Home Novel Cinta Sekilas Kenangan
Sekilas Kenangan
Damya Hanna
19/3/2020 13:27:29
67,977
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 2b

BAB 2 (BUKTI)


SUASANA gelap memenuhi unit kediaman lelaki tidak dikenali itu. Pandangan Tihani rasa terhad. Segera dia mengeluarkan telefon bimbit dari kocek seluarnya. Lalu menyalakan lampu suluh daripada aplikasi yang tersedia.

Sepasang matanya terus menangkap kawasan ruang tamu yang sepi. Sambil melangkah penuh waspada, Tihani menghalakan cahaya lampu suluh ke sekelilingnya.

Keadaan rumah itu nampak tidak teratur. Banyak barang yang berlonggok dan bersepah di sana sini. Mungkin kerana penghuninya baru berpindah, maka beberapa perabot belum disusun di tempat yang sepatutnya. Segala-galanya kelihatan berserabut dan tidak kemas.

Tihani mulai ligat memerhati kawasan sekitar. Tatkala dia terpandang beberapa kotak barangan yang diletakkan di sepanjang dinding berdekatan bilik utama, ayunan kakinya terus mendekati kawasan itu.

Dia sempat mengalas tapak tangan dengan labuhan tudungnya sebelum mula menyelak salah satu penutup kotak. Terdapat beberapa buah buku dan fail pelbagai dokumen yang terisi di dalam kotak itu. Dia tidak berminat untuk menyelak helaian-helaian kertas yang bersusun di dalam kotak itu.

Fokus Tihani tangkas beralih ke kotak-kotak lain. Satu per satu penutup kotak dibukanya. Namun, masih tiada barang-barang mencurigakan yang ditemui selain barangan peribadi dan keperluan asas milik seorang lelaki.

Keluhan Tihani tiba-tiba terhambur.

'Entah-entah betul kata Bariah. Aku yang paranoid tak tentu pasal. Mungkin lelaki tu memang tak buat kerja bukan-bukan macam yang aku bayangkan.' Hati Tihani berdetik tanpa sedar.

Namun, dia segera menggeleng. Tidak bersetuju dengan andaian sendiri.

'Tak! Aku tak boleh tertipu. Aku yakin lelaki itu ada sembunyikan bukti berbahaya di mana-mana. Sebab... takkan lelaki tu nak simpan bukti-bukti penting di tempat yang mudah aku jumpa?'

Memikirkan kenyataan itu, Tihani mula beredar ke tempat lain. Dia menggerakkan kakinya ke kamar tidur utama. Kelihatan sebuah tilam nipis terbentang di atas lantai. Beberapa bantal bergelimpangan dan sehelai selimut dibiarkan tidak berlipat. Tidak jauh dari situ terdapat sebuah beg besar yang berisi pakaian.

Tihani tidak berniat untuk berlama-lama bila mendapati tiada apa-apa yang menarik minatnya di dalam kamar itu.

"Hani! Hani! Kau okey tak?"

Tiba-tiba kedengaran suara halus Bariah yang sayup-sayup memecah sunyi.

"Hani!" Suara Bariah lebih kuat berbanding tadi.

Tihani cepat-cepat berjalan ke arah beranda. Kelihatan kepala Bariah yang sedang terjengul di sebalik tembok dinding.

"Syhhh... kenapa dengan kau ni? Janganlah cakap kuat sangat! Nanti orang dengar." Dia spontan menegur tindakan kakaknya.

Kepalanya berpusing-pusing ke kiri dan kanan. Malah, meninjau ke tingkat atas dan bawah. Melihat kalau-kalau ada sesiapa yang ternampak mereka di situ.

"Eh, kau nak marah aku pulak? Kau tu yang dah lama senyap kat dalam, mestilah aku risau. Dah, keluar cepat! Keluar sekarang!" Bariah memberi arahan dengan suara yang tegas.

"Belum 15 minit lagi, kan? Tunggulah kejap. Aku okey aje. Hisy, kau ni!" Tihani membidas. Dia menghilangkan dirinya sekali lagi.

"Hei, Hani! Hani!" panggil Bariah.

Tihani tidak mempedulikan panggilan kakaknya.

"Eeiii... budak ni, memang nak kena. Degil betul!" Sejurus itu, Bariah menggerutu geram.

Kaki Tihani terus menghala ke bilik kedua. Dia baru hendak menolak pintu bilik itu, tetapi fokusnya tiba-tiba tertarik ke bilik ketiga. Ia terletak berdekatan dengan kawasan dapur.

Gerakan langkah Tihani mula melencong. Mungkin kerana dia terbau sesuatu yang kurang menyenangkan. Tangannya tangkas menutup lubang hidung.

"Bau apa ni?" bisik Tihani tertanya-tanya.

Bau itu terlalu busuk. Tengik! Benar-benar menyengat saluran pernafasan. Fikiran Tihani mula mengandaikan sesuatu yang bukan-bukan. Serentak itu dadanya berdebar-debar. Dia merasakan ada yang tidak kena dengan bau busuk itu. Mungkinkah ia datang daripada mayat reput yang sedang disembunyikan?

Tihani terus menelan air liur. Sambil menarik nafas untuk bertenang, dia menolak daun pintu bilik yang tidak tertutup rapat. Dia terpaksa menggunakan bahunya kerana tidak mahu kesan cap jarinya tertinggal di tombol pintu.

Saat menyuluh ke sekeliling kamar, Tihani sedikit terpegun. Ruang dalam bilik itu didapati bersih dan kemas. Ada bekas-bekas storan plastik yang disusun begitu teratur bersebelahan dengan sebuah kabinet yang masih kosong.

Tihani sempat meninjau sebuah bekas berbentuk segi empat tepat yang tidak tertutup. Ia berisi dengan alat-alat perkakasan rumah. Sebuah bekas lain pula terkandung wayar pelbagai warna dan saiz.

Tihani tidak bercadang mahu mengintai kotak yang lain bila matanya terarah pula pada sebuah meja lipat yang terpasang berhampiran dengan tingkap. Di atas meja lipat itu terdapat sebuah komputer riba, sebuah kamera DSLR dan beberapa gajet lain.

Di sisi meja lipat itu pula ada satu objek besar berwarna hitam yang sedang berdiri tegak. Setelah dibelek, rupa-rupanya objek itu ialah sebuah teleskop. Setahu Tihani, teropong sebesar itu boleh melihat jarak jauh dengan begitu jelas.

Tihani terpanggil untuk melekapkan anak matanya pada lubang kanta. Sedetik kemudian, dia termangu.

"Nampak macam lelaki tu sedang perhatikan sesuatu," bisiknya curiga tatkala mendapati teropong berkaki tiga itu sedang menyasarkan sebuah kedai makan.

Jika dicongak-congak, kedai makan itu berjarak hampir 200 meter dari lokasi Apartmen Baiduri Alam yang mereka diami itu.

"Tapi, apa yang lelaki tu nak tengok?" detik Tihani kemudian.

"Hani, dah 15 minit ni! Cepatlah keluar. Hani!" Tiba-tiba suara amaran Bariah berbunyi lagi dari arah balkoni.

Tihani spontan mengerling skrin telefon bimbitnya. Memang tepat, 15 minit sudah berlalu. Nampaknya, dia harus menamatkan misi pencarian bukti seperti yang dijanjikan.

'Aduh, Bariah ni sikit pun tak nak kasi chance!'

Tihani rasa berat hati mahu meninggalkan kamar itu. Bukan apa, dia sudah menemui sebahagian barang-barang mencurigakan yang dirasakan mempunyai kaitan dengan identiti lelaki yang baru berpindah itu.

Jika dia keluar sekarang, apakah dia masih berpeluang untuk menjumpai barang-barang sebegitu lagi selepas ini?

Tiba-tiba Tihani didatangi idea untuk mengambil gambar barang-barang yang ada di bilik itu sebelum bertindak merakamkan video. Pasti ia boleh dijadikan bukti penting pada kemudian hari.

'Oh ya, bau busuk! Bau busuk tadi tu... aku perlu cari puncanya,' bisik Tihani tatkala teringat tentang bau tersebut.

Mungkin itulah sebenarnya ibu segala jawapan yang menyembunyikan rahsia sebenar berkaitan identiti lelaki itu!

Tihani lantas melilaukan pandangan. Bercadang mahu menyelongkar setiap penjuru bilik. Namun ketika memusingkan langkah tiba-tiba dia terpijak sesuatu yang tidak rata.

Tihani hampir terjatuh. Cepat-cepat tangannya berpaut pada kaki teropong. Apakan daya, kaki teropong yang tidak kukuh menyebabkan dunianya hilang imbangan.

Tihani tersembam.

"Aduh!" Dia terjerit kecil. Teropong besar terjatuh betul-betul di atas tubuhnya.

Mujurlah ia tidak terhempas tepat ke lantai. Jika tidak, boleh haru-biru dibuatnya seandainya kanta pada teropong itu pecah dan mengalami kerosakan.

Tihani cepat-cepat bangun. Kelam-kabut dia mencari telefon bimbitnya yang terlepas daripada tangan. Teraba-raba seketika dalam kegelapan.

Situasi cemas itu menimbulkan rasa panik dalam dirinya. Nasib baik keadaan itu tidak berlanjutan bila hujung jarinya berjaya menemukan telefon bimbit yang terjatuh tidak jauh dari situ. Setelah bangun, dia segera membetulkan kaki teropong. Biar kembali tegak.

Terlupa langsung yang dia sepatutnya berhati-hati. Dia tidak boleh memegang apa jua barang di dalam rumah itu. Kecuaiannya boleh menyebabkan kesan cap jari dan DNA miliknya tertinggal di mana-mana dan keadaan itu boleh membuktikan yang dia pernah berada di situ.

Sebetulnya, Tihani tidak ingat tentang perkara itu!

Sewaktu dia sibuk menentukan kedudukan tepat teleskop itu harus didirikan di hadapan tingkap, tancapan matanya tidak semena-mena terhala ke arah sesuatu di atas lantai.

Tihani pantas menalakan lampu suluh telefon bimbitnya ke situ. Tampak seperti ada beberapa titis cecair berwarna gelap yang tertinggal. Lantas, dia mengamati lama.

"Apa benda ni?" desisnya sambil cuba menyentuh cecair mencurigakan itu.

Tapi, Tihani segera tersedar. Fikirannya terus diburu rasa tak menentu.

"Ini darah ke?" Persoalan itu menjengah ke sudut benaknya tanpa diduga.

Dia sudah kejung terpaku. Sekali gus otaknya berjalan saat teringatkan bau busuk yang menyambut kedatangannya ke kamar itu tadi.

Dalam diam, Tihani mula mengaitkan titisan cecair yang dipercayai darah itu dengan andaian yang terlintas di fikirannya tentang mayat reput yang tersembunyi.

Tiba-tiba dia hilang pedoman. Sekelip mata, dia terasa tubuhnya menggigil ketakutan. Apatah lagi bila dia ternampak daun pintu bilik itu dirempuh dari ruang hadapan.


[Bersambung ...]

** So far, macam mana? Agak-agak nak teruskan baca tak? Kalau nak, sila komen kat kotak bawah tu ya. Kak Damya akan update next chapter very soon. ;)


Previous: Bab 2a
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Damya Hanna