Home Novel Cinta Sekilas Kenangan
Sekilas Kenangan
Damya Hanna
19/3/2020 13:27:29
67,985
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 5

BAB 5 (PERLINDUNGAN SAKSI)

"PERLINDUNGAN saksi? Tak. Cik Hani tak perlukan program tu sebab buat masa ni tak ada kepentingan untuk pihak polis melindungi Cik Hani," ujar pegawai polis berpangkat ASP (Asisten Superitenden Polis) di hadapannya.

"Tapi tuan, macam mana kalau lelaki tu apa-apakan saya nanti?" soal Tihani.

Dia cuba meyakinkan ASP Padli yang memperkenalkan diri sebagai Timbalan Ketua Polis Balai, Seksyen 9 Shah Alam semasa dia memasuki bilik pejabat lelaki itu seketika tadi.

"Cik Hani jangan risau. Dia takkan apa-apakan, Cik Hani."

"Macam mana tuan tahu? Tuan boleh baca naluri dia ke?" tanya Tihani berani.

Kelihatan ASP Padli terdiam.

"Lelaki tu tinggal kat sebelah rumah saya, tuan! Tadi, dia dah nampak muka saya. Maknanya, saya boleh diancam bila-bila masa. Buat sementara ni, mungkinlah saya selamat sebab lelaki tu akan didakwa atas apa yang dia buat tadi. Tapi kalau tiba-tiba dia disabitkan tak bersalah lepas perbicaraan, macam mana? Atau mungkin lelaki itu ada konco-konco yang cuba balas dendam. Bukan ke itu boleh mengganggu keselamatan dan ketenteraman saya?"

"Lelaki yang Cik Hani maksudkan tu sebenarnya bertugas sebagai anggota penyiasat. Atau secara mudahnya, kita panggil detektif." ASP Padli lantas berkata.

Berdesup hilang segala semangat Tihani tatkala dunianya seolah-olah jadi kejung.

"Apa tuan kata? Detektif?" Sepantas kilat Tihani meminta kepastian dengan mata yang hampir terbeliak.

ASP Padli mengangguk.

"Detektif Jihad Amjad dari IPD Klang Utara, bahagian Risikan Jenayah. Saya baru terima pengesahan dari sana."

Tihani ternganga seketika, namun dia pantas menelan air liurnya saat tersedar. Terasa macam ada sesuatu di saluran kerongkongnya tiba-tiba. Sungguh dia rasa tak percaya dengan kata-kata yang dituturkan oleh ASP Padli.

Tihani sekali gus terbayangkan wajah lelaki yang menjadi mangsa bedal batang payungnya tadi.

Jihad Amjad!

Jadi, itukah nama lelaki yang tinggal berjiran dengannya? Lelaki yang disangkanya pengedar dadah? Lelaki berambut panjang yang dia ingat bekerja dengan kumpulan mafia? Yang paling best, dia boleh terfikir lelaki itu berpotensi sebagai pembunuh upahan. Padahal lelaki itu sebenarnya seorang detektif di bahagian Risikan Jenayah!

'Argh, aku ni betul-betul dah gila ke sebenarnya?'

Tihani diterjah perasaan malu. Malu yang amat!

Pasti waktu itu raut wajahnya yang kuning langsat telah bertukar merah padam kerana boleh dikatakan seluruh kulit mukanya kini sedang kepanasan. Sikit lagi nak jadi bara!

Agaknya jika sebiji telur diletak di laman mukanya tika ini, silap-silap telur itu boleh jadi setengah masak.

"Sebenarnya Detektif Jihad sedang menjalankan tugas risikan di lokasi tadi. Cik Hani tiba-tiba muncul menyerang Detektif Jihad menyebabkan siasatan kes tergendala."

Terasa bagai hendak terlerai segala urat saraf Tihani sebaik mendengar penjelasan ASP Padli kali ini.

'Aku dah mengganggu siasatan kes? Jadi sebenarnya masa tu, Detektif Jihad sedang menyamar sebab nak kejar suspek? Tapi aku dah halang dia... bila aku ingat dia nak ragut seorang perempuan?'

Tihani lantas teringat semula cara-cara dia menerjah Detektif Jihad sebelum menuduh lelaki itu sebagai peragut. Serentak itu, dia memejamkan kelopak mata.

Argh, tiba-tiba dia terasa makin nak gila!

"Tapi tak apa. Perkara macam ni dah biasa berlaku. Cuma kali ni agak berbeza," sambung ASP Padli.

"Berbeza?"

"Situasi kali ni merupakan yang pertama seorang detektif diserang secara agresif oleh orang awam semasa sedang menjalankan siasatan."

Tihani telan air liur.

"Biasanya sebelum ni kalau ada apa-apa situasi mencurigakan, orang awam akan terus hubungi talian kecemasan untuk buat aduan. Tapi, Cik Hani agak berani berdepan dengan orang yang Cik Hani fikir dah mengancam keselamatan."

Tihani tidak tahu apa maksud sebenar di sebalik kata-kata ASP Padli. Apakah pegawai polis itu cuba memuji tindakannya atau sedang menyindir dirinya?

Ah, malaslah Tihani mahu memikirkan dalam-dalam perkara itu. Otaknya kini lebih rancak memikirkan apa yang telah dilakukannya kepada Detektif Jihad.

Aduhai, bagaimana dia mahu berhadapan dengan jirannya itu jika mereka terserempak selepas ini? Rasa tak terbayang dek fikiran Tihani!

Nampak gaya, dia kena selalu mengelakkan diri daripada bertembung dengan lelaki itu.

"Okey, memandangkan semuanya dah jelas... kita tamatkan perbualan kat sinilah ya?"

Suara ASP Padli memecah lamunan kecil yang bergayutan di minda Tihani.

"Tapi, tuan... boleh saya tahu Detektif Jihad tak..."

"Oh, saya diberitahu yang dia tak apa-apa. Takde kecederaan serius. Cuma luka-luka kecil. Detektif Jihad sendiri dah jelaskan yang dia tak bercadang nak buat apa-apa laporan tentang Cik Hani. Kes dah selesai."

Tihani berasa lega yang teramat.

"Lepasni, saya harap Cik Hani akan lebih berhati-hati. Kalau ternampak apa-apaperkara mencurigakan, seelok-eloknya terus telefon talian kecemasan. Janganbertindak melulu macam tadi sebab kalau tersilap langkah, Cik Hani mungkinboleh menyebabkan keselamatan diri Cik Hani terancam." ASP Padli berpesansebelum menoktahkan perbualan mereka.

________

TIHANI merengus sendirian. Walaupun sudah lebih lima minit dia memasuki perut kereta, dia masih belum bersedia memulakan pemanduan.

Suasana yang sunyi membuatkan dia berpeluang melayan perasaan. Entah kenapa, dia terasa dunianya bagai terumbang-ambing selepas mengetahui identiti sebenar jirannya. Sukar untuk dia mempercayai kenyataan itu.

Kalaulah Bariah tahu, mesti tak habis-habis dirinya dileteri. Tiba-tiba Tihani teringat tindakannya memasuki unit kediaman lelaki itu semalam. Terus dia jadi tak keruan.

'Aku dah ceroboh masuk rumah lelaki tu! Tak hairanlah ada alat-alatan pengintipan. Sah-sahlah lelaki tu seorang detektif polis!' Tihani terus menghantuk-hantukkan kepalanya di stereng.

'Mesti aku betul-betul dah hilang akal. Patut ke aku berjumpa pakar psikiatri? Entah-entah mental aku ni memang bermasalah. Sebab tu, aku paranoid tak tentu pasal.'

Tihani mengutuk diri sendiri sambil terus menghantukkan kepalanya. Tahu-tahu sahaja, dahinya tertekan hon menyebabkan dia tersentak. Kepalanya lantas ditegakkan.

Kelihatan beberapa orang yang lalu-lalang di kawasan Balai Polis Seksyen 9 itu melirik ke arah kenderaannya. Masing-masing berwajah pelik. Mungkin tertanya-tanya dengan maksud hon yang dibunyikan.

Tihani berpura-pura tenang biarpun sedikit malu dengan tindakan tak sengajanya tadi. Terus dia membuat keputusan untuk beredar.

Sewaktu mahu menarik gear, niat Tihani terencat. Dia terpandang sekeping kertas yang tersangkut di celah-celah wiper keretanya. Sepantas kilat, dia melangkah keluar. Menyambar kertas itu dan terus mengamatinya. Serentak itu, dia memuntahkan dengusan kuat.

"Apa malang sangat nasib aku hari ni?" rungutnya bila menyedari kertas itu berupa saman dari majlis bandaraya.

Tihani baru teringat semasa membeli makanan tadi, dia tidak membeli tiket parkir memandangkan dia tidak bercadang untuk berlama-lama. Tak sangka pula, tindakan sambil lewanya itu memakan diri.

"Hisy, tak guna betul! Memang padan dengan muka aku. Inilah balasannya sebab bersangka buruk kat orang. Rasakan!" Tihani sempat mencerca diri sendiri sambil menendang tayar keretanya.

Walaupun tahu tayar kereta itu tak patut disalahkan, tapi entah kenapa Tihani berharap dengan berbuat demikian dia dapat meredakan perasaan tak tentu hala yang sedang beraja dalam dirinya.

Dialangsung tidak sedar sebenarnya, ada sepasang mata sedang memerhatikangerak-gerinya tidak jauh dari situ.

[Bersambung...]

** Macam biasa please vote dan sudi-sudikan tinggalkan komen. Kak Damya nak tahu okey ke tak novel Sekilas Kenangan setakat ni. Thank you uols.

*** Untuk info, novel ni sedang dalam proses cetak. Kalau berminat nak pre order boleh klik di Karangkraf Mall atau contact Whatsapp Kak Damya (013-3766 496) dan boleh juga ke akaun media sosial Kak Damya seperti di bawah :

1. Facebook dan Facebook Page : Damya Hanna 

2. Instagram : @Damya_Hanna.

Previous: Bab 4b
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Damya Hanna
© Copyright Portal Ilham. Hakcipta terpelihara Portal Ilham