Tiada siapa menyangka di sebalik kelincahan dan keceriaan sikapnya, rupa-rupanya Ainul Tihani pernah melalui tragedi pahit di masa lalu. Namun, memori memilukan itu telah terpadam dari kotak ingatannya gara-gara trauma yang dihidapi. Lantaran itu, Tihani sering terasa hidupnya bagai kekosongan. Tidur malamnya asyik diganggu igauan dan mimpi yang menimbulkan persoalan.
.
Jihad Amjad, lelaki berperwatakan dingin yang hidup dalam kebencian ibunya sejak di alam remaja. Akibat tragedi 12 tahun lalu, dia membesar diiringi kata-kata herdikan dan tuduhan yang memedihkan. Pasrah dengan takdir itu, dia membawa diri. Alang-alang dibenci, biarlah dia menentukan arah hidupnya sendiri. Sekurang-kurangnya dia tidak terus merasa sakit menjadi mangsa buangan satu-satunya ahli keluarga yang dia ada.
.
Di kala Jihad mula mengecap bahagia, dia diduga lagi apabila sahabat yang paling dipercayai tega mengkhianati kepercayaannya. Kecewa Jihad tak terkata bila kekasihnya dibawa pergi.
.
Akhirnya Tihani dan Jihad ditakdirkan berjumpa. Pelbagai kenangan mula tercipta. Ada hati yang dalam diam bergelora.
.
"Aku tak boleh janji akan bagi kehidupan yang mewah tapi aku akan cuba jadi lelaki terbaik dan berusaha untuk bahagiakan orang yang aku sayang. Itu janji aku!" - Jihad Amjad.
.
Tanpa mereka menduga, di sebalik pertemuan itu rupa-rupanya terdapat kisah yang bakal terungkai.
.
"Jihad, kalau awak nak saya ceritakan semula apa yang berlaku waktu tu... saya boleh cuba sebab sekarang saya dah ingat." - Ainul Tihani.