Home Novel Cinta Cinta Bun's Girl
BAB 8 - Bangunan Lama, Tempat Luahan Rasa

8

BANGUNAN LAMA, TEMPAT LUAHAN RASA

Perlahan sahaja langkah Natasha. Hatinya berbelah bahagi. Separuh kata hati menghalangnya mendekati bangunan lama itu dan sebahagian lagi beria-ia mendesak Natasha untuk bertemu dengan si dia.

“Ah! Apa kena aku ni? Kenapalah aku ni bodoh sangat datang ke sini!” kemarahan, Natasha luahkan dalam nada perlahan. Khuatir lelaki yang sedang berdiri membelakangkan dirinya itu menyedari akan kehadirannya.

Natasha berpaling semula. Niat sudah dibulatkan! Dia mahu bergegas pergi dari bangunan lama yang sudah lama ‘diabaikan’ akan kewujudannya oleh para penghuni Sekolah Menengah Kenanga Indah. Namun baru langkah sulung hendak diatur…

“Eh! Nak pergi mana tu?” Cepat Danish mendapatkan Natasha.

“Saya… saya nak…” Kata-kata Natasha tersangkut.

“Baru je sampai. Takkan nak terus balik. Dah lama dah saya tunggu awak dekat sini.” Jujur Danish. Entah mengapa saat berdekatan dengan gadis polos ini hati Danish menjadi tenang.

Kebisuan menyebabkan Danish melahirkan rayuannya. “Saya rasa tertekan. Saya perlukan seseorang untuk mendengar luahan hati saya. Boleh awak jadi pendengar tu?”

Kesayuan yang terukir di wajah kacak milik Danish mencairkan hati Natasha. “Tapi… saya bukannya pendengar yang baik. Lagipun kita tak kenal rapat antara satu sama lain. Macam mana kalau saya hebohkan apa yang awak luahkan dekat saya? Awak tak takut?” uji Natasha.

“Tak. Walaupun kita tak kenal rapat. Tapi saya dapat rasakan keserasian antara kita. Mungkin kita bukannya sahabat tapi sekurang-kurangnya kita berusaha untuk menjadi teman yang saling menyokong.”

“Maksud awak?” soal Natasha, polos.

“Yalah, saya ada masalah saya sendiri. Begitu juga dengan awak. Masalah awak dengan minah yang panggil awak balaci tu dah selesai?”

“Jangan sebut pasal minah senget tu lagi!” Tanpa sedar Natasha meninggikan suaranya dan semerta imbauan kejadian pagi tadi berulang semula.

Kejadian yang benar-benar meragut kesabaran Natasha. Marlina yang sememangnya terkenal dengan sikap angkuh dan bongkak terus sahaja mencampakkan buku sekolahnya di hadapan muka Natasha saat dia meminta gadis itu menyiapkan kerja sekolahnya. Malik yang turut berada di situ hanya membisukan mulutnya. Satu patah kata berbentuk teguran langsung tidak ditujukan kepada kekasih hatinya itu.

“Awak okey ke?” soal Danish saat dilihatnya wajah Natasha berubah menjadi sedikit bengis. Petanda yang gadis itu sedang menahan amarah.

“Okey.” Sepatah jawapan Natasha sambil melangkah menghampiri ‘portnya’. Tapi sayangnya ‘portnya’ itu sudah ‘ditakluki’ oleh lelaki yang turut berdiri di sebelahnya.

Kedua mereka menebarkan pandangan ke hadapan. Melihat keindahan alam dari bangunan yang sudah lama sepi dari keriuhan manusia.

“Tenang, kan dekat sini.” Danish memulakan sekali lagi perbualan.

“Dulu lagi tenang.” Selamba Natasha menjawab. Tidak dihiraunya andai lelaki di sebelahnya itu terasa.

“Saya faham maksud awak. Tapi saya tak kisah kalau awak anggap saya ni penyibuk atau pengganggu… sebab saya sukakan tempat ni. Tampat ni dapat menghilangkan resah dan kegusaran di hati saya.”

“Baguslah. Tapi saya tak rasa yang saya perlu datang ke sini untuk menemankan awak setiap hari dan mendengar bebelan awak tu.” Ternyata emosi Natasha belum pulih sepenuhnya selepas imbauan kejadian yang melibatkan dirinya dengan Marlina itu kembali lagi sebentar tadi.

Ah! Kalaulah dia mempunyai kuasa luar biasa, sudah lama ‘dilenyapkan’ minah senget itu dari muka dunia ini!

“Habis tu kenapa awak datang juga?” duga Danish.

“Sebab mama saya tak dapat ambil saya.” Tegas Natasha. Dia tidak mahu lelaki di sebelahnya itu tersalah tafsir akan kehadirannya.

“Ooo… saya ingatkan awak datang sini sebab nak berjumpa dengan saya. Habis tu… macam mana awak nak balik nanti?”

“Tak… maksud saya, mama saya tak dapat ambil saya tepat pada waktunya. Dia terlambat sikit. Ada hal katanya.” Habis memberikan penjelasan Natasha terdiam semula.

Diam Natasha bukan sia-sia. Diamnya disulamkan dengan usaha. Usaha untuk membetulkan semula emosinya yang sudah ‘rapuh’ dimamah si minah sengat, Marlina!

Danish seolah-olah mengerti apa yang diperlukan oleh Natasaha. Ya! Dia tahu gadis itu memerlukan ruang. Maka diberikan ruang kepada gadis itu untuk bersendiri. Dia melangkah dan menjauhi gadis itu.

“Awak pernah dikecewakan?” Natasha sendiri tidak sedar entah bila mulutnya itu gatal mempersoalkan perkara itu kepada Danish saat dilihatnya lelaki itu hendak berlalu dari sisinya.

Perlukah dia mempersoalkan itu kepada lelaki yang tidak pernah dikenali akan hati budinya itu? Ah! Mulut! Mengapa perlu engkau melahirkan persoalan itu?

Danish kembali berdiri di sisi Natasha. Dia tersenyum dan hatinya berbunga semula saat dia merasakan yang dirinya diperlukan oleh gadis yang masih membuang pandangannya ke hadapan itu.

“Pernah.” Sepatah jawapan Danish.

“Mesti sakitkan? Maksud saya… apabila kita dikecewakan oleh seseorang yang amat kita sayangi dan kasihi… mesti kesakitan di hati ini tak tertanggung rasanya…”

“Kalau kita nak bahaskan erti kekecewaan… memang takkan ada kesudahannya. Tapi, kita tak boleh biarkan kekecewaan itu menguasai jiwa kita. Kalau tak, tidak mungkin kita dapat berdiri dan menongkah kesulitan yang bakal kita hadapi selepas kekecewaan menjadi dendam.”

Natasha menoleh ke sisi. Wajah lelaki itu berubah menjadi tegang.

‘Berat benarkah kekecewaan yang harus dipikulnya sehingga begitu sekali riak wajahnya?’ Persoalan bergema di hati Natasha.

“Natasha… saya tak tahu apa kaitan kekecewaan awak dengan minah yang bernama Marlina tu. Tapi percayalah dalam dunia ni, ada insan yang lebih malang daripada awak. Awak akan rasa bertuah bila awak sedar yang diri awak hanya dikecewakan oleh ‘orang luar’ dan bukannya insan yang sepatutnya melindungi serta menyayangi awak. Awak akan rasa lebih bertuah bila mendapat tahu kesakitan yang awak rasai akibat dikecewakan oleh insan yang bernama Marlina itu tidak seberapa dengan kekecewaan yang dirasai insan lain akibat ‘ditikam’ oleh ahli keluarganya sendiri!”

‘Benarlah… dirinya sedang menderita.’ Yakin hati Natasha.

Otak Natasha ligat berfikir. Cuba mencari jalan penyelesaian agar kesedihan tidak terus ‘menghantui’ mereka berdua dan akhirnya saat ‘mentol’ di kepalanya sudah menyala, petanda ideanya sudah tiba. Dia tersenyum.

Natasha mengambil beg galasnya. Dia membuka laju zip beg sekolahnya itu. Danish yang menyedari akan tingkah gadis itu mengerutkan dahinya. Sesaat kemudian sebuah plastik yang mempunyai logo Bun’s Girl Bakery House diambil keluar.

“Nah! Makanlah.” Natasha menghulurkan seketul roti coklat kegemarannya.

Danish sudah tersenyum lebar dan tangannya laju mengambil apa yang dihulurkan kepadanya itu.

“Terima kasih,” tutur Danish.

“Sama-sama. Makanlah. Roti coklat istimewa ciptaan papa saya ni dapat menghilangkan kesedihan serta kekecewaan di hati tau.” Bangga Natasha.

“Ooo… kiranya roti ni hasil tangan papa awaklah ya? Saya ingatkan mama awak yang hasilkan resepi istimewa roti ni.” Sambil mengunyah, sambil menuturkan bicara. Terdengar ‘tempang’ bicara Danish.

“Taklah. Mama saya tak berapa reti sangat bab-bab memasak ni. Mama saya dia lebih kepada menguruskan kedai dan bukannya menyediakan resepi roti ataupun kek.” Penerangan ringkas Natasha berikan.

“Memang sedap sangat roti ni. Saya ingat lagi saat pertama kali saya datang ke kedai awak. Masa tu saya langsung tak sangka yang awak ni pelajar sekolah ni. Kalaulah saya tahu awak ni anak tauke kedai tu dah lama saya kirim roti istimewa ni hari-hari pada awak.”

Natasha tersenyum lebar. Bangga hatinya mendapat pujian di atas hasil air tangan papanya itu.

“Kelazatan roti ni memang melupakan saya sebentar pada penderitaan yang saya rasai,” kunyahan makanan terhenti dan raut wajah kesuraman muncul semula di wajah Danish.

“Saya… tak tahu secara mendalam tentang masalah yang awak rasai. Tapi yang macam awak nasihatkan saya tadi. Kita tak boleh biarkan kekecewaan terus menguasai jiwa kita sebab andai kita biarkan ianya berlaku pasti sukar untuk kita menongkah kesulitan yang bakal kita hadapi apabila kekecewaan bertukar menjadi dendam.” Natasha mengulangi kata-kata nasihat yang ‘dihadiahkan’ oleh Danish kepadanya.

Danish menganggukkan kepalanya. Dia tersenyum semula dan dengan laju menguyah semula roti yang masih tertinggal suku di tangannya itu.

“Sedap sangat roti ni.” Entah untuk kali keberapa Danish memuji.

“Baguslah kalau awak rasa sedap. Saya nak awak ingat kelazatan roti ni sampai bila-bila terutama sekali setiap kali awak rasa sedih mahupun kecewa,” tersenyum Natasha.

“Betul tu. Saya akan ingat kelazatan roti ni sampai bila-bila dan mulai esok awak kena bawa roti ni setiap hari ke sini. Okey?” Senyuman juga terukir di wajah Danish.

‘Esok aku kena datang sini lagi ke?’ Bergema soalan itu di hati Natasha. Tetapi yang peliknya tiada pula perbalahan di hatinya seperti saat awal dia hendak melangkah ke bangunan lama ini tadi. Ternyata saat ini kedua-dua belah hatinya bersetuju dan menyokong akan kehadirannya untuk hadir semula ke tempat yang mendamaikan ini esok dan mungkin jua hari-hari seterusnya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.