4
PERTEMUAN YANG TIDAK DISANGKA
Kelas tingkatan
5 Cempaka hampir kosong. Hanya tinggal beberapa orang pelajar sahaja lagi yang
sedang sibuk mengemas beg dan meja mereka.
Malik berjalan beriringan dengan Marlina. Mereka
menghampiri meja Natasha. Natasha menyedari akan kehadiran pasangan kekasih
itu. Biarpun riak cemburu sudah terlihat di wajahnya, namun segaris senyuman
kepura-puraan diukirkan jua.
“Natasha, mana buku tu?” soal Malik. Suaranya lembut.
Natasha memahami akan maksud putera idamannya itu. Lantas
dua buah buku yang tidak tercatit namanya diserahkan kepada lelaki yang sedang
dikepit lengannya oleh wanita yang sengaja mengukirkan senyuman mengada-ngada.
Malik menyerahkan sebuah buku kepada Marlina dan sebuah
buku lagi disemaknya dengan penuh teliti. Setelah berpuas hati, dia tersenyum.
Gembira benar hatinya setelah segala arahannya dituruti oleh Natasha.
“Bila you siapkan semua kerja sekolah ni?” soal Malik.
Suaranya kian lembut.
Marlina yang tidak menyenangi akan intonasi yang
digunakan oleh Malik, mencubit manja lengan kekasih hatinya itu. Sempat pula
dia menjeling tajam ke arah Natasha.
Biarpun Natasha menyedari akan perlakuan Marlina itu, dia
hanya mendiamkan diri. Malas dia hendak berbalah dengan wanita yang tidak
berotak seperti Marlina itu.
“Malam tadi I siapkan,” jawab Natasha.
“Thanks sebab
siapkan semua kerja sekolah I dan Marlina. Nanti ada masa I belanja you makan,”
ramah Malik.
“Buat apa nak belanja perempuan ni makan. Dia nikan ke
balaci you. Jadi dia mesti sanggup lakukan apa sahaja untuk you. Betul tak
Natasha?” sinis benar suara Marlina saat persoalan terakhir diutarakan.
Mahu sahaja rasanya Natasha menjerit dan menarik rambut
kerinting milik Marlina. Namun disebabkan dirinya masih mempunyai kewarasan
yang dibentengkan dengan kesabaran, maka dia mengabaikan sahaja kata-kata
perempuan yang dianggapnya gila itu.
Malik menjadi serba salah. Seharusnya dia mempertahankan
Natasha. Tetapi seandainya dia melakukan itu, pasti hubungan cintanya dengan
Marlina tercalar.
“Emm… Natasha, I balik dululah. Anyway thanks.”
Habis menuturkan kata-kata itu, Malik menarik lembut jari
jemari Marlina dan berlalu pergi. Sempat lagi Marlina menjeling sinis ke arah
Natasha yang sudah tertunduk wajahnya tika itu.
Melihatkan kelibat pasangan kekasih itu sudah menghilang.
Gugur lagi air mata Natasha dan perlahan mulutnya melahirkan kata-kata. “Aku
bukan balaci!”
Natasha membaca sekali lagi mesej yang dihantar oleh
mamanya sebentar tadi.
Hari ni mama lambat
sikit jemput Natasha. Mama ada hal sikit.
Natasha mengeluh dan menebarkan pandangannya ke hadapan.
Dari tingkat 3 ini dia dapat melihat dengan jelas pemadangan yang sungguh
mendamaikan. Pokok-pokok yang menghijau masih setia mendamaikan hatinya
yang kian keresahan.
‘Buat apa nak belanja perempuan ni makan. Dia nikan ke
balaci you. Jadi dia mesti sanggup lakukan apa sahaja untuk you. Betul tak
Natasha?’ Masih tengiang-ngiang di telinga Natasha akan kata-kata penghinaan
daripada Marlina sebentar tadi.
Tanpa sedar Natasha menjerit “Aku bukan balaci!!! Aku
bukan balaci!!! Tak guna!!!”
Jeritan Natasha menggemakan bangunan yang sudah lama
dibiarkan kosong di dalam Sekolah Menengah Kenanga Indah itu dan tanpa disedarinya
ada sepasang mata yang sedari tadi memerhatikan tingkahnya itu.
Tubuh tinggi lampai itu kian menghampiri Natasha. Kini
diriannya betul-betul di belakang gadis yang masih belum puas melontarkan
kata-kata amarah ke atas insan yang bernama Marlina.
“Tak guna kau Marlina! Kalau aku ada kuasa ajaib dah lama
aku ghaibkan kau!!! Lagi sekali kau panggil aku balaci, siaplah kau!!!”
Berombak dada Natasha menghamburkan kemarahannya.
“Dah puas menjerit dah?”
Natasha tersentak dan semerta dia menoleh ke belakang
untuk melihat milik siapakah suara yang memeranjatkannya itu.
Membulat terus mata Natasha dan hatinya pula terus
menghadirkan persoalan. ‘Bila pulak mamat ni ada dekat belakang aku?’
“Kenapa? Terkejut?” soal lelaki itu lagi.
Dia tersenyum. Senyumannya begitu manis dan menggoda,
namun entah mengapa senyuman itu kian meresahkan jiwa Natasha.
“Siapa Marlina?” soal lelaki itu kemudiannya setelah
melihatkan kebisuan Natasha.
Natasha menjadi serba salah. Hendak menjawab atau tidak
persoalan lelaki itu.
“Tak nak jawab tak apa. Itu hak awak, tapi lain kali
janganlah menjerit. Jeritan awak tu mengganggu orang lain.” Bersahaja lelaki
itu berkata-kata.
“Ada orang lain ke dekat bangunan lama ni?” soal Natasha,
polos.
“Habis tu saya ni bukan orang ke?”
“Tak… maksud saya… saya tak sangka yang awak ada dekat
sini. Selalunya saya seorang je yang datang ke tempat ni.” Sedikit tergagap
Natasha menjawab.
Lelaki itu beralih kedudukan. Kini dia berdiri
bersebelahan dengan Natasha dan pandangannya juga sudah dihalakan ke hadapan.
“Selalu ke awak datang ke sini?” soal lelaki itu untuk
memecahkan kesunyian. Entah mengapa dia senang untuk berbicara dengan gadis
polos seperti Natasha.
“Selalu juga. Kalau mama lambat jemput saya… saya suka
datang ke sini.” Biarpun Natasha berasa tidak begitu selesa dengan kehadiran
lelaki itu, namun dia tetap juga menjawab persoalan lelaki itu.
Dia tahu akan pengaruh lelaki itu di sekolah ini. Siapa
tidak kenal dengan lelaki kacak di sebelahnya ini. Namanya sahaja sudah
menggambarkan akan ‘kuasa’ yang ada padanya, apatah lagi orang tua lelaki itu
merupakan orang yang menyumbang dana paling besar di sekolah ini saban tahun.
“Tempat ni tenang, kan?”
“Emm… tenang. Sebab tu saya suka datang sini,” jawab
Natasha.
Lelaki itu menarik nafasnya dalam dan dihembuskannya
perlahan. Dari raut wajah insan di sebelahnya itu, Natasha tahu yang lelaki itu
juga sedang memikul beban seperti dirinya atau mungkin bebannya lebih berat.
“Awak marah bila budak perempuan tu panggil awak balaci?”
Natasha tersentak sekali lagi. Tidak disangkanya yang
lelaki itu masih mahu mempersoalkan perkara tersebut.
“Kalau saya jadi awak. Saya tumbuk muka perempuan tu.
Biar padan muka dia. Siapa nama perempuan yang panggil awak balaci tu?”
“Marlina.” Sepatah jawapan Natasha.
“Emm… Marlina. Saya akan ingat nama tu.”
“Kenapa awak nak ingat?” soal Natasha kehairanan.
“Sebab saya nak cari siapakah gerangan perempuan jahat
yang panggil awak balaci tu dan saya pun nak tahu apa yang hebat sangat tentang
perempuan tu sampai awak takut nak tumbuk muka dia.” Selamba lelaki itu
menjawab.
“Saya tak takut. Cuma…” Natasha sudah menundukkan
wajahnya.
“Cuma apa?” Saat ini lelaki itu sudah memandang tepat ke
arah Natasha. Dia menyedari akan perubahan di wajah Natasha. Ternyata kesedihan
sedang kuat menakluki jiwa gadis itu.
“Kenapa mesti nak tundukkan wajah? Kalau awak berada di
pihak yang benar dan tidak mahu terus dibuli, awak harus bangkit dan bukannya
terus-terusan menundukkan kepala awak tu.” Ikhlas lelaki itu menasihati.
Entah mengapa saat terdengarkan kata-kata nasihat itu,
semacam ada satu perasaan yang menjalari jiwanya. Natasha terus mengangkat
wajahnya dan kini mata mereka bertembung buat seketika. Biarpun bibir lelaki
itu tidak lagi melahirkan kata-kata, namun pandangannya sudah cukup untuk
memberitahu Natasha akan makna ‘ketabahan’.
“Dalam dunia ni ada macam-macam jenis manusia. Ada yang
suka membantu. Ada pula yang suka dibantu. Ada yang suka mengukirkan senyuman
dan ada pula yang suka melahirkan kekejaman. Awak faham apa yang hendak saya
sampaikan?” soal lelaki itu saat dia mengalihkan semula pandangannya ke
hadapan.
“Tak.” Satu patah kata sudah menggambarkan betapa
polosnya diri Natasha.
Sekali lagi lelaki itu tersenyum. Dia menjadi semakin
senang berbicara dengan gadis seperti Natasha. Baginya Natasha begitu suci
pemikirannya sehingga sukar untuk memikirkan yang bukan-bukan tentang insan
lainnya.
“Macam nilah. Kalau awak nak tahu apa yang saya cuba
maksudkan, esok kita jumpa dekat tempat ni lagi. Boleh?”
“Tak.” Sepatah kata yang sama menjadi jawapan Natasha
seperti sebelumnya.
“Kenapa pulak?” soal lelaki itu hairan. Baginya penolakan
gadis itu begitu mencalarkan egonya. Inilah kali pertama ajakannya ditolak mentah-mentah
oleh seorang perempuan. Selama ini begitu ramai perempuan ‘plastik’ yang hendak
mendekati dirinya. Tetapi semuanya ditolak dan kini, saat ini… dirinya pula
yang harus berdepan dengan penolakan!
“Emm… esokkan hari Sabtu. Cuti…”
“Ooo… saya lupa.” Lelaki itu tersenyum lagi dan terasa
lapang semula dadanya. Kini dia berasa senang kerana ‘penolakan’ masih belum
‘memanahi’ dirinya.
“Kalau macam tu… hari Isnin lepas sekolah kita jumpa.
Okey?” ajakan disuakan sekali lagi.
Baru sahaja Natasha hendak menjawab, handphonenya berdering. Segera dia menjawab panggilan daripada
mamanya itu. Seminit berbual, Natasha menamatkan perbualan itu.
“Mama saya dah sampai. Saya kena balik sekarang.” Natasha
segera mengambil beg galasnya.
“So… macam mana
dengan Isnin ni? Lepas tamat waktu sekolah, saya tunggu awak dekat sini.”
Natasha tidak terus menjawab. Otaknya masih berkira-kira
untuk menolak atau menerima.
“Tak kira awak datang atau tak, saya tetap tunggu awak
dekat sini Isnin depan.” Putus lelaki itu.
Natasha mengeluh. ‘Anak orang kaya ni memang degil! Nak
ikut kepala dia je!’ cemuh Natasha di dalam hati.
“Kalau macam tu, saya balik dulu.” Habis menuturkan
kata-kata, Natasha memulakan langkahnya. Namun baru 3 langkah diatur…
“Nanti dulu… siapa nama awak?” soal lelaki itu.
“Natasha,” jawab Natasha.
“Saya Danish,” riang lelaki itu menyebut namanya.
‘Tahulah! Siapa tak kenal dengan anak orang kaya macam
kau ni!’ rungut Natasha. Namun rungutan itu hanya bergema laju di hatinya
selaju aturan langkahnya untuk mendapatkan mamanya.