yang datang ke Bun’s Girl Bakery House pada waktu itu. Andai tidak haru jadinya.

“Dahlah tu mama, papa. Benda dah jadi. Kalau kita marah-marah pun tak guna. Lebih baik kita selesaikan je dengan cara baik. Kita bayar jelah gaji Kak Sri untuk seminggu tu. Hal nenek dia di Indonesia tu, kita berserah jelah pada Allah. Kalau dia menipu, dia pasti akan mendapat balasannya.” Lembut Natasha menasihati mama dan papanya itu.

Bakri menganggukkan kepalanya. Tanda sependapat dengan anak tunggalnya itu. Namun lain pula penerimaan Sarlina.

“Ah! Mama takkan bagi sesen pun dekat dia!” bentak Sarlina dan terus berlalu ke dapur. Serentak, Bakri dan Natasha menggelengkan kepala.

 

Malam sudah membenamkan gemilang mentari. Damainya malam menggerakkan hati Danish untuk bertemu dengan Rashid di Restoran Pak Wan yang berlokasi di Petaling Jaya. Restoran ini sememangnya menjadi lokasi kegemaran buat dua sahabat ini untuk menikmati makan malam.

Tiga puluh cucuk sate daging terhidang di atas meja bersama dua cawan teh tarik. Berselera sungguh kedua sahabat itu menjamah apa yang berada di hadapan mereka.

“Dah lama siot kita tak lepak dekat sini,” tutur Rashid.

“Ha’ahkan… kalau tak dulu, boleh dikatakan setiap malam kita lepak sini.” Danish terus mengunyah sate daging yang berada di dalam mulutnya.

“Tulah kau. Aku ajak semendang kau tolak. Macam-macam alasan kau bagi.”

Kunyahan makanan terhenti. Teh tarik diteguk perlahan. Rashid yang menyedari perubahan riak wajah Danish, terus diterpa rasa bersalah.

Sorrylah beb. Aku…” Ayat Rashid tiada penyudahnya.

“Kau tak salah. Cuma aku je yang tak reti nak handle masalah aku ni…”

“Masalah kau dengan mama tiri kau tu dah settle?” Berhati-hati Rashid bertanya.

Settle apa… makin teruk lagi adalah.” Danish mengeluh. Selera makannya hilang tiba-tiba saat imbauan kepahitan itu muncul semula.

Imbauan yang menjadi bukti betapa papanya itu sudah berubah laku. Andai dahulu Danish dan mamanya menjadi keutamaan papanya itu tetapi kini hanya perempuan jahanam itu sahaja yang bertakhta di hatinya. Danish menyentuh pipinya dan semerta kesakitan akibat ditampar papanya tempoh hari ‘terasa’ semula.

“Kau okey ke Danish?” Risau Rashid dengan tingkah sahabatnya itu.

Danish menganggukkan kepala sambil bibirnya melahirkan sepatah kata. “Okey.”

Kebisuan menyelubungi sebentar suasana. Danish mengambil secucuk lagi sate dan dikunyahnya perlahan. Rashid turut melakukan perkara yang sama sambil otaknya ligat memikirkan cara untuk melanjutkan perbualan antara mereka.

“Emm… Danish. Aku nak tanya sikit boleh?”

“Boleh. Tapi, buat sementara waktu ni aku tak nak bincang mengenai mama tiri aku. Kau boleh tanya apa sahaja asalkan tak berkaitan dengan perempuan jahanam tu,” amaran, Danish suakan terlebih dahulu. Agar Rashid mengerti yang dia tidak mahu melanjutkan perbualan yang berkisarkan seorang wanita yang bernama Elly!

“Aku faham. Tapi soalan aku ni tak ada kena mengena dengan mama tiri kau. Aku cuma pelik je dengan sikap kau sejak kebelakangan ni. Yalah… dulu kita balik sekolah sama-sama. Tapi sekarang… kau suruh aku balik dulu. Kau pergi mana sebenarnya?”

“Kenapa kau nak tahu?” duga Danish.

“Yalah. Kaukan ke kawan baik aku. Salah ke kalau aku nak ambil berat tentang kau.”

Danish menyandarkan tubuhnya di kerusi kayu itu. Senyuman sudah terukir di bibirnya bersama ingatan yang sudah terbang mengingati seraut wajah yang polos. Ya! Gadis itu sungguh polos dan kerana kepolosan gadis itulah dia berasa senang untuk terus berdampingan dan meluahkan rasa dengan si polos itu.

“Kau ni kenapa Danish? Seriau aku. Sekejap muka kau masam, sekejap marah. Tup… tup… boleh pulak kau senyum macam kerang busuk. Kau ‘demam’ ke apa?”

Danish tertawa kecil. Gurauan sahabatnya itu sedikitpun tidak mencalarkan hatinya.

“Rashid… kau kenal tak dengan seorang budak ni, nama dia Natasha?” Persoalan terlahir setelah tawa kecil terhenti.

“Natasha… budak mana tu?” soal Rashid kemudiannya.

“Budak sekolah kitalah. Takkan kau tak kenal kot.”

“Kau ingat aku boleh kenal ke semua pelajar dekat sekolah kita tu?... apalah kau ni,” rungut Rashid.

“Aku tanya je, kalau kau kenal.” Bersahaja Danish menjawab.

“Dia budak kelas mana?” Masih belum puas Rashid bertanya untuk mengumpul maklumat seandainya dia mengenali dengan insan yang bernama Natasha itu.

“Entah. Aku sendiri pun tak tahu. Tapi… dia anak pemilik kedai Bun’s Girl Bakery House.”

“Anak pemilik kedai yang ada jual roti istimewa tu? Yang aku recommend dekat kau hari tu? Amacam? Sedap tak roti coklat tu?”

“Sedap giler. Tapi sekarang ni aku tanya kau, kau kenal tak dengan si Natasha tu?”

Rashid menepuk kuat permukaan meja kayu. Terkejut Danish dengan reaksi spontan sahabatnya itu.

“Apa pulak tak kenal. Aku kenal sangat dengan budak si Natasha tu. Budak tu agak terkenal juga di sekolah kita.”

“Betul ke, kau kenal dia? Jadi kiranya dia pun kenal jugalah dengan kau?”

“Tak… tak… maksud aku. Aku kenal dengan si Natasha tu. Tapi aku tak rasa yang dia kenal aku.”

“Aku tak faham.” Laju Danish menggelengkan kepalanya.

“Okey. Biar aku terangkan dekat kau. Si Natasha tu agak terkenal sebab dia ni antara pelajar yang cemerlang di sekolah kita. Cuma… budak ni lain macam sikit.”

“Maksud kau?” soal Danish kian berminat.

“Yalah. Dari apa yang aku tahu, dia ni tak suka bergaul dengan orang lain. Dia suka menyendiri.”

“Emm… aku faham kenapa dia lebih suka menyendiri dari bergaul dengan budak-budak yang berlagak bagus dekat sekolah kita tu. Mungkin status sosial dia yang berbeza menjadi punca kenapa perkara tu berlaku. Selain daripada tu apa lagi yang kau tahu tentang budak tu?” Danish masih belum puas untuk mengenali si polos.

“Entahlah. Aku rasa… tu jelah yang aku tahu… Eh…. nanti dulu. Baru aku ingat…”

“Ingat apa?” soal Danish laju.

“Kalau kau nak tahu, budak Natasha ni ada menyimpan perasaan terhadap seorang budak lelaki ni. Tak silap aku, Malik namanya. Budak lelaki tu satu kelas dengan dia. Tapi sayangnya mamat tu dah menjalinkan hubungan cinta dengan Marlina. Tapi kalau aku jadi Malik of courselah aku akan pilih Marlina. Gadis yang cantik dan bergaya.” Rashid tertawa. Geli hatinya memikirkan perbandingan rupa paras dan gaya dua orang gadis yang mempunyai status yang berbeza. Ternyata status diri seseorang itu memang mempunyai pengaruh yang besar.

Terpempan Danish. Tidak disangkanya itulah kenyataan yang mengaitkan Natasha dengan si pembulinya, Marlina. Baru kini Danish mengerti akan kaitan antara dua orang gadis itu, di mana di tengah-tengah mereka berdirinya seorang lelaki bernama Malik.

Otak Danish ligat berputar untuk mengetahui kesahihan cerita yang dibawa oleh Rashid sebentar tadi dan semerta nekad di hati dibulatkannya. ‘Aku mesti siasat tentang Malik dan Marlina! Hanya itu sahaja caranya untuk aku mengetahui kebenaran mengenai isi hati Natasha!’

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.